RM322.54 bilion
Peruntukannya ialah 25.54 bilion lebih tinggi dari belanjawan tahun lepas.
Ketika dilanda kemelut ekonomi, kerajaan selalunya mempunyai dana yang kurang untuk dibelanjakan. Ini dapat dilihat semasa kejatuhan harga minyak mentah pada 2016 dan 2017 yang menjejaskan pendapatan negara.
Tahun ini, berdepan Covid-19, ujiannya lebih mencabar berbanding krisis-krisis lampau, dan dijangka berlarutan sehingga 2021.
Untuk terus memacu ekonomi, kerajaan komited untuk mengekalkan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021. Tapi bagaimana kerajaan dapat berbelanja lebih dengan dana yang kurang? Caranya adalah dengan membuat lebih banyak pinjaman.
Dengan kemerosotan ekonomi dunia gara-gara Covid-19, harga minyak pun jatuh, dan ini menjejaskan cukai pendapatan petroleum kerajaan. Perniagaan gulung tikar dan kehilangan pekerjaan juga bermakna kerajaan kehilangan sumber cukai pendapatan dan cukai korporat.
Kesannya, kerajaan menganggarkan hasil 17.26 bilion lebih rendah berbanding anggaran awal untuk tahun 2020, sebelum wabak tercetus. Pemulihan pada 2021 juga dijangka berlaku dalam kadar perlahan.
Untuk tahun 2021, kerajaan turut menjangkakan hasil 7.4 bilion lebih rendah berbanding anggaran awal untuk 2020.
Ini tidak termasuk perbelanjaan yang harus dikeluarkan untuk menangani kesan Covid-19, seperti pakej rangsangan ekonomi dan kos bagi membendung virus itu.
Kerajaan merancang pebelanjaan sebanyak 297 bilion dalam Belanjawan 2020, tetapi ia kini dijangka meningkat menjadi 314.7 billion. Ini termasuk 38 bilion untuk pakej rangsangan ekonomi. Kesannya, kerajaan terpaksa memotong sebanyak 20.3 bilion perbelanjaan untuk hal-hal lain.
Kesan terhadap hasil pendapatan ini dapat menjelaskan keengganan Putrajaya untuk melakukan satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP). Negara dijangka berdepan cabaran serupa pada 2021.
Dalam Belanjawan 2020, kerajaan merancang untuk menampung 17.7 peratus(RM 52.57 bilion) belanjawan menerusi pinjaman dan aset kerajaan. Dalam Belanjawan 2021, ini dijangka meningkat ke 26.5 peratus (RM 85.47 bilion).
Perbelanjaan pembangunan, yang digunakan untuk hal-hal seperti pembinaan hospital dan sekolah, meningkat sebanyak RM13.18 billion.
Bagaimanapun, perbelanjaan mengurus yang digunakan untuk operasi kerajaan seperti membayar gaji dan sewa, berkurang sebanyak RM4.76 billion.
Satu kategori peruntukan baru diwujudkan tahun ini, iaitu Kumpulan Wang Covid-19, bertujuan untuk menangani wabak berkenaan.
Perang melawan Covid-19 akan menelan peruntukan besar dalam Belanjawan 2021, iaitu sebanyak 5.3 peratus.
Perbelanjaan pembangunan 21.4 peratus juga merupakan yang tertinggi sejak 2012. Dalam kemerosotan ekonomi, perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi membantu merangsang pertumbuhan ekonomi.
Covid-19 meletakkan negara dalam situasi yang tidak pernah didepani sebelum ini. Apa-apa pun langkah yang diambil, pasti ada akibatnya.
Kerajaan menjangkakan hasil RM236.42 billion pada 2021 tetapi merancang untuk membelanjakan RM322.54 billion bagi berdepan dengan wabak ini.
Begitu juga pada 2020, kerajaan membelanjakan RM314.7 billion berbanding unjuran hasil RM227.27 billion.
Pendek kata, kerajaan membelanjakan lebih daripada hasil pendapatannya.
Kesannya, defisit dijangka meningkat hampir dua kali ganda berbanding sasaran asal 3.2 peratus, menjadi 6.0 peratus untuk 2020 - tertinggi sejak 2009.
Kerajaan berharap dapat mengurangkannya ke 5.4 peratus pada 2021. Malaysia tidak mempunyai belanjawan surplus (perbelanjaan kurang daripada hasil) sejak 1997.
Bayangkan jika seseorang jatuh sakit, lalu keluarganya terpaksa meminjam wang untuk kos perubatan, maka untuk tahun-tahun mendatang, kewangan mereka akan mejadi lebih ketat kerana harus melunaskan hutang itu.
Begitulah untuk tahun-tahun mendatang, peruntukan lebih besar dalam belanjawan negara akan digunakan untuk melunaskan pinjaman, bererti semakin kurang peruntukan untuk pembangunan.
Carta di bawah menunjukkan perkadaran belanjawan tahunan yang diperuntukkan untuk membayar hutang.
Satu cara mengatasi hal ini adalah dengan mengembangkan ekonomi dengan lebih cepat, atau dalam kata mudahnya, jana lebih banyak wang berbanding yang dibelanjakan.
Tetapi dengan hutang yang tinggi dalam krisis ekonomi, tak banyak yang boleh dilakukan oleh negara, seperti orang yang ada banyak pinjaman, pasti tersepit bila dipotong gaji.
Inilah sebab mengapa kerajaan sentiasa cuba mengurangkan defisit.
Tetapi, usaha itu terhalang oleh kejatuhan harga minyak pada 2016-2017, pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2018, dan kini, wabak Covid-19 pada 2020-2021.
Nisbah hutang kepada KDNK juga melonjak sebanyak dua kali dalam masa 12 tahun, seperti yang dapat dilihat dalam carta di bawah.
Kerajaan ada menetapkan had berhubung berapa banyak pinjaman yang boleh dibuat berbanding KDNK, tetapi kerajaan juga telah menaikkan siling hutang ini.
Pada 2009, siling hutang dinaikkan dari 45 peratus ke 55 peratus untuk berdepan krisis ekonomi ketika itu.
Tahun ini, siling hutang dinaikkan lagi menjadi 60 peratus bagi berdepan dengan wabak Covid-19. Kerajaan dijangka memanfaatkan siling hutang itu sepenuhnya.
Seperti dilihat dalam carta di atas, sekali siling hutang dinaikkan, sukar untuk kerajaan menurunkannya ke takat sebelumnya.
Di akhirnya, Malaysia perlu menerima dan berdepan dengan hutang negara.
Tahun | Peruntukan |
---|---|
2021 | RM600* |
2020 | RM500* |
2019 | RM500* |
2018 | RM1,000 |
2016-2017 | RM500 |
2013-2015 | 1/2 bulan |
2011-2012 | 1/2 bulan |
PENDAPATAN BULANAN | BPR 2021 |
---|---|
Bantuan Prihatin Rakyat 2021 | |
< RM2,500 (Bujang berumur 21+) | RM350 |
< RM2,500 (Isi rumah mempunyai sehingga seorang anak) | RM1,200 |
< RM2,500 (Isi rumah mempunyai lebih seorang anak) | RM1,800 |
RM2,501 - RM4,000 (Isi rumah mempunyai sehingga seorang anak) | RM800 |
RM2,501 - RM4,000 (Isi rumah mempunyai lebih seorang anak) | RM1,200 |
RM4,001 - RM5,000 (Isi rumah mempunyai sehingga seorang anak) | RM500 |
RM4,001 - RM5,000 (Isi rumah mempunyai lebih seorang anak) | RM750 |
PENDAPATAN BULANAN | BSH 2020 |
---|---|
Bantuan Sara Hidup 2020 | |
< RM2,000 (Bujang berumur 40+) | RM300 |
< RM2,000 (Isi rumah) | RM1,000 + RM120/anak* |
RM2,001 - RM3,000 (Isi rumah) | RM750 + RM120/anak* |
RM3,001 - RM4,000 (Isi rumah) | RM500 + RM120/anak* |