backgroundImg

PMX

Selepas setahun

Pasukan Malaysiakini 23 November 2023

Selepas dua dekad berjuang untuk melakukan perubahan, Anwar Ibrahim kini menerajui negara. Setelah setahun memimpin, Malaysiakini menyingkap kembali apa yang baik dan buruk yang telah dilakukan, selain harapan kita untuk tahun-tahun mendatang.


Iklan

  • Baik
  • Buruk
  • Kontroversi
  • Harapan

Yang Baik

Kami mengimbas kembali setahun di bawah pentadbiran perdana menteri dengan melihat perkara-perkara positif yang telah dilakukan.

Reformasi undang-undang yang bersifat belas ihsan

Salah satu pencapaian awal pentadbiran PMX ialah meluluskan undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, menyahjenayah cubaan bunuh diri dan menangani masalah dihadapi individu yang mahu melepaskan diri daripada status muflis.

Jumlah undi : 4,071

89%
11%

Ekonomi Madani

Selepas 10 bulan, Anwar akhirnya mengumumkan rancangan ekonomi dengan menggariskan matlamat yang jelas untuk negara. Ini akan didorong oleh Pelan Industri Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui. Kerajaan telah meminda dasar Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi membantu industri dalam mencapai matlamat mereka memelihara kelestarian alam sekitar. Ada juga cadangan untuk mengembangkan asas cukai melalui cukai barangan bernilai tinggi yang akan berkuat kuasa tahun depan.

Jumlah undi : 3,896

84%
16%

Melindungi wanita dan kanak-kanak

Undang-undang anti-menghendap diluluskan pada Mac dan lima bulan kemudian, seorang individu didakwa di bawah undang-undang ini. Kerajaan juga sedang berusaha meminda perlembagaan untuk membolehkan anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara diberikan kerakyatan, meskipun peruntukan lain dalam rang undang-undang itu menimbulkan perbalahan di kalangan ahli parlimen.

Jumlah undi : 3,811

91%
9%

Hijau kini popular

Dalam satu kejayaan yang jarang dicapai, pentadbiran Anwar membatalkan projek lapangan terbang yang dikaitkan dengan kerabat diraja melibatkan tebus guna tanah di luar Pulau Tioman, berikutan kebimbangan alam sekitar. Konsesi juga diwujudkan bagi mengecilkan projek penambakan Pulau Pinang Selatan.

Kementerian Alam Sekitar juga secara diam-diam membenarkan laporan EIA dimuat turun, meskipun tidak konsisten, bagi membolehkan lebih ketelusan pada penilaian kerajaan terhadap kesan pembangunan terhadap alam sekitar.

Satu lagi langkah penting - membenarkan penerokaan nadir bumi - namun tidak mendapat dukungan pencinta alam sekitar

Jumlah undi : 3,741

90%
10%

Menuju ke arah MA63

Anwar melantik Fadillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri II, kali pertama ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak memegang jawatan itu.

Pentadbiran PMX juga menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang telah menaikkan geran khas persekutuan kepada dua negeri itu, memulihkan beberapa kuasa kawal selia kepada Sabah dan memulakan perbincangan mengenai beberapa sektor  seperti kesihatan dan pendidikan.

Semenjak itu beberapa keputusan dasar telah dibuat seperti mengembalikan 55 lot tanah yang diambil oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

Jumlah undi : 3,733

92%
8%

Keselamatan makanan

Penekanan diberikan kepada pertanian dan sokongan terhadap usaha-usaha seumpama itu, berbanding pentadbiran terdahulu bagi memperkukuhkan keselamatan makanan.Meskipun berdepan pelbagai rintangan seperti kekurangan bekalan ayam, telur dan beras, kerajaan dilihat komited dalam memastikan kestabilan makanan.

Ini termasuk membuat keputusan kontroversi bagi mengapungkan harga ayam, yang menyebabkan pengguna teruja apabila harga runcit produk itu turun dan menyediakan peruntukan khas untuk membeli beras dari India, di tengah-tengah kekurangan bekalan beras global. Bagaimanapun usaha memastikan bekalan beras kekal murah dan konsisten masih menjadi cabaran, sama ada yang diimport atau pengeluaran dalam negara.

Jumlah undi : 3,660

85%
15%

Potong gaji menteri

Antara perkara pertama diumumkan Anwar selepas memegang jawatan ialah semua gaji menteri akan dipotong sebanyak 20 peratus sehingga ekonomi bertambah baik. Beliau juga berjanji tidak akan menerima gaji dengan syarat yang sama.

Walaupun langkah itu tidak memberikan kesan ketara ke atas ekonomi dan perbelanjaan kerajaan, hal itu dapat merangsang sokongan ramai kepada kerajaan baru.

Jumlah undi : 3,777

91%
9%

Yang Buruk

Tidak semuanya yang bagus di bawah PMX. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh kita hindari.

Layanan khas kepada Zahid

Awal tahun ini, timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi diberikan kebenaran khas melawat Penjara Kajang dan kemudian berjaya mengelakkan Umno dibubarkan kerana melanggar peraturan ROS. Kempen perdana menteri untuk memerangi rasuah menerima tamparan pada awal September apabila pendakwa raya secara tergesa-gesa melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid yang menghadapi perbicaraan rasuah. Pembebasan seorang lagi pemimpin Umno, Bung Moktar Radin daripada tuduhan rasuah pada September menjejaskan lagi persepsi umum.

Jumlah undi : 4,052

65%
35%

Salah guna sumber kerajaan

Perdana menteri nampaknya tidak melihat penggunaan helikopter untuk tujuan pilihan raya sebagai kesalahan. Beberapa pihak dalam pentadbirannya tetap mengumumkan peruntukan kerajaan ketika kempen pilihan raya.

Jumlah undi : 3,960

56%
44%

Mengekalkan undang-undang drakonian

Walaupun manifesto Pakatan Harapan berjanji untuk menyemak atau memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) terus digunakan walaupun manifesto Pakatan Harapan berjanji untuk menyemak atau memansuhkan undang-undang berkenaan.Insiden paling ketara menyaksikan PPPA digunakan untuk merampas jam tangan Swatch atas dakwaan memiliki unsur LGBT. Kerajaan juga tidak bercadang untuk menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012

Jumlah undi : 3,825

54%
46%

Nikotin untuk kanak-kanak

Menerusi langkah yang membingungkan pakar kesihatan, kerajaan pada Mac mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun. Ini bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengenakan cukai ke atas produk vape yang mengandungi nikotin. Bagaimanapun, langkah mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun juga mencetuskan kebimbangan bahawa produk-produk yang mengandungi nikotin kini boleh dijual secara sah kepada kanak-kanak. Walaupun kerajaan berjanji memperkenalkan kawalan di bawah undang-undang baru, undang-undang itu ditangguhkan beberapa kali dan masih belum diluluskan oleh parlimen.

Jumlah undi : 3,676

66%
34%

Menafikan peruntukan sama rata

Pentadbiran PMX menafikan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat, walaupun ia merupakan janji utama Pakatan Harapan dalam kempennya. Sebaliknya kerajaan meletakkan beban itu kepada pembangkang untuk memulakan rundingan kesepakatan bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan setara. Hal ini berlaku meskipun kerajaan Anwar sudah mempunyai hampir dua pertiga majoriti kerusi di Dewan Rakyat. Ini akan menyebabkan peruntukan sama rata menjadi alat tawar menawar bagi pentadbiran di masa hadapan, dan telah pun mengakibatkan ahli parlimen pembangkang berpaling tadah untuk menyokong PMX bagi tujuan mendapat peruntukan.

Ini akan menjadikan peruntukan sama rata sebagai alat tawar menawar oleh kerajaan di masa depan yang telah pun menyaksikan ahli parlimen pembangkang berpaling tadah untuk menyokong perdana menteri bagi memperoleh dana tersebut.

Jumlah undi : 3,773

48%
52%

Kegagalan komunikasi

Pentadbiran PMX mendedahkan kelemahan sendiri berikutan komunikasi yang lemah dan tindakan yang tidak tepat pada masanya. Contohnya, Kementerian Dalam Negeri membuat keputusan pada Februari bagi menangguhkan cabaran undang-undang berhubung kes sensitif Jill Ireland tetapi hanya menjelaskan rasional keputusan itu dua bulan kemudian - sehari selepas kes itu ditarik balik dan selepas mendapat banyak bantahan daripada orang Islam dan bukan Islam.

Begitu juga, rancangan untuk memperkenalkan modul 40 hadis menerima tentangan apabila tidak dijelaskan dengan tepat sejak awal bahawa ia hanya melibatkan Muslim. Selain itu kerajaan secara senyap-senyap melantik Nurul Izzah - anak perdana menteri - dalam jawatankuasa penasihat kementerian kewangan. Hal ini menyebabkan bantahan selepas perkara itu diketahui.

Sesi town hall Anwar dengan pelajar juga menimbulkan pelbagai reaksi, khususnya selepas PMX membuat jenaka berbaur seksis ketika sesi soal jawab (Q&A) atau ketika dia membungkam soalan berkaitan meritokrasi.

Jumlah undi : 3,590

60%
40%

Undang-undang kewarganegaraan menjejaskan golongan rentan

Cadangan pindaan perlembagaan mendapat kecaman kerana berpotensi memburukkan lagi keadaan individu tanpa kerakyatan dan seterusnya melucutkan hak mereka yang terpinggir. Ini termasuk pindaan yang mungkin menyebabkan anak-anak pungut tidak lagi dianggap sebagai warganegara, menyebabkan anak-anak yang terbuang menjalani kehidupan yang sukar sebagai individu tanpa kerakyatan, menurut pakar perlembagaan dan peguam.

Jumlah undi : 3,280

59%
41%

Kontroversi

Beberapa langkah yang diambil PMX menerima pujian sesetengah orang tetapi dikritik sesetengah yang lain.

Masih ada habuan jawatan meskipun berkurangan

Di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin, kebanyakan ahli parlimen memperoleh gaji kedua sama ada melalui jawatan dalam GLC atau agensi kerajaan.

Amalan politik naungan ini berkurangan di bawah PMX, tetapi tidak sepenuhnya. Malaysiakini mengenal pasti sekurang-kurangnya 19 ahli parlimen, tidak termasuk menteri - dan 40 ahli politik dilantik ke jawatan-jawatan tersebut sepanjang pentadbiran PMX.

Jumlah undi : 3,368

62%
38%

Pendirian tegas berkait Palestin

Pentadbiran PMX, seperti pentadbiran-pentadbiran sebelumnya bersikap tegas dalam menyatakan dukungan terhadap Palestin, di tengah-tengah gelombang keganasan terbaru di Palestin dan Israel. Bagaimanapun melangkaui dasar luar negara, sokongan ini turut membabitkan urusan dalam negara termasuk pengenalan Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah. Tindakan ini menimbulkan polarisasi dengan pengkritik berpendapat ia merupakan satu bentuk indoktrinasi terhadap anak-anak atau lebih teruk, menggunakan kanak-kanak sebagai alat politik.

Jumlah undi : 3,381

52%
48%

Kos sara hidup

Salah satu program di bawah pentadbiran Anwar yang terkenal ialah insiatif Rahmah, yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup bagi mereka yang memerlukan dari makanan sehinggalah kepada perkhidmatan jalur lebar. Harga jalur lebar gantian juga diturunkan hampir keseluruhannya pada September.

Inflasi keseluruhan juga telah menurun tetapi pengalaman di lapangan berbeza terutamanya didorong oleh kesan penurunan nilai Ringgit ke atas barangan isi rumah.

Penyelesaian memerlukan pembaharuan sistem dan mengambil masa bertahun untuk dilaksanakan, termasuk rancangan pemberian subsidi bersasar yang boleh menjejaskan sesetengah isu rumah tetapi dapat membantu yang lain.

Jumlah undi : 3,226

49%
51%

Guna agama raih sokongan

PMX didakwa menggunakan agama untuk menarik sokongan pengundi Muslim daripada PAS, yang telah berjaya meluaskan pengaruh pada PRU15 dan pilihan raya di enam negeri. Ini termasuk belanjawan besar sebanyak RM1.9 bilion untuk hal ehwal Islam dan pengenalan 40 hadis di sekolah, yang kemudian dijelaskan hanya untuk pelajar Islam sahaja. Tindakan Anwar memimpin syahadah seorang lelaki beragama Hindu kepada Islam- atas kapasiti peribadi- diraikan orang Islam tetapi menyinggung perasaan masyarakat Hindu.

Jumlah undi : 3,242

42%
58%

Katak politik masih wujud

“Kerajaan perpaduan” PMX dibentuk atas dasar memastikan kestabilan politik, namun peristiwa yang berlaku tahun lalu menunjukkan sebaliknya. Terdapat usaha untuk menggulingkan Hajiji Noor melalui pembelotan tetapi rancangan itu gagal.Kemudian bermula Oktober, beberapa ahli parlimen Bersatu ‘berpaling tadah” untuk menyatakan sokongan kepada PMX. Kedua-dua peristiwa itu menunjukkan di bawah PMX, dan di sebalik undang-undang antilompat parti, tiada jaminan mandat yang diberikan pengundi kepada wakil rakyat dihormati.

Jumlah undi : 3,102

55%
45%

Harapan Kami

Berikut adalah beberapa kesempatan besar yang kami harap akan ditumpukan PMX pada tahun keduanya.

Kebebasan institusi

Anwar yang dua kali disabitkan bersalah dan tiga kali dipenjarakan, telah lama menggesa reformasi pelaksanaan undang-undang dan layanan terhadap banduan.

Dengan majoriti dua pertiga, pentadbiran perdana menteri sepatutnya hanya memiliki halangan minimum untuk mengasingkan pendakwa raya daripada peguam negara, menjadikan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) lebih bertaring dan melaksanakan reformasi di penjara.

Reformasi lain yang diperlukan termasuk memansuhkan kuasa perdana menteri untuk melantik ketua pesuruhjaya SPRM dan pengerusi SPR.

Jumlah undi : 2,937

94%
6%

Manifesto yang mana satu?

Sukar untuk dipastikan apakah PMX mengotakan janji-janji PH memandangkan dia kini berada dalam kerajaan perpaduan. Semua parti dalam pentabdirannya setuju penubuhan jawatankuasa pemantauan politik bagi menyelaraskan manifesto mereka, tetapi hal itu tidak lagi kedengaran sejak Januari.

Jika PMX benar-benar bertanggungjawab, beliau perlu mendedahkan senarai semak - yang merupakan gabungan ikrar semua sekutunya - supaya kita boleh membuat penilaian terhadapnya apabila penggalnya berakhir. Jika tidak, ini akan menyebabkan dia tidak terikat kepada sesiapa.

Jumlah undi : 2,842

87%
13%

Kecacatan sistem pilihan raya

Perlu diakui undang-undang antilompat parti tidak akan berjaya dalam sistem first-past-the-post (pemenang undi terbanyak) kerana ahli parlimen boleh mengundi merentasi garis parti atau dengan hanya berkecuali untuk menghalang undi yang memerlukan majoriti dua pertiga.

Dengan majoriti dua pertiga - ironinya diperoleh menerusi ‘pembelotan’- pentadbiran PMX mempunyai peluang untuk menggantikan sistem FPTP kepada sistem perwakilan berkadar yang merupakan serampang dua mata.

Pertama, sistem perkadaran akan menyebabkan pembelotan tidak berkesan kerana bilangan ahli parlimen yang dimiliki sesuatu parti adalah berdasarkan peratusan undi yang diterima. Kedua, sistem sempama itu secara automatik akan menyelesaikan masalah gerimander kerana ia tidak memerlukan kawasan piliha raya.

Jumlah undi : 2,754

86%
14%

Sistem pengangkutan awam

Kediaman Anwar dekat dengan perhentian bas utama yang boleh membawanya ke MRT atau pusat bandar KL dengan hanya berjalan kaki. Sudah sampai masanya dia sedar bahawa kebanyakan kita tidak memiliki keistimewaan itu, yang kemungkinan besar tidak beliau manfaatkan.

Sekiranya PMX serius dalam mencapai matlamat sifar bersih dan produktiviti, beliau harus sedar bahawa cara terbaik adalah mengurangkan kereta di jalan raya dengan menambah baik sistem pengangkutan awam, yang malangnya hanya disebut satu perenggan dalam dokumen Ekonomi Madani.

Kami berharap perdana menteri akan mengemukakan pelan induk pengangkutan awam tahun depan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada kenderaan peribadi menjelang 2030.

Jumlah undi : 2,766

94%
6%

Kembalikan kegemilangan pendidikan negara

Sektor pendidikan sentiasa menerima peruntukan terbesar, namun pelajar Malaysia sering menunjukkan prestasi di bawah purata dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menilai pembacaan, matematik dan sains antara negara-negara OECD, termasuk negara jiran kita.

Hal ini antara lain telah mendorong ramai ibu bapa meninggalkan sistem pendidikan kebangsaan dan memilih sekolah swasta.

Dengan rangka tindakan pendidikan kebangsaan berakhir pada 2025, perdana menteri memiliki kesempatan untuk merancang langkah-langkah ke arah mewujudkan pemikir kritis dan masyarakat berpengetahuan tinggi, supaya menjelang 2030, sekolah awam akan menjadi pilihan pertama sekali lagi.

Jumlah undi : 2,731

98%
2%

Iklan

Apa kata pakar?

Penganalisis politik telah mengikuti tahun pertama PMX dengan teliti.

Dua daripada mereka - Wong Chin huat dari Universiti Sunway dan Syaza Syukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) percaya pencapaian terbesar Anwar ialah mengekalkan kuasa dan memastikan tiada kudeta politik.

Tetapi beralih ke tahun kedua, mereka percaya ada perkara yang perlu dilaksanakan beliau segera.

Wong Chin Huat
Penganalisis politik, Universiti Sunway
Wong Chin Huat
Pertama, memanfaatkan kedudukan yang semakin kukuh dengan membawa PN ke meja rundingan bagi mengadakan perjanjian damai. Kerajaan dan negara memerlukan kestabilan sebenar berasaskan saingan secara sihat, bukan dengan mendorong pembelotan.

Kedua, beliau perlu bijaksana dan mencari muafakat dalam memperkenalkan dasar baru atau inisiatif. Gaya impulsif beliau dalam memperkenalkan pembelajaran 40 hadis dan Minggu Solidariti Palestin mendatangkan akibat yang tidak perlu yang sepatutnya boleh dielakkan.
Syaza Syukri
Penganalisis politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Syaza Syukri
Kerajaan belum mengambil kesempatan sepenuhnya daripada majoriti besar yang diperolehnya untuk mendorong perubahan sebelum fasa bulan madu berakhir.

Kemajuan yang telah dicapai tidak dimaklumkan secara berkesan kepada orang ramai yang telah memberi tekanan kepada kerajaan dan meningkatkan risiko kalah dalam pilihan raya akan datang.

Apa pandangan anda?