Yang Baik, Mudarat, dan Hodoh tentang Industri Kuasa Arang Batu di Malaysia

Yang Baik, Mudarat, dan Hodoh tentang Industri Kuasa Arang Batu di Malaysia

Darshini Kandasamy & Edward Gomez

Timbunan arang batu di loji jana kuasa Kapar di Selangor, salah satu daripada beberapa loji terma arang batu di negara ini. Asap yang terbebas daripada cerobongnya dapat kelihatan dari sejauh 20km. Video oleh Mukhriz Hazim & Azudin Hidzir, Malaysiakini.

Siapa saja yang ingin berbicara tentang arang batu? Hampir tiada. Tetapi ia harus dibicarakan. Dengan ancaman perubahan iklim yang semakin meningkat, kuasa-kuasa dunia sedang beralih daripada sumber bahan api fosil. Malaysia juga berulang kali berikrar untuk melakukan hal sama. Masa kini kian suntuk.

Sempatkah Malaysia melepaskan kebergantungannya terhadap arang batu, bagi menepati janjinya sendiri untuk lebih mesra alam? Malaysiakini menyorot perniagaan tenaga arang batu di Malaysia.


PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelarkannya "kod merah buat manusia sejagat"

Dalam satu laporan yang menyentak kerajaan-kerajaan di seluruh dunia, ratusan saintis memberi amaran tentang pemanasan global melangkaui 2°C dalam abad ini.

Kegiatan manusia telah “secara terang” mengubah iklim bumi pada skala yang “tidak pernah berlaku sebelum ini”.

Melainkan tindakan drastik dan pantas diambil bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dan gas-gas rumah hijau lain yang memerangkap haba, perubahan cuaca lebih ekstrim dan akibat yang lebih mengerikan pasti menyusul. Malah, menurut pakar, kesan perubahan iklim telah pun berlaku di sini, bahkan di Malaysia.

Iklan

Laporan Panel Antara Kerajaan untuk Perubahan Iklim (IPCC), disiarkan PBB bulan lalu (Ogos) menyuarakan gesaan terbaru ke atas matlamat besar Perjanjian Paris 2015 - yang ditandatangani hampir 200 negara, termasuklah Malaysia - untuk mengehadkan pemanasan global ke takat bawah 2°C, dan seboleh-bolehnya ke paras 1.5°C.

Malah, Malaysia beberapa kali berikrar pada 2009 dan 2015 di Paris, untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijaunya secara bersyarat dan drastik - berjanji untuk akhirnya mengurangkan kadar pelepasan sekurang-kurangnya 35 peratus (berdasarkan takat pelepasan pada 2005) menjelang 2030.

Meskipun usaha sedang dijalankan ke arah itu, pengkritik menyifatkan ia tidak cukup untuk merealisasikan rancangan penyahkarbonan Malaysia. Lagi pula, arang batu yang merupakan pencemar paling buruk antara semua bahan api fosil, merupakan sumber terbesar tenaga elektrik di negara ini. Loji jana kuasa arang batu terakhir dijangka hanya akan berhenti beroperasi pada 2044, lebih dua dekad dari sekarang.

Nampaknya, sebagai maklum balas kepada tekanan global mengenai perubahan iklim, kerajaan baru pada bulan lalu telah mengemas kini komitmen 2015, dengan menyasarkan untuk menjadi sebuah negara neutral karbon seawal 2050, dan menghentikan pembinaan loji arang batu yang baru.

Pengkritik bagaimanapun menyifatkannya sebagai satu janji yang “kabur”.

Putrajaya masih belum tampil dengan perincian lanjut berhubung perkara ini.

Jadi, di manakah kedudukan kita hari ini? Adakah negara ini semakin hampir mencapai semua matlamat yang dijanjikannya? Atau sebenarnya lebih banyak pemasaran hijau (greenwashing - langkah syarikat memanipulasi imej mesra alam sebagai teknik pemasaran) berbanding perancangan hijau?

Loji jana kuasa arang batu di Malaysia

Import arang batu Malaysia semakin meningkat

Meskipun mempunyai rancangan jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan ke atas arang batu, sukar buat Malaysia merealisasikannya sekiranya tidak ada rangka tindakan yang komprehensif. Jika ada pun perubahan, penggunaan arang batu bahkan menjadi semakin meningkat.

Pada 2015, iaitu tahun Perjanjian Paris, Semenanjung Malaysia dan Sarawak secara keseluruhan menggunakan sebanyak 27.6 juta tan metrik arang batu. Pada 2018, ia meningkat menjadi 35.3 juta tan metrik.

Angka itu dijangka semakin meningkat, antaranya ekoran pengoperasian dua loji jana kuasa arang batu baru, iaitu Stesen Jana Kuasa Jimah Timur di Negeri Sembilan dan Balingian di Sarawak, pada 2019.

Berdasarkan data oleh agensi tenaga persekutuan dan Sarawak yang boleh diakses orang awam, penggunaan arang batu tahun lalu dianggarkan 42.9 juta tan metrik - hampir dua kali ganda daripada angka 2009 ketika Malaysia mula-mula membuat ikrar mengurangkan pelepasan CO2 -nya.

Sebanyak 94 peratus daripadanya digunakan untuk menjana tenaga elektrik.

Permintaan yang tinggi itu bermakna Malaysia mengimport semakin banyak arang batu setiap tahun, terutamanya untuk penggunaan di semenanjung.

Arang batu suatu ketika dahulu dihasilkan di Malaysia Barat, seperti di Batu Arang di Selangor - yang mendapat namanya daripada simpanan arang batu besar ditemukan British di situ pada awal 1900-an. Kini, Sarawak merupakan satu-satunya tempat di mana arang batu dilombong di Malaysia.

Kebanyakan arang batu yang dihasilkan di situ digunakan untuk menjana tenaga elektrik oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) milik kerajaan negeri, yang kemudiannya disalurkan ke grid tenaga negeri itu. Meskipun begitu, 75 peratus daripada kuasa di Sarawak bersumber daripada hidrokuasa. Arang batu tidak dilombong atau digunakan untuk penjanaan tenaga di Sabah.

Syarikat tenaga berkaitan kerajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan utiliti dominan di Malaysia, yang juga pembekal arang batu kepada loji-loji jana kuasanya di semenanjung dan pengeluar tenaga bebas (IPP) yang lain, dengan bekalannya datang dari seantero dunia.

Lebih 63 peratus arang batu datang dari negara jiran Indonesia, diikuti Australia (22 peratus), Rusia (14 peratus), dan Afrika Selatan (1 peratus).

TNB memperuntukkan RM9.1 bilion tahun lalu untuk mengimport arang batu. Begitupun, menurut laporan tahunan TNB bagi tahun 2020, arang batu “sentiasa manjadi dan akan terus menjadi sumber bahan api termurah di Malaysia”.

Tongkang arang batu menyusuri Sungai Mahakam di Samarinda, Kalimantan Timur. Kalimantan Timur merupakan kawasan eksport arang batu paling signifikan di Indonesia, dengan 200 juta tan arang batu dieksport pada 2011.
Tongkang arang batu menyusuri Sungai Mahakam di Samarinda, Kalimantan Timur. Kalimantan Timur merupakan kawasan eksport arang batu paling signifikan di Indonesia, dengan 200 juta tan arang batu dieksport pada 2011.

Ada apa dengan arang batu

Arang batu ialah sumber bahan api paling murah buat masa ini, juga yang paling kotor.

Secara ringkasnya, daripada semua bentuk bahan api fosil termasuk gas asli, minyak dan petroleum, arang batu membebaskan paling banyak CO2, yang merupakan gas rumah hijau yang wujud paling banyak.

Begitupun, bahan api arang batu masih lagi kekal menjadi sumber tenaga paling dominan di seluruh dunia.

Berdasarkan satu kajian yang disiarkan baru-baru ini dalam jurnal saintifik Environmental Research Letters, hanya lima peratus sahaja daripada loji kuasa di dunia ini - semua loji arang batu - menyumbangkan 73 peratus pelepasan karbon global oleh sektor tenaga.

Benar. Penjenayah utama, pelepas karbon tenaga tertinggi adalah berpusat di AS, Eropah, Asia Timur, dan India. Bukannya Malaysia.

Pun begitu, pelepasan CO2 negara ini menunjukkan peningkatan ketara - dari 187 juta tan kepada 248.8 juta tan, antara 2006 hingga 2019 - atau peningkatan sebanyak 33 peratus.

Bank Pembangunan Asia meletakkan Malaysia bersama-sama Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, sebagai lima pembebas tertinggi gas rumah hijau, yang secara kolektif bertanggungjawab ke atas pelepasan 90 peratus gas itu di rantau Asia Tenggara.

Meskipun begitu, seperti diutarakan bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin, jumlah gas rumah hijau yang dibebaskan Malaysia tidak mempunyai kesan signifikan di peringkat global.

Data PBB menunjukkan bahawa pada 2011, sektor tenaga menyumbangkan 76 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau Malaysia (72 peratus CO2). Begitupun, negara hanya menyumbangkan hanya 0.6 peratus sahaja daripada pelepasan gas rumah hijau global.

Oleh itu, kata Yeo, kita “tidak akan dapat mengubah dunia” meskipun kita mengurangkan seberapa banyak pelepasan gas sekalipun. Tetapi, itu bukanlah alasan untuk tidak berbuat apa-apa.

“Konsepnya sangat mudah … kita melakukannya bagi melunaskan bahagian (tanggungjawab) kita demi alam sekitar,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, mengurangkan jejak karbon arang batu di Malaysia adalah satu kemestian melangkaui tanggungjawab moral dan etika.

Ratusan ribu tan sisa berbahaya dikenali sebagai abu dasar (bottom ash) di kolam abu dasar yang luas. Gambar oleh Mukhriz Hazim, Malaysiakini.

Hidup dan mati

Perubahan iklim bukanlah satu-satunya pendorong di sebalik gesaan global untuk beralih daripada arang batu. Ia soal hidup dan mati.

Satu kajian di jurnal Cardiovascular Research melabelkan pencemaran udara yang disebabkan oleh bahan api fosil sebagai risiko keselamatan antropogen. Terma ini membawa maksud ia berpunca akibat aktiviti manusia.

Menggunakan data tahun 2015, kajian itu menemukan pencemaran udara sebagai satu “faktor risiko keselamatan global utama” - mengatasi AIDS/HIV, atau kebanyakan penyakit-penyakit bawaan vektor atau parasit.

“Ia jauh mengatasi (kehilangan jangka hayat) akibat semua bentuk keganasan, dan sepertiga lebih tinggi daripada (kehilangan jangka hayat) akibat merokok.”

Satu kajian Harvard menganggarkan bahawa 8.7 juta orang maut di seluruh dunia pada 2018 akibat pencemaran berkaitan bahan api fosil, terutamanya di China, India, Amerika Timur Laut, Eropah dan Asia Tenggara.

Angka itu bersamaan 18 peratus daripada jumlah kematian global tahun berkenaan, atau satu daripada setiap lima kematian.

Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa mengunjurkan lebih 614,000 kematian pramatang akibat pencemaran udara menjelang 2040 di Asia Tenggara - rantau yang mengalami peningkatan terpesat dalam permintaan tenaga elektrik.

Unjuran kematian itu akan berkurangan dengan ketara sebanyak 63.2 peratus dengan pelaksanaan lebih banyak amalan tenaga yang lestari, termasuklah yang selari dengan Perjanjian Paris.

Sebanyak 614,135 kematian pramatang daripada pencemaran udara diunjurkan menjelang 2040 di Asia Tenggara.

Bilangan itu akan berkurangan kepada 226,036 dengan amalan tenaga yang lestari

= 10,000 kematian pramatang

Sumber: IEA’s Southeast Asia Energy Outlook 2017

Tetapi, apakah penyebab kepada semua ini?

Semasa proses pembakaran arang batu, loji kuasa membebaskan bahan cemar yang toksik dan karsinogenik, termasuk nitrogen dioksida (NO2), karbon monoksida (CO) dan sulfur dioksida (SO2).

Tetapi, bahan berbahaya utama yang menjadi pembunuh dalam diam, ialah partikel halus dikenali sebagai PM2.5 yang apabila disedut, boleh mengendap di paru-paru, berpotensi menyebabkan barah, serangan jantung, asma, dan penyakit-penyakit lain, bahkan kematian.

Ia antara enam bahan cemar yang kepekatannya dikawal oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika memantau kualiti air.

Malaysiakini tidak dapat menemukan sebarang laporan kematian pramatang atau kesan kesihatan buruk akibat pencemaran udara berkaitan bahan api fosil di negara ini. Tetapi, penduduk kampung tempatan di pekan-pekan loji arang batu sudah lama mengadu berkenaan pencemaran sedemikian.

Satu kajian oleh sebuah hospital di Kuala Lumpur yang disiarkan awal tahun ini mencadangkan bagaimana zarah PM2.5 menjadi pembawa kepada virus Covid-19.

Bagaimanapun, harus diambil maklum bahawa loji terma bukanlah satu-satunya sumber pelepasan zarah berbahaya ini. Sumber-sumber lain termasuklah kenderaan dan alatan yang dikuasakan oleh diesel.

Sebuah loji tenaga arang batu di Selangor. Gambar oleh Mukhriz Hazim, Malaysiakini.

Bukan sahaja pencemaran udara, sebelum ini juga, nelayan ada membangkitkan mengenai kehidupan mereka yang terjejas gara-gara pembuangan debu arang batu dan tumpahan daripada tongkang arang batu yang terdedah, mencemarkan perairan Selat Melaka.

Bagi Aroe Ajoeni, satu sisi buruk perniagaan tenaga arang batu adalah kesan perlombongan arang batu terhadap alam sekitar dan komuniti setempat, yang selalunya tidak diberikan perhatian.

Pengkaji daripada kumpulan iklim Klima Action Malaysia (Kamy) itu berasal dari Kalimantan, tempat Malaysia mendapatkan banyak arang batunya.

Dia mengimbau mengenai ahli-ahli keluarganya yang terjejas gara-gara banjir, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan perlombongan di sana.

Perlombongan arang batu dipercayai antara punca berlakunya banjir besar di Kalimantan Selatan awal tahun ini, yang menyebabkan lebih 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Penduduk mengharungi banjir ketika menyelamatkan diri daripada rumah mereka di kampung Sungai Raya, daerah Banjar, Kalimantan Selatan.
Penduduk mengharungi banjir ketika menyelamatkan diri daripada rumah mereka di kampung Sungai Raya, daerah Banjar, Kalimantan Selatan.

“Perlombongan arang batu (di Indonesia) memang menggila. Ia berleluasa dan menjejaskan komuniti di sana secara langsung,” katanya.

Katanya, masalah itu diburukkan lagi dengan hakikat bahawa adalah amat sukar untuk menghitung kesan langsung kepada penduduk.

Di Sarawak yang mempunyai operasi perlombongan aktif, tiga pelombong pernah terbunuh dan ramai tercedera dalam satu letupan di lombong bawah tanah Selantik di Sri Aman, pada 2014.

Letupan seperti itu, meskipun langka, boleh terjadi akibat pengumpulan gas metana yang mudah terbakar dan debu arang batu.

PT Borneo Indobara, sebuah syarikat Sinar Mas, operasi melombong arang batu, di Asam-asam Basin, Gunung Meratus Tenggara. Gambar oleh Daniel Beltra, Greenpeace.

Apa sebenarnya dijanjikan Malaysia, dan apa yang telah dilakukan?

Cita-cita tinggi Malaysia untuk beralih daripada sebuah negara membangun yang bergantung pada arang batu, kepada sebuah negara yang mempunyai kesedaran tentangnya, bermula bertahun-tahun sebelum ratifikasi Perjanjian Paris lagi.

Pada 2009, semasa Persidangan Copenhagen PBB tentang perubahan iklim, perdana menteri ketika itu Najib Razak dengan tegas-berani mengumumkan hasrat kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas CO2 daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang 2020 - dibandingkan dengan takat pada 2005.

Dia mengulangi komitmen itu pada 2015 untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca daripada KDNK sebanyak 35 ke 45 peratus menjelang 2030.

Kedua-dua ikrar itu, sebahagiannya bergantung pada Malaysia menerima pembiayaan dan perpindahan teknologi daripada negara maju. Hal itu bagaimanapun tidak pernah terealisasi sepenuhnya. Najib ketika itu berkata:

“Saya tidak akan hanya menyalahkan negara maju. Saya akan beri komitmen Malaysia untuk pengurangan (gas CO2) pada kadar yang ketara, maknanya kita harus berbelanja (ke arah itu), dan kita akan lakukannya.” - Najib Razak

Langkah itu menerima pujian daripada negara lain sebagai merintis jalan dalam kalangan negara membangun dan rantau Asia Tenggara.

Namun, ia turut menjadi sasaran kritikan.

Antara yang mengkritik ialah Sharan Raj, Penyelaras Nasional Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim Parti Sosialis Malaysia (PSM). Dia menuduh Najib dan kerajaan “bermain helah kotor, dengan bergantung pada manipulasi statistik yang nampak cantik di atas kertas”.

Kata kuncinya ialah “intensiti pelepasan daripada KDNK”. Ini hanya membawa maksud bahawa dari tahun 2009 hingga tahun lalu, Malaysia menggandingkan pelepasan karbon mutlaknya dengan ukuran ekonomi nominalnya.

Sharan berkata bekas perdana menteri itu menetapkan duluan yang buruk di pentas antarabangsa dengan menggandingkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau kepada KDNK negara, berbanding menggunakan pelepasan mutlak atau total.

Ini kerana, kayu ukur itu tidak menggambarkan kepekatan sebenar gas berbahaya itu yang terbebas ke atmosfera.

“Selagi KDNK Malaysia terus meningkat, selagi kita tidak dilanda kemelesetan ekonomi, semakin mudahlah untuk Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan (intensiti pelepasan daripada KDNK).

“Kita boleh tampak (seperti) mencapai sasaran pelepasan kita, meskipun sebenarnya (berada di tahap) pelepasan CO2 positif atau menunjukkan peningkatan pelepasan karbon,” katanya.

Pada Ogos tahun ini, pentadbiran Muhyiddin Yassin mengemas kini komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca yang dibuat pada 2015 - dari 40 ke 45 peratus kepada KDNK - tanpa syarat.

Perjanjian Paris 2015

Suatu piagam antarabangsa tentang perubahan iklim membabitkan 196 buah negara. Ia lebih mendalam berbanding Protokol Kyoto (1997) yang tidak mengharuskan negara membangun untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

  • Melibatkan komitmen jangka masa panjang untuk mengehadkan peningkatan suhu global ke bawah 2°C selain berusaha untuk mengehadkannya lebih rendah lagi hingga 1.5°C.
  • Bagi mencapai sasaran suhu itu, pelepasan GHG mestilah memuncak secepat mungkin. Ini akan mengambil masa lebih lama untuk negara membangun.
  • Negara peserta mesti mempersiapkan, menyelenggara dan menerbitkan pelan tindakan komprehensif iklim kebangsaan (sumbangan yang ditentukan di peringkat kebangsaan atau NDC) untuk mengurangkan pelepasan.
  • Sasaran pengurangan pelepasan mestilah lebih tinggi daripada sasaran semasa dan disemak setiap lima tahun. Negara-negara juga mestilah berusaha ke arah mengurangkan hasil pengeluaran karbon.
  • Negara-negara maju harus menyumbangkan AS$100 bilion setahun menjelang 2020 (dilanjutkan sehingga 2025) untuk menyokong negara membangun dalam memerangi perubahan iklim.

Komitmen Malaysia

Komitmen
Mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 45% menjelang 2030, dibandingkan dengan takat pada 2005. 35% ditetapkan atas dasar tanpa syarat, manakala 10% bergantung pada penerimaan pembiayaan iklim, perpindahan teknologi, dan pembinaan kapasiti dari negara maju.
Tahun asas
2005
Pelepasan pada tahun asas
288,663 Gg CO2eq
KDNK pada tahun asas
RM543.578bil
Kerangka masa untuk pelaksanaan
2021-2030

Sumber: UNFCC

Tenaga arang batu lebih bersih dan momentum tenaga boleh diperbaharui

Dalam pada negara seperti banyak tersalah langkah, ada juga langkah yang mengikut haluan betul dalam menjadikan proses penjanaan tenaga daripada arang batu lebih ‘bersih’.

Malaysia mempunyai empat loji arang batu ultra-kritikal; reka bentuk moden yang bergantung pada suhu dan tekanan air yang amat tinggi bagi membolehkan pembakaran arang batu yang lebih sedikit untuk setiap megawatt-jam.

Ini menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi (sehingga 40 peratus) dengan pelepasan karbon dan bahan lain yang lebih rendah, serta lebih sedikit sisa.

Stesen Manjung 4 di Perak dengan kos RM6 bilion, yang mula beroperasi pada 2016 merupakan loji berkecekapan tinggi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Ia disusuli stesen Manjung 5 beberapa tahun kemudian.

Dua lagi loji ultra-superkritikal berkecekapan tinggi ialah loji kuasa Tanjung Bin Energy di Johor dan Jimah East Power di Negeri Sembilan.

Loji Jimah East Power berkapasiti 2,000 MW di Negeri Sembilan merupakan salah satu loji arang batu superkritikal yang membakar lebih sedikit arang batu dan membebaskan lebih sedikit gas rumah hijau.
Loji Jimah East Power berkapasiti 2,000 MW di Negeri Sembilan merupakan salah satu loji arang batu superkritikal yang membakar lebih sedikit arang batu dan membebaskan lebih sedikit gas rumah hijau.

Pentadbiran Najib turut memperlihatkan dorongan kuat ke arah meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Pelan Tindakan Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan (NREPAP) yang dilancarkan pada 2009 - disokong Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 dan penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) - berusaha meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan kuasa di negara ini.

Sejak kira-kira sedekad lalu, RE sememangnya dianggap sumber tenaga berdaya maju. Bagaimanapun, dasar 2009 itu berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan ke atas bahan api fosil dengan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih seperti solar, sisa bio dan air untuk menjana kuasa buat kediaman dan industri.

Usaha itu bukanlah semata-mata retorik.

Sepuluh tahun lalu, kurang satu peratus daripada kuasa elektrik di Malaysia dihasilkan daripada RE. Angka itu kini meningkat, dengan kerajaan memfokuskan untuk mencapai sasaran 31 peratus RE dalam kapasiti terpasang menjelang 2025.

Kuasa solar merupakan salah satu sumber tenaga boleh diperbaharui yang berdaya saing di Malaysia. Gambar oleh TNB.

Meskipun memuji usaha kerajaan dalam meningkatkan penggunaan tenaga RE dalam penjanaan kuasa negara, Sharan bagaimanapun kritikal terhadap sasaran kerajaan itu.

“Kapasiti terpasang”, katanya, merujuk kepada output maksimum yang boleh dihasilkan fasiliti tenaga, tetapi tidak menggambarkan output yang benar-benar terjana.

“Kapasiti terpasang ialah istilah tenaga yang digunakan untuk mengalihkan tiang gol.

“Ia tidak bermaksud Malaysia akan menjana 31 peratus (kuasa daripada sumber) tenaga RE menjelang 2025. Ia bermakna kita akan mempunyai kapasiti untuk melakukannya. Sama ada kita akan buat atau tidak (menjana sebanyak itu), tidak ditetapkan.”

Dia memberikan analogi:

Bahkan, unjuran kuasa untuk 20 tahun ke hadapan, secara jelas menunjukkan yang bahan api fosil, khususnya arang batu, masih memainkan peranan penting dalam matriks tenaga Malaysia.

Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Semenanjung Malaysia 2020 turut menyebut berkenaan 2.8GW kapasiti baru daripada arang batu yang akan menggantikan stesen kuasa arang batu yang akan berhenti beroperasi dari 2031.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegaskan jaminan terdahulu bahawa tiada loji arang batu baru yang akan dibina. Oleh yang demikian, kapasiti tenaga arang batu tambahan itu mungkin bermaksud lanjutan operasi kepada loji-loji sedia ada.

Jadi, kenapa tidak hapuskan terus penjanaan kuasa daripada bahan api fosil?

Pertama, Malaysia perlu menghentikan operasi stesen kuasanya. Ini bukanlah jalan keluar segera memandangkan wujudnya perjanjian jual beli kuasa.

Perjanjian jual beli kuasa merupakan perjanjian pembekalan elektrik jangka panjang antara pengeluar kuasa bebas - yang menjalankan operasi loji kuasa untuk menjana dan membekalkan grid kuasa kebangsaan - dengan kerajaan.

Di bawah perjanjian sedia ada, kebanyakan stesen kuasa terma arang batu yang aktif masih mempunyai satu atau dua dekad lagi tempoh perkhidmatan.

Kedua, seperti dijelaskan Yeo, satu perkara yang harus dipertimbangkan ialah beban dasar.

“Sebagai penggubal dasar, terutamanya dalam merancang … campuran penjanaan, kita harus sentiasa mengambil kira tiga perkara - kelestarian, kemampuan dan keselamatan.

“Dalam perancangan kuasa, kamu harus ada satu (sumber) tenaga beban dasar, (iaitu) elektrik yang kamu mesti sentiasa ada. Sebagai contoh, solar itu sekejap ada sekejap tak ada (intermittent), jadi ia tidak boleh menggantikan beban dasar.

“Jadi, sehinggalah biojisim, biogas atau hidro boleh memenuhi beban dasar, kita tidak akan sepenuhnya bebas daripada bahan api fosil.”

Sementara RE mungkin bukanlah tenaga beban dasar yang stabil, setidak-tidaknya buat masa sekarang, Yeo membangkitkan kemungkinan untuk gas asli dijadikan ‘bahan api peralihan’ (bridge fuel).

“Gas sebenarnya kurang berintesifkan karbon berbanding arang batu, sebanyak 30 peratus,” katanya.

Tetapi, adakah ia semudah itu?

Gas asli: Bahan api penghubung? Atau tak ada bezanya?

Gas asli telah lama mendapat julukan sebagai bahan api peralihan kepada RE.

Ideanya adalah untuk menggantikan tenaga lebih kotor seperti arang batu dengan gas, sebelum kemudiannya beransur-ansur mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga gantian itu dalam peralihan kepada RE.

Bagi penyokong idea ini, ini dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dalam jangka masa pendek.

Mengulas perkara ini, Ismail Sabri pada bulan lalu berkata bahawa “penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.”

Tetapi, ada juga yang tidak bersetuju dengan rancangan untuk beralih kepada gas. Sharan yang pernah menyokong idea ini, nampaknya sudah menukar fikirannya.

“Hujah itu dibuat sebelum musim Covid. Apa berlaku semenjak itu adalah terdapat penurunan yang sangat stabil pada harga RE dan (kita dapat melihat) penggunaan teknologi hijau dan boleh diperbaharui dengan pesat oleh banyak negara dunia.

“Jadi membina loji kuasa bahan api fosil yang baru, tidak kiralah gas atau diesel, sudah tidak munasabah lagi untuk Malaysia.”
“Jadi membina loji kuasa bahan api fosil yang baru, tidak kiralah gas atau diesel, sudah tidak munasabah lagi untuk Malaysia.” - Sharan Raj

RE sememangnya mengalami penurunan harga yang stabil sejak beberapa tahun ini sebelum menjunam pada 2020. Lagi pula, apa yang membuatkan tenaga bersih ini menarik, adalah tiadanya kos berulang untuk bekalan tenaga.

Contohnya, loji arang batu mempunyai perbelanjaan berulang untuk pembelian arang batu, tetapi tiada kos seumpama itu untuk mendapatkan cahaya matahari bagi kegunaan loji kuasa solar.

Teknologi dan inovasi yang pesat berkembang juga dijangkakan dapat menambah baik tenaga hijau. Satu kajian dari Australia yang menjalankan ribuan simulasi komputer, menemukan bahawa campuran RE - seperti solar, biobahan api dan hidro - sudah lebih dari cukup untuk menampung keperluan beban dasar negara itu.

Trend pengurangan kos RE ini dinyatakan TNB dalam laporan tahunan 2020nya, ketika menyebut tentang strategi tenaga lebih lestari yang diguna pakai olehnya.

“Kos elektrik yang diratakan dari solar kini adalah lebih murah berbanding gas, dan mungkin boleh menjadi setara harganya dengan arang batu tidak lama lagi.

“Semakin kita menghampiri kesetaraan harga, peralihan tenaga kita bukan hanya akan menjadi mesra alam tetapi juga berdaya maju dari segi ekonomi.”

Di sebalik itu, terdapat satu lagi masalah dalam mempromosikan gas sebagai bahan api peralihan menuju ke arah pilihan yang neutral-karbon, kata Tim Buckley, pakar dalam kewangan tenaga.

Gas tidak semestinya lebih bersih.

“Dalam sedekad ini, industri gas fosil global memberitahu kita bahawa gas ini adalah bahan api peralihan … tetapi, hari ini, masih benarkah begitu?

Jika kamu perlu kurangkan pelepasan (gas), kamu tidak kurangkan pelepasan dengan melabur untuk lebih banyak pelepasan,” kata Buckley, yang bertugas di bahagian Australia/Asia Selatan Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan (IEEFA).

Komponen utama gas asli ialah metana, iaitu salah satu gas rumah hijau. Meskipun ia tidaklah sebanyak CO2 di dalam atmosfera, tetapi ia 25 kali ganda lebih kuat memerangkap haba.

Kata Buckley, tidak banyak kajian yang dilakukan sebelum ini untuk menjejak pencemaran metana. Tetapi pengesahan satelit kini menjadikannya lebih mudah untuk mengesan punca pelepasan.

“Anda dapat lihat yang pelepasan datang dari lombong arang batu. Dan anda dapat lihat ia berpunca dari kebocoran saluran paip gas. Sekarang anda boleh jejak ia sehingga ke meter persegi yang terhampir. Jadi kita tahu angkara siapa sebenarnya.”

Yeo agak bersetuju dengan hujah itu.

“Masalah dengan gas ini ialah gas boleh bocor semasa pengangkutan, di dalam paip ... metana ialah gas rumah hijau yang jauh lebih kuat (potent) berbanding karbon dioksida. Kita perlu kaji pelepasan fugitif ini (kebocoran tak disengajakan) dan berapa banyak yang bocor keluar,” katanya.

“(Bagaimanapun) buat masa ini, anggapan umum dalam sektor kuasa adalah gas masih lebih bersih (berbanding arang batu). Lagipun, jika gas tidak lebih bersih, kita masih perlu fikir mengenai beban dasar.

“Hidro boleh menjadi beban dasar yang baik, asalkan kamu tak tenggelamkan hutan hujan yang besar (untuk tujuan itu).”

Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands. Gambar oleh TNB.

Semakin hampir, semakin baik?

Nampak gayanya, Malaysia di laluan betul untuk mencapai komitmennya bawah Perjanjian Paris. Bagaimanapun, terdapat pendapat bahawa dari segi penggunaan arang batu, Malaysia terlalu lama berselindung di sebalik kuasa-kuasa ekonomi besar.

“JIka kamu keluarkan India dan China, dan mula membandingkan negara kita dengan Vietnam dan Indonesia, kadar pertumbuhan (penggunaan) arang batu di sini sebenarnya agak mendadak (exponential).

“Kita telah terlalu lama berselindung di sebalik China yang merupakan negara besar. Itu sebenarnya agak menjengkelkan, kerana dari segi kapasiti tenaga dan kewangan kita, kita sebenarnya boleh buat lebih baik lagi,” kata Sharan.

Jadi adakah pelepasan karbon sifar bersih yang wajar menjadi sasaran sebenar? Ia dicapai apabila karbon yang dilepaskan ke udara tidak melebihi jumlah karbon yang disingkirkan dari udara.

Kerajaan lalu, termasuk pentadbiran Muhyiddin yang tumbang baru-baru ini, telah mengelak daripada menyatakan kesanggupan ke arah sasaran sifar bersih berkenaan.

Namun, China yang merupakan negara pengeluar karbon terbesar di dunia pun, turut menuju ke arah karbon sifar dan pengeluar bahan api Malaysia Petronas turut berazam untuk mencapai sasaran sama. Oleh yang demikian, penyelarasan semula terhadap komitmen negara wajar menyusul.

Sebab itulah ucapan Rancangan Malaysia ke-12 oleh Ismail Sabri, yang mana dia mengumumkan mengenai rancangan sifar bersih, dilihat tepat pada waktunya. Pun begitu, pengkritik menyorot bahawa dia gagal menyatakan tarikh akhir pelaksanaannya. Sebaliknya, dia hanya berkata Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal 2050.

Tambahan pula, pemeriksaan ke atas dokumen sebenar Rancangan Malaysia ke-12 mendapati ia tidak langsung menyebut tarikh akhir, hanya “dalam jangka masa panjang”.

Sharan dari PSM berkata, oleh yang demikian, tiada apa-apa yang mengikat perusahaan, industri dan kerajaan. Katanya, hal ini akan menjadi sangat berbeza sekiranya kerajaan menggantikan perkataan “seawal” dengan “selewat-lewatnya”.

“Kalau macam ini, (tahun) 2100 pun masih boleh diterima.

“(Menggantikan frasa “seawal” menjadi “selewat-lewatnya”) akan menggesa semua orang untuk menjadi selaras kerana mereka tahu kerajaan akan kuat kuasakan.”

Bagaimanapun, pakar turut memandang baik sesetengah bahagian dalam Rancangan Malaysia ke-12. Contohnya, rancangan untuk memperkenalkan dasar tenaga negara yang komprehensif berserta rangka menyeluruh, termasuk memperkenalkan penentuan harga karbon (carbon pricing), cukai karbon dan langkah-langkah lain.

Pendekatan sedemikian selari dengan gesaan oleh pakar untuk menggalakkan strategi penyahkarbonan dalam kalangan pemain industri.

Renato Lima de Oliveira, pembantu profesor di Asia School of Business, yang juga pakar politik persekitaran dan tenaga, berkata bahawa ia merupakan sebahagian daripada pendekatan ganjaran dan hukum (carrot and stick) yang diguna pakai negara lain.

“Kamu mempunyai dasar untuk mempromosikan RE, seperti permeteran bersih, tarif suapan (feed-in tariffs), pilihan solar berskala besar, subsidi kredit cukai dan kamu juga ada dasar untuk tidak menggalakkan bahan api fosil.”

Tetapi, seperti rancangan sifar bersih, masalahnya adalah perincian. Pendekatan pengurangan karbon yang khusus oleh Putrajaya hanya akan diumumkan selepas 2022.

Sekiranya Malaysia memerlukan dorongan untuk memenuhi janji-janji manisnya, kata Buckley, dorongan terbaik ialah duit..

“(Jadi) ia bukan tentang menutup sebegitu banyak loji di seluruh Malaysia dalam masa lima tahun akan datang. Ia tentang menyalurkan modal baru ke arah penyelesaian (yang tepat), dan dengan itu dapat memberikan anda 10, 20 tahun lebih masa untuk peralihan,” kata Buckey.

Yeo turut bersetuju. Katanya, beralih ke arah portfolio (pelaburan) yang lebih hijau, adalah langkah seterusnya yang wajar diambil.

“Ia sangat wajar kerana ia merupakan industri hijau yang boleh kita kembangkan. Jika kamu lihat sasaran RE kita, sebenarnya ia akan mencipta pekerjaan bersih (net job creation) sebanyak 50,000 pekerjaan hijau yang baru.

“Kemudian ia (boleh) membawa masuk pelaburan sebanyak RM33 bilion.

“Jadi kamu sedang bercakap tentang satu industri hijau serta seluruh ekosistemnya yang boleh kita bina,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, Malaysia sudah pun berada dalam kalangan pengeluar terbesar sel suria (photovoltaic cells) dan teknologi tenaga solar lain di peringkat dunia.

Empangan Sultan Mahmud di Kenyir
Empangan Sultan Mahmud di Kenyir

Dasar tenaga utama di Malaysia: Yang lama dan yang terkini

Ke mana kita selepas ini?

Oleh itu, jawapan paling jelas dalam menyingkirkan penggunaan arang batu yang kotor, adalah dasar konkrit yang mendesak ke arah tenaga bersih. Namun, meskipun dengan pengumuman terbaru oleh kerajaan, negara masih tiada rancangan yang jelas dan terang bagi menambah baik komitmen negara terhadap perubahan iklim.

Masih banyak perkara perlu dilakukan, khususnya penggubalan undang-undang yang tidak boleh sewenang-wenangnya diabaikan apabila bertukarnya menteri atau kerajaan.

“Satu duluan dari zaman (bekas perdana menteri Dr) Mahathir Mohamad adalah kebanyakan dasar-dasar ini diperkenalkan sebagai dasar eksekutif.

“Tak ada sokongan berkanun. Tanpa tindakan undang-undang untuk memperincikan sasaran, apabila menteri bertukar, menteri baru tidak perlu ikut (dasar itu),” kata Sharan.

Tekanan daripada kumpulan dan gerakan akar umbi, mungkin dapat mempengaruhi lebih banyak perubahan berkesan (robust); seperti di negara-negara yang lebih maju.

“Perkara utama dalam ekonomi politik mana-mana peralihan ialah tekanan masyarakat. Jika kamu lihat di mana (negara) dasar-dasar ini paling banyak diguna pakai, kamu akan lihat banyak aktiviti datang daripada NGO dan parti-parti hijau, mendorong masyarakat ke satu arah,” kata Lima de Olivera.

“Ia bukan hanya (pelaksanaan) dari atas ke bawah, bukan hanya keputusan kerajaan semata-mata, tetapi lebih kepada penggubal dasar didorong oleh tekanan dari bawah ke atas, dari seluruh masyarakat.”
“Ia bukan hanya (pelaksanaan) dari atas ke bawah, bukan hanya keputusan kerajaan semata-mata, tetapi lebih kepada penggubal dasar didorong oleh tekanan dari bawah ke atas, dari seluruh masyarakat.” - Renato Lima de Oliviera

Aroe dari Kamy turut bersetuju. Katanya, kumpulan keadilan iklim di rantau ini sedang bekerjasama dan berganding bahu untuk menuju ke arah itu.

“Kamy bekerja rapat dengan kumpulan keadilan iklim. Kami perlahan-lahan membina satu gabungan longgar baru yang dipanggil Ikatan Iklim Asia Tengara (Southeast Asia Climate Alliance).

Di penghujungnya, katanya, tiada jalan singkat dan ajaib untuk membawa negara keluar daripada kemelut arang batu.

Meskipun penting untuk Malaysia menetapkan sasaran yang tepat, tambahnya lagi, “kita tak perlukan janji-janji kosong”.

Nota Editor: Malaysiakini sudah menghubungi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mendapatkan ulasan. Seda berkata ia sedang mengumpulkan data dan akan mengeluarkan maklum balas tidak lama lagi, manakala pegawai kementerian pula tidak dapat memberikan maklum balas ekoran perubahan kerajaan yang berlaku pada masa laporan ini disiapkan.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 20 Okt 2021. Artikel ini disokong projek Asian Stories oleh Judith Neilson Institute, dengan kerjasama Tempo, Centre for Media and Development Initiatives, Tansa, The Australian Financial Review, dan Korea Center for Investigative Journalism (KCIJ)-Newstapa.

  • Penyelaras projek
    Darshini Kandasamy
  • Penyelidik & Penulis
    Darshini Kandasamy & Edward Gomez
  • Pengarang
    Aidila Razak
  • Videografer
    Mukhriz Hazim & Azudin Hidzir
  • Penyunting video
    Daniel Anthony
  • Pengaturcara & Reka bentuk
    Lee Long Hui, Hazman Hazwan Sulaiman & Ooi Choon Nam
  • Ilustrasi
    Syariman Badrulzaman & Darshini Kandasamy
  • Penterjemah
    Mohd Fakhrull

Sumbang

Anda suka hasil kerja kami? Sumbanglah untuk projek yang akan datang.

Kini News Lab

Makmal Berita Kini adalah pasukan berita khas yang ditubuhkan oleh Malaysiakini pada tahun 2018.

Kini News Lab websiteKini News Lab TwitterKini News Lab Facebook