Ada balak di balik sawit

Low Choon Chyuan | 1 April 2024

Gajah liar menguasai sebuah ladang tandus di kawasan hutan matang menjadi saksi salah urus selama bertahun-tahun.

Laporan ini hasil kerjasama dengan Pulitzer Center’s Rainforest Investigations Network.

Berada di Kampung Tanah Pindah terasa seperti berada di hujung dunia. Dikelilingi oleh rimba asal tebal di Hulu Tembeling, Pahang, jalan berturap berakhir di sini.

Ia sangat terpencil sehingga kampung itu tidak mempunyai bekalan air moden, tetapi alam semula jadi menyediakan keperluan mereka.

Melalui sistem penyaluran yang dibina sendiri, penduduk kampung mendapatkan sumber air dari Sungai Kancin, sungai yang tinggi dari atas bukit sejauh 18 km.

Tetapi hubungan harmoni dan saling memerlukan antara manusia dan alam semula jadi ini terancam, selepas projek perladangan sawit besar-besaran muncul di antara kedua-duanya.

Pada tahun 2014, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah diberikan hak milik tanah untuk membangunkan hutan tersebut menjadi ladang kelapa sawit, di kawasan terletaknya Sungai Kancin.

Imej pada 11 Januari 2016. Anda boleh lihat tebing sungai masih ditumbuhi tumbuh-tumbuhan semasa peringkat awal pembangunan ladang PKNP. Menjelang 24 April 2022, semua pokok di sepanjang tebing sungai dibersihkan.
::::: sungai dalam ladang PKNP

Pada tahun 2016, tumbuh-tumbuhan masih meliputi tebing sungai yang melalui ladang PKNP. Pada tahun 2022, tebing sungai terdedah sepenuhnya akibat aktiviti pembalakan yang meluas. Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) melarang pembalakan di tebing sungai sejak tahun 2013. Meskipun demikian, ladang PKNP berterusan menerima pentauliahan MSPO.

Penduduk kampung Wan Mohamad Razali, 61, tidak senang dengan aktiviti pembalakan itu. Dia berkata kegiatan berkenaan telah mengganggu bekalan air mereka.

Pada satu ketika saluran paip mereka berada di tengah belantara. Tetapi kini paip air mereka terdedah di kawasan lapang ladang dan tidak lama kemudian dimusnahkan oleh gajah liar.

Namun begitu, penduduk kampung tetap berkeras mendaki ke bukit untuk membaiki paip. Sehinggalah air bertukar keruh, setelah tumbuh-tumbuhan di sepanjang tebing sungai habis ditebang. Kini, mereka tidak lagi mendapatkan air dari bukit itu.

Sebagai alternatif, penduduk kampung menadah air hujan atau air hilir. Ada kalanya air di hilir keruh tetapi penduduk kampung tidak mempunyai pilihan.

Penderma korporat menyediakan pam air bawah tanah kepada penduduk kampung. Tetapi air dari bawah tanah berbau kurang enak, kata Wan Mohamed Razali, tidak dapat dibandingkan dengan air murni dari bukit.

Sementara itu penduduk kampung Wan Mohd Masri Wan Azahan berkata dulu dia biasa menangkap ikan di Sungai Kancin, Hulu Tembeling, Pahang. Katanya pada ketika itu, sungai tersebut penuh dengan ikan, tapi bila pokok di tebing sungai mula ditebang, "ikan tidak mahu tinggal di sungai itu lagi."

Kampung Tanah Pindah terletak di bahagian utara ladang PKNP di Jerantut.

Sebelum ladang dibuka, penduduk mendapatkan sumber air dari Sungai Kancin kira-kira 18 kilometer dari kampung. Punca air ini terganggu selepas pembersihan hutan.

Sungai Kancin mengalir melalui kawasan ladang PKNP seluas 8,093 hektar, antara ladang kelapa sawit terbesar di Malaysia. Kawasan ini diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar.

Pada 16 November 2023, kawasan hutan bersempadan dengan ladang sawit itu diwartakan sebagaiRizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah. Terletak di timur ladang sawit PKNP, kawasan yang digazetkan meliputi rimba seluas 134,183 hektar.

Hanya sembilan kilometer ke arah barat laut ladang itu ialah Taman Negara - kawasan hutan perlindungan paling besar di Malaysia dan menjadi habitat banyak haiwan yang berada di ambang kepupusan.

Penduduk tempatan melaporkan penampakan harimau dari semasa ke semasa. Pada Oktober 2023, kesan tapak kaki harimau ditemui di ladang getah YP Hevea bersebelahan dengan ladang PKNP.

Penduduk kampung juga telah menemui kawasan jilat garam dalam ladang itu. Di sinilah haiwan liar di hutan datang untuk mendapatkan mineral. Jika pembalakan tidak berhenti, kawasan jilat garam ini akan hilang.

Walaupun kaya dengan kepelbagaian biologi, penebangan balak di hutan yang tidak ternilai ini berterusan tanpa sekatan.

Pada Julai 2023, pemandangan di ladang PKNP cukup mengejutkan – hamparan tanah tandus, kelihatan tidak banyak pokok-pokok dan dari imej satelit warnanya pucat lesi di sebelah kehijauan Taman Negara. Pada masa itu, ladang berkenaan telah dibangunkan selama lapan tahun.

EOS Data Analytics ialah syarikat yang berpangkalan di AS khusus dalam menganalisis imej satelit pertanian dan perhutanan. Pakar tanah mereka, Vasyl Cherlinka, mengira kos melepas akibat penebangan hutan yang disebabkan oleh ladang PKNP dari 2016 hingga 2023.

Mengikut ukuran Cherlinka, jika hutan itu dipelihara, ia boleh menyerap 227,395 tan karbon dioksida, sama seperti jumlah karbon yang dikeluarkan oleh 49,472 kereta dalam tempoh lapan tahun.

Penebangan hutan untuk membuka ladang sawit PKNP dari 2016 ke 2023.
Penebangan hutan untuk membuka ladang sawit PKNP dari 2016 ke 2023.

Penebangan hutan PKNP "dilakukan dengan tidak teratur", kata Cherlinka. Pokok sawit tidak ditanam secara sistematik menyebabkan kawasan hutan yang ditebang itu secara beransur-ansur diambil alih oleh semak samun dan rumpai resam.

Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek itu menyatakan pendekatan berperingkat dalam membersihkan hutan bertujuan mengurangkan kerosakan alam sekitar, namun imej satelit menunjukkan pembalakan dilakukan pada tompokan yang terpecah-pecah di banyak tempat.

Berbeza dengan ladang-ladang hijau yang tumbuh subur di Lebuh Raya Utara-Selatan, ladang ini menjadi kawasan yang berwarna keperangan menunjukkan kesan terdedah dengan bahang matahari.

Seakan pemandangan cereka pascaapokalips, kawasan yang tinggal sedikit hijau hanyalah semak samun, rumpai resam dan beberapa pokok kelapa sawit yang bertaburan.

Tinja gajah ditemui merata-rata di lereng bukit, tetapi pihak pengurusan ladang nampaknya tidak berniat untuk menghalang haiwan itu masuk.

Penduduk tempatan Wan Rokman Wan Ngah mendapati jumlah hasil dari ladang seluas itu cukup melucukan.

“Hampir siang malam gajah datang ke sini makan semua pokok sawit.”

Ia mengambil masa kira-kira empat tahun untuk pokok sawit matang.

PKNP memberitahu Ketua Audit Negara pihaknya mula menanam sawit pada Okt 2015 dan dijangka menuai hasil menjelang 2019. Lapan tahun kemudian, hasil tuaian cukup mengecewakan.

Separuh dari ladang PKNP - kira-kira 4,046 hektar - sedang beroperasi dan dari situ ladang itu hanya mengeluarkan 29 tan tandan buah segar (FFB) setahun, menurut laporan yang diterbitkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ini hanya bersamaan tujuh kilogram sehektar tanah untuk setiap tahun.

Sebaliknya, hasil tuaian kelapa sawit Semenanjung Malaysia pada tahun 2022 ialah 16.41 tan BTS sehektar tanah - atau 2,344 kali lebih banyak daripada hasil ladang PKNP ini.

Menurut laporan itu, "hampir 90 peratus" tanaman di kawasan berkenaan rosak akibat pencerobohan gajah.

Malah seorang perunding alam sekitar berkata ini merupakan "ladang kelapa sawit yang paling teruk diuruskan di Malaysia."

Abai amaran konflik gajah-manusia

Pada tahun 2014, PKNP melantik agensi perunding untuk menjalankan kajian EIA. Perunding membuat kesimpulan bahawa kawasan ini merupakan habitat gajah liar, kerana tinja dan tapak kaki gajah boleh dilihat di mana-mana.

PKNP diberitahu bahawa konflik manusia-gajah tidak dapat dielakkan, tetapi tiada persiapan dibuat. Para perunding malah memberi amaran bahawa gajah liar pasti menjadi ancaman kepada ladang yang akan dibangunkan di kawasan ini.

“Pembersihan kawasan hutan akan mengakibatkan pemecahan habitat, yang mengurangkan ketersediaan makanan. Umumnya, pucuk muda pokok kelapa sawit akan menjadi sasaran utama hidupan liar.”

Saki baki pokok sawit di ladang PKNP.
Saki baki pokok sawit di ladang PKNP.

Perunding mencadangkan beberapa langkah mitigasi: membina parit dan pagar elektrik dan menyediakan zon penampan.

Menurut laporan EIA, pemaju ladang perlu melantik Penolong Pengurus Ladang untuk mengetuai Pasukan Pengurusan Alam Sekitar yang bertanggungjawab untuk mengawasi pelaksanaan dan pematuhan kepada garis panduan laporan EIA.

Tetapi tiada pelaksanaan garis panduan yang dapat dilihat di ladang PKNP. Tiada parit, tiada pagar, tiada zon penampan untuk menjauhkan gajah.

Secara ringkasnya, PKNP gagal mematuhi keperluan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang disenaraikan dalam laporan EIA.

Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) menyelia Minyak Sawit Lestari Malaysia (MPSO). Majlis itu memberitahu Malaysiakini, semakan mendapati pemilik ladang tidak melaksanakan dengan betul cadangan EIA yang mengakibatkan pengeluaran tanaman yang rendah akibat pencerobohan gajah.

“Oleh itu, untuk berlaku adil, MSPO memutuskan untuk membawa perkara ini kepada Badan Akreditasi (Jabatan Standard Malaysia) untuk pengesahan dan tindakan lanjut,” kata MPOCC.

Ambil balak, bukan nak tanam sawit

Dalam menyorot penebangan hutan untuk membuka ladang di Malaysia maka kisah ladang sawit PKNP ini bukanlah unik, kata orang dalam bidang perhutanan.

Seorang peniaga kayu yang sudah bersara berkongsi bahawa sesetengah pihak akan menebang hutan kononnya untuk memberi laluan kepada pembukaan ladang, tetapi sebenarnya tidak berminat dalam penanaman.

Sama seperti PKNP, pihak berkenaan akan berselindung di sebalik "konflik hidupan liar" sebagai alasan kemudian, katanya.

“Sesetengah pemaju hanya akan mengambil kayu mereka dan lari, kerana ladang memerlukan kos yang tinggi untuk diuruskan dan anda tidak akan melihat keuntungan selama dua hingga tiga tahun. Mereka akan menanam sesuatu untuk pertunjukan dan menulis laporan tentang bagaimana gajah liar menjadi masalah, mereka tidak dapat membangunkan tempat ini dengan betul,” kata bekas peniaga kayu yang enggan namanya disiarkan.

Sekiranya PKNP serius untuk mengusahakan perniagaan perladangan kelapa sawit, ia boleh memilih untuk membangunkan sebidang tanah yang lebih kecil dan mengutamakan perlindungan pokok sawit muda.

Selepas pokok sawit ini matang, ia kemudiannya boleh bergerak untuk membangunkan seluruh tanah secara berperingkat. Ini akan menjadi satu cara untuk meminimumkan kerugian yang disebabkan oleh pencerobohan gajah, tetapi PKNP tidak melakukannya.

Walaupun berdepan konflik dengan gajah, PKNP terus menebang 539 hektar hutan antara Januari 2020 dan Februari 2024.

Lebih teruk lagi, memandangkan kelapa sawit yang dihasilkan dari pembukaan tanah hutan ini tidak mematuhi peraturan penebangan hutan industri, ia tidak boleh dijual di pasaran.

Lori balak di tapak ladang PKNP.
Lori balak di tapak ladang PKNP.

Kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna di pasaran antarabangsa - khususnya di Eropah - mengenai kesan industri kelapa sawit terhadap alam sekitar, telah mendorong pemain industri untuk melaksanakan pelbagai piawaian pensijilan.

Mengikut undang-undang, ladang kelapa sawit Malaysia mesti diperakui MSPO untuk mengekalkan lesen operasi mereka.

Selain itu, sebagai tindak balas terhadap kritikan pembalakan berlebihan daripada masyarakat antarabangsa, MSPO berjanji menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat untuk memastikan industri kelapa sawit mampan.

Susulan itu, kerajaan melarang penukaran hutan semula jadi kepada ladang kelapa sawit berkuat kuasa pada 31 Dis 2019.

Langkah-langkah lain juga telah diumumkan, termasuk had ke atas kawasan penanaman kelapa sawit di seluruh negara pada 6.5 juta hektar.

Sejak pembukaan ladang sawit itu, PKNP menumpukan kerja-kerja penebangan hutan dan membangunkan kawasan di bahagian barat.
Sumber: Planet Labs (13 Julai 2019)

Lima tahun sejak penanaman bermula, imej satelit menunjukkan kawasan itu masih tandus.
Sumber: Planet Labs (27 Okt 2020)

Walaupun terdapat larangan kerajaan, penebangan hutan untuk membuka ladang PKNP tidak berhenti pada 31 Disember 2019. Malahan penebangan bertambah rancak di bahagian timur laut kawasan ladang itu.
Sumber: Planet Labs (6 Ogos 2021)

Setakat Julai 2023, hutan matang di bahagian timur laut ladang itu hampir dibersihkan sepenuhnya.
Sumber: Planet Labs (15 Julai 2023)

Kira-kira 539 hektar hutan ditebang selepas larangan MSPO. Dengan tiada apa-apa yang dapat menghalang PKNP, pada kadar sekarang, lebih dari 2,000 hektar baki tanah hutan akan hilang dalam masa beberapa tahun - saiz yang sama dengan 3,737 padang bola sepak.  
Sumber: Planet Labs (24 Mac 2024)

Syarikat ini jelas melanggar garis panduan MSPO dan tidak menguruskan ladang dengan betul. Namun begitu, firma itu masih diperakui MSPO, membolehkan mereka meneruskan pembalakan atas nama penanaman ladang kelapa sawit.

Ketika dihubungi, PKNP berkata tanah yang seluas 8,093 hektar itu telah dipajak kepada anak syarikatnya - PKNP Agro Tech Sdn Bhd (PASB) - untuk membangunkan ladang kelapa sawit.

Malaysiakini telah menghubungi PASB sejak 18 Januari lalu, namun sehingga masa penerbitan PASB tidak dapat memberikan maklum balas. Pada Mac 25, wakil PASB menawarkan diri untuk mengadakan perjumpaan selepas Hari Raya Aidilfitri yang berkemungkinan jatuh pada 10 April.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Pahang.

Menjawab soalan Malaysiakini, MPOCC berkata MSPO dan badan pensijilan Care Certification International pada Februari dan temu bual dengan masyarakat setempat, khususnya ketua Kampung Tanah Pindah mendapati tiada kejadian gangguan air di Sungai Kancin.

“PASB telah secara proaktif memasang telaga tiub di kampung itu sejak 2017 dan sehingga kini, tiada aduan didaftarkan berhubung fungsi atau perkhidmatannya.”

MPOCC mendapati PASB hanya menguruskan tanah seluas 4,046 hektar, iaitu dalam skop pensijilan MSPO.

“Aktiviti pembersihan tanah (antara tempoh 2020 hingga 2023) ditemui di luar kawasan yang diperakui yang telah dipajak kepada entiti lain,” kata MPOCC kepada Malaysiakini tanpa mendedahkan entiti yang disebut itu.

Bagaimanapun, plat lesen pembalakan di tapak hutan mengesahkan bahawa PKNP adalah pemilik tanah kawasan yang dibersihkan itu.

Plat lesen balak di tapak menamakan PKNP sebagai pemilik tanah.
Plat lesen balak di tapak menamakan PKNP sebagai pemilik tanah.

MPOCC seterusnya menyatakan bahawa jika kawasan yang dibersihkan dikhususkan untuk penanaman kelapa sawit, ia akan berada di bawah bidang kuasa Mekanisme Penanaman Baru MSPO, yang melarang penukaran hutan semula jadi kepada ladang kelapa sawit selepas 31 Dis 2019.

Tambahan pula, imej satelit menunjukkan tebing sungai di kawasan yang diperakui MSPO tidak dipulihara. Siasatan JAS pada Februari 2024 mendapati PKNP tidak menyelenggara kawasan riparian (zon penampan sungai) dan gagal menjalankan audit alam sekitar oleh pihak ketiga pada 2023.

“Disebabkan kegagalan pencadang projek untuk mematuhi syarat kelulusan laporan EIA bertarikh 10 Julai 2014, notis perintah telah dikeluarkan di bawah seksyen 31 (kuasa untuk menghendaki pemilik memasang, mengendalikan, membaiki dsb) dan seksyen 37 (pemilik untuk memberi maklumat) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.”

JAS berkata siasatan pihaknya pada 2019 mendapati kesalahan pembakaran terbuka dilakukan di ladang itu dan 18 kompaun telah dikeluarkan. Notis perintah telah dikeluarkan untuk pematuhan syarat kelulusan EIA berkenaan kawalan hakisan dan sedimen.

Siasatan susulan JAS pada 2020 dan 2023 menyimpulkan bahawa penggerak projek telah mematuhi notis perintah dan syarat kelulusan EIA.

Ditanya mengenai risiko penebangan hutan di ladang PKNP, MPOB berkata "sebarang pelanggaran undang-undang MPOB boleh tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan".

Model niaga impian

Semua buah kelapa sawit yang dihasilkan tanpa pensijilan MSPO tidak mempunyai tempat di pasaran. Tetapi ini tidak bermakna PKNP akan mengalami kerugian, kerana kayu di hutan matang mempunyai nilai yang tinggi.

Dianggarkan hutan seluas 8,093 hektar ini boleh membuahkan hasil sekurang-kurangnya RM858 juta - lebih dua kali ganda daripada jumlah belanjawan Pahang, yang berjumlah RM318 juta pada 2023.

Namun peliknya, PKNP tidak terlibat secara langsung dalam perniagaan pembalakan.

GLC Pahang itu melepaskan segmen niaga paling lumayan ini dan memberikan kepada sebuah syarikat pembalakan swasta bernama A&T Associates.

Sebaliknya, GLC negeri ini pula dibebani dengan kerja pembangunan perladangan yang mahal, suatu keputusan niaga yang tidak masuk akal.

Balak dimuatkan ke atas lori.
Balak dimuatkan ke atas lori.

Perkara sebegini mungkin membingungkan tetapi bukan sesuatu yang di luar kebiasaan, kata pakar pemuliharaan alam sekitar Lim Teck Wyn.

Kerajaan negeri biasanya tidak mendapat banyak hasil daripada menjual hak milik pembalakan kepada peniaga kayu manakala pihak yang mengaut kekayaan adalah peniaga kayu, kata profesor madya kehormat Universiti Nottingham itu.

“Syarikat-syarikat ini akan mengaut berjuta-juta ringgit manakala kerajaan negeri tidak mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit. Mengapa mereka harus biarkan syarikat ini memenuhi kantungnya?”

Walaupun kerajaan negeri boleh mengenakan cukai seperti royalti, premium tanah dan cukai ses (perusahaan utama) kepada peniaga ini namun hasil cukai ini masih tiada apa-apa berbanding dengan keuntungan kewangan yang diperoleh daripada penjualan kayu, kata Lim.

“Royalti yang dikenakan kerajaan negeri adalah kurang 10 peratus daripada harga kayu. Secara teorinya, mereka sepatutnya meningkatkan royalti, tetapi kenyataannya mereka tidak berniat untuk berbuat demikian.”

Politik VIP

Penguatkuasa JAS memainkan peranan penting untuk menghalang perniagaan daripada mengeksploitasi kelemahan peraturan ini, iaitu menjalankan aktiviti pembalakan dengan berselindung untuk membuka ladang.

Untuk menghalang perkara ini daripada berlaku, pegawai penguat kuasa JAS sepatutnya melakukan pemeriksaan berkala ke atas ladang, kata seorang pegawai kanan MPOB.

Ini bagi memastikan kontraktor mematuhi keperluan dan komitmen EIA manakala kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan penalti.

Malangnya, kata pegawai MPOB itu lagi, undang-undang Malaysia yang teguh digagalkan oleh penguatkuasaan yang lemah.

“Kadangkala, anda perlu mempertimbangkan siapa pemaju di sebalik projek ini. Sukar untuk menjalankan tugas kita jika mereka itu VIP,” katanya.

Sejauh mana keterlibatan VIP politik dalam pembangunan perladangan ini? Untuk menjawabnya, Malaysiakini menganalisis laporan EIA ladang kelapa sawit yang diluluskan oleh JAS Semenanjung di laman web rasmi mereka dan data daripada pelayan geospatial awam JAS.

Penting diberi perhatian bahawa penemuan ini tidak konklusif kerana kekurangan data senarai lengkap EIA yang diluluskan, tetapi ia memberi gambaran tentang penglibatan VIP dalam pembalakan.

Semakan mendapati daripada 28 projek perladangan kelapa sawit Pahang yang diluluskan oleh JAS dari 2001 hingga 2023, kebanyakannya mempunyai hubungan politik atau kerabat diraja.

Pahang mempunyai bilangan projek yang paling banyak diluluskan, meliputi kawasan seluas 51,603 hektar - hampir sama besar dengan gabungan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

undefined

= undefined

Antara 2001 dan 2023, JAS meluluskan pembersihan kawasan hutan seluas 94,000 hektar untuk penanaman ladang kelapa sawit di Semenanjung Malaysia sahaja.
Sumber data: Laman web JAS dan pelayan geospatial awam JAS. 

Projek di Pahang bersamaan dengan 55 peratus jumlah keseluruhan ladang sawit di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Antara semua projek yang diluluskan JAS di Pahang, pemaju yang membalak 95 peratus tanah hutan (48,945 hektar) mempunyai kaitan politik atau kerabat diraja.

GLC Pahang itu memiliki kebanyakan tanah tersebut, berjumlah 35,053 hektar. Selain itu, pemilik lain terdiri daripada perniagaan dengan hubunganpolitik atau kerabat dirajatermasuk syarikat berkaitan kerajaan persekutuan, syarikat milik kerabat diraja dan lain-lain.

Untung jual, pajak tanah

Angka tersebut menunjukkan ladang GLC negeri itu merupakan penggerak utama di sebalik penebangan hutan Pahang.

Tanah-tanah ini, yang merupakan petempatan penduduk kampung dan habitat hidupan liar, dilihat oleh kepentingan komersial sebagai barangan berharga untuk diniagakan demi meraih keuntungan - situasi yang dikatakan selesa untuk membuka ruang rasuah.

Apabila pemilik tanah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri untuk membangunkan sebahagian kawasan hutan, mereka akan mendapat keuntungan daripada pembalakan dan penjualan kayu yang berharga. Selepas itu, mereka boleh mengusahakan tanah tersebut menjadi ladang untuk memaksimumkan keuntungan.

Bagaimanapun, menguruskan ladang secara besar-besaran memerlukan pengetahuan dan pengalaman profesional. Sekiranya mereka gagal, pemilik tanah sebagaimana PKNP masih boleh memerah sedikit keuntungan melalui pajakan atau penjualan tanah.

YP Olio, pemaju yang menguruskan ladang kelapa sawit di Rompin, Pahang nampaknya mempunyai rancangan sedemikian.

Rancangan awalnya adalah untuk membangunkan ladang seluas 8,499 hektar di hutan Bukit Ibam. Bagaimanapun, seperti PKNP, mereka meneruskan pembalakan selepas larangan penebangan hutan oleh MSPO, menyebabkan buah kelapa sawit yang dikeluarkan mereka tidak boleh dipasarkan.

Ini tidak menghalang mereka mendapat keuntungan daripada penjualan tanah. Sejak 2018, terdapat hantaran di Facebook dan juga platform e-dagang Mudah mengiklankan penjualan tanah ini pada harga RM12,000 seekar.

Balak dari kawasan PKNP dikumpul di matau kayu.
Balak dari kawasan PKNP dikumpul di matau kayu.

Pengarah pemantau alam sekitar RimbaWatch Adam Farhan telah menjejaki dan mengawasi iklan penjualan hutan di media sosial.

Dia mendapati banyak hutan di Semenanjung Malaysia ditebang atas nama pembangunan ladang kelapa sawit. Tetapi apabila tanah itu dijual, ia sebenarnya satu perusahaan hartanah bukan perniagaan perladangan, katanya.

Portal alam sekitar Macaranga melaporkan latar belakang YP Olio adalah sederhana dengan menggabungkan kedua-dua anggota kerajaan negeri dan kerabat diraja Pahang.

Kerajaan Pahang mengurniakan projek-projek perladangan kelapa sawit kepada beberapa syarikat berkait kerajaan dan kerabat seperti PKNP, YP Olio dan syarikat-syarikat lain. .

PKNP, yang disorot dalam laporan ini merupakan syarikat berkait kerajaan (GLC) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Pahang dan di bawah seliaan menteri besar Pahang. PKNP memajakkan tanah berkenaan kepada anak syarikatnyaPASB.

YP Olio pada asalnya milik anak saudara Sultan Pahang, Tun Putera Yasir Ahmad Shah bin Mohamed Moiz (70%) dan Yayasan Pahang (30%) yang diterajui menteri besar.

Projek perladangan kelapa sawit YP Olio mendapat kelulusan mesyuarat kerajaan negeri Pahang pada Julai 2017. Sembilan bulan kemudian, Yayasan Pahang menjual semua sahamnya kepada Tun Putera Yasir Ahmad Shah.

Tun Putera Yasir Ahmad Shah kemudian membahagikan sahamnya dengan sebuah syarikat asing dan dua warga Malaysia.

Laporan EIA untuk ladang kelapa sawit YP Olio telah mendapat kelulusan JAS pada September 2022. Malaysiakini telah menghubungi YP Olio untuk mendapatkan maklum balas.

Kerajaan persekutuan telah melaksanakan pelbagai dasar untuk melindungi liputan hutan dan memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa bahawa industri kelapa sawit Malaysia tidak terlibat dalam pembalakan yang melampau.

Sungguhpun begitu, perkara-perkara berkaitan tanah dan hutan masih terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Tanpa kerjasama negeri, adalah sukar bagi kerajaan persekutuan untuk menginstitusikan dasar alam sekitar pada jangka panjang.

Tambahan pula, selepas peraturan kemampanan MSPO berkuat kuasa, JAS telah memberi lampu hijau kepada sekurang-kurangnya tujuh projek perladangan kelapa sawit di Pahang, Kelantan, Johor dan Perak. Ini melibatkan 14,423 hektar hutan - tiga kali ganda luas Putrajaya.

Ini membingungkan kerana JAS meluluskan perladangan baru walaupun larangan telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Menjawab soalan Malaysiakini, JAS menjelaskan jabatan itu bertanggungjawab membuat keputusan terhadap kajian Laporan EIA yang telah dikemukakan, seperti sama ada projek yang dicadangkan itu selaras dengan rancangan tempatan, menggariskan kesan alam sekitar atau langkah-langkah mitigasi.

“Bagaimanapun, kelulusan projek adalah bawah bidang kuasa pihak berkuasa yang meluluskan projek yang mengambil kira kelulusan laporan EIA serta dasar lain yang berkaitan termasuk pengurusan ladang kelapa sawit yang mampan.

“JAS sentiasa menjalankan pemantauan berterusan ke atas projek yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memastikan pematuhan Akta ini dan Peraturan di bawahnya.”

Pekerja mengangkut buah sawit di Hulu Tembeling.
Pekerja mengangkut buah sawit di Hulu Tembeling.

Untuk menghadapi "politik hutan" ini, masyarakat sivil harus menuntut ketelusan daripada kerajaan negeri supaya orang ramai boleh meneliti proses membuat keputusan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Pushpan Murugiah.

Pushpan mencadangkan negeri-negeri mewujudkan sistem semak dan imbang dengan menubuhkan jawatankuasa pilihan di Dewan Undangan Negeri untuk menyelia cara kerajaan memberi tanah.

“Tanpa ketelusan, kita tidak boleh memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Walaupun tiada undang-undang yang menghalang kerabat diraja dan ahli politik daripada menjalankan perniagaan, undang-undang mengenai ketelusan maklumat akan membolehkan orang ramai bertanya soalan.”

“Proses yang terbuka dan telus membolehkan orang ramai melihat apa yang berlaku dan mereka boleh menjadi suara rakyat dan memberitahu ahli kerabat diraja, lihat ini adalah projek yang kami bimbang dan kami tahu anda terlibat.”