Konflik antara manusia dan hidupan liar semakin meningkat akibat pembukaan hutan, menyebabkan kepupusan haiwan.

Sejak terdengar laungan adiknya, Andy, ketika remaja tersebut maut dipijak gajah, Borhan Yok Manin, 24, tidak dapat tidur malam.

Awal tahun ini, Andy, 15, dan saudara mereka Faizul Yok Tong masuk ke kawasan hutan berdekatan Kampung Tual, Pos Sinderut, hampir dengan Sungai Koyan di Pahang.Ia aktiviti biasa anak muda Orang Asli suku Semai tersebut.

Andy, seorang pelajar Tingkatan Empat ketika itu memberitahu ibunya dia lewat kembali ke asrama sekolah kerana dia ingin membantu pendapatan keluarga dengan mencari hasil hutan.Tapi keputusan itu meragut nyawa.

Iklan

Kata Borhan, pada 9 Januari lalu, mereka terserempak dengan seekor gajah jantan yang merayau di sekitar kampung mereka selama beberapa minggu. Mereka cuba melarikan diri, tetapi kaki Andy tersandung pada akar kayu dan dia terjatuh.

“Saya terdengar dia melaung “Ma!” tapi tak dapat menyelamatkannya,” kata Borhan.

Hampir sejam berlalu sebelum keadaan menjadi lebih selamat dan penduduk kampung dapat masuk ke kawasan hutan untuk mencari Andy. Ketika ditemui, Andy sudah tidak bernyawa. Dadanya berlobang dipercayai ditusuk gading gajah.

Ibu remaja tersebut, Normah Isa, ketika ditemui beberapa hari selepas kematian anaknya langsung tidak sanggup menyebut nama Andy. Katanya, dia seorang anak yang pandai, ceria dan rajin membantu keluarga.

Andy merupakan kebanggaan keluarganya dan ibu bapanya menyimpan harapan supaya anak mereka itu akan menjadi ahli keluarga pertama yang tamat persekolahan dan mencapai kejayaan yang tinggi.

“Bila kami beritahu sekolah yang dia telah meninggal, semua cikgunya menangis,” kata bapa Andy, Yok Manin Yok Chik, bergenang air mata.

Gajah ini dipercayai haiwan yang sama telah memijak mati seorang wanita di Kampung Simoi sebulan sebelum kematian Andy. Kampung Simoi, Pos Betau merupakan satu lagi kampung Orang Asli berdekatan Kampung Tual, Pos Sinderut. Hutan tebal memisahkan Kampung Simoi dan Kampung Tual.

Selepas kematian Andy, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah menghantar sepasukan renjer untuk mengesan kelibat gajah tersebut. Selepas seminggu, Perhilitan berkata haiwan itu telah kembali ke Hutan Simpan Ulu Jelai.

Namun, pada 18 Februari, gajah itu kembali ke Kampung Simoi, Pos Betau. Kali ini, ia berjaya ditangkap oleh Perhilitan.

Habitatnya, Hutan Simpan Ulu Jelai, memang dikenali sebagai kawasan rayau gajah Asia - spesies haiwan terancam menurut International Union for Conservation of Nature (IUCN). Hanya 1,500 sahaja gajah Asia yang masih hidup liar di habitat hutan di Malaysia.

Pembukaan hutan

Yok Ek, batin Kampung Tual, berkata keluarganya telah tinggal di situ selama sekurang-kurangnya lima generasi. Inilah kali pertama seekor gajah datang berhampiran kampung mereka. Namun, katanya, beberapa kumpulan gajah mula muncul di Kampung Simoi sejak hutan berhampiran kampung itu mula dibuka beberapa tahun yang lalu.

Berikut adalah gambar satelit Hutan Simpan Ulu Jelai, berdekatan Pos Betau, tempat di mana seorang wanita mati diinjak gajah yang sama. Gambar-gambar ini menunjukkan situasi sebelum dan selepas pembukaan hutan di sana.

Penduduk Semai di Hutan Simpan Ulu Jelai bukanlah satu-satunya komuniti yang menghadapi masalah ini.

Konflik antara manusia dan hidupan liar menjadi semakin kerap dan tidak hanya memberi kesan kepada komuniti Orang Asli yang tinggal di kawasan hutan simpan.

Contohnya, di Johor, seekor gajah liar masuk ke kawasan penjara manakala beberapa insiden melibatkan gajah liar di kawasan perumahan dilaporkan di kawasan berdekatan. Seorang pekerja ladang di Pahang pula mati diinjak gajah pada Mei lalu.

Berikut merupakan sebuah peta yang menunjukkan insiden konflik antara manusia dan hidupan liar dari Januari 2020 ke Februari 2023. Data ini dikumpul oleh Malaysiakini daripada laporan berita dan media sosial berkenaan insiden di Semenanjung Malaysia.

Data Perhilitan menunjukkan konflik antara manusia dan hidupan liar semakin meningkat, dan bukan hanya melibatkan gajah.

Kehilangan habitat merupakan ancaman terbesar untuk spesies terancam di Malaysia, terutamanya spesis yang dikenali sebagai the Big 5 Malaysian Animals: Harimau Malaya, gajah Asia, seladang, tapir Malaya dan badak sumbu Sumatra.

Pada tahun 2019, badak sumbu Sumatera liar yang terakhir di Malaysia - Iman - mati dalam kurungan. Badak sumbu di habitat semulajadi telahpun diisytiharkan lenyap pada 2015.

Pakar konservasi risau hidupan terancam lain mungkin pupus tidak lama lagi jika tiada tindakan segera.

Sebenarnya, proses kepupusan memang sudah berlangsung.

Menurut John Payne, seorang pakar konservasi veteran, jika 50 peratus habitat hilang, maka jangkaan 10 peratus hidupan liar akan pupus.

Katanya, proses kepupusan secara total mungkin memakan masa yang lama, tetapi proses itu mula berlangsung sejurus habitat hilang. Ini kerana terdapat satu kawasan hanya boleh menampung sejumlah haiwan yang tertentu.

“Mesej utama dari graf ini (bawah) ialah setiap kawasan ada had berapa banyak spesies yang dapat ditampungnya,” kata Payne dalam sebuah artikel jurnal yang diterbitkan pada 2021, berkenaan cara-cara untuk melindungi mamalia terancam di Malaysia.

Dari tahun 1954 ke tahun 2000, Malaysia telah hilang 37 peratus dari litupan hutan semula jadi. Ini adalah pengurangan dari 9.5 juta hektar ke 6 juta hektar, menurut data rasmi. Sejak tahun 2000, sekurang-kurangnya 2.7 juta hektar hutan primer telah hilang, menurut Global Forest Watch.

Jika dilihat di atas kertas, hampir separuh dari negara Malaysia masih dilitupi hutan. Tetapi tinjauan di lapangan menunjukkan keadaan sebaliknya.

Berbeza daripada tanggapan umum, bukan semua hutan simpan kekal ialah hutan dara yang akan dilindungi dari pembalakan. Sebenarnya, kebanyakan pembalakan di hutan simpan kekal tidak menyalahi undang-undang. Sementara itu, pembukaan hutan simpan secara sah tidak hanya melibatkan pembalakan.

Hutan…tapi bukan sebenarnya

Ini kerana kawasan hutan simpan itu dikategorikan sebagai “hutan pengeluaran”.

Menurut undang-undang, bahagian hutan simpan ini boleh diluluskan untuk pengeluaran, bukan sahaja pengeluaran balak, tapi juga untuk aktiviti perlombongan dan pertanian.

Ini bermakna, walaupun hutan telah dibuka secara total, seperti di kawasan kuari di Segari Melintang, di atas kertas kawasan itu masih lagi dianggap hutan. Dan ini dimasukkan dalam statistik 44 peratus litupan hutan di Semenanjung Malaysia.

Jadi berapa banyak kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia yang sebenarnya hutan yang dilindungi?

bukan hutan (50k hektar)
hutan (50k hektar)
Di atas kertas, sebanyak 5.73 juta hektar, atau 44 peratus dari Semenanjung Malaysia merupakan “hutan”.
Tapi dari kawasan “hutan” itu, hanya 84 peratus merupakan Hutan Simpan Kekal. Ini bersamaan 4.85 juta hekar. Selebihnya hutan milik kerajaan atau persendirian., dan rizab lain.
Dari kawasan Hutan Simpan Kekal itu, lebih kurang 61 persatus adalah”hutan pengeluaran”. Maka hanya 1.93 juta hektar adalah hutan yang terlindung. Ini merupakan 14 peratus dari seluruh kawasan Semenjung Malaysia -- jauh lebih kecil dari 44 peratus litupan “hutan”, seperti di atas kertas.

“Apabila sebuah hutan ditukar kegunaannya, fungsi ekologi hutan itu hilang.

“Walaupun ia dijadikan ladang hutan, hidupan liar masih tidak dapat merayau dari satu bahagian hutan tersebut ke bahagian lain, dan haiwan tidak akan mencari makanan seperti mana di dalam hutan semula jadi,” kata aktivis alam sekitar dan pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Meor Abdul Rahman.

Katanya, walaupun aktiviti pembalakan sering dipersalahkan sebagai punca kehilangan habitat, sebenarnya aktiviti perlombongan, kuari dan ladang dalam di dalam hutan adalah lebih merosakkan.

Ini kerana, dalam projek pembalakan sah, balak ditebang secara selektif, untuk menjaga kelestarian. Sebaliknya, kawasan hutan akan dibotakkan untuk membuat kuari, lombong dan ladang. Ini sering dipanggil “cuci mangkuk”.

Ini akan merosakkan sistem ekologi hutan tersebut, mengganggu sumber makanan untuk hidupan liar dan mengubah tingkah laku semula jadi haiwan tersebut.

Laluan sama dari generasi ke generasi

Pakar konservasi Ahmad Zafir Abdul Wahab telah mengkaji tingkah laku mamalia besar seperti gajah selama 20 tahun. Katanya, ramai berpendapat ladang hutan hanya bertindak mengganti pokok di hutan dengan pokok kayu lain.

Hakikatnya, is sebenarnya memusnahkan laluan semula jadi untuk hidupan liar dan menyebabkan perpecahan hutan. Maksudnya, satu kompleks hutan yang besar akan menjadi kawasan hutan kecil yang tidak bersambung (forest islands).

Pengarah program The Habitat Foundation tersebut berkata pihak ladang biasanya cuba melindungi ladang mereka daripada hidupan liar dengan membuat pagar atau menggali longkang yang besar. Ini biasanya memakan kos berjuta ringgit.

Tapi sebenarnya, hidupan liar hanya ingin lalu untuk tiba ke bahagian hutan yang lain. Jika ada pagar atau longkang yang besar, haiwan tersebut terpaksa mencari jalan lain, dan berpotensi masuk ke kawasan manusia dan menyebabkan konflik.

Katanya, hidupan liar belajar laluan kawasan rayau mereka daripada generasi sebelumnya. Contohnya, seekor anak gajah yang bergerak dalam satu kawanan, akan menggunakan laluan yang sama apabila ia dewasa.

Tambahnya, gajah sebenarnya suka makan rumput. Maka haiwan tersebut selalunya tidak berminat untuk masuk ke ladang semata-mata untuk makan tanaman di situ.

Tapi gajah tersebut mungkin mahu lalu untuk sampai ke jenut (salt lick) di seberang sana, di kompleks hutan yang seterusnya, kerana inilah laluan yang diikuti gajah untuk beberapa generasi. Tapi sekarang ada ladang menghalang laluan tersebut.
Ahmad Zafir Abdul Wahab
Pengarah Program The Habitat Foundation
Ahmad Zafir Abdul Wahab

Pihak penduduk dan peladang yang menghadapi konflik dengan gajah biasanya berpuas hati apabila gajah-gajah tersebut ditangkap dan dipindahkan, tapi ini tidak semestinya penyelesaian yang terbaik. Terdapat situasi di mana gajah akan cuba kembali ke laluan asal mereka, dan ini akan menyebabkan konflik lain di sepanjang jalan.

Terdapat juga kes di mana penduduk atau peladang yang sering bertembung dengan gajah mengambil keputusan untuk bertindak sendiri.

Kata Ahmad Zafir, terdapat beberapa insiden di mana penduduk kampung membuat perangkap yang mengancam hidupan liar atau cuba meracun haiwan yang terancam.

Contohnya, pada Mei 2021, dua gajah ditemukan mati di sebuah kebun sayur di Kluang, Johor. Menurut laporan media, haiwan tersebut dipercayai mati apabila makan rumput yang telah disembur dengan racun.

Iklan

Dalam tempoh pencerapan media (media monitoring) Malaysiakini, enam ekor gajah mati dalam konflik bersama manusia, di Semenanjung Malaysia. Kebanyakannya mati dilanggar kenderaan di lebuh raya (roadkill).

Kewujudan lebuh raya yang memintas hutan dan laluan hidupan liar amat bahaya bagi haiwan yang terancam.

Dalam tempoh yang sama, terdapat 50 insiden kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar, banyak diantaranya haiwan terancam. Tapi banyak lagi yang tidak menjadi laporan berita atau tular di media sosial.

Dari tahun 2015 ke 2019, Perhilitan melaporkan sebanyak 2,055 hidupan liar menjadi mangsa kemalangan jalan raya.Ini termasuk beberapa ekor beruang matahari, yang mana hanya tinggal 500 ekor hidup liar di hutan dan tapir yang hanya tinggal 1,500 ekor.

Kenapa tapir lintas jalan?

Pada satu ketika, ada tanggapan bahawa terdapat banyak lagi tapir Malaya masih hidup liar. Hakikatnya, pada ketika itu tidak cukup penyelidikan untuk tahu berapa tapir yang masih ada.

Kajian lapangan Mohd Sanusi Mohamed di Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang pada tahun 2002 antara kajian yang membantu membuat anggaran saiz populasi tapir Malaya liar di Malaysia. Kajian tersebut dilakukan bersama Copenhagen Zoo (Cawangan Malaysia). Hanya selepas itu disahkan bahawa haiwan maun (pemakan tumbuh-tumbuhan) tersebut sebenarnya terancam.

Hari ini, katanya, antara ancaman yang paling besar ke atas tapir adalah kemalangan jalan raya. Namun, masih tidak cukup kajian untuk memahami mengapa tapir suka melintas jalan.

“Hipotesis yang biasa adalah mereka berbuat demikian kerana tidak cukup makanan di dalam hutan, terdapat kekacauan di dalam atau di luar hutan, percubaan untuk mencari jenut (salt lick) dan mencari pasangan. Ini semua kerana perubahan dalam kegunaan hutan.

“Tapi kita tak boleh tahu dengan tepat tanpa membuat kajian dengan mengikut beberapa ekor tapir melintas jalan,” he said.

Kata Sanusi, antara kemungkinan lain adalah kebolehan hutan untuk menampung spesies hidupan liar (carrying capacity) semakin rendah, akibat pemecahan hutan ke bahagian-bahagian kecil (forest fragmentation).

Tapi setiap spesies mempunyai keperluan kawasan rayau yang tersendiri. Seekor tapir perlu keluasan 12 ke 16 kilometer persegi, manakala seekor harimau Malaya memerlukan sehingga 300 km persegi.

Mamalia besar ini biasanya bergerak sendirian. Dalam kompleks hutan besar mereka merayau jauh dari satu sama lain melainkan sedang mengawan atau membesarkan anak.

Tapi bila sebuah jalan dibina di tengah kompleks hutan itu, hidupan liar masih akan cuba merayau mengikut keperluannya. Ini termasuk tapir yang tidak mempunyai penglihatan baik, lantas dilanggar kenderaan semasa cuba melintas.

Hutan juga melalui proses kemerosotan apabila kegunaannya berubah. Ini mengubah tahap asid dalam tanah dan memberi impak pada jenis tumbuhan yang boleh tumbuh.

Maka boleh jadi bahawa 300 lebih tumbuhan yang menjadi makanan tapir hanya dapat tumbuh di satu bahagian hutan dan tapir terpaksa melintas jalan untuk mendapatkannya, kata Sanusi.

Katanya, ada juga teori yang tapir yang keluar dari kompleks hutan adalah tapir tua, yang bertembung dengan tapir yang lebih muda dan diusir keluar selepas kalah dalam pergaduhan merebut kawasan rayau. Ini kerana kawasan hutan semakin sempit.

“Ada banyak teori tapi kita tak tahu secara pasti tanpa melakukan lebih kajian. Satu cara ialah untuk menangkap beberapa tapir, memasang kolar pengesan, dan mengikuti jejak mereka. Ini projek yang sedang kami jalankan dengan Perhilitan,” katanya.

Adakah lintasan hidupan liar satu penyelesaian?

Akibat insiden kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar semakin meningkat, terdapat banyak cadangan untuk lintasan khas hidupan liar dibina supaya haiwan dapat melintas dengan selamat.

Tetapi menurut pakar konservasi, lintasan-lintasan boleh menjadi perangkap untuk hidupan liar, kerana membolehkan pemburu haram menangkap haiwan terancam dengan mudah.

Lintasan hidupan liar juga perlu diselenggarakan dengan kerap. Ini termasuk memperkayakan kawasan berhutan di sekeliling lintasan tersebut, bagi menggalakkan hidupan liar untuk menggunakan laluan tersebut. Ia memakan kos yang besar dan penjagaan berterusan.

Lebuh raya dibina lebih tinggi untuk membolehkan hidupan liar melintas di bawahnya.
Lebuh raya dibina lebih tinggi untuk membolehkan hidupan liar melintas di bawahnya.

“Jika kita pergi ke lintasan hidupan liar yang telah dibina, boleh nampak orang kampung guna lintasan itu, maka hidupan liar pun kurang gemar gunakannya,” kata Sanusi.

Selain itu, menurut kajian lain yang dilakukan pakar konservasi, lintasan-lintasan ini berpotensi menjadi sia-sia jika hutan di sekelilingnya terus dibuka.

Terpencil terlalu lama

Kewujudan jalan dan ladang yang memecah-belahkan hutan juga membawa masalah lain kepada hidupan liar, kata Dr Donny Yawah, seorang pakar veterinar yang merawat hidupan liar, khususnya tapir.

Katanya, bila hutan jadi terpencil dan tidak bersambung dengan kompleks lebih besar, hidupan liar seperti tapir, beruang matahari dan harimau akan susah mencari pasangan.

Setakat ini, tapir masih lagi boleh mencari pasangan dan membiak dalam hutan yang terpencil (fragmented forests), tapi ini bergantung jika haiwan itu masih boleh mencari makanan dan mineral yang mencukupi.

Yawah juga optimis akan masa hadapan tapir atas sebab lain. Katanya, dalam semua pembedahan post-mortem yang dilakukannya ke atas tapir, dia masih lagi belum terjumpa tapir betina yang mempunyai kerosakan pada pembiakan.

‘Kerosakan’ ini adalah dalam bentuk sista (cyst) atau fibroid yang biasanya tumbuh dalam mamalia betina jika ia tidak membiak.

Sista atau fibroid ini menyukarkan mamalia betina tersebut untuk bunting. Oleh itu, kalaupun pasangan jantan dan betina dapat bertemu di hutan, tidak semestinya mereka dapat membiak.

Ini adalah pengajaran dari kes Kertam dan Iman, pasangan jantan-betina badak sumbu Sumatera yang terakhir di Malaysia.

Pengumuman bahawa spesies ini telah pupus di Malaysia menggemparkan orang ramai, tetapi pakar konservasi veteran Payne tidak terkejut. Payne dalam barisan hadapan yang berusaha menyelamatkan badak sumbu Sumatera di Malaysia, dan katanya, kepupusan haiwan itu sudah dijangka.

Katanya, apabila dunia kini mula bergerak untuk mengawal kehilangan habitat dan pemburuan, demi menyelamatkan badak sumbu Sumatera daripada pupus, ia sudah terlambat. Ini kerana jumlah spesies ini yang masih hidup di seluruh dunia terlalu sedikit untuk membiak.

Mereka juga tidak dapat membiak bila ditempatkan dalam kurungan bersama, kerana kebanyakan badak betina mempunyai masalah pembiakan, akibat tidak pernah bunting. Ini kerana terlalu sedikit badak jantan yang masih hidup.

Apabila Iman berjaya ditangkap pada tahun 2014, rahimnya terdapat ketumbuhan leiomyama, atau fibroid. Dalam kata lain, sudah terlalu lambat untuknya membiak.

Iklan

Adakah lambang negara - Harimau Malaya hadapi nasib sama?

Sejak tahun 1950an ke hari ini, jumlah harimau Malaya liar merudum daripada ribuan ekor kepada kurang 150 ekor, menurut Perhilitan. Ini terjadi walaupun berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk proses konservasi dan menghalang pemburuan. Menurut Payne, jumlah sebenar di hutan adalah kurang dari 100 ekor.

Para pakar konservasi bimbang kisah suram badak sumbu akan berulang dengan haiwan yang dijuluki gelaran Pak Belang itu.

Menurut pakar, tingkah laku kedua spesies ini adalah serupa - mereka haiwan solitari dan memerlukan kawasan rayau besar, dalam hutan yang kini sudah terbelah bahagi dan terpencil.

“Kerisauan kami adalah data hutan dan populasi harimau terlalu rendah, dan mereka terlalu jauh dari satu sama lain untuk membiak. Separuh daripada harimau liar adalah jantan, selebihnya betina, dan kebanyakkan harimau betina sama ada terlalu tua untuk membiak atau mengalami masalah pembiakan lain,” kata Payne.

Satu analisis mudah menyokong pendapatnya.

Seekor harimau melahirkan dua ke empat anak setiap dua tahun. Jika semua anaknya mati, ia boleh melahirkan anak lagi dalam jangka masa lima bulan.

Maksudnya, jika semua dari 55 ekor harimau betina tersebut membiak pada kadar yang sihat, anak harimau akan lahir di hutan Malaysia setiap tahun.

Namun, jarang sekali kedengaran pengumuman kelahiran anak harimau. Ia tentunya bukan sesuatu yang terjadi setiap tahun.

Pun begitu, apabila anak harimau dijumpai di hutan, ia disambut sebagai bukti bahawa masih lagi ada harapan bagi harimau Malaya di habitat semulajadinya.

“Masih belum terlambat untuk menyelamatkan harimau di hutan. Kita belum lagi dalam situasi di mana hanya dua tiga ekor sahaja yang tinggal. Harapan masih ada, tapi kita mesti berbuat sesuatu,” kata Payne.

Peranan pembiakan dalam kurungan

‘Sesuatu’ yang dimaksudkan Payne bukanlah menghabiskan semua sumber yang ada untuk menjaga habitat harimau dan menghalang pemburu - walaupun ini ancaman terbesar bagi mamalia tersebut.

Katanya, pengajaran daripada kisah suram badak sumbu Sumatera adalah harimau yang kini di zoo mempunyai peranan konservasi, dan lebih usaha harus dibuat untuk membiakkan harimau dalam kurungan, katanya.

Menurut Payne, lebih separuh daripada 50 harimau Malaya yang kini hidup dalam kurungan “tak berguna secara biologi” kerana mereka terlalu tua untuk membiak.

“Harimau tua bukan sahaja tak mampu membiak, tapi juga mengalami kesakitan akibat umur mereka yang lanjut.

Kenapa tidak ‘tidurkan’ (euthanise) yang tua, dan sumber dana yang digunakan untuk menjaga mereka dipindahkan ke harimau muda untuk menggalakkan mereka membiak?
John Payne
Pengarah eksekutif Bringing Back Our Rare Animals (Bora)
John Payne

Jika tindakan ‘menidurkan’ harimau tua dianggap melanggar etika, haiwan tersebut boleh pula dipinjam kan ke zoo di luar negara, kata Payne. Dana Malaysia pula difokuskan ke arah membiakkan yang muda dan memindahkan harimau yang lahir dalam kurungan ke kawasan hutan, katanya.

Setakat ini, usaha konservasi harimau hanya memindahkan haiwan makanan harimau ke hutan simpan untuk menyokong populasi harimau di sana. Belum pernah lagi harimau yang lahir dalam kurungan dipindahkan ke hutan.

Ini mungkin kerana ia satu projek yang berisiko tinggi, kata Payne. Hasilnya hanya akan dilihat dalam 20 ke 30 tahun akan datang dan kebanyakan harimau yang lahir dalam kurungan berkemungkinan tinggi mati tanpa program khas untuk melatih mereka memburu.

“Memang susah untuk memastikan harimau yang lahir dalam kurungan dapat hidup di hutan. Tapi ia tidak mustahil. Untuk menyelamatkan satu spesies kita mesti membuat keputusan yang susah.

“Inilah caranya kita menghalang kepupusan - uruskan haiwan yang dalam kurungan dengan lebih baik, supaya kita ada baka hidup untuk masa depan,” katanya.

Tambahnya, sudah terdapat beberapa spesies yang berjaya diselamatkan daripada pupus dengan cara ini, contohnya, Bison Eropah yang dibiakkan di zoo. Perhilitan juga telah berjaya membiak seladang dan tapir di pusat konservasi.

Perancangan baik di tahap pusat

Sebaik-baiknya, semua pihak dapat bekerjasama untuk melindungi hidupan liar. Tapi realitinya, usaha melindungi hutan dan rangkaian hidupan liar adalah amat sukar dan memerlukan kesungguhan politik.

Perkara ini masih belum terjadi, walaupun kajian sudah dilakukan untuk tahu di mana kawasan haiwan terancam merayau dan keluasan yang diperlukan.

Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine, dilancarkan 2010 dan dikemaskini tahun lalu, telah mengenal pasti laluan ekologi yang penting untuk hidupan liar bergerak dari satu kompleks hutan ke kompleks hutan yang lain.

Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (2022)

Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (2022)

Sebaiknya, lapan kompleks hutan yang termasuk dalam Central Forest Spine (CFS) tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan lain. Dengan ini 4.79 juta hektar hutan dilindungi.

Tapi rancangan ini ada kerumitan permasalahannya. CFS merupakan pelan kerajaan pusat manakala kegunaan tanah dan kebenaran mengubah guna pakai hutan adalah hak kerajaan negeri.

Bagi kebanyakan negeri, pengeluaran sumber hutan dan mengubah guna pakai kawasan hutan menjadi sumber pendapatan penting. Melindungi hidupan liar terancam tidak memberi habuan yang sama.

Tambahan pula, lebih kurang suku dari hutan dalam CFS adalah “hutan tanah kerajaan”, dan tidak digazet sebagai taman negeri, taman negara atau rizab hidupan liar.

Oleh itu, amat mudah untuk hutan dalam CFS diubah gunapakai. Menurut pelan tersebut, jumlah hutan dalam CFS kurang 2.61 peratus berbanding 2015, manakala jumlah hutan CFS yang dijadikan ladang bertambah 6.1 peratus dari 2010 ke 2019.

Tren ini kemungkinan besar akan berterusan.

Sumber negeri yang lumayan

Hutan Simpan Kledang Saiong adalah habitat ungka, sejenis spesies terancam. Tapi sebahagian telah ditebang.
Hutan Simpan Kledang Saiong adalah habitat ungka, sejenis spesies terancam. Tapi sebahagian telah ditebang.

Lihat Hutan Simpan Kledang Saiong. Ini merupakan habitat ungka, sejenis spesies terancam, 12 lagi haiwan terancam, serta termasuk dalam CFS. Ia juga diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar. Tapi inilah rupa sebahagian hutan simpan itu apabila Malaysiakini melawat pada tahun 2020.

Pada masa itu, ia belum lagi dimasukkan ke CFS. Hari ini, ia merupakan sebahagian rangkaian ekologi itu. Namun, sebahagian lain Hutan Simpan Kledang Saiong telah dicadang untuk dijadikan sebuah “kilang penghasilan balak.”

Sebanyak 4,280 hektar, satu kawasan bersamaan 6,000 padang bola, akan dijadikan ladang hutan untuk menghasilkan balak. Sebelum menanam pokok balak, hutan semulajadi akan dibotakkan, menurut satu Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang disiarkan baru-baru ini.

Jabatan Alam Sekitar masih lagi boleh menolak cadangan untuk projek ini, tapi jika ia berbuat demikian, ini akan memberi impak pada perbendaharaan kerajaan Perak.

Demi menampung kerugian yang dialami pihak kerajaan negeri, kerajaan pusat telah menawarkan RM150 juta dalam bentuk Pemindahan Fiskal Ekologi (Ecological Fiscal Transfer), demi melindungi hutan.

Tapi ini jumlah yang sangat kecil berbanding apa pendapatan daripada hasil hutan yang diperolehi kerajaan negeri.

Pada tahun 2019, kerajaan Kelantan mengutip RM147 juta daripada hasil perhutanan, termasuk royalti dari balak. Di negeri yang sama, komuniti Orang Asli dilaporkan mengalami banyak konflik dengan gajah.

Pada tahun sama, Terengganu mengutip hasil perhutanan sebanyak RM46 juta. Di negeri itu, harimau belang dilaporkan merayau di tepi lebuh raya.

Rangkaian ekologi yang paling penting, dan paling terancam, terletak di Kelantan dan Terengganu. Kebanyakan “hutan tanah kerajaan” dalam rangkaian CFS terletak di dua negeri ini dan negeri Pahang.

Berkongsi hidupan dengan hidupan liar

Jika melindungi hutan adalah terlalu mahal untuk kerajaan negeri, pakar konservasi percaya masih lagi ada cara untuk manusia berkongsi ruang dengan hidupan liar.

Sejak badak sumbu Sumatera pupus di Malaysia, organisasi yang dipelopori Payne, the Borneo Rhino Alliance menukar namanya ke Bringing Back Our Rare Animals (Bora). Antara lain, ia kini menggalakkan penanaman kawasan berumput (pastures) di kawasan hutan, untuk spesies lembu liar di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Apa yang Bora kenal pasti setakat ini adalah menanam pasture di kawasan mendatar dalam hutan sudah cukup untuk menampung keperluan hidupan liar seperti gajah dan seladang.

“Kita bercakap tentang hanya sebahagian kecil hutan, dan bahagian kecil ini boleh membawa perubahan yang besar terhadap hidupan liar,” kata Payne.

Bora juga mendapati bahawa menanam tumbuhan tertentu, seperti pokok ficus liar, juga dapat menampung keperluan hidupan liar lain, seperti primat dan burung.

Sekumpulan pelancong melawat ladang Sabah Softwoods di Tawau untuk melihat gajah melintas di laluan hidupan liar (wildlife corridor).
Sekumpulan pelancong melawat ladang Sabah Softwoods di Tawau untuk melihat gajah melintas di laluan hidupan liar (wildlife corridor).

Pakar konservasi juga telah terjumpa satu cara yang kreatif untuk manusia, industri dan hidupan liar hidup bersama.

Di Tawau, Sabah, syarikat perladangan gergasi Sabah Softwoods telah menjadikan sebahagian dari ladangnya sebagai laluan hidupan liar, membolehkan gajah dan haiwan lain bergerak dari Hutan Simpan Ulu Kalumpang ke Hutan Sipan Mount Louisa yang lebih besar.

Hasilnya, kerosakan pada tanaman berkurangan dari lebih kurang setengah juta ringgit pada tahun 2004 ke RM5,000 pada tahun 2018, menurut Sabah Softwoods.

Laluan hidupan liar ini juga menjadi produk pelancongan, di mana pelancong membayar sebuah NGO konservasi, 1Stop Borneo Wildlife, untuk membawa mereka melihat 60 ke 80 gajah yang lalu di ladang itu setiap hari.

Jun lalu, syarikat-syarikat perladangan besar, Sime Darby Plantation, IOI Plantation dan FGV Holdings ikut serta program pemuliharaan sedemikian.

Bekerjasama dengan Perhilitan dan pakar konservasi University of Nottingham Malaysia dari Management and Ecology of Malaysian Elephants (Meme), syarikat-syarikat ini setuju untuk melindungi lima laluan untuk gajah di Johor.

Tindakan bekerjasama dengan industri kelapa sawit, yang sekian lama dituduh menyebabkan kehilangan habitat hidupan liar, adakan tindakan yang melawan logik pencinta alam sekitar.

Namun begitu, bagi pakar konservasi seperti Ahmad Zafir, tindakan sebegini dapat memastikan spesies terancam tidak pupus.

“Untuk hidup, hidupan liar tidak memerlukan hutan dara yang langsung tidak terusik.Mereka hanya perlukan makanan dan ruang yang mencukupi untuk merayau.”

Sebuah zoo beku

Disamping mencari penyelesaian pragmatik untuk menyelamatkan haiwan terancam daripada pupus, di sebuah makmal universiti, satu lagi usaha sedang digiatkan.

Sebelum Kertam, Iman dan Puntong - badak sumbu terakhir di Malaysia - mati, para saintis telah mengumpul sel stem dari mamalia tersebut.

Dengan sel tersebut, para saintis berharap untuk menghasilkan ovum dan sperma, untuk disenyawakan dan dimasukkan ke dalam rahim seekor badak sumbu hidup dari spesies lain.

Atau secara alternatif, sel tersebut akan disatukan dengan sel somatic daripada seekor lagi badak sumbu Sumatera. Inilah cara Dolly, kambing biri-biri klon dihasilkan di Scotland pada tahun 1996.

Dengan dana kerajaan dan kerjasama dengan Bora dan Perhilitan, Zoo Beku (Frozen Zoo) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kini menyimpan sel dari tujuh lagi haiwan terancam, termasuk harimau Malaya.

Harapan para saintis adalah perkembangan dalam dunia sains pada masa akan datang dapat mengembalikan atau melindungi spesies terancam di Malaysia dari pupus.

Tapi ini adalah pilihan terakhir, kata Ahmad Zafir. Sebelum itu, usaha terbaik haruslah dilakukan untuk melindungi spesies terancam yang masih hidup di dalam hutan.

“Kita tak patut tunggu sampai terlalu lambat, sampaikan kita hanya ada sel di zoo beku.”

Kongsikan artikel ini

Kredit

RJF logo

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 17 Mac 2023. Laporan ini dihasilkan dengan sokongan daripada Dana Kewartawanan Hutan Hujan dengan kerjasama Pusat Pulitzer.

Penyelaras projek
Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Aidila Razak
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam, Hariz Mohd Hafiz Tay & Syariman Badrulzaman
Jurugambar & Juruvideo
Azneal Ishak
Penerbit video
Phung Yie Wen
Ilustrasi
Syariman Badrulzaman
Laporan tambahan
Koh Jun Lin, Eleena Khushaini & Sharon Juliat Selvanathan
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.