• EN
  • BM
  • 中文
Malaysiakini logo
coverImage
coverImage

Bagaimana Undi18, pendaftaran automatik beri kesan pada nilai undi anda?

Ng Xiang Yi

Daftar pemilih meningkat lebih 40 peratus. Bagaimana pula nilai undi anda - menaik atau menyusut?

Pembetulan: Kami sebelum ini mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan pernah menetapkan bahawa tidak ada kawasan yang sepatutnya melebihi had ±33.33 peratus daripada purata bilangan pengundi negara. Kami minta maaf atas kesilapan tersebut.

Bilangan pemilih meningkat dengan ketara berikutan pelaksanaan dasar menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun serta sistem Pendaftaran Pemilih Automatik (AVR) yang berkuat kuasa sejak 15 Disember tahun lalu.

Berdasarkan daftar pemilih SPR setakat Februari 2022, jumlah bilangan pengundi Malaysia kini mencecah 21,056,108 orang, dengan peningkatan sebanyak 40.90 peratus (6,115,484 pemilih), berbanding jumlah pemilih pada pilihan raya umum 2018.

SPR telah menambah sebanyak 26 kawasan parlimen dengan lebih 50,000 pemilih, dan kebanyakan daripada kawasan itu terletak di Selangor dan Johor.

Bagaimana angka-angka ini memberikan kesan kepada nilai undi penduduk bandar berbanding tempat-tempat lain? Teruskan membaca untuk mendapatkan jawapannya.

Iklan

Apakah itu kenaikan/penyusutan nilai undi?

Persempadanan semula pilihan raya yang memberikan keuntungan sebelah pihak (gerrymandering) sudah lama menjadi isu di Malaysia. Ia menyebabkan jurang besar dalam kuasa mengundi di kawasan-kawasan berbeza. Ia menyalahi prinsip “satu orang, satu undi” dan perwakilan setara dalam sistem pilihan raya demokrasi.

Buat masa ini, data laporan Banci Malaysia 2020 menunjukkan bahawa kadar perbandaran Malaysia mencecah 75.1 peratus manakala Selangor mencatatkan kadar perbandaran yang paling pesat iaitu 95.8 peratus. Bagi Wilayah Persekutuan seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, populasi yang tinggal di kawasan bandar telah mencecah 100 peratus. Di Johor, seramai 77.4 peratus daripada populasinya tinggal di bandar.

Tidak dapat dinafikan, faktor peluang pekerjaan dan pembangunan yang tinggi di bandar membawa kepada susutnya populasi luar bandar dan pesatnya pertumbuhan populasi di bandar. Namun, apabila jumlah kawasan pilihan raya tidak diselaraskan dengan sewajarnya, populasi di kawasan bandar pasti akan menjadi beberapa kali ganda lebih ramai berbanding kawasan di pinggir dan luar bandar.

Oleh itu, melaksanakan sistem AVR tanpa menyelaraskan bilangan kerusi parlimen hanya akan memburukkan lagi situasi salah pembahagian (malapportionment).

Berdasarkan data SPR, Malaysiakini mendapati terdapat 24 kawasan dengan bilangan pengundi lebih daripada 150,000 orang - semuanya merupakan kawasan bandar di semenanjung. Nilai undi di kawasan ini juga adalah paling kecil jika dibandingkan dengan kawasan lain, iaitu lebih 4.5 kali ganda berbanding Igan.

Daripada 24 kawasan itu, 15 terletak di Selangor, diikuti Johor (4), Negeri Sembilan (2) dan masing-masing satu di Kedah, Melaka dan Perak.

Antara semua negeri, Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai dan ia masih terus bertambah dengan pesatnya. Sebelum PRU14, Selangor mempunyai 2,415,074 pengundi - 16.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi Malaysia.

Setakat Februari 2022, peratusan pengundi Selangor telah meningkat menjadi 17.3 peratus (3,643,381 orang), diikuti Johor (12.4 peratus) dan Perak (9.7 peratus).

Dalam kata lain, tiga negeri ini sahaja sudah pun merangkumi 39.4 peratus daripada jumlah pengundi di negara ini.

Pengundi baru Bangi lebih ramai berbanding jumlah pengundi di 177 kawasan

Setelah melihat perbandingan setiap kawasan berbanding Igan, mari kita lihat pula perubahan secara keseluruhan di kerusi-kerusi pilihan raya selepas pelaksanaan sistem AVR.

Berdasarkan analisis di atas, masalah salah pembahagian bukan sahaja bertambah buruk selepas pelaksanaan Undi18 dan AVR, tetapi ia juga kebanyakannya terjadi di kawasan bandar yang padat, sekali gus menyebabkan kawasan-kawasan tersebut tidak dapat diwakili dengan sewajarnya.

‘Hukuman’ buat pengundi bandar?

Penganalisis politik Wong Chin Huat melihat penyusutan nilai undi di kawasan bandar ibarat “hukuman” kepada pengundi bandar, terutamanya golongan B40.

“Sudah tentu, orang-orang kaya yang tinggal di Bangsar atau Sri Hartamas, kehidupan mereka tidak akan terjejas dengan penyusutan nilai undi. Mereka boleh menyelesaikan masalah mereka hanya dengan membuat satu panggilan telefon. Tetapi bagi golongan pertengahan dan bawahan, mereka sebenarnya semakin menderita,” katanya dalam satu temu bual bersama Malaysiakini.

Katanya, kuasa mengundi yang rendah di kawasan bandar bererti pengundi tidak dapat memanfaatkan undi mereka semaksimumnya bagi mendapatkan manfaat dan kebajikan yang sepadan di kawasan mereka.

Wong mencadangkan agar jurang pengundi antara kawasan mestilah dirapatkan bagi mencapai persempadanan pilihan raya yang lebih adil. Namun, ini tidak dapat dicapai hanya dengan mewujudkan kawasan pilihan raya baru semata-mata, sebaliknya perubahan turut perlu dilakukan terhadap sistem pilihan raya itu sendiri.

“Kerusi-kerusi di Parlimen dan DUN tidak boleh ditambah terus-menerus. Harus ada had bilangan kerusi. Semakin ramai wakil rakyat, semakin tidak cekap jadinya (badan perundangan),” tambahnya.

Bagi Wong, bilangan kawasan harus dibahagikan semula mengikut bilangan pengundi di setiap negeri. Kawasan berpenduduk tinggi harus memiliki lebih banyak kawasan pilihan raya, manakala kawasan yang semakin berkurangan penduduknya harus dibahagikan kepada kawasan pilihan raya yang lebih sedikit.

llll

Kerusi Parlimen dan DUN tidak boleh ditambah terus-menerus. Harus ada had bilangan kerusi.
Wong Chin Huat
Penganalisis politik
Wong Chin Huat

Berdasarkan idea pembahagian semula kawasan seperti yang dicadangkan Wong, Malaysiakini membuat perkiraan bilangan kerusi di setiap negeri dengan membahagikan jumlah bilangan pengundi dengan purata bilangan pengundi.

Berdasarkan perkiraan itu, Selangor merupakan negeri yang paling banyak bertambah kawasan pilihan raya, manakala Perak pula harus mengurangkan lima kawasan pilihan rayanya.

Risiko wakil rakyat “menganggur” - apa penyelesaiannya?

Wong mengaku idea pembahagian semula kawasan pilihan raya mungkin tidak dapat diterima oleh ahli politik tempatan. Hal ini memandangkan apabila bilangan kerusi dikurangkan, wakil rakyat terbabit bukan sahaja akan “hilang kerja”, bahkan parti politik juga akan kehilangan kerusi yang asalnya dalam kawalan mereka.

“Tetapi jika hanya populasi yang menjadi satu-satunya standard (bagi penetapan kawasan), apakah Malaysia satu hari nanti bakal mempunyai ribuan kerusi parlimen? Ahli politik sentiasa berpegang pada mitos bahawa bilangan kerusi tidak sesekali boleh dikurangkan tidak kiralah bagaimana sekalipun tahap penyusutan penduduk.

“Malah, ini hanya akan menjadikan Parlimen semakin menggembung, menjadikan proses penggubalan undang-undang semakin tidak cekap. Apabila semakin ramai (ahli parlimen) hendak bercakap, masa untuk bercakap pun akan semakin dikurangkan. Ini benar-benar tidak perlu,” katanya.

Dia merujuk sistem pilihan raya di Taiwan dan Amerika Syarikat yang mengamalkan pembahagian semula kawasan berdasarkan perubahan populasi. Oleh yang demikian, mereka boleh menerima pengurangan bilangan kawasan pilihan raya.

Bagi mengatasi masalah “pengangguran” wakil-wakil rakyat, Wong mencadangkan agar SPR mengguna pakai sistem senarai parti, dengan melaksanakan perwakilan berkadar di setiap negeri. Dengan itu, wakil-wakil rakyat yang “menganggur” masih mempunyai ruang untuk menjadi calon dalam pembahagian kerusi parti mereka.

“Jika bilangan kawasan dikurangkan, sudah tentu akan wujud rungutan daripada wakil rakyat sedia ada tentang kehilangan pekerjaan mereka. Tetapi dengan sistem senarai parti, kamu masih mempunyai peluang untuk memujuk parti kamu untuk menjadi calon bagi sistem senarai parti,” tambahnya.

Pun begitu, Wong mengakui jalannya masih jauh untuk Malaysia menuju ke arah sistem pilihan raya berkenaan.

Dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini, SPR tidak memberi maklum balas secara langsung kepada isu salah pembahagian (malapportionment) yang dibangkitkan.

Bagaimanapun, dalam jawapannya, SPR menerangkan bahawa urusan kajian semula persempadanan persekutuan dan negeri-negeri adalah berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan serta menurut ketetapan dan prinsip berhubung persempadanan adalah di bawah Bahagian I dan II Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Pada bulan Oktober tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi berkata, sebarang kajian persempadanan semula kawasan hanya boleh dilakukan lapan tahun sekali berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Maka, katanya, tempoh kajian semula persempadanan Sarawak hanya akan berakhir pada 2023, Sabah pada 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada 2026.

Pengundi bawah 21 tahun kurang 5 peratus

Meskipun dasar Undi18 dan AVR meningkatkan bilangan pengundi dengan ketara, data SPR menunjukkan bahawa pengundi berusia antara 18 dan 20 tahun kurang lima peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Pengundi berusia antara 21 hingga 39 tahun pula adalah yang paling ramai, iaitu 44.28 peratus, diikuti golongan pengundi 40 hingga 59 tahun, iaitu 32.02 peratus.

Peta di bawah memberi gambaran terhadap taburan umur pengundi di setiap kawasan.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 31 Mei 2022.

Penyelaras projek
Lee Long Hui
Penyelidik & Penulis
Ng Xiang Yi
Reka bentuk & Pengaturcara
Yan Jing Tian, Lee Long Hui & Ooi Choon Nam
Ilustrasi
Yan Jing Tian
Penterjemah
M Fakhrull Halim
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab merupakan pasukan khas yang mengkhususkan bidang kewartawanan data dan penceritaan visual.
logo
Kini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.