pattern

Banci 2020:

M’sia menuju ke arah masyarakat menua

Ooi Choon Nam

pattern

Malaysia memiliki lebih ramai warga tua, kadar pertumbuhan yang lebih perlahan dan saiz isi rumah lebih kecil. Populasi lelaki terus mengatasi populasi wanita.

Banci Malaysia 2020 mendedahkan peratus populasi warga tua berusia 65 tahun ke atas meningkat dengan ketara sejak dua dekad kebelakangan ini.

Ia kini berada pada angka 6.8 peratus atau 2.2 juta pada 2020 berbanding 3.9 peratus pada 2000.

Menurut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sesebuah negara atau rantau ditakrifkan sebagai negara menua sekiranya memiliki populasi berusia 65 tahun ke atas antara tujuh hingga 14 peratus daripada keseluruhan populasi.

Oleh itu, Malaysia hampir tergolong sebagai sebuah masyarakat yang menua.

Iklan
ageing

Empat negeri menua di Malaysia

Di peringkat negeri dan wilayah persekutuan, empat negeri dianggap sebagai negeri menua dengan peratus warga tua berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada populasi setempatnya.

Perak menjuarai senarai dengan 8.95 peratus, diikuti Kedah (7.91 peratus), Perlis (7.86 peratus) dan Sarawak (7.53 peratus).

Putrajaya pula merupakan wilayah “termuda” dengan 1.41 peratus daripada populasinya merupakan warga tua berusia 65 tahun ke atas. Di tempat kedua ialah Labuan (4.2 peratus).

population_growth

Kadar pertumbuhan merosot ke 1.7 peratus

Situasi itu selari dengan kemerosotan kadar pertumbuhan. Populasi Malaysia mengalami pertumbuhan pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.7 peratus setahun bagi tempoh dari 2010 hingga 2020, berbanding 2.2 peratus setahun dari 2000 hingga 2010.

Kebanyakan negeri mencatatkan kadar pertumbuhan lebih perlahan dalam sedekad kebelakangan ini, berbanding tempoh antara 2000 hingga 2010. Bagaimanapun, Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi.

Tiga negeri mencatatkan kadar pertumbuhan purata lebih rendah daripada satu peratus bagi tempoh sedekad kebelakangan ini, iaitu Sarawak 0.2 peratus, Perak 0.8 peratus dan Sabah 0.9 peratus.

Kadar pertumbuhan tahunan tertinggi dari 2010 hingga 2020 dicatatkan Putrajaya dengan 4.8 peratus dan Selangor (2.7 peratus).

Iklan
household

Saiz isi rumah purata mengecil

Dengan kadar kesuburan yang semakin merosot, saiz isi rumah purata berkurangan daripada 4.3 kepada 3.9 orang untuk sedekad kebelakangan ini.

Pada 2020, Kelantan mencatatkan saiz isi rumah purata tertinggi dengan 4.9 orang bagi setiap isi rumah diikuti Sabah (4.7 orang) dan Terengganu (4.1 orang). Sementara itu, Kuala Lumpur mencatatkan saiz isi rumah terendah iaitu 3.5 orang.

population

Sembilan juta di Lembah Klang

Populasi keseluruhan Malaysia adalah 32.4 juta pada 2020 berbanding 27.5 juta pada 2010. Daripada angka populasi pada 2020 itu, seramai 9.1 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selangor mencatatkan populasi tertinggi dengan 6.9 juta, diikuti Johor (4 juta) dan Sabah (3.4 juta). Sementara itu, populasi terendah pula dicatatkan Labuan, iaitu seramai 95.1 ribu diikuti Putrajaya seramai 109 ribu.

Populasi di empat daerah pentadbiran melebihi angka satu juta, iaitu di Petaling (2.3 juta), Ulu Langat (1.4 juta), dan Klang (1.1 juta orang) di Selangor, dan Johor Bahru (1.7 juta) di Johor.

ethnic

Di Pulau Pinang, Cina lebih ramai dari Melayu

Peratus bumiputera meningkat kepada 69.4 peratus pada 2020 berbanding 55.8 peratus pada 1970. Komposisi kaum Cina Malaysia pula berkurangan kepada 23.2 peratus daripada 34.1 peratus bagi tempoh sama, manakala kaum India Malaysia berkurangan daripada sembilan peratus kepada 6.7 peratus.

Berdasarkan data 2020, bumiputera kekal menjadi kumpulan etnik utama di semua negeri kecuali Pulau Pinang. Etnik Cina di Pulau Pinang adalah seramai 44.9 peratus berbanding Bumiputera 44.7 peratus.

Jumlah Bumiputera teramai adalah di Putrajaya (97.9 peratus), Terengganu (97.6 peratus) dan Kelantan (96.6 peratus).

Selain Pulau Pinang, komposisi kaum Cina paling tinggi adalah di Kuala Lumpur (41.6 peratus), diikuti Johor (32.8 peratus).

Komposisi India paling tinggi adalah di Negeri Sembilan (14.3 peratus), Perak (11.5 peratus) dan Selangor (11.3 peratus).

Iklan
gender

Nisbah lelaki kepada perempuan terus melebar

Untuk pecahan jantina, setakat 2020, populasi Malaysia terdiri daripada 17 juta lelaki berbanding 15.5 juta perempuan. Nisbah jantina pada 2020 meningkat menjadi 110 lelaki untuk setiap 100 perempuan berbanding 2010 yang mencatatkan nisbah 106 lelaki untuk setiap 100 perempuan.

Nisbah lelaki kepada perempuan secara relatifnya adalah lebih tinggi di kebanyakan negeri seperti Kuala Lumpur (115), Johor (115) dan Selangor (113) sementara Putrajaya merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai jumlah lelaki lebih sedikit berbanding perempuan, iaitu 96 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Pada 2020, golongan yang tidak pernah berkahwin adalah sebanyak 34 peratus daripada 24.7 juta populasi yang berusia 15 tahun ke atas. Mereka yang sudah berkahwin pula sebanyak 55.5 peratus, mereka yang kematian pasangan kelamin (3.8 peratus) dan yang bercerai/berpisah (1.6 peratus). Baki 5.1 peratus dikategorikan sebagai tidak diketahui tetapi tiada penjelasan yang diberikan mengenainya

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 23 Mac 2021.

Penyelaras projek
Lee Long Hui
Penyelidik & Penulis
Ooi Choon Nam
Pengaturcara & Reka bentuk
Yan Jing Tian, Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
Ilustrasi
Yan Jing Tian
Penterjemah
M Fakhrull Halim
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.