Pilihan Mohamad Fakhrul Fahmi bin Mat Yusop, 28, berbeza daripada keluarganya. Dia mengundi buat kali kedua tahun lalu di Gombak dan menjadi satu-satunya ahli keluarga yang mengundi PN.
Adik-beradiknya yang lebih tua mendewasa pada era Reformasi dan kesetiaan politik mereka bersama Anwar Ibrahim dan sekutunya.
Dibesarkan di Lembah Klang, adik-beradik Fahmi menyaksikan perhimpunan politik besar-besaran di Kuala Lumpur, dan mengundi menentang calon pilihan ibu bapa mereka daripada BN.
Tetapi Fahmi, lepasan kolej Islam di Terengganu, berbeza pandangan.
"Rakan-rakan saya di Lembah Klang kebanyakannya mengundi PH, tetapi mereka yang berasal dari pantai timur mengundi PAS. Saya juga mengundi PAS pada 2018," katanya kepada Malaysiakini.
Walaupun dia cenderung menyokong calon PN Gombak, Azmin Ali, dia tetap membaca semua manifesto gabungan utama pada pilihan raya.
"Bagi saya, mereka semua kedengaran lebih kurang sama. Tetapi saya lebih yakin dengan PN kerana saya yakin dengan akar Islam mereka.
"Saya tidak mahu mengundi PH kerana dalam masa singkat mereka memegang kuasa persekutuan, kita nampak semua isu ini seperti LGBT dan sebagainya. Saya tidak mahu perkara itu berulang.
"Saya juga tidak mahu BN kerana banyak kes rasuah. Tengok kes Najib. Rasuah berleluasa. Jadi PN adalah pilihan yang lebih baik," katanya kepada Malaysiakini.
Fahmi mungkin orang luar di dalam rumah keluarganya, tetapi di Gombak, dia tidak keseorangan. Malah, corak pengundian keluarganya mencerminkan pengundi generasi mereka di kawasan itu.
Tindakan PN menyapu bersih sejumlah besar kerusi parlimen - kini digelar "gelombang hijau" oleh sesetengah pihak - mengejutkan ramai pemerhati politik.
Selepas itu, ramai yang menganggap sokongan pengundi muda sebagai salah satu faktor penting.
Analisis data pengundian PRU15 cukup penting, kerana enam negeri bersiap sedia untuk pilihan raya negeri, dijangka berlangsung pada Ogos.
Analisis kami tentang keputusan dari 7,351 daerah mengundi di seluruh negara mendedahkan BN dan PH memperoleh kemenangan di lebih 70 peratus daerah mengundi hasil sokongan pengundi tua sahaja.
Sebaliknya, PN muncul sebagai pemenang utama di 46 peratus daerah mengundi dengan pengundi termuda sahaja, diikuti PH yang meraih 38 peratus undi. Secara am, tren ini paling jelas di kerusi majoriti Melayu.
Penemuan Kini News Lab terhadap pengundi muda sepadan tren yang ditemukan penganalisis politik Bridget Welsh, dengan menggunakan metodologi berbeza. Kajiannya menunjukkan dalam kalangan anak muda berumur 18 hingga 30 tahun, sebanyak 37 peratus menyatakan sokongan kepada PN, sedikit mengatasi PH dengan 35 peratus dan BN 23 peratus.
Sebaliknya, dalam kalangan individu berumur 61 tahun ke atas, PH menerima sokongan tertinggi sebanyak 44 peratus, diikuti BN sebanyak 33 peratus dan PN sebanyak 19 peratus.
Peta interaktif di bawah membolehkan anda melihat saluran pengundian di kawasan setempat anda. Anda boleh menyemak arah aliran mengikut generasi berdasarkan kawasan parlimen dan daerah mengundi.
Bagaimana anak muda mengundi: Apa kata data?
Sebelum pergi lebih jauh lagi, mari teliti kaedah kami.
Sekarang, mari kita teliti aliran pengundian anak muda di beberapa negeri utama di Semenanjung Malaysia pada peta di bawah.
Raja, 24, mahasiswa tahun akhir di sebuah universiti Islam, antara yang mengundi menentang BN di Pahang.
Mohd Sharkhar Shamsuddin, 69, pertama kali dipilih di kerusi DUN Lanchang pada 1999, dan pada PRU15 selain cuba mempertahankan kerusi DUN untuk penggal keenam, dia juga berusaha mendapatkan mandat sebagai ahli parlimen Temerloh. Tetapi Raja dan pengundi muda yang lain telah menyekat kemaraannya.
Walaupun dia tidak pernah berminat dengan politik, ketika PRU15 semakin hampir, Raja mula mendengar apabila orang di sekelilingnya berkongsi pandangan politik mereka dan mengambil tahu perkembangan setempat.
“Mereka di sekeliling saya tidak mempunyai banyak perkara positif untuk dikatakan tentang PH tetapi ada kalangan dalam rangkaian keluarga saya yang lebih besar (yang tidak tinggal di Temerloh) yang cuba ‘mencuci otak’ saya untuk mengundi PH.
"Tetapi saya mahu membuat keputusan sendiri," kata Raja, yang juga menghabiskan sebahagian masanya membesar di Terengganu.
Untuk berbuat demikian, dia mula melakukan carian Google mengenai penyandang kerusi parlimen Temerloh dan mendapati Sharkar tidak memberi inspirasi dan mungkin mengambil mudah mengenai kemenangan pada PRU15.
"Saya tinggal di Temerloh, dan saya tidak tahu perkara baru yang dia bawa untuk Temerloh selama ini. Saya memang tak nak beri dia peluang dah sebab dia macam buat main-main," katanya.
Pada masa sama, carian internetnya juga memberitahunya bahawa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, ialah seorang pemimpin yang baik yang menjaga anak buahnya, katanya. Ini sesuatu yang dia boleh sokong.
Jadi dia mengundi calon PN, seorang ustazah Salamiah Mohd Nor, yang dianggapnya menyerlah dalam pertarungan empat penjuru di Temerloh.
Raja, yang didikannya agak konservatif berkata dia percaya kehadiran PAS dalam PN juga membantu mengukuhkan gabungan itu, tetapi bukan itu sebabnya dia mengundi PN.
"Saya mengundinya untuk memperkasakan wanita."
Malaysia
PH Kuat
PN Kuat
Bersaing
Malaysia Timur
Kenapa pengundi muda begitu tertarik dengan PN?
Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata kedudukan PN sebagai gabungan baru menjadi satu wadah yang menarik untuk pengundi baru.
“Perikatan Nasional itu sesuatu yang baru dan menjadi kelaziman orang muda itu lebih suka mencuba sesuatu yang baru," katanya.
Tren pengundi muda sanggup mengambil risiko bukanlah unik untuk Malaysia sahaja tetapi dapat diperhatikan di negara-negara lain, termasuk Singapura ketika pilihan raya umum, kata Azmi.
“Jadi ini dikatakan menjadi tarikan utama kepada pengundi muda yang suka mencuba sesuatu yang baru dan mereka tidak mahu tahu sangat sejarah Barisan Nasional itu sendiri, berbeza dengan pengundi-pengundi yang lebih tua,” jelasnya.
Saya langsung tak nak undi PH. Saya tak setuju BN berkomplot dengan PH.
Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi juga menyatakan bagaimana kempen PN lebih agresif, meliputi pelbagai isu manakala BN dilihat lebih defensif.
“Satu lagi kempen PN cuba menarik sebanyak pengundi pelbagai manakala BN dilihat cuba menarik pengundi sekitar kalangan mereka sahaja,” jelasnya.
Memandangkan pengundi muda tidak terikat dengan mana-mana parti, mereka lebih mudah terpengaruh dengan mesej kempen PN, katanya.
Sebagai contoh, PN memasarkan dirinya sebagai 'bersih' dan 'baru', walaupun pemimpinnya telah berpuluh tahun terlibat dalam politik, ada yang pernah menyertai pelbagai parti.
“Apabila dilabelkan kempen guna slogan bersih ia menarik perhatian pengundi muda,” katanya.
PN kurang kelebihan pada PRN berbanding PRU15
Melangkah ke hadapan, Azmi percaya pengundi muda akan terus menjadi kelebihan kepada PN dalam pilihan raya negeri, tetapi pengaruh mereka tidak akan seperti pada PRU15.
Sebagai contoh, pengundi muda kini mungkin mempersoalkan imej ‘bersih’ yang dikempenkan PN, selepas beberapa pemimpin Bersatu didakwa dalam kes rasuah Jana Wibawa.
Potensi peratusan keluar mengundi yang rendah, terutamanya dalam kalangan pengundi muda, juga boleh menjejaskan peluang PN, katanya.
Iman Research dalam kajian baru-baru ini mengenai sumber maklumat oleh pengundi muda semasa PRU15, mendapati mereka memilih PN kerana ia satu-satunya gabungan yang menggunakan TikTok - platform media sosial yang kebanyakannya memenuhi keperluan mereka yang berumur 30 tahun ke bawah - untuk berjaya mencapai pengundi kali pertama.
Raja yang mengundi di Pahang berkata kebanyakan pelajar di universiti Islamnya itu memilih PN, apabila mereka diminta untuk berkongsi secara tanpa nama siapa yang akan mereka undi, dengan menampal pelekat pada papan kenyataan di kampus.
Dia mengaitkan beberapa perkara ini dengan kempen bertenaga PN di TikTok, terutamanya penggunaan pengaruh mereka dalam mendekati pengundi kali pertama yang tidak peduli atau tiada pengetahuan politik.
Kehadiran dalam masyarakat
Kempen PN mungkin melampaui sentimen anti-BN. Malah, kempen gabungan itu - di dalam talian dan di luar talian - mungkin telah memasuki pasaran yang telah lama diusahakan oleh PAS.
Dalam kajian mengenai penguasaan PAS yang tidak tergoyahkan di Kelantan, penganalisis USM Azmil Tayeb berkata kekuatan parti itu terletak pada kedudukannya yang telah lama bertapak dalam masyarakat, jenteranya yang tersusun rapi dan pendidikan politik yang meluas serta usaha mendekati pengundi.
Selain menyampaikan mesejnya melalui masjid, aktivis akar umbi PAS menyumbang dalam rangkaian ‘penghulu seranta’, bertindak sebagai duta kawasan kediaman untuk menghimpunkan majlis dialog bersama penduduk, mendengar rintihan dan berkongsi agenda PAS, kata Azmil.
Selain itu, PAS telah menganjurkan pelbagai acara kemasyarakatan, termasuk kejohanan e-sukan dan penubuhan “Alternative Riding Club” (ARC). Inisiatif ini secara berkesan membolehkan PAS berinteraksi dengan pengundi baru dan pengundi kali pertama dengan cara yang dekat dengan mereka.
Beberapa konvoi ARC ini, menampilkan kumpulan besar penunggang motosikal yang membawa bendera PN atau PAS, telah dipaparkan secara meluas dalam kempen TikTok, sampai kepada ribuan pengundi muda.
PAS juga meluaskan pengaruhnya melalui pendidikan Islam, membenihkan apa yang digelar pemerhati politik sebagai ‘Generasi PAS’. Dimulakan pada 1980-an, kini terdapat hampir 2,500 prasekolah PAS (pusat asuhan tunas Islam) yang, menyediakan pendidikan awal kanak-kanak kepada lebih 125,000 pelajar berumur empat hingga enam tahun.
Parti itu juga telah menubuhkan hampir 150 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah di seluruh negara, untuk menyediakan pendidikan alternatif yang berteraskan ajaran Islam.
Untuk PRN, saya belum buat keputusan. Perlu bincang dengan keluarga. Kali ni saya rasa PN akan menang sebab (penyandang Menteri Besar Kedah) Muhammad Sanusi Md Nor berjiwa muda dan orang muda suka dia.
Tetapi tidak semua yakin bahawa pendidikan Islam telah mempengaruhi corak pengundian satu generasi rakyat Malaysia dan menjejaskan keputusan pilihan raya umum ke-15.
Ahli akademik dan bekas ahli parlimen DAP, Ong Kian Ming berkata sekolah tahfiz membentuk hanya satu peratus daripada enam juta enrolmen sekolah rendah dan menengah.
Katanya, mengaitkan institusi pendidikan ini dengan kejayaan PN memikat pengundi muda adalah “membuat satu kesilapan analisis di atas kesilapan yang lain.”
Malah, katanya menganalisis kemasukan PN sebagai "gelombang hijau" mengekalkan naratif Islamofobia, sambil mengabaikan kepelbagaian dalam kalangan pengundi Melayu dan Bersatu telah memperoleh keuntungan yang ketara pada 2018. Ini adalah momentum yang dibina PN, hujahnya.
“Lanskap pilihan raya telah menjadi lebih kompetitif dan hasil pilihan raya akan bergantung kepada banyak faktor. Pendek kata, faktor agama menjadi isu pengundian yang penting tetapi bukan penentu,” tulis Ong pada analisis baru-baru ini.
Pada masa sama, analisis bekas MP BN, Khairy Jamaluddin menyatakan fenomena ini akibat rasa tidak puast hati pengundi Melayu dalam isu ekonomi dan “melangkaui isu 3R (kaum, raja dan agama)”.
Sebenarnya saya malas nak kisah pasal politik. Kawan-kawan saya pun sama. Mereka undi PN, sebab bagi mereka ini pilihan terbaik untuk orang Islam.
Mengimbangi dunia dan akhirat
Sambil penganalisis mengkaji kecenderungan pengundi muda, di Gombak, Fahmi berkata dia akan sekali lagi mengundi PN pada PRN Selangor pada Ogos 12. Namun, ibunya, Jailah Abdul, berharap dia akan mengubah fikiran.
Jailah, 68, tidak pernah mengundi sesiapa kecuali Umno/BN.
“BN, khususnya Umno, telah memperjuangkan hak orang Melayu dan berjasa besar kepada bangsa ini, termasuk menubuhkan kampung yang kita diami ini, Kampung Wira Damai,” katanya.
Tetapi Fahmi melihat PN sebagai jalan tengah -- keseimbangan antara kewajipan agama dan keinginannya untuk sebuah negara moden dan maju.
"Saya percaya kepada PN kerana mereka mempunyai kedua-dua pemimpin agama dan profesional, yang bermakna agama boleh disesuaikan dengan dunia moden."
BACA LANJUT: Siri 1: PRN: Sampai mana gelombang hijau?