Siri 1

Berapa banyak pencen wakil rakyat?

Ooi Choon Nam | 19 Jun 2024

Malaysiakini cuba menganggarkan jumlah pencen dan faedah persaraan yang dinikmati oleh ahli politik.

Awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ahli politik yang memegang beberapa portfolio atau jawatan dalam kerajaan harus "bertanggungjawab secara moral" dengan memilih hanya satu skim pencen, tetapi keputusan itu terpulang kepada mereka.

Di Malaysia, seseorang yang memegang jawatan di parlimen, DUN, kabinet persekutuan atau exco - serentak atau pada masa yang berbeza dalam kerjaya mereka - boleh mendapat pencen daripada setiap jawatan tersebut.

Tetapi berapa banyak bayaran dalam nilai ringgit? Menggunakan data terbuka, artikel ini cuba menganggarkan angka duit pencen yang menanti wakil rakyat yang dipilih pada dua pilihan raya umum lepas sebaik sahaja mereka bersara.

Untuk makluman, anggota parlimen merujuk kepada kedua-dua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara (juga dikenali sebagai senator).

Anggarkan berapa pencen bulanan ahli parlimen yang dipilih pada PRU14 dan PRU15.

Klik pada nama untuk maklumat lanjut mengenai jawatan dan butiran pencen mereka.

Shafie Apdal Warisan 2 40,664 ℹ️
Idris Jusoh BN Umno 2 39,082 ℹ️
Muhyiddin Yassin PN Bersatu 2 37,640 ℹ️
Najib Abdul Razak (hilang kelayakan) BN Umno 2 36,963 ℹ️
Azmin Ali PN Bersatu 2 36,707 ℹ️
Jeffrey Kitingan GRS Star 2 36,285 ℹ️
Mahdzir Khalid BN Umno 2 35,082 ℹ️
Shahidan Kassim PN PAS 2 34,082 ℹ️
Azizah Mohd Dun GRS GRS 2 33,109 ℹ️
Johari Abdul PH PKR 2 32,707 ℹ️
Ke muka surat: of 33
Sumber: Sumber: Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan), pengiraan Malaysiakini.
Nota:
-Dijangkakan tempoh perkhidmatan ahli parlimen dan Adun penggal sekarang 4 tahun dan 4 bulan.
-Untuk pencen ADUN, jumlah dikira berdasarkan pendapatan ADUN terkini. Namun, ini mungkin lebih tinggi dari apa yang diterima oleh seseorang wakil rakyat yang disenaraikan di atas kerana mereka mungkin berkhidmat sebelum elaun ADUN dinaikkan.
Ada kesilapan? Hubungi kami di [email protected].

Apakah pelbagai pencen yang boleh diterima oleh ahli politik?

Ringkasnya, pencen yang berbeza untuk ahli politik dibahagikan kepada dua - pencen persekutuan dan pencen negeri.

Pencen persekutuan diberikan kepada ahli parlimen (sama ada ahli Dewan Rakyat atau senator Dewan Negara), speaker atau timbalan speaker kedua-dua dewan dan ahli cabang eksekutif (perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri atau timbalan menteri).

Jika seseorang itu ahli parlimen (di Dewan Rakyat atau Dewan Negara) serta menteri persekutuan, mereka akan mendapat pencen yang dikira daripada gaji tertinggi antara kedua-duanya.

Begitu juga di peringkat negeri, terdapat pencen untuk Adun.

Lompat ke
icon
Ringkasan pencen ahli parlimen
icon
Kalkulator pencen ahli parlimen
icon
Kalkulator pencen Adun
icon
Undi sekarang

Maksudnya, perdana menteri mungkin pemegang jawatan eksekutif tertinggi tetapi mungkin tidak mendapat pencen tertinggi.

Sebagai contoh, Anwar Ibrahim hanya layak mendapat pencen bulanan RM23,296 kerana dia pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen dan anggota kabinet tetapi tidak pernah berkhidmat sebagai Adun atau exco. Jumlah ini hanya lebih tinggi sedikit berbanding pencen seorang menteri yang boleh menerima bayaran RM18,582 sebulan.

Bagaimanapun, ini bukan satu-satunya faedah yang dia akan dapat apabila bersara. Seorang bekas PM mendapat elaun dan keistimewaan yang ditentukan oleh kabinet. Berapa banyak? Kami tidak tahu. Butirannya tidak didedahkan kepada umum.

Gaji Menteri / Speaker

Jika PM tak dapat pencen tertinggi, siapa yang dapat?

Mereka yang berkhidmat memegang jawatan tertinggi di peringkat persekutuan dan negeri mendapat pencen terbesar.

Ambil contoh Shafie Apdal. Dia berkhidmat sebagai menteri persekutuan serta ketua menteri Sabah.

Bagi perkhidmatannya, dia layak mendapat jumlah pencen sebanyak RM40,664 sebulan.  Pencen sebagai ketua menteri dan Adun RM22,082 manakala RM18,582 atas perkhidmatan sebagai menteri persekutuan dan anggota Dewan Rakyat.

Terdapat beberapa lagi seperti Shafie. Idris Jusoh pernah menjadi menteri besar Terengganu dan menteri pesekutuan. Azmin Ali turut pernah memegang jawatan menteri besar Selangor dan kemudian menteri persekutuan. Begitu juga bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi menteri besar Johor. Mereka boleh mendapatkan pencen lebih RM35,000 sebulan untuk setiap seorang.

Walaupun bekas PM dan bekas menteri besar Pahang Najib Razak berada dalam senarai lima teratas dengan pencen RM36,963 sebulan namun dia telah hilang kelayakan itu selepas disabitkan hukuman penjara kerana rasuah.

Mari kita jadi MP olok-olok! Berapa banyak pencen yang boleh anda dapat jika anda seorang wakil rakyat?

Lihat berapa banyak pencen dan gratuiti yang anda boleh dapat apabila anda memilih jawatan atau bulan perkhidmatan yang berbeza.

Saya mahu menjadi ahli
Elaun bulanan:
RM 16,000

Jawatan:

Gaji: RM 0

*Bulan perkhidmatan:
(4 tahun 2 bulan)
Pencen (bulanan):
RM5,556
**Gratuiti (sekali):
RM200,000
*Secara umumnya, seseorang boleh diberikan pencen selepas berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan dan berhak mendapat maksimum 60 peratus daripada gaji tertinggi mereka selepas berkhidmat lebih dari 86.4 bulan (7.2 tahun).
**Amaun gratuiti hanyalah anggaran am. Dalam sesetengah kes, bulan perkhidmatan dihadkan.
Sumber: Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, pengiraan Malaysiakini

Biar betul? Pencen negeri lagi banyak dari pencen persekutuan?

Pencen yang dikeluarkan kepada mereka yang berkhidmat di peringkat negeri ditentukan oleh undang-undang negeri.

Setiap negeri mempunyai perundangan yang berbeza dan oleh itu angkanya juga berbeza dari negeri ke negeri.

Sarawak paling pemurah; gaji premier RM39,000. Pada masa sama, elaun bulanan Adun Sarawak RM15,000.

Di Sarawak, pencen maksimum wakil rakyat ialah 50 peratus daripada gaji tertinggi yang dikeluarkan. Ini bermakna, premier Sarawak mendapat pencen RM27,000 sebulan selepas bersara.

Gaji ketua menteri Sabah kedua tertinggi RM33,033. Gaji menteri besar Terengganu dan Pahang juga masing-masing mencecah RM30,000. Ini bermakna pencen mereka sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, tidak termasuk pencen sebagai Adun.

Dari segi gaji Adun yang mempunyai jawatan exco, Sarawak masih mendahului senarai dengan RM42,000, menghasilkan pencen RM21,000 sebulan selepas bersara. (Di Sarawak, pihak eksekutif dikenali sebagai kabinet dan ahli kabinet Sarawak ialah menteri.)

Katakan anda seorang Adun. Berapa pencen yang anda boleh dapat?

Lihat berapa banyak pencen dan gratuiti yang anda boleh dapat apabila anda memilih jawatan atau tempoh perkhidmatan yang berbeza.

Pilih negeri

Elaun bulanan Adun:
RM 11,250

Jawatan:

Gaji: RM 0

*Bulan perkhidmatan:
(4 tahun 2 bulan)
Pencen (bulanan):
RM3,906
**Gratuiti (sekali):
RM140,625
*Secara amnya, seseorang boleh diberikan pencen selepas berkhidmat lebih dari 36 bulan dan berhak mendapat pencen maksimum 50 atau 60 peratus, bergantung kepada negeri.
**Amaun gratuiti hanyalah anggaran am. Dalam sesetengah kes, bulan perkhidmatan dihadkan.
Sumber: Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) , pengiraan Malaysiakini

Berapa pencen speaker, timbalan speaker?

Pencen Dewan Rakyat dan speaker Dewan Negara dan timbalan speaker ditadbir di bawah undang-undang yang sama seperti pencen bagi ahli parlimen dan eksekutif persekutuan. Mereka meraih imbalan jauh lebih tinggi dari apa yang diperolehi oleh menteri persekutuan.

Ini bermakna, seseorang yang berkhidmat di peringkat negeri dan juga speaker Dewan Rakyat boleh mendapat lebih banyak pencen berbanding apa yang dinikmati oleh seorang perdana menteri.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menjadi contoh utama. Selain jawatan di peringkat persekutuan, dia kini atau pernah berkhidmat dalam jawatan berikut:

- Timbalan speaker Dewan Rakyat

- Adun Perak

Untuk perkhidmatannya, selepas bersara dia boleh mendapat pencen kira-kira RM34,550 sebulan

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang juga bekas Adun di Kedah berhak mendapat pencen RM32,707 sebulan.

Macam mana pula ada ahli politik dapat lebih dari dua pencen - DUN dan persekutuan?

Ini terjadi apabila ahli parlimen telah berkhidmat sebagai Adun di beberapa negeri sepanjang kerjaya mereka.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution yang sekarang senator pernah menjadi Adun di Pulau Pinang dan Kedah pada masa yang berbeza. Ini bermakna dia layak mendapat pencen sebanyak RM26,932 sebulan.

Ahli parlimen lain seperti ini termasuk bekas ahli parlimen Kampar Thomas Su Keong Siong, bekas ahli parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan bekas ahli parlimen Alor Setar Chan Ming Kai juga berhak mendapat tiga pencen apabila bersara.

Selain daripada pencen yang disenaraikan di sini, seorang wakil rakyat juga berhak mendapat pencen lain.

Ini jika mereka juga pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi ia tidak dibincangkan dalam artikel ini kerana data terbuka mengenai perkara ini terhad.

Lompat ke
icon
Ringkasan pencen ahli parlimen
icon
Kalkulator pencen ahli parlimen
icon
Kalkulator pencen Adun
icon
Undi sekarang

Adakah pencen MP kekal statik sepanjang masa?

Tidak, pencen ahli parlimen juga diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus.

Tetapi adakah pencen ahli parlimen setanding dengan perkhidmatan awam secara umum?

Topik pencen ahli parlimen mendapat perhatian umum selepas kerajaan akan mempertimbangkan untuk memansuhkan pencen tradisional bagi pekerja baru dalam perkhidmatan awam dan menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Majikan (KWSP).

Pada masa sama, terdapat lebih banyak tekanan orang ramai supaya pencen wakil rakyat dan menteri dimansuhkan dan bukannya pencen penjawat awam, tetapi tidak semua ahli parlimen bersetuju dengannya.

Jadi apa perbandingan lebih tepat?

Perbandingan antara pencen MP* dan guru

Mengikut undang-undang, ahli parlimen dan penjawat awam berhak mendapat pencen maksimum 60 peratus daripada gaji tertinggi atau gaji terakhir mereka.

Bagaimanapun, seorang ahli parlimen hanya perlu berkhidmat selama 7.2 tahun untuk layak mendapat pencen maksimum manakala seorang penjawat awam mengambil masa 30 tahun.

Seorang anggota Dewan Rakyat biasa boleh mendapat pencen bulanan RM9,600 apabila mereka berkhidmat lebih dari 7.2 tahun.

Sebagai perbandingan, seorang guru biasa mungkin layak mendapat pencen bulanan RM6,000 selepas berkhidmat selama 30 tahun dan bersara di gred perkhidmatan awam DG54, dengan gaji terakhir dikeluarkan sekitar RM10,000.

Sementara itu, anggota Dewan Rakyat yang berkhidmat selama tiga tahun layak mendapat pencen bulanan RM4,000 manakala guru yang berhenti selepas tiga tahun tidak mendapat apa-apa pencen. Seorang penjawat awam perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun untuk mendapat pencen.

Bagaimana kami anggar jumlah pencen?

Amaun pencen yang layak bagi setiap ahli parlimen tidak didedahkan secara terbuka.

Oleh itu, kami menggunakan formula yang dinyatakan dalam akta dan enakmen negeri masing-masing untuk menganggarkan jumlah pencen yang layak diterima oleh wakil rakyat selepas bersara.

Di peringkat persekutuan, fasal mengenai pencen dinyatakan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Cara pengiraan pencen ahli parlimen

Akta tersebut menjelaskan pencen hendaklah dikira “atas asas gaji sehabis tinggi yang diterima oleh ahli atau anggota dalam apa jua tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira.”

Undang-undang itu memperuntukkan seorang ahli parlimen boleh diberikan pencen jika dia telah menyelesaikan 36 bulan (tiga tahun) "perkhidmatan yang boleh dimasuk kira" hanya apabila berumur 50 tahun dan tidak lagi memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian.

Jika orang itu meninggal dunia, diisytiharkan tidak waras atau parlimen bubar sebelum mereka berkhidmat 36 bulan, mereka akan dianggap layak secara automatik untuk pencen, pada kadar minimum.

Sekiranya seseorang ahli parlimen meninggal dunia, pencen boleh diberikan kepada tanggungan mereka, seperti balu atau duda dan anak mereka.

Apakah “gaji” yang digunakan untuk kira pencen?

Terdapat tiga kategori “gaji” menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

kategori gaji

Dalam kes ini, walaupun wakil rakyat telah memegang pelbagai jawatan - seperti anggota Dewan Rakyat, senator, menteri atau speaker Dewan Rakyat - hanya gaji tertinggi itu, ditambah elaun asas sebagai ahli parlimen yang diambil kira.

Ahli parlimen juga berhak menerima gratuiti sekali sahaja selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu. Ini cara ia dikira:

Cara pengiraan gratuiti ahli parlimen

Namun, terdapat beberapa pengecualian dalam formula tersebut.

Contohnya, jika anggota pentadbiran berkhidmat lebih dari enam tahun sebagai ahli parlimen atau anggota pentadbiran (menteri persekutuan atau timbalan menteri) maka hanya tempoh perkhidmatan sebagai angota pentadbiran sahaja yang akan diambil kira.

Di beberapa negeri seperti Sabah, tempoh perkhidmatan juga dihadkan kepada enam tahun.

Apa amalan negara lain?

Di Singapura, pencen untuk bekas ahli parlimen dan menteri telah dimansuhkan pada 2012.

Ahli parlimen Singapura hari ini tidak menerima pencen dan ahli parlimen yang dipilih sebelum 1995 yang layak mendapat pencen telah dibekukan pencen mereka pada 20 Mei 2011.

Mereka akan menerima pencen yang dibekukan sebaik sahaja mereka berundur sebagai ahli parlimen.

Patutkah kita ikut S’pura hapus pencen ahli parlimen?

Pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid percaya langkah demikian merupakan cara yang perlu dilaksanakan, terutamanya jika kerajaan sedang melihat kepada pembaharuan skim pencen perkhidmatan awam.

Malah, katanya, kerajaan perlu mengutamakan memansuhkan pencen bagi ahli parlimen dan menteri, di samping memastikan pencen diteruskan untuk sektor utama perkhidmatan awam, seperti polis, tentera, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pencen bagi ahli parlimen, ia harus meminda undang-undang untuk menjadikannya lebih saksama, kata penyelidik itu yang merupakan felo di Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) di UKM.

"Ini tidak adil. Penjawat awam perlu berkhidmat sekurang-kurangnya sepuluh tahun untuk layak mendapat pencen manakala tentera perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun. Namun, seorang ahli parlimen hanya perlu berkhidmat selama tiga tahun untuk layak mendapat pencen seumur hidup.”

Nota editor: Kadar pencen wakil rakyat dan ahli pentadbiran Perak telah diperbetulkan untuk mereka yang berkhidmat semasa tempoh kerajaan singkat. Selari dengan itu, perbandingan antara pencen perdana menteri dan Nga Kor Ming juga telah diperbetulkan. Jumlah pencen dari negeri Perak yang diberikan kepada Thomas Su juga diperbetulkan mengikut maklumat yang dikongsi olehnya kepada Malaysiakini.

Undi sekarang
Sedang memuat turun...
Beritahu Anwar dan ahli parlimen anda pendapat anda tentang pencen wakil rakyat! Kongsi artikel ini dan tag mereka di media sosial.
Saya sokong saranan PM supaya ahli parlimen ambil satu pencen sahaja.
Saya mahu kerajaan mansuhkan pencen ahli parlimen dan menggantikannya dengan KWSP.
Elaun dan gratuiti: Berapa MP, speaker dan timb speaker dapat?