Adakah tenaga solar akan menyinari perkampungan Orang Asli terpinggir?

Alena Nadia18 April 2023

17 peratus penduduk kampung Orang Asli hidup tanpa tenaga elektrik dan ia memberi kesan kepada kesihatan, keselamatan, mata pencarian dan pendidikan mereka.

Bertentangan dengan laporan yang mendakwa seluruh negara ada tenaga elektrik, begitu ramai masyarakat Orang Asli terpinggir dan menjalani kehidupan tanpanya.

Menurut data rasmi, sejumlah 142 kampung Orang Asli - atau 17 peratus daripada keseluruhan komuniti itu - kekal bergelap, menjalani kehidupan tanpa tenaga elektrik.

Antaranya adalah Kampung Sudak di Gerik, Perak.

Iklan

Menurut ketua kampung Deney Abain, masalah ini memberi kesan ke atas kadar celik huruf dalam kalangan kanak-kanak yang membesar di kampung. Ditambah pula dengan isu pergerakan yang menyukarkan mereka ke sekolah terdekat.

Perjalanan ke kampung

Perjalanan ke Kampung Sudak sendiri sudah begitu mencabar.

Untuk sampai ke sana dari jeti Pulau Banding, anda perlu menempuhi perjalanan sejam dengan motosikal atau pacuan empat roda, mula-mula melalui Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun.

Kampung Desa Damai - juga perkampungan Orang Asli - terletak di dalam RPS Banun.

Suku Jahai di Kampung Sudak, yang secara tradisinya hidup nomad, ada pertalian dengan Kampung Desa Damai. Kampung ini ada bekalan elektrik.

Jalan ke Kampung Sudak.
Jalan ke Kampung Sudak.

Ramai penduduk kampung Orang Asli berpindah ke Kampung Desa Damai. Namun, dengan ahli keluarga kian ramai, ada yang mula berpindah.

Kira-kira sedekad lalu, sejumlah 70 penduduk pulang ke tanah adat mereka yang tidak jauh dari kampung itu. Antara kawasan tanah itu adalah Kampung Sudak.

Namun mereka sering kembali ke Kampung Desa Damai untuk mengecas telefon, yang amat penting untuk berkomunikasi dengan pihak luar.

Penduduk Kampung Sudak memberitahu Malaysiakini yang Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak mengiktiraf kampung itu kerana mereka sepatutnya tinggal di Kampung Desa Damai. Maka, wakil Jakoa tidak ke sana untuk memeriksa kemudahan yang ada.

Kampung Sudak dari atas.
Kampung Sudak dari atas.

Ketika dihubungi, Jakoa berkata Orang Asli tidak boleh tinggal di mana saja yang mereka suka.

“Sebarang pembukaan penempatan baru hendaklah dirunding bersama kerajaan negeri yang ada kuasa berkaitan soal tanah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebelum ia didaftar sebagai Kampung Orang Asli.

“Jakoa khuatir pembukaan penempatan baru yang tidak berdaftar ini akan menyebabkan berlaku keciciran serta ketinggalan dalam usaha penyediaan pembangunan, prasarana dan bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Jabatan itu maklum bahawa tradisi nomad, atau berpindah-randah, memang cara hidup "sebilangan kecil" Orang Asli dan "kerajaan menghormati cara hidup" mereka.

Namun, jabatan itu berkata ia sudah "amat jarang diamalkan" sekarang kerana pelbagai kemudahan asas dan sosial di kampung-kampung telah memudahkan kehidupan masyarakat Orang Asli.

Iklan

Bimbang konflik dengan hidupan liar

Masuk jauh ke dalam RPS Bainun, anda akhirnya perlu menempuhi jalan tanah yang lebih kecil dan hanya boleh dilalui motosikal dan pacuan empat roda.

Ada kala tapak kaki gajah boleh dilihat di sini, menandakan kawasan hutan ini merupakan habitat haiwan terancam tersebut.

Tapak kaki gajah di jalan ke Kampung Sudak.
Tapak kaki gajah di jalan ke Kampung Sudak.

Terdapat kurang 1,100 gajah di hutan di Semenanjung Malaysia. Masyarakat setempat yang takut dengan kewujudannya sering merujuk haiwan ini sebagai "orang besar".

Beberapa bulan kebelakangan ini, masyarakat Orang Asli merasai kesan akibat konflik antara antara manusia dan hidupan liar. Tempat tinggal musnah dan tanaman rosak. Dalam beberapa kes, ada nyawa terkorban.

Baru-baru ini, seekor gajah memijak bot milik Deney. Sejak itu, sukar untuknya bergerak keluar masuk kampung.

“Sebab itu penting ada api (elektrik). Kalau tak, haiwan-haiwan datang kacau kampung kita. Ada juga 'orang besar' di kawasan ini ketika Maghrib," katanya.

Ketua Kampung Sudak Deney Abain.
Ketua Kampung Sudak Deney Abain.

Pada 2017, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang memperkenalkan lampu LED kuasa solar sebagai penyelesaian bagi menghalang gajah daripada menceroboh penempatan manusia di Kuala Medang, Lipis.

Menurut pengarahnya Ahmad Azhar Mohammad, ia mengurangkan kes pencerobohan gajah ke kampung atau tanah pertanian sebanyak 90 peratus.

Solar tak sentiasa berjaya

Sejak sekian lama, banyak usaha untuk membawa tenaga elektrik kepada penduduk kampung Orang Asli menggunakan kuasa solar.

Pos Piah, yang terletak dalam Hutan Simpan Piah di Sungai Siput, Perak, menikmati tenaga elektrik sejak 2014.

Dengan kemudahan jalan berturap dan lampu jalan, keadaan di Pos Piah sama sekali berbeza dengan Kampung Sudak.

Pos Piah.
Pos Piah.

Sebelum ada tenaga elektrik, Pos Piah juga mencuba-cuba untuk menggunakan sistem tenaga solar.

Namun sistem itu tidak mampan memandangkan penduduk tidak dilatih untuk menyelenggara panel solar, kata seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Arman kepada Malaysiakini.

Panel solar - yang dipasang berdekatam sebuah sekolah rendah - dikatakan tidak lagi digunakan sejak kampung itu mendapat bekalan elektrik.

Stesen tenaga solar di Pos Piah yang tidak lagi beroperasi.
Stesen tenaga solar di Pos Piah yang tidak lagi beroperasi.

Namun, ia tidak bermakna bekalan elektrik sentiasa ada.

Sols Energy adalah syarikat tenaga solar di Kuala Lumpur yang menjalankan projek elektrifikasi untuk masyarakat Orang Asli.

Pengarah strateginya Hakim Albasrawy berkata, walaupun setelah bekalan disediakan, hanya penduduk yang mampu membayar bil akan membuka lampu mereka.

Ini bermakna sementara ahli keluarga keluar menceri rezeki ketika siang, mereka tetap bergelap apabila berada di rumah ketika malam dan awal pagi.

Di Kampung Desa Damai, ada penduduk yang tidak mampu membayar bil elektrik telah kembali hidup tanpa kemudahan itu.

Selain aspek penggunaan asas, berlaku kerugian dari segi produktiviti apabila komuniti tiada akses terhadap tenaga mampu milik secara konsisten.
Hakim Albasrawy
Pengarah Strategi Sols Energy
Hakim Albasrawy

Misalnya, kata Hakim, mereka tidak boleh menggunakan mesin yang memerlukan tenaga elektrik di ladang yang dapat meningkatkan nilai tanaman, serta mesin untuk mengekalkan kesegaran hasil tanaman.

Katanya, ia juga memberi kesan dari segi jenis makanan yang boleh dimakan mereka.

“Memandangkan penyejukan makanan memerlukan tenaga yang konsisten, ia beri kesan terhadap apa jenis makanan yang dimakan penduduk dan kos untuk akses makanan-makanan ini,” katanya lagi.

Kegiatan pertanian penduduk Pos Piah.
Kegiatan pertanian penduduk Pos Piah.

Nekad politik dan kos ekonomi

Hakim berkata selain Orang Asli, banyak lagi komuniti lain di Malaysia Timur yang berdepan masalah bekalan elektrik.

Ini terutama kerana banyak komuniti ini tinggal jauh dari grid elektrik dan dalam beberapa kes, penduduk terlalu sedikit dan maka dari segi ekonomi tidak memadai untuk meluaskan grid merangkumi kawasan mereka, katanya lagi.

Dalam beberapa keadaan, nekad politik dilihat menjadi isu utama, seperti di perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Teras di Perak. Kampung ini akhirnya menerima bekalan elektrik pada Ogos 2020, seminggu sebelum PRK Slim.

“Di Sabah, konsortium Sabah Renewable Energy Rural Electrification Roadmap (SabahRE2) telah merincikan lebih 250 daripada lebih 400 kampung yang diketahui tak termasuk dalam grid elektrik,” kata Hakim.

Kampung tanpa tenaga elektrik di Sabah

Peta ini menunjukkan lokasi 391 kampung yang tidak mempunyai bekalan elektrik setakat Disember 2021, menurut kajian Sabah RE2. Ini termasuk data dari Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Untuk melihat peta interaktif menunjukkan perincian dan keadaan sekeliling di lokasi-lokasi ini, klik sini.
Peta oleh The Sabah Renewable Energy Rural Electrification Roadmap (SabahRE2)

Walaupun sudah hampir tiga dekad Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (Mesita) ditubuhkan, ramai penduduk di pedalaman yang masih tidak menikmati bekalan elektrik. Antara peranan Mesita adalah untuk mendanai program elektrifikasi di pedalaman.

Ditubuhkan pada 1997, setiap syarikat penjana kuasa diwajibkan membayar satu peratus daripada keuntungan jualan tenaga mereka kepada akaun ini, namun kerajaan menyatakan terdapat tunggakan sebanyak ratusan juta ringgit.

Pada 2020, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika itu, Yeo Bee Yin memberitahu Parlimen bahawa pengeluar tenaga bebas (IPP) berhutang sebanyak RM197.9 dengan Mesita bagi tempoh 2008 hingga 2018. Mereka juga berhutang RM50.7 juta dengan Mesita Sabah untuk tempoh sama.

Tidak jelas berapa banyak tunggakan yang telah dibayar sejak itu.

Namun, Mesita telah mengeluarkan dana sebanyak lebih RM800 juta untuk 180 projek dan program sejak 1997.

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, antaranya adalah projek penyambungan grid (sejak 1998 hingga 2014), Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia, Anugerah Tenaga Kebangsaan dan program pembangunan teknologi hijau di sekolah-sekolah menengah.

Penyelesaian di luar grid

Antara usaha Sols Energy adalah melibatkan projek komuniti, di mana masyarakat yang tinggal di luar grid elektrik seperti banyak kumpulan dalam komuniti Orang Asli dibantu dengan projek di luar grid yang boleh diubah suai.

Projek ini melibatkan penggunaan panel solar kecil 50W untuk menjana bateri litium besi fosfat yang mampu bertahan sehingga lapan tahun. Ia amat sesuai untuk mengecas peranti kecil dan lampu LED.

Sistem tenaga solar di luar grid.
Sistem tenaga solar di luar grid.

Menurut Hakim, walaupun ia bukan penyelesaian kekal, ia memberi akses tenaga elektrik kepada komuniti sementara menunggu penyelesaian muktamad. Mereka juga tidak perlu menanggung kos tinggi, misalnya jika menggunakan penjana diesel.

Projek elektrifikasi luar grid di kampung Orang Asli turut didanai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan dilaksanakan TNB dengan kerjasama Jakoa dan ketua-ketua kampung.

“Apabila projek siap, wakil dalam komuniti dilatih sebagai penjaga dan operator untuk menjalankan prosedur penyelesaian masalah dan operasi asas,” kata TNB dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Sols Energy memasang lampu kuasa solar di rumah Orang Asli.
Sols Energy memasang lampu kuasa solar di rumah Orang Asli.

Selain TNB, Jakoa juga bekerjasama dengan kumpulan lain untuk menyediakan kemudahan kepada masyarakat Orang Asli.

Antaranya Petronas yang membantu pemasangan panel solar, Jabatan Mineral dan Geosains yang membantu membina telaga tiub di kampung yang tiada bekalan air paip, serta unit Kementerian Kesihatan yang melaksanakan langkah menghentikan penularan penyakit bawaan air menerusi sistem bekalan air bersih.

Mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui menerusi elektrifikasi pedalaman

Elektrifikasi pedalaman tidak harus dilihat sekaradar usaha kebajikan, kata Energy Action Partners, kumpulan yang mengangkat isu akses tenaga boleh diperbaharui.

Sebaliknya, ia harus menjadi sebahagian daripada dasar tenaga boleh diperbaharui negara yang setakat ini lebih bertumpu di kawasan-kawasan bandar, kata eksekutifnya Ayu Abdullah.

Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Nik Nazmi Nik Ahmad yakin Malaysia di landasan tepat untuk mencapai sasaran itu kerana kapasiti pada masa ini adalah 25 peratus.

Namun ia tidak bermakna suku daripada tenaga elektrik di Malaysia memang dijana dari sumber boleh diperbaharui. Hakikatnya, kadarnya jauh lebih rendah.

Pada 2018, jumlah bekalan tenaga utama (TPES) daripada sumber boleh diperbaharui adalah kira-kira tujuh peratus, kurang separuh daripada sasaran untuk 2040 iaitu 17 peratus.

Untuk mencapai sasaran, kerajaan bergantung kepada empangan hidroelektrik dan loji solar skala besar.

Namun Ayu berpandangan elektrifikasi pedalaman perlu memainkan peranan lebih besar ke arah mencapai sasaran itu.

“(Kita haru meletakkan) keutamaan lebih besar pada elektrifikasi pedalaman dalam dasar tenaga kita, dipacu oleh pemahaman terhadap kepentingannya dan hubung kaitnya dengan matlamat lain, katanya.

Dengan elektrifikasi pedalaman menerusi tenaga boleh diperbaharui, Ayu berkata komuniti bukan saja mendapat akses tenaga boleh diperbaharui tetapi ia juga akan membantu mereka meningkatkan pencapaian sosioekonomi, terlibat dalam lebih banyak kegiatan dan mendapat akses lebih baik terhadap perkhidmatan maklumat, kesihatan dan pendidikan.

Katanya, ia juga dapat mengurangkan perpindahan penduduk di pedalaman ke kawasan bandar, dan maka mengurangkan tekanan ke atas bandar-bandar besar.

Oleh itu, warisan dan budaya dapat dipelihara yang juga merupakan satu cara mengangkat gaya hidup alternatif dan desa, katanya lagi.

“Ini bukan hanya tentang gaya hidup bandar.”

Klik kiri atau kanan untuk melihat gambar-gambar.
Pos Piah dari atas.Pos Piah dari atas.

Kongsikan artikel ini

Kredit

KAMY logoECF logo

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 18 April 2023. Projek ini mendapat sokongan program Lensa Iklim - oleh Klima Action Malaysia (Kamy) dan European Climate Foundation (ECF).

Lensa Iklim adalah program impak untuk menambah kemahiran dan memberdaya wartawan dan media arus perdana Malaysia bagi menghasilkan laporan berkenaan iklim dan peralihan tenaga dengan lebih baik, dalam usaha meningkatkan pengetahuan awam berkenaan isu iklim.

Penyelaras projek & Pengarang
Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Alena Nadia
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam & Syariman Badrulzaman
Jurugambar
Azneal Ishak
Juruvideo
Alena Nadia
Animasi oleh
Phung Yie Wen
Penterjemah
Aedi Asri Abdullah
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.