Ujian darah ke atas komuniti Temiar Kampung Kelaik menunjukkan kadar kromium yang tinggi. Lombong bijih besi mungkin puncanya.
Laporan bersiri ini disokong Pulitzer Center.
Angah Alang, 76, mahir berenang dan seorang Temiar yang cekap, tapi pada 23 Julai, 2015, dia lemas dalam air sedalam hanya tiga kaki.
Jasadnya ditemui terperangkap di bawah kayu, ranting dan pokok yang turun dengan deras dalam satu banjir kilat, yang juga membawa batu-batu besar dari atas bukit. Dia maut kira-kira 10km hilir dari sebuah lombong bijih besi, yang terletak di atas bukit.
Ketua komuniti Orang Asli tersebut maut dalam sungai yang dikemudi sepanjang hayat - di situlah tempat dia mandi, berenang dan menjala dari kecil lagi.
Kehilangan mengejut itu meninggalkan kesan mendalam atas penduduk di kampung terpencil itu. Sehingga ke hari ini, mereka masih tidak dapat bercakap tentang tragedi itu.
Sembilan tahun selepas insiden itu, penduduk Kampung Kelaik percaya air sungai yang telah membunuh Alang kini menyebabkan penyakit kulit dan mencemari sumber air dan makanan mereka.
Lebih buruk lagi, mereka risau bahan kimia yang telah menjadikan sungai berubah warna ke merah karat ini kini meracuni mereka dan anak-anak mereka.
Menurut ujian darah ke atas penduduk yang dikendalikan Malaysiakini, kebimbangan ini ada asasnya.
Kromium sejenis logam berat, tinggal di dalam badan manusia selama beberapa minggu atau bulan. Ini menunjukkan Azlan terdedah pada kromium tidak lama dari hari sampel darah diambil bulan lalu, kata pakar kimia Viview How.
Walaupun masih dalam kadar normal, kadar aluminium dalam darah Azlan agak tinggi, menunjukkan dia baru terdedah terhadap logam ini. Aluminium biasanya keluar dari sistem badan dalam masa 24 jam selepas terdedah, kata pakar UPM itu.
Arsenik, satu karsinogen, pula keluar dari badan dalam empat ke enam jam, tapi masih boleh menyebabkan kerosakan hati dan ginjal yang teruk dalam masa yang singkat.
Besi atau Ferum dalam darah Azlan dalam kadar normal. Tetapi kadar besi dalam badan bergantung pada individu dan biasanya tidak terkait dengan persekitaran semata-mata.
Bagaimana kromium masuk ke darah Azlan?
Kromium sejenis logam berat yang mempunyai pelbagai jenis. Salah satu jenis - kromium-6 - kadang kala dipanggil dalam berita luar negara sebagai ‘Bahan Kimia Erin Brockovich’ selepas ia menjadi subjek satu filem Hollywood dengan nama yang sama.
Filem itu mengisahkan bagaimana penduduk sebuah pekan kecil di California menjadi sakit akibat pencemaran kromium dalam sumber air minuman mereka.
Adakah kromium masuk ke dalam darah Azlan dengan cara yang sama dan adakah lombong bijih besi dalangnya?
Azlan Ahak memberi sampel darah untuk ujian makmal.
Malaysiakini mengendalikan ujian atas air yang keluar dari dua lombong berlesen hulu dari Kampung Kelaik. Di satu lombong tersebut - Aqua Orion - tahap kromium ialah 2.6mg/L.
Ini melangkaui had yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), menurut pakar kualiti air Zaki Zainudin selepas dia menyemak keputusan ujian sampel air yang dibuat oleh Malaysiakini.Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak menetapkan had untuk kromium total, tetapi untuk dua varian kromium, iaitu kromium-6 (0.05mg/L) dan kromium-3 (1mg/L) di bawah Peraturan-peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.
Atas nasihat Zaki, Malaysiakini mengambil sampel kedua untuk diuji untuk kromium-6 dan kromium-3 secara berasingan.
Dalam sampel air dari kolam pemendapan, tempat sisa lombong dibuang, didapati bacaan tinggi untuk kromium-6 (19.4mg/L) dan kromium-3 (34.8mg/L).
JAS mengehadkan kromium-6 ke 1.4mg/L dan kromium-3 ke 2.5mg/L untuk sumber air Kelas III. Kelas III merujuk kepada sungai yang boleh digunakan untuk perikanan dan aktiviti manusia, tetapi hanya dengan proses rawatan yang sesuai.
Kelas I
- Sungai bersih tanpa perlu rawatan
Kelas IIA
- Boleh digunakan untuk perikanan dan sumber air dengan rawatan biasa
Kelas IIB
- Boleh digunakan untuk rekreasi di mana air ada kontak dengan badan
Kelas III
- Boleh digunakan untuk perikanan, diminum haiwan ternak dan sebagai sumber air untuk manusia, tapi dengan rawatan intensif
Kelas IV
- Boleh digunakan untuk sistem pengairan (ladang atau kebun)
Kelas V
- Sungai tercemar, tidak boleh digunakan
Efluen dari kolam mendapan itu dilepaskan ke sungai, dan sungai itu akan mengalir ke Kampung Kelaik. Kata Zaki, ini tidak sepatutnya berlaku.
Sampel air di bahagian hilir sungai yang digunakan Azlan dan penduduk lain, didapati mempunyai kadar kromium yang rendah - 0.52mg/L untuk kromium-3 dan kurang dari 0.01m/L untuk kromium-6.
Tapi sehari sebelum sampel itu diambil, hujan turun dengan lebat.
“Hujan yang lebat boleh mencairkan kepekatan kromium dalam air ketika sampel diambil,” kata Vivien How, pakar kimia UPM.
“Hujan juga boleh membawa turun sisa yang tercemar dari bahagian hulu ke hilir sungai, meningkatkan risiko pendedahan kepada logam berat melalui air.
“Namun begitu, ini mungkin tidak dapat dilihat dengan ujian dari satu sampel yang diambil selepas hujan,” katanya.
Empat sungai berasal dari Bukit Tambun, tempat dua lombong beroperasi. Sungai-sungai ini mengalir ke Sungai Chenderoh.
Sungai-sungai ini diempang untuk dijadikan sumber air bersih dalam proses perlombongan dan diubah alirannya untuk melepaskan efluen.
Keputusan ujian sampel air sebelum ia masuk ke lombong Aqua Orion(Lokasi A) menunjukkan kadar chromium-6 yang sangat rendah, <0.01mg/L.
Tapi di kolam sisa (Lokasi D), kadar kromium amat tinggi. Di sini tempat sisa diangkat dan dibuang ke tebing bukit.Kadar kromium-6 19.4mg/L adalah tujuh kali lebih tinggi untuk air yang boleh menjadi sumber air untuk manusia dan perikanan.
Tapi sampel air yang diambil di titik pelepasan efluen ke dalam sungai (Lokasi B) dan sedikit hilir dari situ(Location C) menunjukkan kadar yang rendah untuk kromium-6 ( 0.03mg/L dan 0.02mg/L masing-masing).
Sekarang kita lihat pula lombong Redstar Capital. Air sungai yang diempang sebelum masuk ke operasi perlombongan (Lokasi F) mempunyai kadar kromium-6 sebanyak 0.01mg/L, iaitu sangat rendah.
Air di tempat efluen keluar dari Redstar Capital ke sungai (Location G) dan hilir dari titik pelepasan efluen (Location H) juga mempunyai kadar kromium-6 rendah sebanyak <0.01mg/Lmasing-masing.
Tapi di sisa dari kolam efluen yang masuk ke Sungai Sewak (Lokasi I) kadarnya 0.06mg/L - lebih tinggi dari yang dibenarkan untuk sungai yang ada kontak dengan badan manusia.
10km hilir dari kedua-dua lombong, (Lokasi E) iaitu tempat mana penduduk mandi dan menangkap ikan, kadar kromium-6 adalah rendah, iaitu kurang dari 0.01mg/L.
Tapi kromium-3, sejenis yang kurang toksik, ialah 0.52mg/L. Kromium-3 boleh memberi kesan pada saluran pernafasan dan tidak sepatutnya ada dalam air yang digunakan untuk berenang atau mandi.
Pakar kimia Vivien How berkata analisis lanjut perlu dijalankan untuk mencari kaitan yang konklusif antara kadar kromium dalam darah Azlan dan pencemaran dalam sungai. Tapi data yang sedia ada menunjukkan kebarangkaliannya tinggi, katanya.
Walaupun kadar kromium-6 di kawasan renang penduduk kampung amat rendah, didapati terdapat kontaminasi yang signifikan di bahagian di sungai dan kolam sisa. Ini mencadangkan Azlan mungkin terdedah kepada kromium di bahagian ini.”
Tambahnya, keputusan ujian sampel air di kawasan renang tidak menunjukkan kandungan logam berat yang tinggi kerana ia diambil di musim hujan. Oleh itu kadar pencemaran sebenar mungkin tersembunyi.
Ditanya jika perladangan juga mungkin menyumbang pada pencemaran kromium, katanya racun serangga boleh “meresap dalam tanah, mencemar air, dan meningkatkan beban persekitaran”.
Risiko kanser yang tinggi
Keputusan ujian darah dan air tersebut merupakan satu tanda amaran dan pihak berwajib patut melakukan siasatan lanjut. Ini terutamanya kerana keracunan kromium boleh membawa komplikasi kesihatan yang buruk.
Berdasarkan ujian darah Azlan, How dapat membuat kiraan untuk risiko karsinogenik sepanjang hayat (LCR) bagi remaja tersebut. Kiraan ini menganggarkan risiko Azlan mendapat penyakit kanser dalam hidupnya. Menurut kiraan How, risiko Azlan “jauh lebih tinggi” daripada normal.
Titik ini menunjukkan risiko karsinogenik sepanjang hayat (LCR) yang normal, iaitu 0.000001.
LCR Azlan ialah 0.064. Ini bermakna risiko Azlan mendapat kanser 64,000 lebih tinggi.
Berdasarkan dapatan ini, How menganggarkan daripada 100 penduduk kampung, enam daripada mereka berkebarangkalian mempunyai risiko kanser yang sama dengan Azlan.
Dia juga mengira risiko bukan karsinogenik (Hazard Quotient, HQ). HQ mengukur risiko mendapat penyakit selain kanser.
Titik ini menunjukan kadar Hazard Quotient (HQ) yang normal.
HQ Azlan ialah 79.17. Dalam kata lain, dia 79 kali lebih berisiko mendapat penyakit selain kanser akibat terdedah kepada kromium .
“Menggunakan data pendedahan Azlan sebagai rujukan untuk penduduk lain, ini menunjukkan bahawa penduduk berisiko tinggi mendapat penyakit bukan karsinogenik, akibat pendedahan kromium apabila menggunakan sungai sebagai sumber air.
“Antaranya, ia boleh memberi impak kepada ginjal, hati dan membawa kepada isu pernafasan, selama mana individu terdedah (kepada kromium),” katanya.
Baca laporan penuh Vivien How di sini.
Paling lama berada dalam sungai
How berkata keputusan ujian Azlan “merisaukan”.
Azlan satu-satunya penduduk kampung yang mempunyai kadar kromium yang tinggi dalam darahnya, antara enam yang memberi kebenaran untuk darah mereka diuji.
Azlan juga penduduk yang termuda antara mereka yang diuji dan dia meluangkan paling banyak masa dalam sungai antara mereka.
“Kadar aluminium, arsenik dan kromium (dalam darah Azlan) menunjukkan sesuatu…Ia cukup untuk membawa kebimbangan dan untuk dilaporkan ke pihak berwajib,” katanya.
Sertai penduduk Kampung Kelaik dan pasukan Kini News Lab pada pameran tentang perjuangan mereka membantah kemusnahan hutan dan alam sekitar.
Tarikh: 14 Disember, 2024
Masa: 11 pagi ke 4 petang
Tempat: Forest Learning Centre, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur
Program: Pameran foto & video, perkongsian cerita dan masakan dari penduduk Temiar Kampung Kelaik.
Makan tengahari disediakan. Daftar di sini.
Dahulunya seperti syurga
Pembukaan Lebuhraya Gua Musang-Cameron Highlands pada 2004 membuka jalan untuk perladangan kelapa sawit, getah dan durian, serta operasi perlombongan di tanah adat komuniti Temiar Kampung Kelaik.
Sebelum itu, komuniti seramai 200 orang ini tinggal secara terpencil, jauh dari kampung Orang Asli lain di Gua Musang.
Tanpa bekalan elektrik dan air paip, mereka minum dari sungai yang jernih, memburu dan memungut hasil hutan, serta tidak merasakan terdapat apa-apa keperluan untuk keluar dari kampung. Pekan Gua Musang pun terlalu hiruk-pikuk untuk mereka, kata ketua jawatankuasa bertindak Kampung Kelaik, Ahak Uda.
Perlombongan bijih besi bermula di Kampung Kelaik pada tahun 2009, semasa Azlan hanya empat tahun.
Seawal lima tahun, Azlan mula mengikut orang dewasa menangkap ikan dan memburu, kata ayahnya, Ahak. Ahak bercakap bagi pihak Azlan, yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Kini, Azlan pergi ke sungai tiga kali seminggu, kata ayahnya.
Dia berada dalam sungai untuk beberapa jam untuk menangkap ikan dan katak, sumber protein utama untuk penduduk, terutamanya kerana haiwan lain susah diburu sejak hutan mula ditebang. Bunyi kuat dari operasi perlombongan juga menghalau haiwan, kata Ahak.
Sejak air sungai menjadi merah, penduduk Kampung Kelaik dengan bantuan NGO dan Pejabat Kesihatan Daerah, cuba mendapatkan air dari satu sungai kecil berdekatan. Sungai itu jernih berbanding sungai yang terletak di bahagian hilir dari lombong.
Tapi sungai-sungai lain ini terlalu kecil untuk ada ikan dan bila hujan lebat paip graviti dan tandak yang dibina itu akan tersumbat dengan daun, pasir dan ranting. Kadang kala bekalan terputus untuk berhari lamanya, kata Ahak.
Kepayahan untuk mendapatkan perkara asas seperti bekalan air telah melelahkan komuniti ini. Mereka rasa mereka bukan sahaja hilang keheningan hutan belantara, tapi jauh lebih dari itu.
Tangkapan dari sungai, ikan dan katak, tak besar macam dulu. Ikan besar tapak tangan saya sahaja.”
Kulit katak pun diselubungi selaput merah karat.
Sakit kulit, masalah bernafas dan neurologi
Seperti Azlan, penduduk yang tidak mampu membeli makanan dari luar perlu menghabiskan berjam sehari di dalam sungai, sehinggakan mereka mula mendapat sakit kulit.
Doktor yang telah memeriksa penduduk Kampung Kelaik untuk masalah kulit mereka berkata pendedahan kepada air sungai tercemar itu mungkin punca penyakit dermatitis sentuh (contact dermatitis) yang dialami mereka.
“Luka-luka mereka biasanya sembuh jika mereka tidak masuk sungai, jadi saya cadangkan mereka gunakan air hujan yang ditapis sebagai sumber air,” kata doktor itu, yang tidak ingin dinamakan.
Lebih merisaukan, penduduk juga mengadu mempunyai masalah pernafasan dan neurologi selama lebih kurang sejam selepas keluar dari sungai, kata doktor itu.
Ujian lanjut perlu dilakukan untuk mengetahui jika masalah kesihatan yang dialami Azlan dan penduduk lain berkaitan dengan keracunan kromium.
Tetapi antara simptom keracunan kromium adalah
Asma
Ulser hidung
Hingus
Batuk
Ulser perut
Ulser kulit
Kanser paru-paru
Dematitis sentuh
Kerosakan hati
Kerosakan ginjal
Anemia
Kerosakan sperma
Otot lemah
Ketumbuhan dalam perut
Kiraan platlet rendah
Pekerja kilang besi yang terdedah pada kromium juga didapati lebih ramai maut dari kanser paru-paru, menurut Jabatan Keselamatan Tempat Kerja Amerika Syarikat.
Kelompangan undang-undang
Kadar kromium dan logam berat yang tinggi di titik pelepasan efluen dari Aqua Orion mungkin satu kesalahan dari segi undang-undang tetapi agak sukar untuk mengambil tindakan, kata Zaki, pakar kualiti air.
Menurut undang-undang, pemegang lesen perlombongan boleh memohon kepada ketua pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melepaskan efluen dengan kandungan lebih tinggi daripada had, kata Zaki.
Tambahan pula, dua lombong ini mula beroperasi pada tahun 2009 dan 2015, jadi mereka mungkin tidak perlu patuh pada undang-undang terkini yang mula berkuatkuasa Januari 2017, kata Zaki.
Akta Pembangunan Mineral 1994 yang masih berkuatkuasa tidak meletakkan had untuk kandungan logam berat dalam efluen yang dilepaskan.
JMG masih belum menjawab soalan Malaysiakini berkenaan dakwaan ketidakpatuhan oleh pemegang lesen lombong-lombong di Kampung Kelaik.
Tetapi jabatan tersebut mengesahkan Redstar Capital merupakan kontraktor yang bertanggungjawab untuk operasi perlombongan di situ di bawah satu pajakan perlombongan, yang dipegang Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd sejak 2009.
Aqua Orion pula diberikan lesen melombong dari 2015 ke 2025, kata JMG.
Pengurus pentadbiran Redstar Capital, Julice Chu Lai Siong, berkata syariat itu tidak melanggar apa-apa undang-undang dan isu ini telah dilaporkan secara berat sebelah oleh media sejak 10 tahun lalu.
“Kami telah dipersoal oleh kerajaan…Operasi kami menurut peraturan,” katanya bila dihubungi melalui telefon.
Menjawab emel Malaysiakini kemudian, dia berkata lombong Redstar Capital menggunakan konsep “litar tertutup (closed circuit)” dan “buangan sifar (zero discharge)”.
“Air efluen dikitar semula untuk digunakan dalam proses perlombongan dan tiada efluen dilepaskan ke sungai,” katanya.
Tambahnya lagi, lombong itu memeriksa efluen secara berkala dan sampel air sungai berdekatan dihantar ke JMG dan JAS setiap bulan.
“Kami akan menurut had yang ditetapkan JMG untuk kromium-3 dan kromium-6, iaitu 0.20mg/L dan 0.05mg/L masing-masing,” katanya.
Kata Chu, Redstar Capital tidak pernah mendapat aduan dari ahli komuniti berkenaan operasi mereka, dan kematian pemimpin Temiar Alang Angah sembilan tahun lalu bukan salah Redstar Capital. Kes polis berkenaan itu telah ditutup, katanya.
Malaysiakini juga telah menghubungi syarikat lombong Aqua Orion, Syarikat Perlombongan Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk maklum balas.
Kembalikan tanah kami
Pada luahan suara Ahak jelas kedengaran rasa sedih dan risau yang dialaminya apabila Malaysiakini menghubunginya dengan berita buruk tentang ujian darah anaknya, Azlan.
Merasakan keterdesakan, dia bertanya jika semua penduduk boleh diperiksa juga kerana sungai itu digunakan setiap hari - untuk menangkap ikan, mandi, mencuci pakaian dan alat masakan dan bermain.
“Ramai yang lain selalu masuk ke sungai. Ini amat bahaya dan saya amat risau akan keselamatan mereka.”Ketika ditemui Malaysiakini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya akan membuat ujian lanjut ke atas penduduk Kampung Kelaik untuk memastikan mereka tidak mengalami keracunan logam berat.
Ahak berkata dia marah dan kecewa - dengan kerajaan Kelantan, Jakoa, Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan juga Tok Batin Kampung Kelaik.
Semuanya bertanggungjawab melindungi komuniti Kampung Kelaik tetapi telah gagal sejak pembalak mula masuk pada tahun 2025, katanya.Penat bergantung pada orang lain, Ahak dan beberapa penduduk lain, dengan bantuan masyarakat sivil telah memfailkan saman ke atas kerajaan Kelantan dan pihak lain atas pencerobohan 8,000 hektar tanah adat, serta kehilangan cara hidup mereka.
Saman ini menamakan 10 syarikat, kerajaan negeri dan tiga agensi kerajaan sebagai defendan dan kos guaman dikumpul daripada derma.
“Kembalikan tanah adat kami. Kami percaya jika semua operasi ini dihentikan, tanah ini akan pulih dan kembali ke keadaan asal untuk generasi akan datang,” kata Ahak..
“Kami penduduk asal tanah ini dan berhak untuk menuntut kepunyaan kami.”