• EN
  • BM
  • 中文
Malaysiakini logo
featured image

Pengeluaran awal KWSP: Cukupkah simpanan hari tua nanti?

Guna kalkulator interaktif ini untuk lebih memahami kesan pengeluaran awal KWSP

Raveena Nagotra

Tarikh 1 April lalu diingati ramai sebagai detik bermulanya tarikh permohonan satu lagi pusingan pengeluaran awal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara “sekali keluar” (one-off) sejak dua tahun terakhir ini. Ia menyusul i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Seramai 6.3 juta orang pendeposit KWSP layak memohon untuk skim terbaru ini, membabitkan permohonan pengeluaran antara RM50 sehingga RM10,000 yang akan dimasukkan ke akaun bank ahli bermula 20 April nanti.

KWSP memberikan pulangan memuaskan dan secara relatifnya merupakan pelaburan yang kurang berisiko. Ia memberi peluang kepada ahli membina simpanan untuk persaraan mereka. Namun, adakah hal itu masih dapat dilakukan selepas pusingan keempat pengeluaran ini dibenarkan?

Iklan

Malaysiakini cuba membantu untuk anda memahami dengan lebih baik kesan pengeluaran simpanan KWSP dengan menekankan perubahan terhadap pertumbuhan wang simpanan, dengan mengambil kira faktor keajaiban faedah kompaun (faedah atas faedah).

Masukkan maklumat anda di ruangan disediakan bawah ini untuk melihat bagaimana wang anda digandakan menjelang hari persaraan.

Berapa banyak wang yang anda perlukan untuk bersara?

Simpanan asas KWSP menyasarkan simpanan minimum RM240,000 diperlukan untuk membiayai persaraan seseorang dari usia 55 tahun sehingga 75 tahun. Bagaimanapun, ia berubah-ubah bergantung kepada komitmen setiap orang.

Menggunakan data anggaran dari kalkulator sebelum ini, masukkan perbelanjaan bulanan anda di bawah untuk mendapatkan perincian lanjut tentang berapa banyakkah simpanan yang anda perlukan semasa persaraan serta simpanan tahunan anda.

Untuk mereka yang bergelut untuk melunaskan keperluan hidup semasa pandemik Covid-19, pulangan tidak membawa erti di kala mereka berdepan kebankrapan jika tidak dapat membayar pinjaman. Mereka memerlukan bantuan segera atau mungkin terperangkap dalam kedudukan kewangan yang tidak mampu pun membawa mereka ke hari persaraan.

Pembangkang telah lama berhujah bahawa menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan bantuan, bukannya membiarkan rakyat mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka sendiri. Tetapi kerajaan juga berdepan kekurangan hasil ekoran ketepuan ekonomi gara-gara pandemik.

Pengeluaran awal KWSP tidak disenangi ahli kewangan. Terdapat gerakan - contohnya Financial Independence, Retire Early (Fire) - membincangkan bagaimana cara untuk memasukkan wang yang lebih banyak daripada yang ditetapkan undang-undang ke akaun KWSP seseorang.

EPF office at Jalan Raja Laut
EPF office at Jalan Raja Laut

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan, memberi amaran mengenai pengeluaran pusingan keempat ini kerana bimbang ahli terbabit tidak akan mampu menampung keperluan persaraan mereka.

Satu kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya mendapati lebih ramai ahli KWSP dari bandar yang membuat pengeluaran menerusi i-Lestari dan i-Sinar berbanding pendeposit dari kawasan luar bandar.

Dalam kaji selidik yang melibatkan 2,000 responden itu, seramai 31.8 peratus meraih pendapatan bulanan antara RM1,001 hingga RM2,000, manakala 18 peratus lagi menerima pendapatan kurang daripada RM1,000, sementara 23.9 peratus pula tidak mempunyai pendapatan.

Seramai 84.6 peratus dan 76.8 peratus responden yang membuat pengeluaran - masing-masing dari i-Lestari dan i-Sinar - menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian, manakala 46.1 peratus dan 55.5 peratus pula menggunakannya untuk membuat bayaran balik pinjaman, seperti pinjaman kereta, rumah dan kad kredit.

Seramai 35.4 peratus dan 40 peratus responden pula turut menggunakan wang tersebut untuk membiayai pendidikan anak-anak semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), manakala 32.7 peratus dan 34.8 peratus menggunakannya untuk membayar sewa rumah.

Sementara itu, satu kaji selidik serupa oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI melaporkan seramai 32 peratus daripada 809 responden yang membuat pengeluaran i-Sinar, menggunakan wang mereka untuk kerja baik pulih rumah atau melakukan ubah suai kecil-kecilan.

Meskipun terdapat keperluan munasabah untuk pengeluaran tersebut, terdapat juga contoh keadaan yang boleh dipertikaikan.

Contohnya, seorang lelaki di Terengganu yang dilaporkan menggunakan RM1,080 daripada RM5,000 wang KWSP yang dikeluarkan menerusi i-Sinar, untuk memasang 11 bonggol jalan di luar rumahnya kerana mendakwa tidurnya sering terganggu oleh bunyi bising kenderaan.

Pakar kewangan dan percukaian, Chua Tia Guan, mengingatkan ahli KWSP agar tidak membuat pengeluaran awal KWSP untuk pusingan terbaru ini, melainkan jika benar-benar perlu sahaja, kerana katanya, ia mungkin memberikan kesan buruk pada masa hadapan.

Iklan

Kesan pengeluaran

Selepas dianggarkan sejumlah RM110 bilion telah dikeluarkan dari KWSP dalam tempoh dua tahun terakhir ekoran langkah berkaitan Covid-19, simpanan ahli menyusut hampir 10 tahun ke belakang.

Pada hujung 2021, dilaporkan seramai 6.1 juta orang - atau separuh daripada ahli KWSP - mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun mereka. Daripada jumlah itu, seramai 2.6 juta mempunyai kurang dari RM1,000.

Tambahan pula, Malaysia sedang menuju masyarakat menua, dengan lebih lima juta daripada populasinya dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030. Usia tersebut merupakan umur persaraan minimum bagi penjawat awam, yang memberi kesan besar kepada populasi pesara dalam tempoh persaraan mereka.

Sasaran KWSP bahawa RM240,000 diperlukan untuk persaraan hanyalah angka unjuran dan ia berubah berdasarkan kos sara hidup di bandar-bandar berbeza serta kategori isi rumah yang berlainan.

Menurut satu kajian Universiti Malaya, seorang warga tua yang tinggal di Lembah Klang dianggarkan mengeluarkan perbelanjaan bulanan lebih tinggi (sebanyak RM2,490) berbanding warga tua di Alor Setar, Kedah yang kurang sedikit perbelanjaannya (kira-kira RM1,990) - seperti yang terpapar pada jadual di bawah.

Dalam tempoh itu juga, rakyat juga mungkin harus mengambil kira faktor kemerosotan kesihatan, memandangkan penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes menjadi antara masalah lazim buat golongan dewasa. Meskipun Malaysia mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik secara relatif, ia mungkin menyebabkan beban ekonomi yang signifikan pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Perancangan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Koong Lin Loong, memberitahu Malaysiakini bahawa kesan pengeluaran bukan saja membuatkan pencarum tidak cukup wang persaraan semata-mata. Sebaliknya, kata Koong, ia membabitkan pencarum, kerajaan dan persekitaran sosial secara kolektif, dalam apa yang digelarkannya sebagai “kesan tiga segi”.

“Ia tidak terhenti setakat ahli tidak mempunyai dana persaraan (yang mencukupi). Ia akan memberi kesan kepada kerajaan, yang harus memberikan bantuan.

“Bagaimana jika kerajaan tidak membantu? Maka ia akan menjurus kepada kesan sosial. Apa akan terjadi kepada golongan ini?” katanya.

Koong juga menambah, hal itu boleh menyebabkan kadar gelandangan yang meninggi dan taraf hidup yang teruk buat warga tua.

Wajarkah kerajaan terlepas begitu sahaja?

Pemimpin-pemimpin politik mengangkat diri sendiri sebagai jaguh kepada rakyat dengan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka sendiri - yang sepatutnya dipersiapkan untuk persaraan - lebih awal.

Namun, rakyat harus sedar bahawa mereka harus menggunakan simpanan persaraan sendiri kerana kerajaan yang ketandusan wang tidak mampu untuk melunaskan tanggungjawab untuk melindungi mereka, selepas ia membiarkan defisit fiskal dan hutang kerajaan meningkat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz lantang membangkitkan tentang implikasi kewangan daripada pengeluaran tersebut dengan mendakwa KWSP akhirnya harus menjual pelaburan luar negaranya pada ketika situasi pasaran tidak menentu ekoran krisis Rusia-Ukraine, selain menghentikan pelaburan domestik.

Hal itu berpotensi memberikan kesan buruk kepada pasaran saham dan bon domestik.

Tengku Zafrul turut mempersoalkan apakah adil buat pencarum KWSP - yang tidak pernah mengeluarkan simpanan mereka menerusi skim pengeluaran awal sebelum ini - untuk menerima pulangan lebih rendah daripada simpanan mereka.

Tambahnya, pengeluaran tambahan boleh menyebabkan pencarum bersara di bawah garis kemiskinan. Itu boleh menyebabkan Keluarga Malaysia menanggung beban yang besar pada masa hadapan, lebih-lebih lagi jika berlaku kemelesetan.

Sebaliknya, di Singapura kerajaannya mengumpul berbilion dolar rizab untuk dekad-dekad kebelakangan ini dan mampu menggunakannya untuk berdepan pandemik.

Iklan

Langkah ke hadapan

Amir berjanji untuk menebus kekurangan dana KWSP itu dengan menggesa orang ramai melanggan caruman tambahan secara sukarela yang dihadkan pada RM60,000 setahun, atau meningkatkan kadar caruman bulanan melebihi 11 peratus untuk mempercepatkan penambahan dana.

Bagaimanapun, Institut Penyelidikan Khazanah mendedahkan, daripada 7.6 juta jumlah keseluruhan ahli KWSP yang aktif pada 2019, ahli yang mendaftar dalam skim sukarela itu hanya membentuk 2.7 peratus atau kira-kira 200,000 orang saja.

Menurut Chua, tanpa dana, ahli akan dikehendaki melanjutkan umur persaraan mereka secara tidak rasmi untuk menampung dan membayar kos hidup mereka melebihi usia 60 tahun.

“Bagi yang tidak mempunyai dana persaraan, mereka perlu bekerja selepas bersara. Bagaimanapun saya tidak menyarankan bahawa (Malaysia) melanjutkan umur persaraan kerana hal itu perlu seiring dengan kadar jangka hayat (rakyat).

"Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain terus bekerja untuk menampung atau membayar kos hidup semasa, melainkan, sudah tentu, mereka mendapatkan bantuan saraan daripada ahli keluarga atau anak-anak," katanya.

Menurut Kaji Selidik Penuaan dan Persaraan Malaysia (MARS) pada 2018 yang dijalankan Universiti Malaya, 81 peratus responden (1.59 juta individu) cenderung untuk terus bekerja walaupun selepas bersara.

Pakar ekonomi menggesa satu skim pencen sejagat bagi mengatasi kesan buruk daripada skim pengeluaran KWSP sebelum ini. Sistem yang dicadangkan itu boleh dibiayai oleh geran kerajaan, pendapatan daripada pelaburan awam, dan skim sumbangan (contribution schemes).

Khazanah Research Institute mengesyorkan pencen insurans sosial sebagai satu alternatif. Ia akan melibatkan sumbangan bulanan wajib sebanyak RM53 untuk sekurang-kurangnya 36 tahun bagi memperoleh anuiti bulanan yang setara dengan nilai garis kemiskinan per kapita pada masa hadapan - untuk seumur hidup bermula usia 60 tahun.

Satu lagi penyelesaian yang dicadangkan ialah struktur dividen berperingkat, iaitu membayar kadar dividen efektif yang lebih tinggi kepada pencarum dengan jumlah simpanan lebih rendah, dan membayar kadar efektif lebih rendah kepada pencarum dengan jumlah simpanan lebih tinggi.

Meskipun secara teori dilihat sebagai satu jalan penyelesaian, ia sukar dijayakan secara realiti. Awal bulan lalu, KWSP mengumumkan ia belum bersedia untuk memperkenalkan pendekatan sedemikian kerana bimbang akan “kesan yang tidak sepatutnya”.

Koong bagaimanapun percaya, lantaran jaringan keselamatan sosial yang tidak berkesan, penyelesaian terbaik ialah supaya kerajaan menambah baik persekitaran perniagaan, yang seterusnya akan menjana peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi.

Koong Lin Loong
Koong Lin Loong

Katanya, ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna pencarum KWSP dan menyebabkan sumbangan KWSP yang lebih tinggi.

“Jika seseorang itu meraih RM1,000, 11 peratus (sumbangan bulanan KWSP) mereka akan menjadi RM110. Bagaimanapun, jika mereka meraih RM2,000, sumbangan mereka akan menjadi RM220 tetapi mereka juga akan mempunyai pendapatan boleh guna lebih tinggi, meskipun peratus sumbangan bulanan mereka masih sama.

“Kerajaan harus mewujudkan persekitaran sedemikian bagi meningkatkan pendapatan boleh guna pencarum. Ia akan membolehkan dana KWSP meningkat (pada kadar lebih cepat).

“Seperti yang kita tahu, KWSP merupakan pelabur penting dalam pasaran modal Malaysia, ini akan meningkatkan pasaran. Ia hanyalah (seperti) situasi ‘ayam dan telur’,” katanya.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 4 Apr 2022.

Penyelaras projek
Lee Long Hui
Penyelidik & Penulis
Raveena Nagotra
Reka bentuk & Pengaturcara
Yan Jing Tian, Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
Ilustrasi
Syariman Badrulzaman & Yan Jing Tian
Penterjemah
M Fakhrull Halim
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.