Tahun 2026 merupakan tahun yang mencabar bagi ekonomi negara, terutamanya disebabkan oleh faktor luaran seperti konflik di Asia Barat.
Meskipun begitu, Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan, sebaliknya membentangkan belanjawan sebanyak RM459.8 bilion bagi tahun 2027 - jumlah tertinggi setakat ini.
Namun, dengan ketidakstabilan politik dalaman yang makin membimbangkan serta kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu membuktikan dia mampu mengambil hati rakyat sambil menjaga kewangan dengan penuh tanggungjawab.
Jangkaan vs realiti
Tahun ini sepatutnya menjadi tahun Putrajaya menangani perbelanjaan subsidi yang tidak terkawal menerusi Budi95 dan program bantuan bahan api bersasar.
Malangnya, perang terhadap Iran menyebabkan harga bahan api melambung tinggi - sekali gus melonjakkan jumlah yang dibelanjakan untuk subsidi.
Kementerian Kewangan menganggarkan bahawa subsidi bahan api akan menelan belanja RM40 bilion tahun ini, berbanding RM15 bilion yang asalnya diperuntukkan - dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan subsidi turut meningkat sebanyak RM25.5 bilion lagi.
Meskipun Putrajaya mengembalikan kuota Budi95 ke had asal, harga pasaran RON95 masih belum pulih.
Belanjawan 2027 nampaknya menjangkakan harga akan kekal tinggi, memandangkan peruntukan bagi subsidi adalah hampir sama dengan anggaran disemak tahun ini.
Sebagai konteks, harga pasaran RON95 semasa pelaksanaan Budi95 pada 30 Sept 2025 ialah RM2.60 seliter - bermakna kerajaan hanya perlu menanggung subsidi sebanyak 61sen seliter.
Kini, harga bagi RON95 dari 8 Okt hingga 14 Okt ialah RM4.67 seliter - bermakna Putrajaya perlu menanggung RM2.68 bagi setiap liter RON95 yang disubsidi.
Semua ini menyumbang kepada peningkatan sebanyak RM24.9 bilion dalam jumlah perbelanjaan tahun ini.
Sebahagian daripada perbelanjaan subsidi tambahan itu ditampung melalui pelbagai langkah pemotongan kos seperti pengaturan bekerja dari rumah bagi penjawat awam, mengecilkan skala acara rasmi, serta mengurangkan lawatan dan latihan ke luar negara yang tidak penting.
Tahun | Peruntukan RM bil | Dibelanja RM bil | Beza RM bil |
|---|---|---|---|
| 2027 | 459.8 | - | - |
| 2026 | 419.2 | 444.1 | 24.9 |
| 2025 | 421 | 412.7 | -8.3 |
| 2024 | 393.8 | 405.5 | 11.7 |
| 2023 | 386.1 | 407.4 | 21.3 |
| 2022 | 332.1 | 395.2 | 63.1 |
| 2021 | 322.5 | 334.5 | 12 |
| 2020 | 297 | 314 | 17 |
| 2019 | 314.6 | 317.5 | 2.9 |
| 2018 | 280.3 | 287 | 6.7 |
| 2017 | 260.8 | 262.6 | 1.8 |
*Angka 2026 adalah anggaran disemak semula
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan
Hasil meningkat
Namun, bukan semuanya berita buruk.
Perbelanjaan tambahan tersebut sebahagian besarnya telah ditampung oleh hasil tambahan sebanyak RM20.5 bilion.
Tahun belanjawan | Hasil yang dijangkakan RM bil | Hasil yang disemak RM bil | Perbezaan hasil RM bil |
|---|---|---|---|
| 2027 | 380.8 | - | - |
| 2026 | 343.1 | 363.6 | 20.5 |
| 2025 | 339.7 | 336.1 | -3.6 |
| 2024 | 307.6 | 322.1 | 14.5 |
| 2023 | 291.5 | 315 | 23.5 |
| 2022 | 234 | 294.4 | 60.4 |
| 2021 | 236.9 | 233.8 | -3.1 |
| 2020 | 244.5 | 225.1 | -19.4 |
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan
Kira-kira RM7 bilion daripada jumlah itu adalah hasil daripada kejutan harga minyak sama yang telah pun melampaui belanjawan tersebut.
Petronas, yang mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi - akan membayar RM27 bilion kepada Putrajaya tahun ini berbanding sasaran asal RM20 bilion dalam Belanjawan 2026.
Begitu juga, KWAP akan membayar tambahan RM2 bilion - menjadikan jumlah keseluruhan RM7 bilion. Kementerian Kewangan mengatakan ini adalah hasil prestasi pelaburan yang menggalakkan.
Institusi | Belanjawan 2023 RM bil | Belanjawan 2024 RM bil | Belanjawan 2025 RM bil | Belanjawan 2026 RM bil | Belanjawan 2027 RM bil |
|---|---|---|---|---|---|
| Petronas | 40 | 32 | 32 | 27 | 32 |
| Bank Negara | 2.75 | 3 | 4 | 5 | 7 |
| Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) | 3 | 1 | 4 | 7 | 6 |
| Khazanah Nasional Berhad | Tidak diumumkan | Tidak diumumkan | 2 | 2 | 3 |
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan
Petronas, Khazanah, dan Bank Negara dijangka akan terus meningkatkan bayaran dividen pada tahun depan.
Sementara itu, kutipan cukai juga bertambah baik tahun ini dengan jangkaan prestasi lebih baik pada tahun depan, berikutan peluasan pelaksanaan e-invois secara berfasa, cukai pendapatan yang lebih tinggi didorong oleh pertumbuhan gaji serta kadar pengangguran yang rendah.
Turut menyumbang ialah kutipan cukai jualan dan perkhidmatan lebih tinggi, yang dijangka meningkat bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2027 dan penganjuran Sukan SEA oleh Malaysia.
Pertumbuhan ini akan membawa jumlah hasil kerajaan pada tahun 2027 makin hampir dengan paras hasil RM400 bilion.
Apakah yang akan dibelanjakan oleh kerajaan?
Walaupun perbelanjaan subsidi adalah perkara yang paling menarik perhatian sebahagian besar rakyat, ia hanya kira-kira 15.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan.
Bahagian perbelanjaan yang lebih besar, iaitu melebihi 34 peratus, adalah untuk membayar penjawat awam dan pesara - yang perbelanjaan untuk itu terus meningkat saban tahun.
Dari segi belanjawan secara keseluruhan, sektor sosial akan menerima peruntukan paling banyak - RM161.6 bilion atau 35.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan - difokuskan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, kerajaan juga membelanjakan tambahan RM2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, walaupun bahagian keseluruhannya dalam belanjawan lebih rendah.
Defisit
Mengenai hutang, kesan daripada belanjawan yang melampaui anggaran ke atas defisit fiskal dihadkan oleh peningkatan hasil dan langkah-langkah pemotongan kos - dengan defisit hanya meningkat sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3.6 peratus.
Pada tahun 2027, kerajaan berhasrat untuk menurunkan kadar ini kepada 3.3 peratus.
Tiada ramalan untuk nisbah hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) dinyatakan dalam tinjauan hutang 2027, selain Putrajaya mahu meneruskan misinya membawa jumlah keseluruhan hutang ke paras bawah 60 peratus daripada KDNK, seperti yang tertakluk bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.
Hutang statutori pada akhir tahun 2025 adalah 63.9 peratus daripada KDNK, dan dijangka diturunkan kepada 62.1 peratus menjelang akhir tahun ini - bawah siling hutang estatut berbanding KDNK sebanyak 65 peratus.
Apa seterusnya?
Putrajaya menjangkakan ketidakpastian luaran yang berterusan bakal menimbulkan risiko kepada kestabilan makroekonomi.
Bagaimanapun, di peringkat domestik, satu perkara yang tidak disentuh oleh Putrajaya ialah bagaimana ketidakstabilan politik akan memberi kesan kepada negara.
Gabungan Madani pimpinan Anwar berdepan risiko tumbang, dan sekiranya BNl dan Perikatan Nasional kembali berkuasa, ia boleh menjejaskan wawasan presiden PKR itu bagi ekonomi dan negara.
