Kematian dalam tahananMangsa kezaliman yang dilupakan
Martin Vengadesan
Hari ini - 10 Dis 2021 merupakan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang ke-73 dan Malaysiakini menyorot isu kematian dalam tahanan yang masih berlaku dan sekali lagi menjadi tumpuan di Malaysia.
Selama beberapa dekad, terdapat warga Malaysia yang maut akibat didera atau diabaikan ketika dalam tahanan polis tanpa sebarang pendakwaan yang sewajarnya atau tanda-tanda masalah sosial ini telah ditangani.
Ayuh kita ziarahi tanah perkuburan maya beberapa daripada sejumlah besar mangsa yang telah kehilangan nyawa akibat fenomena yang mengerikan ini.
Pada April 2021, kes penjual susu lembu A Ganapathy mengejutkan rakyat Malaysia.
Dia dipanggil ke Balai Polis Gombak pada 24 Feb bagi membantu siasatan mengenai keberadaan abangnya tetapi menurut keluarganya, dia telah ditahan dan dipukul berkali-kali. Keluarganya juga mendakwa dia tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan.
Ganapathy akhirnya dibawa ke Hospital Selayang dan terpaksa dipotong kakinya sebelum meninggal dunia pada 18 April. Gambar-gambar kakinya yang mengalami kecederaan teruk tular bersama dengan laporan kematiannya.
Kematiannya dilaporkan secara meluas dan tiga wartawan Malaysiakini, serta bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah dipanggil untuk disoal siasat kerana mengetengahkan isu itu dan menuntut keadilan terhadap kematiannya.
Tetapi ini bukanlah sesuatu yang baru, ia hanya ulang tayang tragedi sepanjang sejarah tanah air selepas kematian Syed Mohd Azlan (2014), N Dharmendran (2013), Cheah Chin Lin (2012), A Kugan (2009), Samiyati Indrayani Zulkarnain Putra (2006), Francis Udayappan (2004) dan ratusan yang lain.
Malah, setakat 1998, Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia yang pertama daripada NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menekankan 151 banduan telah meninggal dunia ketika di dalam reman antara 1980 dan 1990, manakala 98 kematian tahanan telah direkodkan pada 31 Mac 1997.
Tanah perkuburan
Sekurang-kurangnya 124 kematian dalam tahanan yang direkodkan oleh Suaram sejak 21 tahun lalu, dari tahun 2001 sehingga 2021. Kes-kes ini mempunyai nama dan tahun kematian. Setiap mangsa diwakili oleh sebuah batu nisan di tanah perkuburan maya ini. Anda boleh klik pada setiap dengan batu nisan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah mereka. Semoga roh mereka aman hendaknya.
Terdapat 20 yang meninggal dunia ketika usia mereka tiga tahun lebih muda atau lebih tua daripada anda pada masa kematian ini . Anda juga mungkin berkongsi etnik yang sama dengan 64, jantina yang sama dengan 3 si mati. Sila ambil perhatian angka-angka akan bertindih kerana kategori tidak eksklusif.
Umur
Kaum
Jantina
Tiada seorang pun daripada si mati memenuhi kriteria yang dipilih.
Walaupun terdapat beberapa kali gesaan terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sejak tahun 2005, pemeriksaan kesihatan berkala untuk tahanan, mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi dan langkah keselamatan atau pencegahan lain, masalah itu masih berterusan.
Selepas pembunuhan George Floyd di Amerika Syarikat, para aktivis di Malaysia juga mempersoalkan sama ada kaum India dikendalikan secara berat sebelah dalam kes keganasan polis dan kematian dalam tahanan.
Banyak isu berkaitan juga telah timbul, seperti kehilangan secara paksa, kematian di penjara dan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pembunuhan di luar proses undang-undang yang dikaitkan dengan polis.
Kematian dalam tahanan boleh berlaku atas beberapa sebab - akibat bunuh diri, serangan oleh tahanan lain atau mempunyai penyakit.
Tetapi apa yang membimbangkan kemungkinan bahawa kebanyakan kematian disebabkan daripada kecuaian, penyeksaan dan penderaan oleh pihak berkuasa sendiri.
Setakat ini, mereka yang terbabit masih belum menerima sebarang tindakan dan ia akan berterusan.
Statistik mengelirukan
Dalam dua bulan lalu sahaja, beberapa laporan telah menunjukkan keadaan yang mengelirukan mengenai isu kematian dalam tahanan.
Pada 15 Sept, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memaklumkan Dewan Rakyat bahawa bagi tahun 2021 sehingga Ogos, hanya terdapat enam kematian di lokap polis.
Kenyataannya itu segera disangkal oleh NGO seperti Suaram dan Edict (Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama), yang mengingatkan Hamzah bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam laporannya pada 2016 telah menyatakan definisi kematian dalam tahanan.
Menurut takrifan kumpulan hak asasi manusia itu, ia kematian yang berlaku semasa tangkapan oleh polis, kematian dalam tahanan polis dan tahanan yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Ini juga termasuk mereka meninggal dunia di kemudahan perubatan dalam kes kemasukan ke wad hospital diperlukan semasa masih dalam tahanan polis.
Suaram memetik kematian S Sivabalan sebaik sahaja ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Gombak dan kematian Umar Faruq Abdullah@Hemanathan yang meninggal dunia dalam tahanan Ibu Pejabat Polis Klang Selatan, sebagai contoh kes tidak dimasukkan dalam rekod kematian seramai enam orang itu.
Edict menambah berdasarkan statistiknya sendiri yang disusun melalui kes yang diterima, terdapat 10 kematian dalam tahanan polis dari Januari hingga Ogos.
Pada 2017, Malaysiakini telahpun membuat laporan meluas membandingkan percanggahan antara realiti statistik berbanding persepsi unsur perkauman dalam kematian tahanan.
Bagaimanapun, satu perkara yang jelas - statistik tersebut tidak jelas.
Terdapat tiga sebab utama berhubung perkara ini -
1. Angka-angka itu tidak pernah konsisten kerana tafsiran yang berbeza-beza mengenai definisi kematian dalam tahanan. Seorang tahanan yang meninggal dunia di hospital berikutan penderaan di lokap tidak semestinya direkodkan sebagai kematian dalam tahanan.
2. Kematian dalam tahanan melangkaui kematian dalam lokap polis semata-mata, melibatkan kematian di penjara dan di kemudahan kerajaan lain dan termasuk di SPRM dan pusat imigresen. Selama bertahun-tahun, Kementerian Dalam Negeri tidak mengasingkan kematian di penjara (kebanyakannya banduan Melayu) daripada kematian di lokap polis (yang mempunyai bilangan tahanan India yang secara nisbah agak tinggi).
3. Integriti data dikompromi oleh fakta ia dibekalkan kepada Kementerian Dalam Negeri oleh polis sendiri. Jika memang terdapat punca penderaan atau pengabaian yang disyaki, pihak polis mempunyai elemen untuk memikul tanggungjawab terhadap kes itu dan dengan demikian mempunyai kepentingan untuk memanipulasikan statistik.
IPCMC
Pada Sept 1998, Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan sewaktu dalam tahanan ketua polis negara ketika itu memukulnya sehingga lebam mata.
Rakyat bertanya jika perkara ini boleh berlaku secara tertutup terhadap seorang yang begitu berkuasa di mata rakyat, apatah lagi terhadap mereka daripada latar belakang yang miskin dan serba kekurangan.
Jelas sekali, kekejaman polis wujud dan kematian dalam tahanan berada pada tahap yang paling ekstrem daripada sistem yang tidak dititikberatkan.
Menjelang akhir tahun 2003, perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) akan ditubuhkan untuk meneliti isu berkaitan pasukan polis.
Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia telah ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. RCI tersebut dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Mohamed Dzaiddin Abdullah.
Ia telah melalui proses yang panjang sehingga 2005 dan membentangkan laporan mendalam yang mengesyorkan penubuhan IPCMC untuk menangani aduan dan laporan salah laku dalam pasukan seragam itu.
Selepas 16 tahun berlalu dan warga Malaysia masih menunggu hasilnya.
Pada Mei 2019, ketua polis negara yang baru dilantik Abdul Hamid Bador mengumumkan penubuhan IPCMC, memberi sedikit harapan bahawa dengan badan pemantau itu, amalan sedemikian mungkin dapat ditangani.
Bagaimanapun, pada 9 Jan tahun ini terdapat kes seorang gadis bawah umur dirogol di sebuah tandas di lokap Balai Polis Pusat Miri.
Ketiadaan CCTV yang berfungsi untuk merakam kejadian di balai itu mengejutkan ramai pihak kerana pengawasan keselamatan yang lemah.
Pada 31 Mei, ketua polis negara yang baru Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya akan mengkaji semula status kesihatan semua suspek baru yang dibawa ke dalam tahanan sebagai langkah untuk mengelakkan lebih banyak insiden kematian dalam tahanan polis.
Setakat ini, Hamzah menggembar-gemburkan bahawa Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang telah dirombak, berkata dia akan membentangkannya untuk bacaan kali kedua semasa persidangan parlimen yang sedang berlangsung.
Pun begitu, ramai yang menyifatkannya sebagai versi yang lebih longgar berbanding cadangan asal.
Kes berkaitan kematian di SPRM, tembakan polis
Selain kematian dalam tahanan polis, terdapat juga situasi berkaitan seperti kematian dalam tahanan SPRM Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan Ahmad Sarbani Mohamad pada April 2011.
Terdapat juga kes seperti kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat yang masih belum dapat ditemui.
Suhakam merumuskan polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan aktivis sosial, Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo.
Tetapi terdapat satu pasukan petugas yang dipertikaikan dilantik oleh menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin untuk menelitinya dan tiada pendakwaan dilakukan.
Kejadian polis menembak mati individu juga merupakan satu lagi fenomena dengan kemungkinan penyalahgunaan kuasa menjadi faktor. Tahun lepas, terdapat 19 kejadian melibatkan 24 orang, yang mana 10 daripadanya maut dalam kejadian tembakan.
Awal tahun ini, keluarga kepada tiga kanak-kanak lelaki yang ditembak mati oleh polis hampir 11 tahun lalu telah diberikan ganti rugi lebih RM1.5 juta oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 22 dan Muhammad Hanafi Omar, 21 ditembak mati oleh polis di Glenmarie, Shah Alam, pada 13 Nov 2010.
Walaupun pada awalnya didakwa remaja tersebut bersenjatakan parang dan cuba menyerang polis selepas merompak kiosk petrol di Monteres dan Bukit Subang sebelum ini, bedah siasat menunjukkan sisi tembusan peluru, bilangan peluru yang dilepaskan dan jarak mereka ditembak berbeza daripada versi semua polis yang terbabit dengan kejadian itu.
Kewujudan parang misteri juga pada awalnya disebut-sebut apabila seorang pegawai polis menembak mati remaja Aminulrasyid Amzah yang telah membawa kereta kakaknya pada April 2010, hanya enam bulan sebelum kes pembunuhan di Glenmarie itu.
Kemungkinan polis meletakkan senjata terhadap mereka yang telah ditembak mati merupakan ancaman yang menjejaskan pengumpulan bukti di Malaysia.
Awal minggu ini, pada 6 Dis, Hamzah mengumumkan bahawa PDRM akan menubhkan unit khas untuk menyiasat kes-kes kematian yang melibatkan tahanan.
Dia berkata ia akan dinamakan sebagai Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan dan ia akan dianggotai oleh 12 anggota polis dan seorang kakitangan awam.
“Unit ini akan mula beroperasi pada 1 Jan tahun hadapan dengan diketuai seorang pegawai polis berpangkat Supt. Mulai tarikh ini, semua kematian melibatkan tahanan akan dikendalikan oleh unit ini,” katanya sambil menambah bahawa unititu akan berada di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM dan akan menumpukan kepada aspek liabiliti jenayah, kewajipan berjaga-jaga dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Hamzah sekali lagi menafikan bahawa terdapat elemen-elemen perkauman dalam kematian dalam tahanan, dengan mengatakan bahawa dari 2015 hingga kini, 82 kematian dalam lokap telah dilaporkan, dengan mangsa-mangsa yang terdiri daripada 42 kaum Melayu, 13 kaum Cina, 15 kaum India dan 12 lagi warga asing. Bagaimanapun, angka tersebut tidak selaras dengan laporan yang Malaysiakini dan Suaram perolehi.
Kesimpulan
Daripada 188 kematian di penjara tahun lepas, 109 kes melibatkan orang Melayu, 25 orang India, 21 orang Cina dan 34 orang lagi daripada lain-lain kaum dan warganegara.
Sebaliknya, 14 daripada 21 kes kematian terakhir di lokap polis yang dilaporkan Suaram melibatkan orang India.
Ini salah satu sebab mengapa statistik itu boleh mengelirukan kerana ia digabungkan sebagai kematian dalam tahanan.
Menurut Laporan Hak Asasi Manusia 2020 Suaram, antara 2016-2020, terdapat 48 kematian dalam tahanan polis, 889 kematian di penjara dan 181 kematian dalam tahanan imigresen.
Ini bermakna walaupun hari ini kita memberi tumpuan kepada kematian dalam tahanan polis - masalah lain lebih berleluasa kerana terdapat 18 kali lebih banyak kematian dalam penjara direkodkan daripada kematian dalam tahanan polis.
Masih tiada badan pemantau luar yang mampu meneliti amalan ini dan memantau kesahihan statistik sedia ada.
Sekiranya seseorang individu itu meninggal dunia di hospital sebulan selepas mengalami penderaan di lokap -siapakah pihak yang ada di sana untuk memastikan kes berkenaan disenaraikan secara rasmi sebagai kematian dalam tahanan?
Ini kerana statistik rasmi berkenaan didapatkan melalui pihak polis sendiri - bukan Suaram, Suhakam atau mana-mana badan lain.
Pada masa ini terdapat kemungkinan besar bahawa mereka jugalah antara yang berada di sebalik kematian itu dan kemudian diharapkan untuk bersikap jujur mengenai angka tersebut.
Apapun, rakyat dari semua kaum berdepan dengan takdir yang zalim ini dan ia masih belum diperhatikan jika terdapat elemen analisis berasaskan kaum.
Satu perkara yang pasti, kita perlu melihat isu ini dengan jujur dan cuba menghentikan penderaan, penyeksaan dan pembunuhan yang ditutupi oleh lencana tertentu.
Kongsikan artikel ini