Sebesar mana Belanjawan 2025?

RM421 bilion

Peruntukan kali ini RM27.2 bilion lebih tinggi dari belanjawan tahun lepas.

Nota: Tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka

Untuk kemas kini terbaru, terus bersama kami di laman ini.

Kemas kini - 10:47 AM

Baru: Carta Peruntukan kementerian

Baru: Carta Pencen Ahli Parlimen

Baru: Bantuan khas penjawat awam

Budget 2025 visualised page illustration

Belanjawan 2025 merupakan belanjawan pertama yang melebihi RM400 bilion dan meneruskan trend peningkatan perbelanjaan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim.

Kali ini, peningkatan sebahagian besarnya kerana pertambahan peruntukan yang diperlukan untuk bayaran kepada penjawat awam.

Perkhidmatan awam dan pencen

Peningkatan perbelanjaan untuk penjawat awam adalah disebabkan Sistem Saraan Perkhidmatam Awam (SSPA) yang antara lain menaikkan gaji, elaun dan pencen untuk penjawat awam.

Ia membawa peningkatan sebanyak RM4.1 billion dalam jangkaan peruntukan untuk emolumen tahun ini, daripada RM95.6 billion kepada RM99.7 billion. Unjuran perbelanjaan untuk tahun depan pula berjumlah hampir RM106 bilion.

Kenaikan gaji juga diiringi dengan kenaikan bayaran pencen, dengan bayaran persaraan untuk tahun ini meningkat sebanyak RM1.6 bilion, iaitu daripada RM32.4 bilion kepada RM34 bilion.

Angka ini akan meningkat kepada RM40.6 bilion pada tahun depan.

Peningkatan perbelanjaan untuk dua perkara ini merangkumi lebih separuh peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2025.

Pencen MP tidak terkesan oleh SSPA, tapi peruntukan keseluruhan untuk tahun 2025 meningkat sebanyak RM3 juta.

Peruntukan untuk pencen yang terus meningkat sekian lama menjadi perhatian kerajaan - dan kerajaan masih meneroka jalan untuk menjadikannya lebih mapan.

Kerajaan juga berharap pertambahan pendapatan dapat meningkatkan motivasi sektor awam untuk menambah baik perkhidmatan.

Subsidi

Sementara itu, di sebalik cakap-cakap berkenaan pemotongan subsidi, kerajaan dijangka menambah RM8.6 bilion lagi ke dalam peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial tahun ini.

Dikatakan pertambahan ini antaranya disebabkan penangguhan pelaksanaan subsidi bersasar untuk RON95.

Namun, secara keseluruhan, perbelanjaan untuk subsidi menunjukkan penurunan dan kerajaan berusaha mengurangkan perbelanjaan untuk subsidi dan bantuan sosial agar tidak melebihi RM53 bilion tahun depan.

‘Menaikkan lantai’

Bagaimanapun, peningkatan perbelanjaan untuk penjawat awam dan pemotongan untuk subsidi tidak bermaksud Belanjawan 2025 tidak akan memberi manfaat kepada kita semua.

Salah satu agenda utama Belanjawan 2025 adalah “menaikkan lantai”, yang bermakna menambah baik mutu kehidupan rakyat.

Selain mengekalkan dan meluaskan bantuan sosial sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), salah satu aspek lain yang menjadi tumpuan adalah gaji lebih baik.

Kerajaan dijangka meluaskan dasar gaji progresif dan memperkenalkan kadar gaji minimum yang baru.

Tarikh
Semenanjung Malaysia
RM
Malaysia Timur
RM
2025 1700 1700
May 2022* 1500 1500
Feb 2020** 1200 1200
Jan 2019 1100 1100
July 2016 1000 920
Jan 2013 900 800
*Kadar 2022 hanya terpakai untuk majikan dengan pekerja kurang daripada lima orang, mulai Julai 2023
**Kadar 2020 hanya terpakai di bandar-bandar utama

Menanggung belanjawan

Peningkatan perbelanjaan untuk penjawat awam dan subsidi untuk tahun ini ditimbal dengan peningkatan hasil, yang dijangka melangkaui unjuran buat tiga tahun berturut-turut.

Peningkatan RM14.5 billion dalam unjuran hasil bagi 2024 antaranya disebabkan peningkatan cukai perkhidmatam, daripada enam peratus kepada lapan peratus, dan pengenalan cukai keuntungan modal.

Tahun belanjawan
Hasil yang dijangkakan
RM bil
Hasil yang disemak
RM bil
Perbezaan hasil
RM bil
2025
339.7 - -
2024
307.6 322.1 14.5
2023
291.5 315 23.5
2022
234 294.4 60.4
2021
236.9 233.8 -3.1
2020
244.5 225.1 -19.4

Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan

Peningkatan perbelanjaan

Belanjawan mengurus untuk tahun depan naik RM31.2 bilion berbanding Belanjawan 2024.

Sebanyak 55 peratus daripada jumlah itu, atau RM17.3 bilion, adalah disebabkan peningkatan emolumen dan pencen.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan tambahan RM3.9 bilion untuk caj khidmat hutang, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM54.7 bilion.

Sementara itu, belanjawan pembangunan tahun ini dijangka RM4 bilion lebih rendah berbanding rancangan asal, tampanya ekoran komitmen yang lebih rendah.

Kerajaan mengekalkan peruntukan yang telah disemak, iaitu RM86 bilion, untuk belanjawan tahun depan, dengan tumpuan antaranya untuk menambah baik jalan raya, pengangkutan awam, tibetan banjir dan perumahan awam.

Wang dari mana?

Walaupun dengan impak SSPA ke atas perbelanjaan, kerajaan juga dijangka memperoleh lebih banyak hasil daripada penjawat awam - gaji yang lebih tinggi menjadikan lebih ramai penjawat awam termasuk dalam kategori yang boleh dikenakan cukai pendapatan.

Ia menjadi salah satu faktor yang mendorong hasil cukai terus yang lebih tinggi bagi membiayai belanjawan tahun depan, selain peningkatan cukai pendapatan korporat.

Sementara itu, lebih banyak peruntukan untuk belanjawan tahun depan datang daripada cukai tidak langsung - kebanyakannya daripada peningkatan hasil cukai jualan dan perkhidmatan.

Satu lagi sumber cukai yang akan diperkenalkan pada tahun depan adalah cukai minimum global yang dikenakan ke atas syarikat multinasional.

Hutang dan defisit

Hasil yang lebih tinggi akan membantu mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, nisbah hutang kepada KDNK dijangka kekal 64 peratus.

Apa seterusnya

Perbelanjaan untuk emolumen dan pencen akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang, bermakna kerajaan perlu terus mencari jalan bagi menjana lebih banyak hasil untuk menampungnya.

Kerajaan juga perlu berdepan isu populasi menua, keselamatan makanan dan perubahan iklim.

Sebelum ini, kerajaan mengakui keperluan untuk memperluas asas cukai bagi mendambah dana. Namun selain isu cukai barangan mewah, persoalan jika sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikembalikan kekal diperkatakan.

Bagaimanapun, Anwar membayangkan GST tidak akan diperkenalkan selagi gaji minimum di tahap RM3,000 sebulan.

Rakyat juga perlu bersiap sedia dengan kemungkinan subsidi menyeluruh untuk RON95 akhirnya akan dihapuskan.

Peruntukan kementerian

Perubahan dalam perbelanjaan mengikut sektor

Bantuan khas penjawat awam

Berita terkini