• EN
  • BM
  • 中文
Malaysiakini logo
2023 budget visualised page illustration

Sebesar mana Belanjawan 2023?

RM386.14 bilion

Peruntukan disediakan lebih RM13.84 bilion daripada Belanjawan 2023 yang dibentang Oktober lalu dan lebih RM54.05 bilion daripada Belanjawan 2022.

Nota: Tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka

Untuk kemas kini terbaru, terus bersama kami di laman ini.

Sebesar mana Belanjawan 2023?

Belanjawan 2023 dibentang semula setelah belanjawan yang dibentangkan kerajaan Ismail Sabri Yaakob pada Oktober lalu tidak lagi terpakai susulan pembubaran Parlimen.

Ini kali pertama sejak 2000 belanjawan negara perlu dibentang semula.

Namun tidak seperti pada tahun itu – di mana kerajaan hanya membentangkan belanjawan sama yang telah dibentang pada akhir 1999 – perubahan pentadbiran menjadikan Belanjawan 2023 memiliki perbezaan ketara jika dibandingkan dengan versi sebelumnya.

Iklan

Ini juga belanjawan pertama Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dalam tempoh 26 tahun.

Akhirnya mengetuai pentadbiran negara, Anwar – yang pernah diiktiraf sebagai menteri kewangan terbaik Asia – berhasrat meningkatkan perbelanjaan dan pada masa sama mengurangkan defisit.

Jangkaan vs Realiti

Belanjawan 2023 ini mendapat kelebihan daripada pemulihan ekonomi pada tahun lalu yang melangkaui jangkaan.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) sebanyak 8.7 peratus pada 2022 melangkaui unjuran 6.5 hingga 7 peratus yang dibuat Oktober lalu.

Hasil cukai dan bukan cukai juga meningkat melebihi jangkaan disebabkan pemulihan ekonomi dan peningkatan harga komoditi.

Ini dapat dilihat dalam semakan semula hasil untuk 2022, iaitu RM9.2 bilion lebih tinggi berbanding unjuran sebelumnya dan RM60.4 bilion lebih banyak berbanding unjuran yang dibuat pada akhir 2021.

Tahun belanjawan

Hasil yang dijangkakan

(RM bil)

Hasil yang disemak

(RM bil)

Perbezaan hasil

(RM bil)

2020244.5225.1-19.4
2021236.9233.8-3.1
2022234294.4*60.4
2023291.5**--

Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan

*Pada awalnya diunjurkan sebanyak RM285.2 bilion oleh pentadbiran Ismail Sabri

**Pada awalnya diunjurkan sebanyak RM272.6 bilion oleh pentadbiran Ismail Sabri

Namun, jumlah subsidi juga melebihi unjuran sebelumnya, yang telah pun disemak semula.

Ketika Belanjawan 2022 dibentang, kerajaan pada asalnya merancang untuk memperuntukkan RM17.4 bilion untuk subsidi.

Namun, perang di Ukraine dan kekurangan bekalan makanan telah menyebabkan harga barang melambung tinggi.

Ini menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan belanja lebih besar untuk subsidi.

Pada Oktober lalu, pentabdiran Ismail Sabri menganggarkan jumlah subsidi pada 2022 akan mencecah RM58.9 bilion.

Bagaimanapun anggaran baru menunjukkan angka itu meningkat sebanyak RM8.5 bilion, iaitu kepada RM67.4 bilion.

Melangkah ke hadapan, Belanjawan 2023 menganggarkan peruntukan untuk subsidi akan meningkat kira-kira RM16.6 bilion daripada anggaran awal pada Oktober lalu, namun tetap kurang berbanding apa yang telah dibelanjakan pada tahun lalu.

Ini sebahagiannya kerana hasrat kerajaan ke arah pelaksanaan subsidi secara bersasar.

Walaupun ekonomi global masih dalam ketidaktentuan, kerajaan optimis pertumbuhan di peringkat domestik akan terus menggerakkan ekonomi negara.

Dana dari mana?

Belanjawan 2023 yang baru adalah belanjawan untuk pertumbuhan.

Walaupun dengan peruntukan lebih tinggi, pinjaman yang dibuat kerajaan untuk tahun ini kurang berbanding yang dirancang pentadbiran Ismail Sabri.

Pada Oktober lalu, 26.8 peratus daripada Belanjawan 2023 adalah dari pinjaman. Kerajaan pimpinan Anwar mengurangkannya kepada 24.5 peratus.

Perbezaan ini dijangka akan ditampung dengan pertambahan hasil bukan cukai dan cukai langsung.

Lebihan hasil pada 2022 juga membolehkan kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada 5.6 peratus, lebih rendah berbanding unjuran asal 6 peratus pada tahun lalu.

Selaras dengan ini, Belanjawan 2023 mengunjurkan defisit untuk tahun ini pada kadar 5 peratus, lebih rendah dari anggaran asal 5.5 peratus.

Walaupun dengan defisit lebih rendah dan mengurangkan pinjaman, hasil untuk tahun ini tetap diunjurkan kurang kira-kira RM2.9 bilion berbanding 2022.

Mengambil kira hal ini, kerajaan mengunjurkan nisbah hutang-KDNK bagi 2023 meningkat sedikit kepada 62 peratus – satu unjuran yang konservatif.

Ini lebih rendah berbanding unjuran yang dibuat pentadbiran Ismail Sabri, yang menganggarkan nisbah hutang-KDNK mungkin mencecah had siling 65 peratus yang ditetapkan ketika penularan wabak Covid-19.

Berkenaan dana dari institusi utama, Petronas dijangka membayar dividen berjumlah RM40 bilion pada tahun ini. Ia meningkat RM5 bilion berbanding unjuran asal yang dibuat pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, hasil petroleum secara keseluruhan dijangka lebih rendah berdasarkan anggaran harga minyak mentah AS$80 setong.

Institusi

Belanjawan 2023

(RM bil)

Belanjawan 2022

(RM bil)

Dividen sebenar 2022

(RM bil)

Petronas402550
Bank Negara2.7555
Kumpulan Wang Persaraan (KWAP)353

Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022, 2023

Hutang 1MDB

Hutang 1MDB setakat tahun ini adalah sebanyak RM18.5 bilion.

Daripada jumlah ini, RM13.2 bilion adalah daripada bon yang perlu dibayar bulan depan

Setakat akhir tahun lalu, akaun amanah untuk aset 1MDB yang diambil semula dianggarkan hanya berbaki RM1.9 bilion. Ini bermakna sebahagian besar bayaran akan datang perlu dijelaskan menggunakan dana awam.

Akaun amanah itu digunakan untuk pembayaran semula lebih RM14 bilion pada tahun lalu, untuk dua lagi bon yang diterbitkan 1MDB.

Institusi

Jumlah Dipinjam

(US$ bil)

Jumlah Dipinjam

(RM bil)

Perlu Dibayar Pada

bon global313.2

Mac 2023

Sukuk-5

Mei 2039

Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023

Apa selepas ini?

Sejak 2020 hingga 2022, kerajaan perlu banyak meminjam memandangkan negara bergelut menghadapi wabak Covid-19.

Namun, dengan kurangnya pinjaman tahun ini, peratusan peruntukan belanjawan yang digunakan untuk membayar hutang dijangka menurun kepada sasaran awal yang dibuat pada 2020 – sebelum Covid-19 menular.

Sementara Anwar belum menyatakan komitmen untuk melaksanakan cukai yang lebih meluas untuk meningkatkan hasil negara, dia telah berikrar untuk meneruskan usaha ke arah kewangan yang lebih bertanggungjawab, pada masa sama mengurangkan ketirisan.

Kerajaan juga komited untuk menangani isu jangka panjang yang berisiko menjejaskan pendapatan negara seperti perubahan iklim, bencana alam dan keterjaminan makanan.

Peruntukan kementerian

Nota: Beberapa kementerian telah disusun semula atau disatukan semasa pentadbiran kerajaan Anwar

Perubahan dalam perbelanjaan mengikut sektor

Bonus penjawat awam

TahunPeruntukan
2023RM700*
2022RM700*
2021RM600*
2020RM500*
2019RM500*
2018RM1,000
2016-2017RM500
2011-20151/2 bulan
*Gred Maksimum 56

Kongsikan

Sedang memuat turun...

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 24 Feb 2023.

Penyelaras projek
Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
Penyelidik & Penulis
Zikri Kamarulzaman, Yasmin Ramlan, Fion Yap, Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
Ilustrasi
Syariman Badrulzaman
Pengaturcara & reka bentuk
Ooi Choon Nam, Lee Long Hui & Yan Jing Tian
Penterjemah
Yasmin Ramlan
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.