Rakyat jadi penentu
Pada 29 Julai 2020, pemimpin Umno, Musa Aman berada di ambang kemunculan semula sebagai ketua menteri Sabah.
Dia mengatur peralihan sokongan wakil rakyat untuk menjatuhkan pakatan kerajaan negeri Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Upko.
Sehari kemudian, Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan Shafie Apdal menggagalkan rancangan Musa dengan mendapatkan perkenan Yang di-Pertua Negeri untuk pembubaran dewan undangan negeri, dan seterusnya membuka jalan untuk pilihan raya diadakan.
Hari penamaan calon adalah pada 12 September dan hari pengundian pada 26 September.
Kini, saingan untuk merebut kerajaan negeri Sabah bermula dengan pemimpin parti masing-masing mengatur gerakan...
Sejumlah 1.12 juta rakyat Sabah layak mengundi dalam pilihan raya negeri ini. Sabah adalah negeri yang mempunyai kira-kira 42 etnik.
Dari segi politik, kumpulan etnik utama dikategorikan mengikut bumiputera Muslim dan bumiputera bukan Islam.
Bumiputera Muslim merangkumi orang Bajau, Bugis, Suluk dan Melayu Brunei manakala bumiputera bukan Islam merangkumi Kadazan, Dusun dan Murut.
Pada hakikatnya, garis budaya kadang-kadang kabur untuk negeri seperti Sabah dan bangsa tidak semestinya mempunyai kaitan ketara dengan agama di negeri ini.
Bumiputera Muslim tertumpu di kawasan pesisir sementara bumiputera bukan Islam kebanyakannya berada di wilayah tengah, termasuk kawasan pedalaman yang luas.
Orang Cina kebanyakannya terdapat di tiga bandar - Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Pinggir bandar di sekitarnya cenderung menjadi kawasan campuran.
Beberapa gabungan akan bertanding dalam pilihan raya Sabah. Kebanyakan parti boleh dikategorikan di antara dua perikatan bertentangan iaitu Warisan Plus dan gabungan PN-BN-PBS yang kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.
Penyandang adalah Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Upko dan PH (PKR, DAP, Amanah). DAP and Amanah bertanding menggunakan logo Warisan manakala PKR dan Upko menggunakan logo sendiri.
Walaupun terdapat perselishan awal tentang pembahagian kerusi, Warisan Plus berjaya menampilkan hanya satu calon untuk semua 73 kerusi yang dipertandingkan.
Pesaing utama mereka adalah parti-parti dalam kerajaan pusat PN. Namun di Sabah, PN bertanding di bawah tiga kumpulan berbeza dengan logo yang tersendiri.
Di Sabah, PN terdiri daripada Bersatu, STAR dan SAPP. SAPP yang merupakan bekas parti BN, dibawa masuk walaupun bukan sebahagian daripada kerajaan PN di peringkat pusat. Umno, bersama sekutu tradisi MCA dan PBRS bertanding menggunakan logo BN. PBS menggunakan logo sendiri.
Selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak dapat menyatukan kesemua parti di bawah logo PN, beliau mengilhamkan nama "Gabungan Rakyat Sabah" untuk ketiga-tiga kumpulan itu.
Muhyiddin juga berusaha untuk menampilkan hanya satu calon di semua kerusi untuk menentang Warisan Plus tetapi Gabungan Rakyat Sabah masih akan bertembung di 17 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Terdapat juga parti-parti kecil yang akan bertanding dan tidak berpihak kepada mana-mana gabungan seperti PCS, USNO, LDP, Gagasan, PPRS, PHRS, Anak Negeri, PKS dan juga calon-calon bebas.
Mereka akan bersaing di tiga wilayah yang berbeza...
Selama beberapa dekad, kawasan pesisir negeri itu yang majoriti Muslim telah menjadi kubu kuat Umno.
Tetapi pada PRU14, Warisan memecah dominasi Umno dan memperoleh banyak sokongan. Umno dan Warisan akan bertembung semula tetapi parti serpihan Bersatu juga menuntut beberapa kerusi tradisi Umno.
Umno dan Bersatu berjaya berkompromi dan akan berkongsi kerusi. Umno dan Bersatu tidak akan bertembung di mana-mana kerusi walaupun sekutu mereka akan bertembung di kerusi lain.
Dari segi rekod, kemenangan di wilayah pesisir adalah prasyarat penting untuk mengambil alih kerajaan negeri, menjadikannya medan pertempuran yang paling penting.
Pada PRU14, BN menguasai wilayah tengah yang majoriti bumiputera bukan beragama Islam melalui PBS dan Upko.
Namun, kedua-duanya telah keluar dari BN. Upko kini merupakan sekutu Warisan. Manakala PBS bergerak sendiri, namun akan bekerjasama dengan PN dan BN.
Ini bermakna bekas sekutu itu, iaitu Upko yang kini mewakili Warisan Plus dan PBS yang mewakili Gabungan Rakyat sabah akan bertembung di wilayah tengah.
STAR dan PBRS juga mempunyai pengaruh tersendiri di wilayah tengah tetapi terpaksa berhadapan dengan PBS, menyebabkan pertembungan di antara ahli sekutu.
Warisan akan bergantung kepada DAP untuk mengekalkan penguasaan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, yang memiliki pengundi Cina yang paling banyak.
Pada PRU14, DAP dengan selesa mengatasi cabaran dari MCA, LDP dan Gerakan.
Rakan PH mereka, PKR telah memperoleh beberapa kejayaan di sebilangan kecil kawasan campuran berhampiran Kota Kinabalu sementara Amanah masih baru di Sabah.
Hasil pilihan raya negeri Sabah akan menetapkan pola politik negara.
Ia menjadi medan yang akan menentukan hubungan antara Bersatu dan Umno, PN dan BN serta Warisan dan PH.
Berdasarkan hasil pilihan raya negeri ini, parti-parti akan memperkuat atau mengkaji semula hubungan mereka untuk PRU15, di tengah spekulasi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin akan mengadakan pilihan raya umum mengejut tidak lama lagi.
Bagi Shafie Apdal, sekiranya berjaya mempertahankan pentadbirannya di negeri itu, ia memberi imej baik sebagai calon perdana menteri bagi pihak pembangkang.
Bagaimanapun, Warisan dan sekutu perlu menang di Sabah, yang kini mempunyai 73 kerusi DUN, dan bukannya 60 seperti sebelumnya.
Sempadan pilihan raya baru Sabah dibuat pada 2016 tetapi hanya diwartakan pada 2019.
Sebanyak 13 kerusi baru kebanyakannya dipecahkan dari parlimen BN untuk menguntungkan gabungan itu tetapi dengan pelarasan semula politik yang drastik sejak PRU14, kerusi-kerusi berkenaan terbuka untuk direbut mana-mana pihak.
Terus membaca...
Baca sekarang