Malaysiakini logo
Iklan

Pilihan raya negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti bakal menguji pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Dengan melihat pada PRU14, Malaysiakini berhasrat menggariskan kepentingan pengundi generasi muda dengan meneliti trend pengundian dalam kalangan pengundi generasi tua dan juga muda.

Satu analisis terhadap hasil undian di 7,745 daerah mengundi di seluruh negara menunjukkan bahawa BN, yang merupakan parti pemerintah ketika itu, mempunyai kelebihan dalam memenangi undi generasi tua.

Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan pengundi muda. Analisis menunjukkan bahawa kebanyakan pengundi muda lebih cenderung kepada PH atau PAS, seperti yang dipapar dalam peta di bawah.

Sebelum melangkah lebih jauh, Malaysiakini ingin menjelaskan metodologi penyelidikan yang digunakan kepada pembaca.

Metodologi

Beginilah caranya kami menganalisis data

Memandangkan tidak ada kaedah untuk mendapatkan data undi golongan muda secara langsung, Malaysiakini mendapatkan data undian dua kumpulan ini secara tidak langsung, daripada helaian mata (scoresheet) yang dibeli dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Helaian mata itu mengandungi data undian di daerah mengundi bagi setiap kawasan parlimen.

KawasanParlimenKawasan DewanUndangan NegeriN.01 Ayer HangatP.004 Langkawi
Daerah Mengundi004/01/01 KualaTeriangPusat MengundiSekolah KebangsaanKuala Teriang

Setiap daerah memiliki beberapa saluran mengundi. Pengundi dipecahkan ke saluran mengundi yang berbeza mengikut umur mereka. Semakin besar nombor saluran mengundi, semakin rendah julat umur pengundi di saluran itu.

Sebagai contoh, daerah mengundi Taman Seremban Jaya di parlimen Rasah memiliki 17 saluran. Saluran 1 diperuntukkan buat pengundi paling lewat usia manakala pengundi paling muda mengundi di saluran 17.

Paling MudaPaling tuaPusatMengundiSaluran 1Saluran 2Saluran 3Saluran 4

Malaysiakini membuat keputusan editorial untuk hanya memasukkan daerah mengundi dengan sekurang-kurangnya tiga saluran mengundi ke dalam analisis. Daripada daerah-daerah mengundi ini pula, hanya undian daripada saluran pertama (pengundi paling tua) dan saluran terakhir (pengundi paling muda) dimasukkan dalam analisis.

Malaysiakini tidak memasukkan daerah mengundi dengan bilangan saluran mengundi kurang daripada tiga dan yang mempunyai beberapa pusat mengundi dalam analisis ini kerana datanya tidak cukup mewakili pengundi, menjadikan ia tidak mencukupi buat Malaysiakini membezakan antara pengundi muda dan tua. Pengundi pos dan pengundi awal juga diabaikan memandangkan ia tidak relevan.

Undi-undi lain yang digunakan dalam analisis ini di peringkat parlimen dirujuk sebagai “undi yang dimasukkan” dalam kajian ini.

Saluran 1Saluran 2Saluran 1Saluran 2Kurang daripadatiga saluranUndi PosUndi awalDaerah mengundi yangmempunyai melebihisatu pusat mengundiSaluran 3Paling tuaPaling MudaSaluran lain-lain

Harus diambil maklum, bahawa analisis di peringkat parlimen mungkin tidak menggambarkan trend pengundian dalam kalangan pengundi muda secara keseluruhan, berdasarkan tiga sebab berikut.

Pertamanya, bilangan daerah mengundi yang dimenangi sesebuah parti/gabungan politik - dalam konteks undi golongan paling muda - tidak menggambarkan undi popular golongan berkenaan.

Sebagai contoh, PH menang 87.7 peratus saluran mengundi dengan pengundi paling muda di Selangor, tidak bermaksud ia menerima sokongan daripada 87.7 peratus pengundi muda di negeri itu.

Keduanya, julat umur saluran pertama dan terakhir di setiap daerah mengundi adalah tidak tetap dan berkemungkinan jauh berbeza antara satu daerah mengundi dengan yang lain. Ini tertakluk kepada demografi pengundi.

Taman Saujana Hijau daerah mengundi (Saluran 7)Alor Tampang daerah mengundi (Saluran 3)Pengundi yang paling mudaPengundi yang paling mudaPadang BesarPutrajaya22 hingga 28 tahun22 hingga 39 tahun

Ketiganya, meskipun kebanyakan kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia mempunyai lebih 80 peratus “undi yang dimasukkan”, angka itu rendah di beberapa tempat. Contohnya, Parit hanya mempunyai 47 peratus “undi yang dimasukkan” memandangkan banyak daerah mengundinya hanya mempunyai satu atau dua saluran mengundi. Oleh itu, daerah-daerah mengundi berkenaan tidak diambil kira dalam analisis ini.

Dapatkan perincian lanjut keputusan PRU14

Terokai peta interaktif ini
Pengundi muda cenderung mengundi menentang BN

Penganalisis politik Bridget Welsh berpandangan bahawa, dalam PRU14 yang lalu, semakin muda usia pengundi, semakin mereka terasing daripada BN. Pandangan itu dinyatakannya dalam artikel jurnal berjudul The 2018 Malaysian General Election: The Return of Mahathir and the Exit of UMNO (PRU2018 Malaysia: Kembalinya Mahathir dan tersingkirnya Umno)

Welsh berkata bahawa pengundi di bawah umur 40 tahun merangkumi 43.6 peratus pengundi pada PRU14. BN hanya mampu menarik 28.4 peratus undi pemilih berusia bawah 30 tahun dan 29.2 peratus undi pemilih berusia antara 31 hingga 40.

Penganalisis politik Wong Chin Huat membangkitkan bahawa dalam PRU14, terdapat jurang ketara dalam pola pengundian antara golongan pengundi paling muda dan paling tua di kawasan majoriti Melayu. Generasi muda mengundi secara pragmatik bagi memilih pilihan yang berdaya maju.

“Dengan pengundi bukan Melayu yang agak ramai di negeri pantai barat, terutamanya di Pulau Pinang sehingga ke Johor, PH menjadi satu-satunya pilihan yang berdaya maju.

“Sementara di Kelantan dan Terengganu, alternatif yang ketara ialah PAS,” katanya kepada Malaysiakini.

Senada dengan Wong, pengarah program Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, secara umumnya, golongan muda menyokong parti terkuat dalam kalangan parti yang bukan pemegang kuasa. Sebahagian orang Melayu di pantai barat akan mengundi parti kedua terkuat, iaitu dalam sesetengah kes, ialah PAS.

Umum mengetahui bahawa skandal 1MDB memberi tamparan hebat buat BN dalam PRU lalu.

Bagi setiausaha agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz, kegagalan gabungan pemerintah pada masa itu untuk menjuarai isu yang memberi kesan kepada golongan muda, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan pada politik lapuk dan politik wang, turut menyumbang kepada kejatuhannya.

“Hal itu tidak disambut baik oleh golongan muda. Sementara itu, dalam kempen mereka, PH menekankan untuk menangani kos sara hidup, tadbir urus yang baik, dan mengurangkan jurang kelas pekerjaan dengan peluang yang lebih baik,” tambahnya.

Dalam PRN Melaka, undi Melayu terpecah dua

Selepas Bersatu keluar daripada PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN) dengan PAS dan parti-parti lain, PN muncul sebagai kuasa yang mampu memenangi undi orang Melayu daripada Umno-BN dan PH, sepertimana yang dapat dilihat dalam PRN Melaka tahun lalu.

Ibrahim membuat pemerhatian trend pengundian yang terpecah dua bagi kumpulan-kumpulan umur pengundi Melayu. Golongan muda secara ketara cenderung kepada PN manakala golongan tua pula kekal bersama BN.

Mengulas senario pengundi Melayu yang beralih daripada PH kepada PN, kata Wong, kebanyakannya merupakan teras sokongan kepada PAS dan Bersatu.

Pengundi yang mengundi Bersatu pada PRU14 tidak terus kekal menyokong PH selepas Langkah Sheraton pada 2020, jelasnya.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa peralihan sokongan, terutamanya dalam kalangan pengundi muda Melayu, adalah disebabkan PH mengalami defisit kepercayaan setelah gagal mengotakan janjinya ketika berkuasa.

Dia menjelaskan bahawa orang Melayu yang menyokong Bersatu dalam PRN Melaka kebanyakannya pengundi atas pagar, tetapi BN mampu memenangi PRN itu melalui penyokong tegar tradisinya.

“Sudah tentulah, terdapat sebilangan pengundi yang beralih semula kepada Umno, tetapi kebanyakan pengundi muda lebih banyak memberi peluang kepada PN berbanding Umno dan PH,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Pemuda PH Howard Lee mengaku bahawa gabungan itu menghadapi cabaran dengan peratusan keluar mengundi yang rendah dan pertembungan tiga penjuru di kawasan separa bandar (semi-urban) dan luar bandar.

Dia menegaskan bahawa PRN berbeza berbanding PRU, memandangkan PRU mampu mendorong lebih ramai pengundi untuk keluar mengundi.

Bendera BN, PN dan PH semasa PRN Melaka
Bendera BN, PN dan PH semasa PRN Melaka
BN atau PN, pemenang minoriti yang berpotensi?

SPR sebelum ini memberikan anggaran peningkatan pengundi baru seramai 7.5 juta dalam PRU15, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding PRU14 ekoran pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik (AVR) dan Undi18.

Di kala penggiat politik veteran menyusun strategi bagi mendominasi undi, Wong menjangkakan pengundi baru - yang tidak suka akan tiga gabungan utama BN, PH dan PN - mungkin beralih kepada pendatang baru seperti Muda.

Pengundi muda, katanya, tidak berpuas hati dengan cara PN mengendalikan Covid-19 dan kegagalan BN dalam mengendalikan banjir besar yang berlaku di semenanjung tahun lalu.

Mereka juga mungkin tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH dan perpecahan yang berlaku di dalamnya, sejak Langkah Sheraton lalu, tambahnya.

Wong percaya Muda bakal mempertaruhkan calon menentang BN dan PN, tetapi dua gabungan itu, katanya, boleh menjadi pemenang minoriti seandainya Muda gagal menarik undi yang cukup daripada penyokong PH.

“Ini akan menyerupai situasi DAP yang hilang lima kerusi di Sarawak, apabila pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PSB) gagal menarik sokongan yang cukup daripada parti pembangkang yang semakin merosot (PH), sekali gus membolehkan gabungan pemerintah GPS menang mudah,” jelasnya.

Penganalisis politik Wong Chin Huat
Penganalisis politik Wong Chin Huat
Strategi menarik pengundi muda

Amira dari Muda percaya bahawa kebimbangan utama golongan muda masih kekal sama, iaitu soal kelangsungan hidup.

“Jika ahli politik meletakkan diri mereka dalam kasut orang muda hari ini, mereka akan sedar betapa sukarnya menyara hidup sejak 10 ke 20 tahun kebelakangan ini.

“Kos memiliki rumah meningkat, orang muda sedang mencuba sehabis baik bagi menangani kenaikan harga makanan, pengangkutan awam pun terhad, internet dan pendidikan tidak semestinya boleh diakses dengan mudah,” kata ahli politik berusia 27 tahun itu.

Tambahnya, Muda akan memulakan jerayawara untuk mendapatkan maklum balas di lapangan berhubung perkara itu dan akan mempertaruhkan pemimpin yang mampu bersuara dalam isu berkenaan.

Kajian Pemuda Kebangsaan 2021 oleh Merdeka Center pada awal 2021 mendapati bahawa 29 peratus daripada mereka yang ditemu bual bersetuju bahawa kesempitan dan kekangan kewangan merupakan masalah utama mereka, diikuti oleh pengangguran (13 peratus).

Hanya lebih sedikit daripada separuh yang berkata mereka mampu menampung keperluan hidup, manakala 44 peratus mengaku bergelut untuk melunaskan tuntutan kewangan pada masa kini. Ini lebih-lebih lagi ketara dalam kalangan 55 peratus yang tidak mempunyai keluluskan universiti, berdasarkan dapatan kajian berkenaan.

Pada masa yang sama, Ketua Pemuda Bersatu Wan Fayhsal turut menegaskan kebimbangan utama orang muda adalah “kerja, kerja dan kerja”.

“Orang muda tidak mahu mendengar taburan janji-janji, yang mereka nak tahu, sektor kerajaan dan swasta mengambil mereka bekerja. Ia bukan tentang menabur janji, tetapi melunaskannya,” katanya.

Dalam memenangi hati pengundi muda dan baru dalam PRU15 nanti, Bersatu dan Umno berkongsi strategi serupa - mempertaruhkan muka segar dan muda.

Dengan strategi yang baik seperti meletakkan calon muda dan profesional seiring dengan manifesto yang sesuai dan boleh ditunaikan, Wan Fayhsal yakin Bersatu bakal mendapat kelebihan dalam PRU.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Sementara itu, ahli majlis tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata calon muda yang dipertaruhkan BN pada PRN Melaka menerima sokongan yang menggalakkan daripada orang awam.

“Dasar juga haruslah lebih mesra orang muda, seperti menunjukkan lebih ketelusan, integriti, dan melibatkan mereka dalam penggubalan dasar.

“Cara-cara tradisi seperti menganjurkan perlawanan bola sepak atau acara sukan sahaja tidak cukup,” katanya, dengan menambah bahawa BN harus menganjurkan lebih banyak dialog dengan golongan muda bagi mendengar isi hati mereka.

Bagi PH, peluangnya untuk menang sangat bergantung pada bilakah PRU akan diadakan, sentimen di lapangan terhadap beberapa isu semasa, serta sama ada pembangkang cukup bersatu untuk berdepan seteru mereka, kata ketua pemudanya Lee.

Menurut Adun Pasir Pinji itu, PH mungkin berdepan larangan kempen secara fizikal ekoran pandemik Covid-19 seperti yang berlaku pada PRN Melaka dan Sarawak tahun lalu.

“Kempen fizikal membolehkan kami menyampaikan maklumat terkini kepada pegundi. Pembangkang tidak mengawal media arus perdana.

“Kami juga tidak boleh menyampaikan mesej kami secara berkesan di media sosial kepada kumpulan sasaran, kerana terdapat lambakan maklumat (yang tidak berkaitan) di platform itu,” katanya.

Tambahnya lagi, sesetengah pengguna media sosial hanya menerima maklumat yang memperkuat kepercayaan sedia ada mereka, ekoran kesan ruang gema (echo chamber effect) di media sosial, menyukarkan lagi PH untuk menembusi audiens tertentu di alam maya.

Ketua Pemuda PH Howard Lee
Ketua Pemuda PH Howard Lee
Peratus turun mengundi rendah membimbangkan

Meskipun Undi18 dan AVR menyediakan lebih peluang buat rakyat Malaysia bagi turut serta dalam proses pilihan raya, masih tidak jelas apakah akan berlaku lonjakan dalam bilangan keluar mengundi dalam PRU akan datang.

Kajian Pemuda Kebangsaan 2021 oleh Merdeka Center mendapati bahawa lebih dua pertiga daripada mereka yang ditemu bual menzahirkan rasa tidak berminat untuk turut serta dalam politik.

Selain itu, 78 peratus daripada mereka turut memandang bahawa politik dan kerajaan sebagai sesuatu yang rumit, membuatkan mereka “tidak berapa faham apa yang berlaku”. Sebanyak 66 peratus pula percaya bahawa pegawai awam dan ahli politik tidak ambil kisah tentang apa yang mereka fikirkan.

“Rasa tidak puas hati yang dirasakan pengundi muda terhadap politik dan iklim politik semasa mungkin menyuburkan defisit kepercayaan terhadap institusi dan tokoh politik. Sekiranya dibiar, ia akan menyebabkan kadar keluar mengundi yang rendah,” kata Ibrahim daripada Merdeka Center.

Pun begitu, Amira optimis bahawa pengundi muda akan lebih melibatkan diri apabila PRU semakin menghampiri nanti.

“Jika kita mengguna pakai jalan politik lapuk, memainkan api perkauman dan api dendam, ia tidak akan menarik pengundi muda untuk mengundi, tetapi jika kita galakkan dasar yang bagus, politik khidmat, menjuarai golongan muda, ia akan menarik sokongan yang baik daripada orang muda,” tambahnya.

Setiausaha agung Muda Amira Aisya
Setiausaha agung Muda Amira Aisya

Akur bahawa kurangnya kesedaran politik selain rasa lesu terhadap politiking boleh menjauhkan pengundi muda daripada kotak undi, Wan Fayhsal mencadangkan agar SPR merangka satu kempen bagi menggalakkan golongan itu untuk mengundi.

Kadar turun mengundi dalam PRN Melaka dan Sarawak adalah antara 60 ke 66 peratus, jauh lebih rendah berbanding 82 peratus yang dicatat ketika PRU14.

Wong berharap agar kadar keluar mengundi PRU15 boleh mencecah sekitar angka 70 peratus, memandangkan dengan ramainya jumlah pengundi baru pun mampu mengubah keputusan mana-mana pilihan raya.

“Banyak kerusi selamat mungkin bertukar menjadi kerusi marginal pada PRU15. Pertembungan banyak penjuru mungkin menyebabkan munculnya pemenang minoriti di banyak kawasan, lebih banyak berbanding PRU14. Ini menyebabkan apa-apa pun boleh terjadi.

“Satu kemungkinan yang ekstrem ialah BN kembali mendapat majoriti dua pertiga mungkin dengan hanya satu pertiga daripada jumlah undi, majoriti besar kerusi-kerusi menerima undi minoriti yang jelas berkemungkinan akan mendorong rasuah dan autoritarianisme,” tegasnya.

Satu kemungkinan ekstrem yang lain, katanya, adalah parlimen tergantung dengan perpecahan lebih besar, yang akan menyebabkan kerajaan tidak dapat bertahan lama dan akan merencatkan pelaburan.

“Undang-undang antilompat parti tradisional hanya dapat menghalang penggubal undang-undang daripada keluar parti, tetapi tidak dapat menghalang parti keluar daripada gabungan (yang disertai) sebelum pilihan raya atau menggalakkan parti untuk mengekalkan gabungan sebelum pilihan raya atau untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab.

“Oleh yang demikian, jika pembaharuan institusi yang diperlukan tidak diperkenalkan sebelum PRU15, pengundi baru mungkin akan berasa hampa tidak lama lagi, yang akan membuka jalan kepada kebangkitan ahli politik yang populis atau radikal,” tegasnya.

Pengundi membuang undi di pusat mengundi.
Pengundi membuang undi di pusat mengundi.

Dapatkan perincian lanjut keputusan PRU14

Terokai peta interaktif ini

Kongsikan artikel ini

Kini News LabLogo Kini News LabKini News Lab

Kembali ke atas

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 21 Feb 2022. Artikel ini dihasilkan dengan sokongan kewangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bentuk geran daripada Internews Malaysia. Kandungannya merupakan tanggungjawab penuh Internews dan tidak semestinya menggambarkan pendirian EU. Artikel ini juga dihasilkan dengan sokongan Mapbox.

  • Penyelaras projek
    Lee Long Hui
  • Penyelidik & Penulis
    Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
  • Pengaturcara & Reka bentuk
    Lee Long Hui, Ooi Choon Nam & Yan Jing Tian
  • Ilustrasi
    Yan Jing Tian
  • Penterjemah
    M Fakhrull Halim

Sumbang

Anda suka hasil kerja kami? Sumbanglah untuk projek yang akan datang.

Sokong kami

Logo Kini News Lab

Makmal Berita Kini adalah pasukan berita khas yang ditubuhkan oleh Malaysiakini pada tahun 2018.

Kini News Lab websiteKini News Lab TwitterKini News Lab Facebook