Banjir Melaka: Penambakan dan perubahan iklim antara punca

Low Choon Chyuan7 Februari 2023

Sebelum menyalurkan air longkang ke laut, aliran angin monsun perlu membuat lencongan sejauh 600 meter kerana saliran dihalang oleh tanah buatan manusia yang baru. Kredit / Adrian Tang

Perubahan iklim mengakibatkan ribut dan banjir kilat yang lebih kerap di Melaka, dengan sistem perparitan bergelut untuk mengalirkan air ke Selat Melaka dengan cekap.

Memburukkan lagi keadaan, projek penambakan berskala besar di persisiran pantai Melaka telah mengganggu sistem perparitan.

Iklan

Di kawasan bandar Melaka, terdapat sebuah gerbang yang dihiasi dengan kepala gajah. Berjalan melaluinya akan membawa ke Kampung Budaya Chitty, rumah kepada Chitty Melaka atau India Peranakan.

Sejarah kampung ini boleh ditelusuri dari abad ke-15 Kesultanan Melaka dan ia merupakan satu-satunya komuniti Chitty di negara ini.

Bagaimanapun, di dalam negara, Kampung Chitty lebih dikenali sebagai kawasan yang sering dilanda banjir, dengan banjir kilat yang kerap dilaporkan di akhbar tempatan.

Tahun lalu sahaja, ia dilanda sekurang-kurangnya empat banjir. Dengan setiap episod banjir, nilai warisannya terhakis.

Perubahan iklim telah membawa perubahan dramatik dalam corak cuaca, dicirikan oleh peningkatan suhu dan peningkatan dalam kekerapan dan intensiti hujan. Ini telah menyebabkan kejadian banjir kilat yang lebih tinggi di kawasan bandar Melaka dan menyebabkan kerosakan yang ketara kepada masyarakat.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/86d947624acd233e9ec06ea149c422a6.jpg
Bila banjir kilat lebih daripada satu jam, Kampung Chitty akan banjir.

Dalam hal pencegahan banjir kilat, sistem perparitan memainkan peranan yang penting.

Bagaimanapun, projek tebus guna berskala besar di sepanjang pantai telah mengganggu keberkesanan sistem perparitan, menjadikan banjir kilat di Melaka lebih teruk.

Banjir apabila hujan selama sejam

Dorris Lee Choon Ying, seorang penduduk Kampung Chitty, telah mengalami sekurang-kurangnya empat banjir kilat dalam setahun, menjadikan kerja pembersihan selepas itu sebagai rutinnya.

“Pada hari pertama dan lima belas bulan lunar, kami sangat bimbang kerana air pasang besar. Bila hujan sejam, pasti banjir.

“Air sampai ke betis saya. Air akan surut dua jam selepas hujan berhenti.”

Setiap kali hujan, pesara guru itu akan menunggu di ruang tamunya, supaya dia dapat menyelamatkan perabotnya daripada musnah apabila paras air meningkat.

Dorris Lee di rumahnya di Kampung Chitty.
Walaupun Dorris Lee telah membeli sebuah rumah teres di tempat lain, dia tidak mahu berpindah dari Kampung Chitty kerana dia menyukai "semangat kampung" di situ.

Bagaimana jika hujan pada waktu malam? “Kadang-kadang hujan mula turun pada pukul 1 pagi atau 2 pagi, kemudian kami tidak tidur. Kami perlu berjaga sepanjang malam,” kata Lee.

“Bukan saya sahaja. Seluruh kampung akan bangun, dan kami akan berteriak sesama sendiri: ‘Hei, air telah naik!’”

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/fad1041d93f01dec2facc6b941f85105.jpg
Pembersihan rumah selepas banjir kilat sudah menjadi rutin penduduk kampung.

Kerana takut banjir lebih kerap

Banjir kilat akibat ribut telah menjadi masalah berterusan selama bertahun-tahun di Kota Laksamana, DUN di mana terletaknya Kampung Chitty, walaupun aduan penduduk kepada pegawai tempatan dan media.

Puan Chiew, pemilik kedai di Jalan Gajah Berang, mengeluh kerana barangan dan buku akaunnya musnah akibat banjir kilat. Kerugian itu meletihkan fizikal dan mentalnya.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan, kami hanya perlu membiasakan diri," katanya.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/19c5c640ad46705925c1c2b6fd85c7b1.jpg

Setiap kali hujan, Lee dan Chiew mendapati sistem perparitan mereka menghadapi masalah besar -- air di dalam longkang bertakung.

Seorang pemilik kedai menjual bumbung, yang hanya mahu dikenali sebagai Henry, melaporkan perkara yang sama. Malah, longkang di Taman Kota Laksamana hampir melimpah selepas ribut, katanya.

“Ia tidak akan melimpah, tetapi sukar untuk mengatakan (jika ini akan berubah). Kerana perubahan iklim, ia mungkin banjir pada masa hadapan.”

Perubahan iklim telah menyebabkan peningkatan kekerapan kejadian hujan lebat di Malaysia, di mana purata hujan harian adalah kurang daripada 10mm. Apabila lebih daripada 60mm hujan turun dalam tempoh dua hingga empat jam, banjir kilat berlaku di seluruh negara.

Data dari stesen cuaca Melaka menunjukkan bahawa perubahan iklim telah mengubah corak dan intensiti hujan. Pada 2020, Melaka mempunyai enam hari dengan taburan hujan melebihi 50mm, manakala pada 2021, terdapat 15 hari seumpamanya.

Iklan

Air longkang buat lencongan besar

Fokus penting rancangan pencegahan banjir jangka panjang Jabatan Alam Sekitar adalah untuk menaik taraf sistem perparitan semasa.

Adun Kota Laksamana Low Chee Leong memberitahu Malaysiakini bahawa projek penambakan telah mengganggu sistem perparitan Melaka, mengakibatkan air hujan dialihkan dan bukannya dilepaskan terus ke laut.

Low cuba membangkitkan isu ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu. Sebagai maklum balas, Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata terdapat empat saluran utama parit monsun di Kota Laksamana.

Semasa hujan, air hujan berhampiran kawasan Kampung Chitty akan mengalir melalui longkang monsun Kota Syahbandar dan akhirnya dialirkan ke Selat Melaka.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/326f4342a9f014f44daf90a1118bbb6e.jpg
Low Chee Leong

Bagaimanapun, Low mendapati projek penambakan telah dibina di alur keluar longkang, menyebabkan air hujan mengambil lencongan yang ketara sebelum dilepaskan ke laut.

Pengukuran pada imej satelit telah menunjukkan bahawa pintasan air ini sepanjang 600 meter, melambatkan masa untuk air hujan mengalir ke laut.

“Reka bentuk ini tidak masuk akal. Aliran monsun adalah sebahagian daripada sistem saliran utama. Secara teorinya, air di longkang utama monsun sepatutnya dilepaskan terus ke laut, tetapi tiba-tiba, ia terpaksa melencong.”

Low berkata longkang monsun Kota Syahbandar mempunyai kadar pelepasan air yang perlahan, dan longkang monsun Taman Kota Laksamana terpaksa menanggung beban longkang monsun Kota Syahbandar.

Akibatnya, kedua-dua longkang monsun tidak dapat mengeluarkan air hujan dengan berkesan.

“Apa yang kita hendak tanya, kenapa buat penambakan di saluran keluar parit monsun utama? Saya mengesyaki ini adalah punca banjir kilat di bandar Melaka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Enam kawasan lain mungkin terjejas

Selain Kampung Chitty, kawasan mudah banjir lain di Kota Laksamana termasuk Tengkera, Gajah Berang dan Jalan Ong Kim Wee. Kawasan-kawasan ini bergantung kepada saluran keluar parit monsun Kota Syahbandar untuk mengeluarkan air.

Sumber yang biasa dengan perkara itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana takut akan tindakan daripada pihak berkepentingan, berkata pemaju harus mereka bentuk sistem perparitan tanah tambakan dengan betul.

“Sebenarnya, pemaju perlu membina saluran keluar parit monsun, supaya air boleh keluar terus ke laut. Sementara itu, kolam tadahan baru perlu dibina untuk menampung air.

"Jika anda tidak mempunyai rancangan ini, air akan mengalir keluar ke permukaan."

Kota Laksamana kini mempunyai empat kolam tadahan. Bagaimanapun, sumber itu berkata kolam itu bertakung dan jumlah air hujan melebihi kapasitinya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ketua Menteri Melaka untuk mendapatkan balasan mereka.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 7 Februari 2023. Laporan ini dihasilkan dengan sokongan Internews' Earth Journalism Network and Climate Tracker.

Penyelaras projek
Ooi Choon Nam
Penyelidik & Penulis
Low Choon Chyuan
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam & Muhamad Hafiz
Jurugambar & Juruvideo
Low Choon Chyuan
Ilustrasi
Syariman Badrulzaman
Penterjemah
Wahyudi Yunus
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.