Di bawah terik matahari, pekebun nanas Abdul Rahman Amat mengelap titis-titis peluh di dahinya, sambil menuai hasil tanamannya dengan sebilah parang.
Ladangnya terletak hanya lima kilometer dari Sedenak Tech Park, iaitu hab pusat data yang semakin meluas di Pontian, Johor. Dia telah mengusahakan ladang itu selama lebih sedekad.
Tanah gambut di ladang nanas itu bergerak sedikit apabila dipijak. Ia mampat, tetapi masih gembur.

Pekebun nanas Abdul Rahman Amat di ladangnya.
Abdul Rahman menggunakan air parit dan air bawah tanah untuk ladangnya yang seluas 11 ekar. Ladangnya menghasilkan dua jenis nanas, termasuk nanas manis yang popular, iaitu MD2.
Walaupun pembangunan pusat data berdekatan kian pesat, Abdul Rahman tidak pernah terfikir akan kesan pembangunan itu terhadap tanamannya. Apabila ditanya bagaimana pusat data itu akan menggunakan air, dia teragak-agak.
“Saya tahu ia perlukan eletrik, tapi air? Saya tak pasti macam mana,” katanya, sambil membetulkan topi di kepalanya.
Setiap kali seseorang menggunakan enjin carian, alat AI atau membuat pembelian atas talian, data itu disimpan dalam satu pusat data.
Dari luar, pusat data nampak seperti kotak yang besar. Ia tiada tingkap.
Di dalamnya ada barisan pangkalan komputer yang perlu disejukkan menggunakan sistem air, supaya ia tidak mencair. Kalau tidak disejukkan dengan sempurna, pangkalan komputer akan terlalu panas dan sistem data akan gagal.
Ini menjadikan pusat data sebagai bangunan yang sentiasa ‘kehausan’.
Sebuah pusat data yang mempunyai kapasiti sebanyak 100 megawat dianggarkan memerlukan 1.5 billion liter air setiap tahun. Jika air sebanyak itu disusun dalam kiub satu liter, ini lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Sedenak Tech Park berkeluasan 745 ekar dan mempunyai kapasiti sebanyak 300 megawatt.
Tetapi buat masa sekarang, Abdul Rahman masih bersikap atas pagar.
“Kecuali ada benda besar terjadi, saya rasa ladang saya tak akan terkesan,” katanya.
Dengan penggunaan AI dan pembelajaran mesin (machine learning) yang kian meluas, gergasi teknologi global kini berlumba-lumba mencari sumber dan tanah yang murah di seluruh dunia untuk membina pusat data.
Pada 2019, Singapura membekukan pembangunan pusat data baru akibat kekurangan tenaga dan tanah. Oleh itu, pembangunan itu berpindah ke Johor.
Pada tahun lalu, Malaysia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM141.7 bilion daripada syarikat seperti Microsoft, Nvidia dan ByteDance, yang menjanjikan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk tenaga kerja tempatan.
Menurut data kerajaan, pelaburan digital ini telah menghasilkan 41,078 pekerjaan pada 10 bulan pertama 2024.
Johor merupakan hab pusat data yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara, menurut DC Tank, sebuah badan pemikir yang menganalisis pasaran pusat data.
Kapasiti pusat data di Johor dianggarkan sebanyak 1.6-gigawatt pada 2024 dan boleh naik sehingga 2.6 gigawatt menjelang 2027.
Pada masa ini, Johor telah berjaya mendapat pelaburan untuk membina 72 pusat data, dengan 13 daripadanya telah memulakan operasi.
Tapi ada pakar yang percaya pulangan ekonomi yang dijangka tidak seperti yang digembar-gemburkan.
Alex de Vries dari Digiconomist, sebuah pusat kajian yang menganalisis tekonologi baru, berkata bahawa hakikatnya, pusat data tidak membawa pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan seperti yang dijanjikan.
Di Sweden, pusat data Facebook menjanjikan 30,000 pekejaan baru…
…namun akhirnya, ia hanya mengambil 56 pekerja untuk mengendalikan pangkalan komputernya, kata De Vries.
“Janji tidak ditepati, sama ada dari segi peluang pekerjaan mahupun kegiatan ekonomi,” kata De Vries. “Hakikatnya, pusat data tidak memberi banyak sumbangan.”
De Vries berkata peluang pekerjaan jangka pendek mungkin ada di sektor pembinaan, tetapi peluang pekerjaan jangka panjang sangat terhad.
“Anda melaburkan banyak wang dalam satu industri yang tidak membawa keuntungan,” katanya.
Katanya lagi, pusat data jugak tidak menjana kegiatan ekonomi kerana perniagaan lain tidak perlukan pusat data dalam perniagaan mereka.
Selain itu, pusat data juga menggunakan banyak sumber lain yang boleh disalurkan ke industri lain.
Pihak lain, seperti bekas timbalan menteri perdagangan dan industri Ong Kian Ming pula percaya pusat data boleh membawa peluang berganda dari segi lain, jika dasar yang sesuai dilaksanakan dengan betul.
Katanya, jika Malaysia berjaya menarik minat syarikat gergasi seperti Alphabet (Google), ia juga peluang untuk menunjukkan kemampuan Malaysia sebagai destinasi pelaburan untuk syarikat lain, terutama dalam landskap ekonomi digital.
Ia juga memberi peluang kepada syarikat tempatan seperti AIMS, YTL dan VADS untuk mengembangkan langkah mereka di luar negara, kata Ong dalam rencananya.
Dasar yang memberi insentif untuk syarikat luar negara bekerjasama dengan syarikat tempatan, termasuk dalam sektor pembinaan, juga membawa peluang berganda, katanya.
“Saya tidak setuju dengan pandangan yang pusat data hanya membawa sedikit peluang pekerjaan dan hanya akan menggunakan banyak sumber tenaga dan air yang terhad dan sangat diperlukan di negara ini,” katanya.
Halakan/klik pada bangunan untuk melihat butiran pusat data.
Apa pun peluang ekonomi yang mungkin ada, hakikatnya, impak pusat data terhadap bekalan air di Johor belum lagi ditangani.
Ini terutamanya selepas Jabatan Meteorologi memberi amaran bahawa suhu di Asia meningkat lebih cepat daripada suhu purata dunia, dan Johor dijangka menghadapi kemarau seawal 2025 dan 2026.
Dalam keadaan semasa sekali pun, cuaca panas di Malaysia menjadikan pusat data perlu menggunakan lebih banyak air untuk menurunkan suhu pangkalan komputer.
Sehingga 2024, kerajaan Malaysia telah menerima 101 permohonan untuk pembinaan pusat data, yang memerlukan lebih 808 juta liter air sehari.
Tetapi, hanya 45 permohonan yang diluluskan, menjadikan air yang diperlukan adalah berjumlah 142 juta liter sehari - cukup untuk membekalkan lebih setengah juta pengguna domestik.
Pun begitu, pusat data di Malaysia terus menggunakan sumber air awam - sumber yang sama yang digunakan untuk memasak dan minum - bagi menurunkan suhu pangkalan komputer.
Dengan risiko kemarau semakin ketara, pengurusan air yang baik menjadi lebih penting, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Dalam satu persidangan berkenaan pusat data, pengerusi Span pada ketika itu, Charles Santiago berkata pengunaan air oleh pusat data dijangka tidak dapat ditampung secara lestari menjelang tiga ke lima tahun akan datang.

Ini bermakna transisi kepada cara penurunan suhu yang lain perlu dilaksanakan dalam jangka masa tiga ke lima tahun, katanya di persidangan berkenaan yang diadakan awal tahun ini.
Charles, yang menamatkan penggal perkhidmatannya sebagai pengerusi Span pada Mei lalu, mengemukakan beberapa alternatif lain.
Antaranya dengan penggunaan air kumbahan terawat, teknologi penurunan suhu yang lebih canggih, pengumpulan air hujan dan sistem guna semula air (recirculation) sebagai penyelesaian.
Dia juga mencadangkan agar jumlah pusat data berskala hiper (hyperscale data centres, HDCs) dihadkan. HDC boleh menggunakan sehingga 15 juta liter air sehari.
HDC ditakrifkan sebagai pusat data yang mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 pangkalan komputer dan bersaiz sekurang-kurangnya 10,000 kaki persegi. Johor mempunyai 30 HDC.
Di kala pusat data kini menggunakan jumlah air yang sama banyak dengan sebuah bandar kecil, air di Johor menjadi sumber yang penting. Namun, kini salah satu pemain industri pusat data telah mengambil alih kawalan sumber ini.
Ranhill Utilities Bhd, melalui subsidiarinya Ranhill SAJ Sdn Bhd, mengendalikan semua 46 pusat bekalan air di Johor.
Pada Julai 2024, YTL Power – iaitu pembina YTL Green Data Center di Kulai – mengambil alih pegangan di Ranhill Utilities.
Ini mencetuskan kembimbangan di kalangan beberapa pihak berkenaan hak pengguna industri, komersil dan domestik. Adakah pusat data akan diberi keutamaan untuk bekalan air berbanding isi rumah dan ladang semasa kemarau.
Ketika dihubungi Malaysiakini, YTL Power enggan mengulas perkara itu manakala Ranhill tidak memberi sebarang maklum balas.
Tindakan YTL Power mengambil alih pegangan dalam Ranhill Utilities memberi bayangan tentang kebimbangan yang disuarakan pakar, iaitu persaingan sengit untuk bekalan air di kala kemarau.










Walaupun Malaysia cuba menjadi “peneraju utama pusat data”, masih belum ada undang-undang untuk mewajibkan sistem yang lestari dalam tersebut.
Menurut laporan the Associated Press, Menteri Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata garis panduan kecekapan sumber untuk pusat data masih dalam kajian, dan pada masa sama sudah ada dasar yang mendorong pusat data menggunakan tenaga hijau. Tetapi semua ini tidak wajib.
Pakar bangunan cekap tenaga Tang Chee Khoay berkata pengembangan pusat data tidak seharusnya sehingga membawa kesan buruk kepada akses bekalan air untuk orang awam.
Walaupun ada beberapa garis panduan untuk pembinaan pusat data yang lestari, Tang berkata ia tidak memadai, terutama untuk menghadapi musim kemarau.
“Ia hanya berkesan jika syarikat pusat data memilih untuk menggunakannya,” katanya.
“Jika kerajaan tidak mewajibkannya, pusat data akan terus beroperasi tanpa membuat apa-apa perancangan berhubung kemarau.”
Contohnya, kata Tang lagi, salah satu perancangan kemarau ialah untuk pusat data turut mengurangkan penggunaan air ketika air dicatu untuk pengguna domestik.
Berapa banyak tenaga dan air yang anda guna?
Pengguna internet melakukannya setiap hari. Gerakkan slider untuk teka berapa banyak tenaga dan air diperlukan.
Menstrim satu jam video HD
🥄 = 1 dalam jumlah sudu air
📱 = 1 dalam jumlah iPhone yang dicaj penuh
Pusat data ada reputasi sebagai pengguna air dan tenaga yang besar, tetapi ia tidak semestinya begitu.

Salah satu contoh ialah Pusat Data Lefdal Mine di Norway, yang dibina di tapak bekas lombong di tepi fjord (teluk sempit dan dalam di antara tebing curam). Ia merupakan antara pusat data paling lestari di dunia.
Lokasinya di sebelah fjord membolehkannya mengambil air sejuk bersuhu 8°C dari situ dan menyalurkannya ke dalam satu rangkaian tertutup di bawah lantai. Ini membolehkan peralihan haba berlaku.
Semua tenaga elektrik yang digunakan diperolehi daripada sumber boleh diperbaharui dan tenaga haba yang dikeluarkan disalurkan ke sebuah kolam salmon komersil berdekatan, agar ia tidak disia-siakan.
Namun penyelesaian secara kitaran ini kurang sesuai di Malaysia, di mana suhu secara puratanya adalah sekitar 21°C ke 32°C setiap hari. Di kawasan beriklim panas seperti Malaysia, perubahan untuk lebih lestari dilakukan melalui mengubah sumber air.
Ini bermakna tidak menggunakan berjuta liter air paip bersih. Di beberapa pusat data di kawasan iklim panas, suhu diturunkan menggunakan air yang telah dipakai, air laut atau teknologi baru yang dinamakan liquid immersion cooling, di mana pangkalan komputer direndam dalam sejenis cecair untuk menurunkan suhunya.
Di Malaysia, belum ada pusat data yang menggunakan kaedah-kaedah yang lestari ini, tapi ada sejumlah pusat data yang dijangka akan mula mencubanya akhir tahun ini.
Di Selangor, syarikat Air Selangor berkata ia boleh membantu menyalurkan air kumbahan atau air sisa dari kilang berdekatan kepada pusat data.
Di Johor pula, dua pusat data kini sedang mengkaji cara untuk menggunakan air kumbahan atau mengambil air terus dari sungai untuk mengurangkan penggunaan air paip, kata exco negeri Lee Ting Han.
"Kami menjangka lebih banyak pusat data akan berbuat demikian, malah dua lagi pusat data telah menunjukkan minat,” katanya kepada The Star.
Sementara itu, di seberang tambak di National University of Singapore, para penyelidik sedang mencuba teknologi baru menurunkan suhu pusat data yang dibina di universiti itu untuk tujuan eksperimen.
Di situ, beberapa eksperimen dijalankan menggunakan kaedah baru, seperti menggunakan udara luar dan teknologi penyejatan, untuk pusat data di iklim yang panas. Ini termasuk teknologi StatePoint Liquid Cooling yang dihasilkan oleh syarikat teknologi gergasi, Meta.
Seperti Meta, kata Tang, kebanyakkan syarikat gergasi dalam industri ini mengambil kira isu kelestarian dengan serius. Ini kerana mereka mengjangka ia akan menjadi permintaan oleh pelanggan mereka dalam beberapa tahun akan datang.
Tang berkata ini mendorong pengendali pusat data berskala hiper untuk mengambil tindakan kelestarian secara proaktif, berbanding syarikat-syarikat kecil yang perlu didorong secara undang-undang.
Zayana Zaikariah dari Institute of Strategic and International Studies (Isis) menjalankan kajian berhubung impak pusat data ke atas alam sekitar. Dia juga setuju dengan Tang.
Katanya, dari segi kelestarian alam sekitar, banyak pengendali pusat data kecil atau pengendali baru tidak mencapai piawaian yang sama dengan syarikat besar yang tersenarai di bursa saham.
“Cabarannya adalah untuk memastikan mereka melakukannya (mempratikkan usaha kelestarian) secara konsisten.
“Pemain industri yang kecil akan terlepas daripada pengawasan, terutama jika penguatkuasaan lemah atau tiada undang-undang yang mewajibkannya.”
Tang kini sedang membina satu indeks bangunan hijau untuk pusat data, di mana pusat data dinilai menurut piawaian kelestarian, termasuk kecekapan penggunaan air dan perancangan berkaitan kemarau.
Namun, pensijilan bangunan hijau untuk pusat data masih tidak wajib.
Buat masa ini, rizab air masih mencukupi, tetapi Tang mengingatkan keadaan cuaca ekstrem akan menyebabkan perebutan air antara industri, isi rumah dan pusat data.
“Bila kemarau datang, semua orang akan berebut air,” katanya. “Pusat data tak boleh tutup, jadi macam mana?”
“Semua orang nak gunakan internet, jadi persoalannya sekarang ialah bagaimana kita boleh bangunkan pusat data dengan lebih lestari.”
Kredit
Penyelidik, Penulis dan Jurugambar:
Ashley Yeong
Editor and Penyelaras Projek:
Aidila Razak
Sub Editor:
Aedi Asri Abdullah
Penterjemah:
Aidila Razak
Ilustrasi dan Rekabentuk:
Amin Landak
Pembangun web:
Sokongan:
Laporan ini disokong oleh Earth Journalism Network.