Dalam masa kira-kira dua minggu, rakyat Malaysia akan mengetahui sama ada bekas perdana menteri Najib Razak disabitkan kesalahan sekali lagi atau tidak atas peranannya dalam skandal yang digelar sebagai salah satu "kes kleptokrasi terbesar di dunia".
Tetapi satu kajian oleh Projek Sama mendapati bahawa Najib hanyalah salah seorang daripada 21 ahli politik yang merupakan wakil rakyat atau bekas wakil rakyat, daripada 28 kes kesemuanya, yang telah didakwa dengan rasuah sejak 2018, ketika Pakatan Harapan pertama kali menjadi kerajaan atas janji untuk membasmi rasuah.
Kajian Projek Sama menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada mereka - 11 daripada 28 kes - berakhir dengan dilepaskan dan dibebaskan (DAA) untuk ahli politik yang terlibat, yang bersamaan dengan didapati tidak bersalah.
Daripada 28 kes tersebut, lima kes berakhir dengan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA), iaitu tertuduh dilepaskan tetapi tidak dibebaskan sepenuhnya kerana mereka masih boleh didakwa lagi pada masa hadapan.
Hanya satu kes yang menyebabkan seseorang individu benar-benar menjalani hukuman penjara. Baki 11 kes masih berjalan.
Siapa 21 ahli politik itu?
Klik pada gambar untuk butiran lanjut.
Penulis kajian itu berhujah bahawa rekod prestasi pihak berkuasa yang hanya berjaya mendapatkan satu sabitan akhir daripada 28 kes yang telah berlaku sejak tujuh tahun lalu menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah negara.
“Ia menanamkan kepercayaan bahawa pendakwaan terhadap pertuduhan berkaitan rasuah yang melibatkan ahli politik adalah sia-sia, kerana pertuduhan tersebut pasti akan diselesaikan dengan mudah melalui DNAA atau DAA. Ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap institusi Malaysia dalam kalangan orang ramai membolehkan rasuah berleluasa.
“Ia mewujudkan andaian atau kepercayaan bahawa institusi perundangan berfungsi untuk melindungi orang kaya dan berkuasa dan bukannya memelihara keadilan prosedur dan kedaulatan undang-undang.”
Baca selanjutnya
