Malaysiakini logo

Bila air naik:Kisah perubahan iklim di Malaysia

Aidila Razak dan Arulldass Sinnappan29 Ogos 2022

Banjir besar di Lembah Kelang pada Disember 2021. Video oleh Mukhriz Hazim.

Perubahan iklim membawa kemusnahan kepada ribuan rakyat Malaysia. Ini kisah mereka.

Perubahan iklim sudah tiba ke Malaysia.

Dari 1969 ke 2009, suhu naik sebanyak 1.1°C di Semenanjung Malaysia, 1.2°C di Sabah dan 0.6 °C di Sarawak. Dengan kata lain, kita sedang mengalami hari-hari yang semakin panas.

Di Lembah Kelang, contohnya, semakin banyak hari dengan suhu melebihi 32°C, menurut data stesen kaji cuaca yang dikendalikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pada tahun 1971, hanya 176 hari suhu melebihi 32°C, lebih kurang separuh daripada tahun tersebut. Namun, 80 peratus daripada tahun 2020 melebihi julat suhu tersebut.

Di penghujung abad ini, perubahan iklim mampu menjadikan suhu purata Malaysia 2°C lebih panas. Ini menurut jangkaan model oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

Apakah impaknya kepada kita semua?

Iklan
Malaysiakini logo

Carta-carta berikutnya menunjukkan data suhu harian yang direkod oleh stesen kaji cuaca di .

Cari lokasi anda untuk melihat data dari stesen kaji cuaca terdekat.

Hujan, banjir dan hidup ketakutan

Gambar sebuah rumah di Lembah Kelang dimasuki air banjir pada Disember 2021. Gambar dibekalkan oleh penduduk Taman Melawis.
Pagi selepas ratusan rumah di Lembah Kelang dimasuki air dalam bah besar Disember 2021.

Apabila air banjir mula memasuki rumah satu tingkat mereka di Taman Melawis, Klang, isteri Parathaman Muthu mula menangis. Isterinya menghidap penyakit kritikal dan tidak dapat berjalan.

Pasangan warga emas tersebut hanya tinggal berdua, dan telah tinggal di situ selama beberapa dekad.

Taman Melawis terletak bersebelahan dengan Sungai Kelang, dan sering mengalami banjir kecil. Tetapi kali ini lain sama sekali. Apabila air mula naik ke paras pinggang, Parathaman sedar dia perlu membuat sesuatu.

“Kami dah tak boleh duduk saja dan tunggu bantuan. Masa itu saya ambil satu fail yang ada dokumen penting kami. Selepas itu saya angkat isteri saya, dan mula berjalan keluar.”

Parathaman adalah seorang berbadan kecil, berumur 60-an. Pada malam tersebut, dalam hujan lebat dan ketika air banjir semakin tinggi, dia memikul isterinya dan berjalan lebih kurang satu kilometer ke stesen minyak berdekatan. Di sana, mereka menunggu bantuan.

Gambar Parathaman Muthu oleh Aidila Razak
Parathaman berharap kawasan depan rumah yang ditinggikan selepas banjir 2021 akan menghalang air memasuki rumahnya di masa depan.

Pasangan tersebut antara ribuan yang menjadi mangsa banjir pada bulan Disember 2021.

Pada hari itu, jumlah hujan yang turun di Lembah Klang bersamaan jumlah purata bulanan, menenggelamkan semua sistem perparitan. Keadaan lebih buruk di Klang. Di sana, menurut Jabatan Perparitan dan Saliran, sebanyak 316.5mm hujan turun pada 17 Disember, 2021. Ini lebih tinggi dari jumlah hujan yang biasanya turun dalam sebulan.

Tapi apa kena-mengena hujan lebat dengan perubahan suhu dan iklim?

+1.9°C ~ 2.1°C Peningkatan suhumenyebabkan lebih banyak penyejatansumber air seperti laut,sungai dan tasik.1Apabila udara lembabdan tepu di langit menjadilebih sejuk, ia akan turunsebagai hujan lebat.2Bagaimana kenaikan suhu menyebabkan hujan lebat+14% ~ 25%

Sebanyak manakah hujan yang akan turun akibat perubahan iklim?

Menurut Nahrim, pada hujung abad ke-21, beberapa kawasan di Malaysia akan mengalami 23.6 peratus lebih hujan.

Hujan juga akan menjadi lebih lebat. Ambil contoh satu hari ketika hujan turun selama tiga jam berturut-turut. Jumlah air yang mencurah dalam tempoh tersebut adalah 29 peratus lebih banyak dari tahun 1970-an, kata Nahrim. Ini mampu membebankan infrastruktur sedia ada.

Malah, di beberapa kawasan di Malaysia, semakin banyak hari yang mengalami taburan hujan yang sangat lebat.

Contohnya, di Lembah Klang, pada tahun 1960-an, hanya tiga hari setahun mengalami lebih 50mm hujan dalam sehari. Tapi pada tahun lalu, 20 hari mengalami keadaan yang sama. Dan bila semua hujan tersebut turun dengan lebat dalam tempoh dua ke empat jam, banjir kilat berlaku.

Trauma dan kemiskinan

Joe Lee tinggal di lorong yang sama dengan Parathaman, di Taman Melawis. Dia berpendapat sistem perparitan yang mula dibina pada sekitar tahun 1960-an di taman tersebut tidak boleh menampung pembangunan pesat, serta hujan yang semakin lebat akibat perubahan cuaca.

Kebanyakan jiran-jirannya adalah warga emas atau berpendapatan rendah, dan dia tidak tahu berapa lama lagi mereka boleh tinggal dalam ketakutan.

Selalunya, rumah Joe tidak dinaiki banjir kerana dia telah berbelanja besar untuk meninggikan lantai rumahnya. Tapi pada malam bah besar itu, air banjir naik sampai ke katil ibunya yang terlantar sakit. Dan sambil ibunya tidur, Joe berjaga-jaga agar ular sawa yang dibawa air banjir tidak masuk ke rumahnya.

Beberapa bulan selepas bencana, Joe tidak lena tidur. Dia selalu terjaga dan terus memeriksa paras air sungai, setiap kali hujan turun.

Pada satu malam, dia terjaga bila terdengar bunyi hujan dan terus ke tingkap belakang untuk memeriksa had air. Tapi hari tidak hujan.

“Saya sampai terdengar-dengar (bunyi) hujan.”

Ular sawa hampir masuk ke rumah semasa banjir di Taman Melawis, Klang. Video dibekalkan oleh penduduk Taman Melawis.

Trauma merupakan impak bencana perubahan iklim yang sering tidak diambil kira.

Menurut kajian Agensi Alam Sekitar UK, risiko kemurungan meningkat sebanyak 50 peratus terhadap mangsa banjir.

Kajian agensi tersebut juga menyatakan mangsa banjir selalunya datang dari kategori pendapatan rendah, yang biasanya tidak mampu untuk membina semula hidup berkali-kali.

Gambar Shamala Devi yang membelanjakan semua simpanannya demi menyelamatkan rumahnya di Taman Bunga Ros, Klang daripada banjir. Gambar oleh Aidila Razak.
Shamala Devi membelanjakan semua wang simpanannya demi menyelamatkan rumahnya di Taman Bunga Ros, Klang, dari banjir.

Shamala Devi, 53, tinggal di Taman Bunga Ros, berdekatan Taman Melawis. Dia tinggal di sana hampir sepanjang hidup dan mewarisi rumah dari ibunya. Semua wang simpanannya dibelanjakan untuk rumah itu.

“Setiap kali ada duit lebih, kami akan gunakan untuk bina sesuatu untuk pastikan banjir tak masuk rumah,” katanya, sambil menunjukkan tebing dan tangga yang dibinanya di depan rumah.

Binaan terbaru ialah dua papan setinggi satu kaki yang diletakkan dengan gam di pintu dapur, yang menyusahkan dia keluar masuk rumah.

Pada Disember 17 lalu, air banjir mencurah masuk, melangkau semua tebing dan tangga yang dibina seperti air terjun kecil. Video dibekalkan oleh Shamala Devi

Pada hari tersebut, Shamala, suaminya dan anak perempuannya berlari keluar, mengharapkan bantuan.

“Tapi di luar sangat gelap dan sunyi. Tak ada sesiapa untuk menolong. Jadi suami saya kata, ‘Okey, kita masuk rumah.’ Dalam beberapa minit yang kami di luar, air sudah naik di dalam setinggi setengah meter.”

Kini, setiap hari, penduduk di situ akan memeriksa jadual pasang surut ombak, dan jika hujan turun pada masa ombak tinggi, semua akan bersengkang mata.

“Saya akan hantar mesej pada pekerja yang menjaga kunci air dan tanya dia kalau kunci air buka atau tutup. Kalau tutup, saya akan tanya bila dia akan buka. Dan lepas itu saya akan berjaga sampai hujan berhenti.”

Suami Shamala Devi menolak peti ais yang dibawa air banjir, di dalam rumah mereka pada Disember, 2021. Gambar oleh Shamala Devi.
Suami Shamala Devi menolak peti ais yang dibawa oleh air banjir, di dalam rumah mereka pada Disember, 2021.

Air laut mula naik

Menurut penyelidik di Nahrim, penempatan dan kampung-kampung berdekatan laut di Klang boleh dibanjiri akibat perubahan iklim. Selain hujan lebat, penempatan di persisiran pantai juga diancam kenaikan paras laut - satu lagi fenomena perubahan iklim.

Apabila hujan lebat turun ketika air pasang, kawasan perumahan di persisiran pantai boleh menjadi kolam yang besar.

Ini kerana apabila air pasang, kunci air akan ditutup untuk memastikan air laut tidak naik ke kawasan perumahan. Tapi bila hujan lebat, air hujan pula bertakung dan tidak dapat mengalir keluar, menyebabkan banjir.

Pengembangan termaterjadi apabila airmenjadi lebih panas.Ini menyebabkan isipadu air meningkat.Faktor 1Faktor 2Haba yang terperangkapjuga mencairkan glasierdan lapisan ais.Kenaikan paras air lautlebih ketara di kawasanberhampiran khatulistiwaLapisan AisGlasierKenapa paras air laut meningkat?Gas yang terperangkapmenyebabkanhaba tidak dapatlepas dari bumiGas terperangkap

Dalam senario terburuk, paras air laut di Malaysia dijangka naik sehingga 0.74 meter menjelang 2100, iaitu 11mm setahun. Jika tiada tindakan diambil, banyak kawasan akan ditengelami air.

Salah satu kawasan yang akan ditenggelami adalah Teluk Gong di persisiran pantai Klang, di mana Musminah Saiman, 53, tinggal selama lima dekad.

“Tempat ini dulu sangat cantik,” kata Musminah, bergenang air mata.

Jangkaan kadar banjir di penempatan persisiran pantai Klang akibat kenaikan paras air laut

Peta pelabuhan klang
Maximum sea level rise in year 2040.
2040
Maximum sea level rise in year 2060.
2060
Maximum sea level rise in year 2080.
2080
Maximum sea level rise in year 2100.
2100

2.00m

Ilustrasi menunjukkan kenaikan paras air laut tertinggi pada tahun 2080.

2.85m

Sumber: Nahrim.

Musminah tinggal bersebelahan dengan kakaknya, dan pada hari Malaysiakini melawat, terdapat setimbun tanah di antara rumah mereka. Mereka telah membayar lebih RM1,000 untuk tanah tersebut, untuk cuba meninggikan kawasan rumah agar air banjir tidak masuk.

Adik mereka yang sebelum ini tinggal bersebelahan juga pernah berbuat demikian, tapi ia tidak berjaya melawan banjir. Dia akhirnya pindah.

Tapi kakak-kakaknya tetap menetap di situ kerana mereka tidak mampu untuk membeli rumah baru.

“Bila saya fikir balik keadaan rumah pada bulan Disember itu, tak sangka yang kami dapat bersihkan semua dan masih tinggal di sini. Masa itu, saya rasa nak ambil jentolak pecahkan semua,” kata Musminah.

Kerosakan sawah dan keselamatan makanan

Kawasan sawah di persisiran pantai Kuala Kedah diancam kenaikan paras air laut. Video oleh Mukhriz Hazim, Malaysiakini.

Izham Hassan, 51, tahu apa erti keperitan ekonomi akibat perubahan iklim.

Pada tahun 2016, dia dan 21 petani di Kuala Kedah kehilangan semua hasil padi akibat kenaikan paras laut. Pada tahun itu, mereka rugi lebih setengah juta ringgit.

“Sampai hari ni, dah beberapa musim, hasil masih tak elok sebab air masin dah masuk ke dalam tanah.

“Kita nak kerajaan bayar pampasan kepada semua petani yang terkesan, tapi dah hampir enam tahun kami belum mendapat apa-apa bantuan,” katanya, bila ditemui di Kampung Padang Garam.

Gambar Izham Hassan oleh Mukhriz Hazim.
Keluarga Izham Hassan menanam padi selama beberapa generasi, tetapi pada 2016, air laut masuk ke sawah mereka buat kali pertama.

Izham tinggal bersebelahan sawah padinya bersama empat orang anak. Dia adalah petani padi generasi keempat dalam keluarganya. Insiden 2016 adalah kali pertama air laut masuk ke sawah mereka.

Para petani risau kejadian akan berulang, walaupun sebuah ban dibina oleh pihak kerajaan pada tahun 2020. Ini kerana air laut masih boleh meresap melalui batu-batu yang digunakan untuk membina ban itu.

Marhayani K Rahim, 42, lahir dan dibesarkan di kampung itu dan mempunyai 16 relung sawah padi, namun tidak mempunyai hasil untuk beberapa tahun sejak insiden 2016.

“Kami belanja RM1,000 satu relung, dan tanam lima relung tapi tak ada hasil. Empat musim lepas itu pun tak ada hasil.”

Gambar Marhayani K Rahim oleh Mukhriz Hazim.
Marhayani K Rahim tidak mendapat hasil langsung selama empat musim, selepas sawahnya dimasuki air laut.

Para petani selalu menjadi mangsa perubahan iklim kerana mereka bergantung pada keadaan cuaca. Selain kenaikan air laut, mereka juga kerugian beratus ribu ringgit akibat ribut yang tidak dijangka dan kemarau.

Kebanyakan padi di Malaysia dihasilkan di Kedah dan Perlis. Kemarau di situ bukan sahaja menyebabkan kerugian satu musim, tapi mempunyai impak berkali ganda. Kemarau akan mengeluarkan mineral toksik dan meningkatan kadar asid dalam tanah, dan merosakkan hasil untuk musim seterusnya.

Menurut beberapa kajian, perubahan suhu dan taburan hujan boleh mengurangkan hasil padi sehingga satu pertiga.

Lebih buruk lagi, menurut sebuah survei, kebanyakan petani tidak berminat untuk menanam padi, jika keadaan iklim tidak menentu.

Malaysia hanya menghasilkan 70 peratus daripada keperluan beras tempatan. Mata wang tempatan pula semakin lemah, menyebabkan harga barangan import semakin mahal. Ini boleh menyebabkan ketidakjaminan makanan (food insecurity), yang memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia.

Darurat iklim

Ban yang dibina untuk menghalang air laut dari masuk ke sawah di Kuala Kedah pada tahun 2020 berjaya setakat ini, tetapi ia memakan kos yang tinggi dan tidak akan berjaya selama-lamanya.

Sebuah ban juga telah dibina di Teluk Gong, Klang tahun lalu, sebelum bah besar membanjiri kampung di sana, dan kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM20 juta untuk projek tebatan banjir di Taman Bunga Ros dan Taman Melawis.

“Kita perlukan kerajaan Selangor untuk membuat deklarasi darurat iklim, supaya lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk kawasan Klang dan persisiran pantai lain di Selangor, dengan kadar segera,” kata MP Klang, Charles Santiago.

“Kerisauan (pihak kerajaan) ialah ini akan memakan kos yang tinggi, tapi kita tak perlu buat semua benda secara serentak. Contohya, kita perlu mengkaji semula sistem perparitan Klang.”

Nahrim jangkakan bahawa satu kawasan sebesar 5,600 padang bola di Klang akan tenggelam akibat kenaikan paras air. Ini termasuk kawasan perindustrian di Pelabuhan Klang.

Jika kesusahan penduduk tidak cukup untuk meyakinkan pihak berwajib untuk membuat sesuatu, sekurang-kurangnya perhatian perlu diberikan kepada impak ekonomi yang dihadapi industri, terutamanya pengguna Pelabuhan Klang, kata Charles.

Pada Disember lalu, cip mikro yang sepatutnya tiba di Pelabuhan Klang tidak dapat diproses akibat banjir, dan ini memberi impak pada pembuatan kereta untuk eksport ke Amerika Syarikat, katanya.

Jika Pelabuhan Klang kerap banjir, ada kemungkinan lebih banyak industri akan memilih Singapura dan bukan Malaysia, katanya.

Gambar banjir di jeti Pelabuhan Klang apabila hujan lebat turun pada air pasang, pada April 2022. Gambar diambil oleh Charles Santiago.
​​ Banjir di jeti Pelabuhan Klang apabila hujan lebat turun pada air pasang, pada April 2022.

Menurut Charles, beberapa kilang di Teluk Gong yang telah dinaiki air sehingga tiga kaki dalamnya dalam tempoh enam bulan yang lalu. Ini termasuk pada hari yang tidak hujan, akibat kenaikan paras air laut.

“Atas kertas, jangkaan kenaikan paras laut tidak nampak serius tapi sama ada ia akan naik dengan lebih tinggi bergantung pada kadar kecairan glasier. Jadi pihak kerajaan perlulah lebih proaktif,” katanya.

Di peringkat kebangsaan, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengisytiharkan darurat iklim.

Walaupun pihaknya mengambil maklum bahawa perubahan iklim menyebabkan banjir, katanya kerajaan telah membuat perancangan jangka pendek dan panjang untuk menghadapi masalah ini dan fenomena perubahan iklim yang lain.

Tambahnya, Malaysia juga membuat komitmen untuk menurunkan pelepasan gas rumah hijau untuk mencapai pelepasan sifar (net zero) menjelang 2050.

Sementara penggubal dasar berdebat tentang keperluan untuk mengisytihar darurat iklim, penduduk Taman Melawis sedang mencari dana untuk membeli pelampung dan bot untuk menghadapi banjir besar lagi tahun ini.

Gambar Musminah Saiman bersama kakaknya, oleh Aidila Razak
Musminah Saiman dan kakaknya telah banyak berbelanja untuk meninggikan rumah yang selalu ditenggelami air, di Telok Gong, Klang.

Di Teluk Gong pula, Musminah dan kakaknya terus tidak tidur malam, menunggu satu lagi bencana perubahan iklim.

“Tapi ni tanah warisan kami. Kami tak mampu nak pindah, apa keadaan pun,” katanya.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 29 Ogos 2022. Artikel ini dihasilkan dengan sokongan kewangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bentuk geran daripada Internews Malaysia. Kandungannya merupakan tanggungjawab penuh Internews dan tidak semestinya menggambarkan pendirian EU. Artikel ini juga dihasilkan dengan sokongan Mapbox.

Penyelaras projek
Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Aidila Razak, Arulldas Sinnappan
Reka bentuk & Pengaturcara
Yan Jing Tian, Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
Jurugambar & Juruvideo
Mukhriz Hazim
Ilustrasi
Syariman Badrulzaman & Yan Jing Tian
Penasihat
Evelyn Teh (Jaringan Ekologi Dan Iklim)
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.
logo
Kini News Lab
Kini News Lab merupakan pasukan khas yang mengkhususkan bidang kewartawanan data dan penceritaan visual.
Suka hasil kerja kami?
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Sokong kami
Langgan sekarang