Peruntukan Belanjawan 2026 dari Putrajaya adalah lebih kecil daripada yang diumumkan tahun lepas, kerana pentadbiran Anwar Ibrahim mengawal perbelanjaannya dan menghadapi tekanan daripada harga minyak global.
Ia juga merupakan pengurangan pertama sejak Belanjawan 2020.
Teruskan membaca untuk tinjauan mendalam berhubung bagaimana kerajaan menguruskan kewangannya tahun ini, serta cara perbelanjaannya pada tahun depan.
Belanjawan 2025 berkurang
Kerajaan mampu untuk kurang berbelanja pada tahun depan berbanding jumlah yang diumumkan untuk 2025 kerana belanjawan tahun ini juga telah mengecil.
Perbelanjaan kerajaan yang disemak semula bagi 2025 ialah RM412.1 bilion – pengurangan sebanyak RM8.9 bilion.
Kerajaan berkata penjimatan itu dicapai hasil kecekapan dalam perbelanjaan untuk emolumen dan penurunan pembiayaan hutang.
Perbelanjaan pembangunan turut berkurang sebanyak RM6 bilion, kepada RM80 bilion.
Jika kerajaan dapat mengekalkan perbelanjaan mengikut belanjawan menjelang akhir tahun, ia akan menjadi kali pertama dalam tempoh sekurang-kurangnya 37 tahun kerajaan berbelanja kurang berbanding belanjawan asal.
Tahun | Peruntukan RM bil | Dibelanja RM bil | Beza RM bil |
---|---|---|---|
2026 | 419.2 | - | - |
2025 | 421 | 412.1 | -8.9 |
2024 | 393.8 | 405.5 | 11.7 |
2023 | 386.1 | 407.4 | 21.3 |
2022 | 332.1 | 395.2 | 63.1 |
2021 | 322.5 | 334.5 | 12 |
2020 | 297 | 314 | 17 |
2019 | 314.6 | 317.5 | 2.9 |
2018 | 280.3 | 287 | 6.7 |
2017 | 260.8 | 262.6 | 1.8 |
*Angka 2025 adalah anggaran disemak semula
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan
Arkib dalam talian Parlimen, yang meliputi lebih tiga dekad, menunjukkan kerajaan telah berbelanja melebihi belanjawan sekurang-kurangnya sejak 1988.
Sebelum ini, kerajaan berada di landasan yang baik untuk berbelanja tidak melebihi belanjawan pada 2021, tetapi akhirnya berbelanja lebih RM12 bilion daripada yang diperuntukkan.
Daripada paras akhir baru RM412.1 bilion pada 2025, kerajaan merancang untuk membelanjakan tambahan RM7.1 bilion pada tahun depan, terutama bagi menampung peningkatan tahunan dalam perbelanjaan emolumen dan bayaran pencen.
Sementara itu, perbelanjaan pembangunan akan mencecah RM81 bilion, dengan antara tumpuan utama adalah penambahbaikan jalan raya dan tebatan banjir.
Selain itu, Anwar mengumumkan dalam ucapan belanjawannya bahawa RM50.8 bilion akan disalur oleh GLIC dan badan berkanun, serta pelaburan awam-swasta, menjadikan peruntukan keseluruhan Belanjawan 2026 sehingga RM470 bilion.
Dengan perbelanjaan yang dilihat lebih terkawal, kerajaan merancang untuk mengurangkan defisit fiskal kepada paras 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun depan.
Namun bukan semuanya positif buat Anwar.
Hasil untuk 2025 tak capai sasaran
Tahun ini menandakan berakhirnya kejayaan kerajaan mencatatkan hasil melebihi jangkaan selama tiga tahun berturut-turut.
Sebaliknya, anggaran yang disemak semula menunjukkan kerajaan akan memperoleh hasil RM334.1 bilion untuk tahun ini, iaitu RM5.6 bilion kurang daripada unjuran asal.
Tahun belanjawan | Hasil yang dijangkakan RM bil | Hasil yang disemak RM bil | Perbezaan hasil RM bil |
---|---|---|---|
2026 | 343.1 | - | - |
2025 | 339.7 | 334.1 | -5.6 |
2024 | 307.6 | 322.1 | 14.5 |
2023 | 291.5 | 315 | 23.5 |
2022 | 234 | 294.4 | 60.4 |
2021 | 236.9 | 233.8 | -3.1 |
2020 | 244.5 | 225.1 | -19.4 |
Sumber: Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan
Penelitian terhadap data menunjukkan penurunan tersebut sebahagiannya disebabkan oleh kutipan cukai pendapatan korporat yang lebih rendah berbanding jangkaan asal, walaupun masih lebih tinggi berbanding 2024.
Satu lagi faktor ialah cukai pendapatan petroleum yang lebih rendah ekoran kejatuhan harga minyak mentah.
Petronas terkesan
Kejatuhan harga minyak dijangka memberi kesan besar kepada Petronas.
Untuk 2026, Petronas akan mengurangkan dividen tahunan kepada kerajaan sebanyak RM12 bilion.
Subsidi dan bantuan
Namun, harga minyak yang lebih rendah mungkin memberikan kesan positif kepada kerajaan dari segi perbelanjaan subsidi.
Dengan pelaksanaan Budi95, harga minyak yang lebih rendah bermakna kerajaan akan membelanjakan dana yang lebih kecil untuk menampung subsidi petrol bagi rakyat Malaysia.
Mekanisme subsidi bersasar RON95 merupakan langkah terakhir dalam rancangan kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi.
Walaupun pada tahun ini kerajaan telah melebihi sasaran peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial sebanyak hampir RM4.5 bilion, pada tahun depan kerajaan menyasarkan untuk membelanjakan hanya RM49 bilion — hampir kembali kepada paras perbelanjaan sebelum wabak Covid-19.
Duit dari mana?
Walaupun hasil petroleum dan dividen daripada Petronas menurun, kerajaan menyasarkan kutipan hasil secara keseluruhan yang lebih tinggi pada tahun depan, iaitu sebanyak RM343.1 bilion.
Penurunan hasil daripada bahan api fosil itu antaranya ditampung dengan kutipan cukai pendapatan korporat dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijangka meningkat.
Apa seterusnya?
Walaupun kerajaan sedang mengurangkan kebergantungan terhadap petroleum, sektor itu masih dijangka menyumbang sekitar RM129 bilion kepada negara dari 2026 hingga 2028.
Jumlah ini merangkumi kira-kira 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kerajaan juga menyasarkan untuk menurunkan defisit fiskal kepada kadar 3.2 peratus daripada KDNK.