Setiap hari Jumaat pasti hari yang membawa harapan namun penuh dengan cabaran buat Kee Yik Ting, seorang ibu berusia 44 tahun yang bekerja di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pada hujung minggu, dia biasanya tidak sabar untuk pulang ke Kulai, Johor bagi bertemu suami dan dua anak kecilnya. Namun, perjalanan selama empat jam itu dirasakan amat mencabar dan berbahaya buatnya.
“Majikan saya memberi satu hari untuk bekerja dari rumah (WFH), selalunya saya akan mula memandu pulang ke Kulai pada pagi Jumaat, iaitu pada jam 5 pagi atau 5.30 pagi dari Kuala Lumpur. Keseluruhan perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam dan saya terus bekerja sebaik tiba di Kulai.
Kee Yik Ting
“Saya pilih untuk memulakan perjalanan sebelum waktu subuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas namun pemanduan pada waktu malam amat berbahaya. Kedua-duanya berbahaya dan meletihkan,” katanya dalam sebuah temu ramah atas talian, sambil memaklumkan pemanduan sejauh 310 km itu turut boleh mengambil masa 5.5 jam apabila trafik teruk.
Selepas hujung minggu tamat, Kee Yik Ting kembali ke Kuala Lumpur pada awal pagi Isnin, mengulangi rutin perjalanan ‘penatnya’ setiap minggu.
“Bagi mengelakkan kesesakan, saya akan mula memandu ke tempat kerja pada hari Isnin, jam 5.00 pagi dari Kulai. Trafik pada hari Isnin selalunya teruk, jadi saya mengambil masa 4.5 jam untuk sampai ke tempat kerja saya.”
Inilah rutin Kee Yik Ting setiap minggu selama tiga tahun.
Sebelum ini, Kee Yik Ting juga telah cuba ulang-alik menaiki kapal terbang, tetapi jadualnya tidak fleksibel. Atas sebab itu, beliau menyambut positif dan tidak sabar untuk projek EDTP Gemas-Johor Bahru untuk siap sepenuhnya.
“Tempoh perjalanan samada menggunakan kereta atau kereta api adalah lebih kurang sama. Tetapi, dengan menaiki kereta api, berbanding memandu, sekurang-kurangnya saya tidak perlu memandu dalam keadaan berjaga selama empat jam. Dengan naik kereta api, saya boleh menggunakan masa itu untuk berehat atau menyelesaikan kerja.
“Ia akan menambah baik produktiviti dan kualiti hidup saya,” katanya sambil tersenyum.
“Saya sudah lama menanti akan pelancaran projek EDTP ini. Jadi, saya teruja apabila mereka mengumumkan yang ia akan beroperasi pada hujung Ogos, namun apabila saya dapat tahu ia hanya akan sampai Kluang sahaja, saya kecewa.”
Permasalahan Kee dikongsi ribuan rakyat Malaysia yang kerap berulang-alik antara negeri Johor dan Lembah Klang/Kuala Lumpur. Namun menjelang akhir tahun 2025, masalah ulang alik itu akan diselesaikan.
Inspirasi rekaan tren ETS3 lahir daripada keanggunan Permaisuri Zarith Sofiah Opera House.
Tahukah anda, kereta api antara Gemas, Negeri Sembilan dan Johor Bahru telah berkhidmat membawa penumpang selama lebih satu abad? Sudah berdekad lamanya, kereta api berkuasa diesel itu beroperasi di atas trek tunggal, menggunakan sistem yang lebih perlahan dan kurang cekap tenaga serta kerap memerlukan penyelenggaraan.
Bagi meningkatkan infrastruktur laluan itu, kerajaan telah memulakan pembangunan EDTP pada 2017, dengan menaiktarafnya menjadi sistem elektrik dua landasan untuk membolehkan kereta api elektrik yang lebih pantas, tenaga lestari dan andal menggantikan kereta api diesel lama.
Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTM, mula diperkenalkan pada 2010 melalui laluan Kuala Lumpur-Ipoh. Kini, laluan Gemas-Johor itu pula akan menjadi laluan terakhir yang melengkapkan rangkaian Kereta Api Pantai Barat dari Padang Besar berhampiran sempadan Thailand ke Johor Bahru.
Projek EDTP sedang melalui persiapan berfasa. Fasa awal tahun ini, perkhidmatan laluan dihubungkan sehingga Segamat dan lima bulan kemudian, perkhidmatan itu dihubungkan sehingga ke Kluang. Menjelang hujung tahun ini, EDTP akan memberi laluan kepada pengguna sehingga ke bandar di hujung Selatan Malaysia secara terus melalui rangkaian ETS nasional.
Bayangkan penjimatan masa dengan menaiki kereta api ini berbanding memandu di lebuhraya atau menaiki kenderaan awam seperti bas.
Ayuh kita cuba!
Biasanya berapa lama masa perjalanan anda antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru?
Memandangkan anda telah melihat berapa banyak masa perjalanan yang boleh dijimatkan dengan menaiki EDTP, anda mungkin tertanya apa yang membuatkannya sangat efisien? Rahsianya terletak pada kelajuan kereta api tersebut, dikuasakan oleh tenaga elektrik dan reka bentuk laluan moden. Cuba teka, berapa kelajuan kereta api itu?
Teka berapakah kelajuan purata EDTP?
Kereta api elektrik itu bergerak dengan sangat pantas! Namun, tahukah anda, perjalanan kereta api Malaysia sebenarnya telah bermula seratus tahun yang lalu? Dari laluan pertama negara sehingga laluan elektrik sekarang, setiap trek menjadi sebahagian kisah negara.
Terokai rangkaian kereta api Malaysia melalui peta interaktif ini. Selidik dan ketahui laluan kereta api utama negara serta kepentingan sejarahnya.
Kereta Api Pantai Barat (1923)
Disiapkan pada 1923, Kereta Api Pantai Barat merupakan landasan kereta api utama yang pertama di Malaysia. Bermula dari Padang Besar berhampiran sempadan Thailand ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands di Singapura, ia menjadi tulang belakang rangkaian pengangkutan negara pada ketika itu.Kereta Api Pantai Timur (1931)
Ditubuhkan pada 1931, rangkaian Keretapi Pantai Timur diperluaskan ke Tumpat, Kelantan melalui Gemas, Negeri Sembilan. Ia merupakan projek infrastruktur penting yang memudahkan perdagangan, pelancongan dan pertukaran budaya antara negeri-negeri di pantai timur dan seluruh semenanjung.KTM Komuter di Lembah Klang (1995)
Dengan arus pemodenan dan tenaga elektrik menggantikan kereta api berkuasa diesel, KTM Komuter diperkenalkan pada 1995 sekaligus merevolusikan pengangkutan bandar di Lembah Klang. Ia kemudiannya dilengkapi dengan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang dilancarkan pada 1996.ETS untuk negeri utara (2015)
Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dua landasan yang beroperasi sepanjang laluan Gemas–KL Sentral–Ipoh–Butterworth–Padang Besar, telah dilancarkan pada 2015. Ia menawarkan perjalanan antarabandar yang lebih pantas dan cekap merentasi negeri-negeri utara Malaysia.EDTP (2025)
Dijangka siap pada hujung 2025, EDTP akan melanjutkan Perkhidmatan Tren Elektrik dari Gemas ke Johor Bahru, melengkapkan peralihan tenaga elektrik sepenuhnya bagi laluan kereta api Pantai Barat.ECRL (akan datang)
Dijadualkan siap pada 2027, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengurangkan masa perjalanan secara drastik untuk kedua-dua penumpang dan pengangkutan awam, seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di negeri-negeri timur Malaysia.Selain memberi manfaat ekonomi, EDTP juga dijangka menambah baik pengalaman berjuta-juta pengguna lebuhraya Malaysia walaupun mereka tidak menaiki tren tersebut. Kenapa? Kerana apabila lebih ramai orang memilih untuk menaiki EDTP, trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkurang, mewujudkan perjalanan yang lebih pantas, selamat dan selesa untuk pemandu di lebuh raya terutamanya semasa musim perayaan.
Apabila kita mengajak lebih ramai orang untuk menaiki pengangkutan awam seperti EDTP berbanding memandu, gas CO2 yang dikeluarkan akan berkurang. Kita boleh menikmati kualiti udara yang lebih baik sambil melaksanakan tanggungjawab kita dalam menangani krisis iklim.
Jadi, bagaimana menaiki kereta api dapat membantu alam sekitar sebenarnya?
Mari selami.
Setiap kali seseorang memandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, kereta mereka membakar bahan api dan membebaskan karbon dioksida (CO₂) iaitu gas rumah hijau utama yang memanaskan planet kita. Secara purata, kereta petrol atau diesel mengeluarkan sekitar 160 gram CO₂ bagi setiap kilometer yang dilalui, manakala kereta api elektrik hanya menghasilkan kira-kira 33 gram, mencerminkan penggunaan tenaga yang lebih bersih dan cekap.
Walaupun kita tidak tahu berapa ramai penumpang akan menggunakan perkhidmatan EDTP, kita boleh menggunakan perkhidmatan Gemas - KL Sentral - Ipoh - Butterworth - Padang Besar ETS sebelum ini sebagai rujukan. Menurut data penumpang kereta api dari Kementerian Pengangkutan (MOT), selepas ia dilancarkan pada 2015, jumlah penumpang yang menaiki ETS melonjak daripada 1.692 juta pada 2014 kepada 4.148 juta pada 2016, merekodkan penambahan hampir 2.5 juta penumpang!
Sekarang, bayangkan jika EDTP mempunyai impak yang sama, 2.5 juta penumpang lagi akan menaiki kereta api dan bukannya memandu sejauh 330km setahun. Ia bersamaan dengan 2.5 juta × 330 km = 825 juta penumpang-kilometer.
Darabkan hasil kiraan itu dengan perbezaan pelepasan gas (160 g − 33 g = 127 g setiap km), dan anda mendapat kira-kira 105,000 tan CO₂ yang dielakkan setiap tahun. Dalam erti kata lain, sedikit itulah karbon yang akan dilepaskan ke atmosfera jika pengguna beralih daripada kereta ke kereta api.
[2,500,000 penumpang × 330 km × (0.160 − 0.033) kg CO₂/pkm ≈ 104,775,000 kg CO₂,
atau kira-kira 105,000 tan CO₂ setiap tahun. Rujuk nota kaki di bahagian bawah untuk butiran teknikal dan sumber.]
Dalam perspektif lain, penjimatan ini bersamaan dengan jumlah karbon yang diserap oleh hutan tropika bersaiz kira-kira 16,000 padang bola dalam satu tahun. Bayangkan beribu-ribu ekar hutan hujan yang subur, itulah kebaikan alam sekitar yang EDTP boleh capai hanya dengan lebih ramai orang memilih kereta api.
Tren ETS3 dilengkapi dengan fasiliti yang inklusif untuk semua, mesra keluarga, mesra OKU, selesa, dan selamat
Persiapan masih mengambil beberapa bulan lagi, namun EDTP telah memberi manfaat sejak pembinaannya dimulakan pada 2017 dengan meningkatkan pendapatan, kemahiran dan aktiviti di bandar-bandar sepanjang laluannya.
Walaupun projek mega itu dianugerahkan kepada konsortium China yang terdiri daripada China Railway Construction Corp (CRCC), China Railway Engineering Corp (CREC), dan China Communication Construction Consortium (CCCC), kerajaan Malaysia memastikan perniagaan dan pekerja tempatan tidak dipinggirkan.
SIPP-YTL JV adalah perkongsian antara SIPP Rail Sdn Bhd dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd. Mereka adalah subkontraktor tempatan yang bekerja dengan konsortium China. Tugas utama mereka? Mengendalikan semua kerja kejuruteraan awam, termasuk menaik taraf 11 stesen di sepanjang laluan kereta api tersebut.
Projek itu memerlukan kira-kira 1,500 kakitangan sepenuh masa, dengan pembahagian sama rata antara lelaki dan wanita. Daripada setiap 10 pekerja, 8 adalah rakyat Malaysia, mewujudkan kira-kira 1,200 pekerjaan tempatan. Rakyat Johor, khususnya, boleh berbangga — 4 daripada setiap 10 pekerja berasal dari Johor, kerana laluan kereta api itu merentasi negeri selatan.
Dan ini bukan pekerjaan manual bergaji rendah semata-mata. Lebih daripada itu — 78% daripada tenaga kerja adalah pemegang ijazah, dengan kebanyakannya jurutera. Ini bermakna projek itu bukan sahaja meningkatkan jumlah pekerjaan tetapi juga menyediakan peluang berkemahiran dan bergaji tinggi. Berikut adalah pecahan peranan kejuruteraan projek:
Selain membuka peluang pekerjaan dan membangunkan bakat tempatan, sebahagian besar kisah pembangunan kereta api Malaysia lagi adalah bagaimana Malaysia membiayai kereta api baharunya. Ramai tertanya-tanya, mengapa kerajaan memutuskan untuk memajak kereta api dari China dan bukan membelinya secara terus? Sebabnya mudah dan strategik.
Tahun lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa Malaysia telah memutuskan untuk memajak 62 set kereta api dari China yang menelan kos sekitar RM10.7 bilion melalui mekanisme kerajaan-ke-kerajaan. Itu jumlah yang besar, khususnya apabila jumlah bajet pembangunan bagi MOT untuk 2025 hanya kira-kira RM4.89 bilion. Membayar jumlah penuh pendahuluan tanpa membebankan kewangan negara atau melambatkan projek kritikal lain juga adalah hampir mustahil.
Bagi menjayakan rancangan tersebut, MOT mencadangkan model pajakan 30 tahun kepada Kementerian Kewangan (MOF) - iaitu pada asasnya, kita membayar secara ansuran tahunan agar perbelanjaan itu boleh diurus dan tidak menjadi satu bayaran besar. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan perjanjian tersebut lebih berpatutan tetapi memastikan pengurusan aliran tunai yang lebih lancar dari semasa ke semasa.
Di bawah perjanjian pajakan itu, China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) bukan sahaja membekalkan kereta api tetapi juga mengendalikan penyelenggaraan serta terus melabur di kilang Batu Gajah mereka, bermaksud jurutera dan juruteknik tempatan akan memperoleh pengalaman praktikal yang berharga melalui pertukaran maklumat.
Perjanjian ini menguntungkan kedua-dua pihak. Malaysia mendapat kesemua 62 kereta api dengan lebih pantas, iaitu dalam masa beberapa tahun sahaja, manakala China boleh merancang pengeluaran dan pelaburannya dalam jangka masa panjang. Ia merupakan perjanjian yang praktikal dan berpandangan hadapan: kos pendahuluan yang kurang, penghantaran yang lebih pantas dan lebih banyak kepakaran tempatan.
EDTP Gemas–Johor Bahru adalah langkah besar yang menjanjikan perjalanan kereta api lebih pantas, bersih dan andal. Tetapi menyediakan landasan dan mendapatkan kereta api baru hanya sebahagian daripada rancangan. Cabaran sebenar hanya bermula selepas pembinaan selesai.
Jika Malaysia benar-benar mahu beralih daripada negara yang bergantung kepada kereta persendirian kepada negara yang menjadikan pengangkutan awam pilihan utama, ia bergantung kepada sistem selepas ia mula berjalan. Membina kereta api adalah bahagian yang mudah. Memastikan ia cekap, berpatutan dan boleh terus diakses dalam jangka panjang adalah lebih sukar.
Bagi menjadikan kereta api sebuah alternatif sebenar, tambang harus kekal berpatutan supaya rakyat Malaysia boleh selalu menggunakan perkhidmatan tersebut. Kerajaan juga perlu memastikan bahawa terdapat sambungan jarak jauh yang baik termasuk perkhidmatan bas dan akses pejalan kaki, supaya orang ramai boleh pergi dan balik dari stesen kereta api dengan mudah. Dan paling penting, sistem wajar menyediakan perkhidmatan yang andal dengan kerosakan dan kelewatan minimum serta ketibaan kereta api kerap dan tepat pada masanya.
Akhirnya, kereta api baharu yang berkilat dan stesen moden mungkin menarik perhatian, tetapi cabaran sebenar terletak pada apa yang berlaku setiap hari. Pengurusan yang baik, penyelenggaraan yang konsisten dan akauntabiliti awam akan menentukan sama ada cita-cita kereta api Malaysia benar-benar boleh mengubah cara seisi negara kita bergerak.
Bagi ramai penunggang kereta api pada masa depan, janji kerajaan itu dekat di hati.
"Bagi rakyat Malaysia yang sering bergerak antara kedua-dua wilayah, kami sangat menantikan projek ini. Saya harap semuanya berjalan lancar, supaya rakyat lebih yakin dengan sistem pengangkutan awam kita," tambah Kee.
Nota kaki
Pelepasan kereta Malaysia bagi setiap penumpang-km diperolehi daripada 2.32 MJ/pkm (kereta) × 0.068 kg CO₂/MJ (petrol) ≈ 0.158 kg CO₂/pkm. Malaysia Stocktaking Report on Sustainable Transport & Climate Change (GIZ/MOT, 2016).
Angka kereta api menggunakan keamatan tenaga rel elektrik biasa sebanyak ~150 kJ/pkm (≈0.042 kWj/pkm) digabungkan dengan faktor grid 2022 Semenanjung Malaysia = 0.774 kg CO₂/kWj (sumber: Suruhanjaya Tenaga Malaysia). Nilai 0.042 kWj/pkm diambil dari hujung atas nilai yang ditunjukkan untuk rel penumpang elektrik moden yang boleh mendarat dalam julat ~85–150 kJ/pkm (0.024–0.042 kWj/pkm), bergantung pada jenis kereta api dan penghunian. Kemudian pelepasan bagi setiap penumpang-km dikira dengan mendarab keamatan tenaga dengan faktor grid Malaysia: 0.042 kWj/pkm × 0.774 kg CO₂/kWj ≈ 0.0325 kg CO₂/pkm ≈ 33 g CO₂/pkm.
Penukaran penyerapan hutan: Kesusasteraan IPCC melaporkan penyerapan bersih hutan tropika selalunya dalam julat ~0.7–2.9 tC/ha/th (iaitu, ~2.6–10.6 tCO₂/ha/th menggunakan 1 tC = 3.667 tCO₂). Menggunakan peraturan sederhana tinggi pada ~9 tCO₂/ha/thn memberikan ~11,600 ha untuk ~105,000 tCO₂/thn.
Kredit
Penerbit Projek:
Nadyatul Syima
Penerbit Video:
Chansey Khaw
Pereka grafik:
Shwe Yee Yamin Oo
Penterjemah:
Nur Amira Afrina