Malaysiakini logo
main

Sarawak Mengundi 2021

Landskap politik Sarawak sentiasa mengalami perubahan. Tetapi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak 2021 bakal menyaksikan antara perubahan terbesar di negeri itu.

Pernah dikenali sebagai “deposit tetap” BN, kali ini BN Sarawak tidak akan membuat kemunculan rasmi memandangkan gabungan itu telah pun dibubarkan pada 2018.

Kali ini pengganti BN di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (PGS), serta beberapa parti lain, akan membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya.

PanduanKini kali ini akan menunjukkan prestasi parti-parti utama dalam PRN 2016, bagaimana peralihan sokongan memberi kesan kepada landskap politik dan beberapa naratif penting menjelang pilihan raya kali ini.

Iklan

Apa yang menjadi taruhan?

Adakah Abang Jo akan menang besar?

Pengerusi GPS Abang Johari Abang Openg akan berdepan ujian pilihan raya keduanya. semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, reputasinya tercalar apabila pembangkang berjaya menambah bilangan kerusi parlimen yang dipegang di Sarawak.

Susulan itu, dia meyakinkan parti sekutunya untuk menarik diri daripada BN dan membentuk gabungan baru yang menjalin kerjasama tidak rasmi dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.

Gabungan itu telah mendesak kerajaan persekutuan untuk memberikan lebih autonomi kepada Sarawak dan pengiktirafan yang lebih besar terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

Apakah usaha ini dapat menawan hati pengundi? Ia hanya akan terjawab dalam PRN ini. Jika tidak, Abang Johari mungkin berdepan kesukaran untuk mengekalkan kedudukan sebagai presiden PBB untuk penggal kedua, dan seterusnya sebagai ketua menteri.

Abang Johari Openg
Abang Johari Openg

Dapatkah PH Sarawak bertahan?

Di Sarawak, DAP dan PKR ibarat pasangan yang sudah dua dekad hidup tidak bahagia. Tidak banyak sinergi antara dua parti itu. Ada kala mereka bahkan meletakkan calon di kerusi yang sama.

Menuju hari penamaan calon, PKR Sarawak telah membuat kenyataan yang memberi isyarat bahawa ia tidak akan patuh kepada komitmen awal dalam perjanjian agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak.

Tidak seperti GPS, PH Sarawak juga memutuskan untuk tidak menggunakan satu lambang yang sama.

Dengan perpecahan ketara PH Sarawak menjelang PRN ini, persoalan yang bermain adalah jika gabungan itu akan dapat bertahan sehingga ke hari mengundi nanti.

Bendera tiga parti PH yang bertanding dalam PRN Sarawak
Bendera tiga parti PH yang bertanding dalam PRN Sarawak

Bagaimana dengan pencapaian PSB?

Selain Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pada 2006, tidak ada lagi parti pembangkang tempatan lain yang berjaya menang walau satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kali ini, PSB mungkin mempunyai peluang itu. Parti itu sudah pun disertai beberapa wakil rakyat veteran yang keluar dari parti lain (lihat jadual di bawah).

KawasanNama20162021
Ba'kelalanBaru BianPKRPSB
Batu LintangSee Chee HowPKRPSB
OparRanum MinaLangsung-BNPSB
EngkililiJohnical Rayong NgipaLangsung-BNPSB
DudongTiong Thai KingLangsung-BNPSB
Bawang AssanWong Soon KohLangsung-BNPSB

Lebih-lebih lagi, PSB juga telah mengambil beberapa nama besar dari BN dahulu seperti Tiki Lafe dan Joseph Entulu Belaun sebagai calon.

Berdasarkan senarai calon mereka setakat ini, PSB memberi tumpuan kepada kerusi luar bandar. Bagaimanapun, kegagalan memeterai perjanjian dengan PH mungkin menjejaskan peluang mereka.

Presiden PSB Wong Soon Koh
Presiden PSB Wong Soon Koh

Bilangan calon sepintas lalu

Parti/GabunganNumber of candidates
GPS82
PBK73
PSB70
Harapan62
Aspirasi15
PBDSB11
Sedar5
PAS1
Bebas30

Bertemu pesaing

Gabungan Parti Sarawak (GPS)

GPS ialah pengganti kepada BN Sarawak yang ditubuhkan pada 2018. Parti utama GPS ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Sejak era BN Sarawak, PBB telah diperuntukkan dan memenangi kerusi terbanyak.

Rakan komponen PBB sekarang ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dijangka PBB akan kekal sebagai parti paling dominan di Sarawak - tiada calon PBB yang kalah dalam pilihan raya sejak 1996. Tiga rakan komponen mereka bagaimanapun tidak sekuat itu.

Gabungan itu mengguna pakai slogan "Sarawak didahulukan" untuk kempen ini, bersama-sama dengan ikrar untuk memberi tumpuan kepada ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

Gabungan Parti Sarawak telah mentadbir Sarawak sejak lebih lima dekad..
Gabungan Parti Sarawak telah mentadbir Sarawak sejak lebih lima dekad..

Parti Bumi Kenyalang (PBK)

PBK ditubuhkan pada 2013. Pilihan raya ini merupakan penampilan sulung mereka. Ia diketuai oleh bekas ADUN Batu Lintang dan tokoh DAP Sarawak, Voon Lee Shan.

Parti itu meletakkan calon paling ramai daripada semua parti pembangkang.

Platform kempen utamanya adalah untuk kemerdekaan Sarawak berdasarkan Resolusi PBB 1514 (1960) (Deklarasi Pemberian Kemerdekaan kepada Negara dan Masyarakat Kolonial)

Parti Bumi Kenyalang adalah yang paling menonjol dalam kalangan parti yang mempunyai agenda pemisahan.
Parti Bumi Kenyalang adalah yang paling menonjol dalam kalangan parti yang mempunyai agenda pemisahan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB)

PSB bermula sebagai parti serpihan SUPP pada 2014 akibat pergeseran antara Wong Soon Koh dan kepimpinan parti.

Ia dijenamakan semula sebagai PSB pada 2018 dan disertai oleh beberapa ahli parlimen pada masa ini dan bekas ahli parlimen daripada PRS, PDP dan PKR.

PSB berkempen untuk menonjolkan parti itu sebagai parti tempatan, tidak seperti GPS yang bersekutu dengan gabungan parti dari Semenanjung Malaysia dan tidak

seperti Pakatan Harapan yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

PSB juga berkempen berdasarkan platform Perjanjian Malaysia 1963.

Parti Sarawak Bersatu terdiri daripada ramai bekas tokoh BN Sarawak.
Parti Sarawak Bersatu terdiri daripada ramai bekas tokoh BN Sarawak.

Pakatan Harapan

PH adalah gabungan parti politik dari Semenanjung Malaysia. Di Sarawak, ia terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

Gabungan ini akan menggunakan logo berasingan pada slip undi.

Pakatan Harapan diketuai Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Pakatan Harapan diketuai Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi)

Aspirasi ialah Parti Reformasi Negeri (Star) yang dijenamakan semula dan diketuai oleh Lina Soo.

Parti itu melancarkan piagam pilihan raya tahun lepas, termasuk mengadakan referendum kemerdekaan Sarawak dan jaminan pendapatan asas.

Aspirasi bersekutu dengan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Parti Aspirasi Rakyat Sarawak bercita-cita untuk mengadakan referendum kemerdekaan Sarawak
Parti Aspirasi Rakyat Sarawak bercita-cita untuk mengadakan referendum kemerdekaan Sarawak

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB)

PBDSB bercita-cita untuk menjadi pengganti kepada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah tidak berfungsi.

Parti itu berkempen atas platform Perjanjian Malaysia 1963 dan bersekutu dengan Aspirasi.

Parti Bansa Dayak Sarawak Baru berusaha menghidupkan semula kegemilangan masa lalu.
Parti Bansa Dayak Sarawak Baru berusaha menghidupkan semula kegemilangan masa lalu.

Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar)

Sedar merupakan salah sebuah parti terbaru di Sarawak. Ia ditubuhkan pada 2019 dan diketuai oleh ahli perniagaan, Othman Abdillah.

Antara lain, Sedar berjanji menyediakan pemberian wang tunai sebanyak RM100 sebulan kepada semua penduduk dewasa di Sarawak.

Parti Sedar Rakyat Sarawak merupakan parti terbaru yang menyertai landskap politik Sarawak.
Parti Sedar Rakyat Sarawak merupakan parti terbaru yang menyertai landskap politik Sarawak.

Kongsikan artikel ini

Kini News LabLogo Kini News LabKini News Lab

Kembali ke atas

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 1 Dis 2021.

  • Penyelaras projek
    Lee Long Hui
  • Penyelidik & Penulis
    Andrew Ong
  • Pengaturcara & Reka bentuk
    Yan Jing Tian, Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
  • Ilustrasi
    Syariman Badrulzaman & Yan Jing Tian
  • Penterjemah
    M Fakhrull Halim

Sumbang

Anda suka hasil kerja kami? Sumbanglah untuk projek yang akan datang.

Sokong kami

Logo Kini News Lab

Makmal Berita Kini adalah pasukan berita khas yang ditubuhkan oleh Malaysiakini pada tahun 2018.

Kini News Lab websiteKini News Lab TwitterKini News Lab Facebook