Komuniti Orang Asli di Kampung Pos Lanai, Pahang berasa bingung dengan pengumuman kerajaan negeri bahawa projek perlombongan nadir bumi di Sungai Wang yang berdekatan telah diluluskan.
Menurut penduduk Kampung Semai, perkara ini lebih membingungkan kerana mahkamah masih mendengar tindakan undang-undang diambil mereka untuk mengklasifikasikan tanah itu sebagai tanah rizab.
Suku kaum berkenaan dengan bantuan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memulakan tindakan mahkamah pada tahun 2021.
Namun pengumuman oleh Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail pada bulan Mei bahawa keluasan 220 hektar - hampir sebesar 411 padang bola sepak - telah diluluskan melibatkan tanah di sekitar Sungai Wang di Lipis, seolah-olah mendahului sebarang keputusan mahkamah.
Lebih-lebih lagi, Sungai Wang sudah menampakkan kesan pencemaran kerana sungai yang dahulunya jernih kini menjadi anak sungai berlumpur.
Pada pandangan pertama, Pos Lanai ialah satu komuniti yang tenang di tengah-tengah hutan Pahang.
Penduduk berkata suatu masa dahulu mereka boleh menangkap ikan di Sungai Wang.
Dahulu ada ikan kelah, ikan baung, ikan lampam, ikan tengas, ikan daun, tetapi sekarang airnya hanya mengandungi lumpur. Oleh itu mereka terpaksa menangkap ikan di tempat lain, di Sungai Telom yang lebih besar.
Di tempat lain, bahan buangan dan sisa dari ladang Cameron Highlands menyekat aliran sungai dan mencemarkan airnya.
Dalam dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, plaintif dari Pos Lanai mendakwa kemusnahan tanah tersebut akan menjejaskan hak komuniti itu untuk mencari sumber pendapatan.
Mereka juga berkata ini akan menjejaskan sistem budaya dan sosial mereka yang sangat bergantung kepada tanah di sekeliling mereka.
Sebelum ini pada 2019, komuniti tersebut menang dalam tindakan mereka menentang Empangan Telom, apabila kerajaan Pakatan Harapan membatalkan projek tersebut yang boleh menenggelamkan kampung mereka.
Sekarang terdapat ancaman baru, kata Che Mat Nor Ayat, seorang penduduk suku kaum Orang Asli berasal dari Pos Lanai.
Dia memberitahu Malaysiakini bahawa keadaan tidak boleh kembali seperti dulu jika alam sekitar sudah tercemar, selain aktiviti perlombongan akan mencemarkan sungai dan tanah di kawasan tersebut.
Tanah berwarna merah jingga
Sungai Wang mengalir merentasii tanah rizab hutan simpan, seperti yang tertulis pada papan tanda.
Namun begitu, hanya 500 meter dari sungai tersebut, terdapat sebidang tanah yang tiada lagi pokok dan tumbuhan semula jadi.
Tanah di situ berwarna merah jingga, tanpa ada tumbuhan-tumbuhan.
“Tanah itu tak lagi subur. Pembalakan sudah berlaku di sini, kenapa (kerajaan) mahu rosakkan lagi dengan perlombongan?” Soal Mat Nor.
Walaupun kawasan ini dalam hutan simpan, kerajaan negeri secara sah boleh menjadikan kawasan itu sebagai “hutan pengeluaran” untuk membolehkan aktiviti pembalakan dan perlombongan.
Kertas penyelidikan pada 2019 yang mengkaji penggunaan tanah dan kualiti air di Malaysia hingga pertengahan 2018 mendapati pertanian merupakan penyumbang utama pencemaran air.
“Hasil kajian menunjukkan 87 peratus daripada kajian yang telah dibuat menunjukkan penggunaan tanah bandar sebagai sumber utama pencemaran air, manakala 82 peratus menunjukkan penggunaan tanah pertanian, 77 peratus menunjukkan penggunaan tanah hutan, dan 44 peratus menunjukkan penggunaan tanah lain,” katanya.
Penebangan hutan menyebabkan peningkatan hakisan tanah kerana kekurangan pokok menyebabkan air mengalir laju. Ini berlaku kerana akar pokok biasanya menyerap dan menapis air.
Perjalanan ke kampung itu tidak melalui jalan biasa dan hanya boleh diakses dengan bot.
Penduduk dan pengunjung mengharung perjalanan selama setengah jam menaiki bot kecil untuk pergi dan balik. Setiap bot hanya mampu membawa beberapa orang dan muatan yang sedikit.
Penduduk mengharungi perjalanan selama setengah jam pergi dan balik menggunakan bot enjin kecil. Setiap bot hanya mampu memuatkan beberapa orang dan muatan yang sedikit.
Sungai ini, Sungai Telom adalah lebih besar dan lebih dalam tetapi tetap keruh.
Menurut Mat Nor, sungai itu dahulu - ketika digunakan untuk ekopelancongan - adalah lebih besar.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pernah berkayak di sungai itu pada tahun 1990an ketika dia menjadi timbalan perdana menteri, kata Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia, Sivarajan Arumugam.
Sekarang, sungai itu hanya sedalam paras pinggang dan dipenuhi lumpur.
Sepanjang perjalanan, seorang mengendalikan enjin dan kemudi, manakala seorang lagi duduk di hadapan dengan membawa sebatang tongkat.
Tongkat itu digunakan untuk menolak bot keluar dari kawasan yang dipenuhi lumpur dan selut.
Seperti Sungai Wang, Sungai Telom dicemari oleh aktiviti pertanian dari Cameron Highlands.
Aktiviti pertanian menyebabkan pencemaran.
Profesor kualiti air dan permodelan kualiti air di Universiti Teknologi Malaysia, Maketab Mohamad berkata aktiviti berskala besar seperti pertanian komersial menggunakan racun perosak, bakteria dan virus, bahan pepejal terampai dan pencemar organik ke dalam air.
“Ini akan memberi kesan kepada mereka yang menggunakan sungai dan air sungai di hilir sehingga ke Sungai Pahang dan Laut China Selatan,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, ini kerana jaringan yang terbentuk oleh sungai-sungai dari Cameron Highlands yang merentasi negeri.
Aktiviti Orang Asli adalah pada skala yang jauh lebih kecil dan oleh itu kurang berkemungkinan menyebabkan pencemaran, katanya.
Mengenai perlombongan nadir bumi, kaedah baru larut resap in-situ bagi perlombongan nadir bumi bermakna ammonium sulfat digunakan untuk melarutkan unsur nadir bumi di dalam tanah, jelasnya lagi.
“Bahan kimia ini mungkin bocor ke dalam air bawah tanah, air di permukaan dan ke dalam sungai.
“Ammonium tidak begitu toksik bagi ikan tetapi jika pH air sungai tinggi, seperti sembilan dan ke atas, ammonium cenderung berubah kepada ammonia, yang toksik kepada ikan,” katanya.
Selain itu, penebangan pokok-pokok dan lapisan tumbuh-tumbuhan yang dilakukan sebelum proses perlombongan akan mendedahkan tanah dengan unsur-unsur tersebut.
Ini menyebabkan hakisan tanah yang lebih besar, meningkatkan kekeruhan, serta kemasukan lebih banyak bahan pepejal terampai ke dalam sungai, katanya.
Penduduk Pos Lanai pada masa ini tidak menduduki seluruh kawasan berkenaan sebelum ini. Sebelum ini satu kumpulan yang lain tinggal di situ, dalam satu kampung yang dikenali sebagai Jinthir.
Namun, penduduk terbabit bersetuju dengan perjanjian penempatan semula dengan kerajaan dan setuju untuk berpindah ke Pos Pantos. Penduduk Pos Lanai merasakan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga tanah yang pernah dimiliki penduduk di Jinthir yang telah dipindahkan selepas membuat perjanjian dengan kerajaan.
“Mereka mengatakan tanah itu kepunyaan kerajaan dan bukan milik mereka,” kata Tok batin Tuny Amir kepada Malaysiakini, dengan nada suara yang jelas menunjukkan kekesalan.
Sejak itu, katanya lagi, hubungan antara kedua-dua kumpulan penduduk kampung itu menjadi renggang.
Rasa keterdesakan
Kesemua 148 plaintif dalam saman untuk mendapatkan hak tanah berkenaan adalah penduduk dari kampung Pos Lanai.
Terdapat rasa keterdesakan berhubung projek baru itu dengan penduduk bimbang kes mengenai hak tanah tidak akan dapat diselesaikan sebelum lombong dibina.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada Ogos ini di Mahkamah Sesyen Lipis.
Harapannya ialah pengisytiharan tanah itu sebagai rizab Orang Asli akan dapat mengelakkan pertikaian undang-undang seterusnya yang berkaitan perlombongan dan aktiviti pembangunan lain.
Ini kerana prosedur operasi standard Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menghalang pembinaan lombong nadir bumi di atas tanah rizab.
Namun mahkamah di Lipis hanya memiliki seorang majistret untuk mengendalikan kesemua kes, menyebabkan proses undang-undang berlarutan, kata penduduk kampung yang mengesyaki perlombongan haram sudah pun bermula.
Walaupun aktiviti perlombongan belum bermula secara rasmi, seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan mendakwa dia pernah melihat pekerja-pekerja di hutan pada waktu malam dua tahun lalu.
Dia menegaskan pekerja tersebut berasal dari China.
“Mereka tidak faham bahasa Malaysia atau Inggeris”, kata lelaki yang berusia 40an itu.
Walaupun pekerja berkenaan sudah tidak kelihatan sejak itu, penduduk kampung masih berjaga-jaga kerana hutan tersebut luas dan aktiviti seumpama itu berlaku pada waktu malam.
Kes-kes perundangan penting membabitkan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
52 plaintif yang merupakan ketua keluarga Temuan di Sungai Linggiu menuntut kerajaan Johor dan pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri untuk mendapatkan pampasan atas pemberian 53,273 ekar (23,177.6ha) tanah adat dan nenek moyang mereka untuk membina sebuah empangan.
Kesimpulan: Kes ini memperakui hak Orang Asli ke atas tanah nenek moyang mereka di semenanjung, yang berterusan walaupun dalam perubahan kedaulatan - satu konsep yang dikenali sebagai "hak kepenggunaan". Tetapi kumpulan itu kemudiannya menyeret salah seorang peguam mereka ke mahkamah - dan menang - selepas mendapati bahawa peguam berkenaan telah menyalahgunakan pampasan mereka.
Plaintif dan keluarga mereka, yang terdiri daripada suku Temuan telah diusir dari 38.477 ekar tanah di Dengkil, Selangor. Tanah itu diambil untuk membina sebahagian lebuh raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kesimpulan: Defendan mendakwa plaintif tidak tinggal di tanah itu secara tradisional tetapi mahkamah menguatkuasakan duluan yang ditetapkan oleh kes Adong, memperluaskannya lagi untuk memasukkan pemilikan sekurang-kurangnya sebahagian tanah adat.
Orang Asli suku Seletar telah diusir dari tanah adat mereka di Johor Bahru ke Kuala Masai pada tahun 1993. Orang Seletar, juga dikenali sebagai Orang Laut, mendapatkan perintah mahkamah berhubung hak dan kepentingan mereka ke atas laut, dasar laut, sungai, dasar sungai, salur masuk pasang surut, teluk, muara sungai, pelabuhan dan perairan bawah tanah di Selat Johor.
Kesimpulan: Mahkamah Tinggi Johor memerintahkan kerajaan negeri membayar RM5.2 juta sebagai pampasan dan mengembalikan semula tanah milik Orang Seletar itu sebagai penempatan Orang Asli. Bagaimanapun, suku berkenaan terpaksa membawa kes mereka ke mahkamah sekali lagi untuk menguatkuasakan pembayaran pampasan.
Kerajaan PH menyaman pentadbiran Kelantan pimpinan PAS bagi pihak Orang Asli, berkaitan tanah adat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.
Kesimpulan: Mahkamah Tinggi Kota Bahru memutuskan mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tindakan undang-undang yang menyasarkan kerajaan negeri pimpinan PAS, serta pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, pengarah Jabatan Perhutanan negeri dan lima entiti swasta sebagai defendan.
Plaintif, Elite Agriculture Sdn Bhd, mendakwa mempunyai pajakan selama 99 tahun ke atas tanah seluas 655 hektar itu. Syarikat itu mendakwa bahawa wakilnya telahj "disekat, dikejar dan diugut" oleh responden apabila mereka cuba memasuki kawasan itu untuk membersihkan tanah.
Kesimpulan: Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang tidak menyebelahi Orang Asli suku Semelai itu, memerintahkan mereka memberi laluan kepada syarikat yang ditugaskan untuk membersihkan tanah untuk penanaman kelapa sawit.
Salah luluskan projek sebelum kes selesai
Peguam dan aktivis Orang Asli, Siti Kasim berpendapat sangat tidak wajar bagi kerajaan mengumumkan projek berkenaan sebelum kes diselesaikan di mahkamah.
“Ini menunjukkan mereka mempunyai sikap tidak peduli dan tidak hormat terhadap hak Orang Asli serta tidak menghargai kewujudan mereka,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga menyebut mengenai pengumuman MP Cameron Highlands Ramli Mohd Nor bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghalang kerajaan negeri daripada mengabaikan keputusan mahkamah yang memihak kepada hak tanah nenek moyang Orang Asli.
Namun, Siti Kasim menyatakan keraguan mengenai langkah sedemikian.
“Dengan urusan Orang Asli berada di bawah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, ini juga boleh menimbulkan kekeliruan, pertikaian dan kelewatan dalam pentadbiran perkara-perkara seumpama ini,” katanya.
Dia menyokong penglibatan suara Orang Asli dalam rancangan untuk meminda perlembagaan, dengan mengatakan mereka sepatutnya boleh membuat keputusan termaklum mengenai nasib mereka.
Niat dan perkataan dalam cadangan pindaan itu sepatutnya dimaklumkan kepada Orang Asli dan dibincangkan dengan mereka secepat mungkin, tambahnya.
Dia juga mempersoalkan motif kerajaan mencadangkan pindaan perlembagaan itu.
Siti Kasim kerajaan negeri Pahang telah menubuhkan Perbadanan Orang Asli Pahang (Oraco) untuk menguruskan tanah Orang Asli tetapi nama individu daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy dan lain-lain disenaraikan sebagai pengarah perbadanan tersebut.
Ini menjadikan Jakoa tidak relevan, katanya.
“Seperti anda lihat, semuanya tentang kerakusan atas pengorbanan kami dan Orang Asli.
“Ada pihak yang cuba mengambil keuntungan daripada tanah nenek moyang yang dijaga Orang Asli untuk kepentingan kita sebagai sebuah negara,” katanya.
Kehidupan di Pos Lanai
(Klik untuk lihat imej penuh)
Perlombongan tidak akan meningkatkan ekonomi
Sivarajan dari PSM mendapati keputusan kerajaan untuk meluluskan perlombongan nadir bumi adalah membingungkan, terutama kerana teknologi dan kepakarannya kemungkinan besar datang dari China.
Ini bermakna penduduk tempatan tidak mungkin mendapat manfaat dan negeri tidak memperoleh banyak wang daripada aktiviti perlombongan, katanya.
Katanya, ini kerana lantanida tidak bernilai sehinggalah ia diekstrak, yang mana hanya boleh dilakukan di China.
Lantanida adalah 15 unsur dalam jadual berkala yang dirujuk sebagai nadir bumi, yang digunakan untuk membina komponen bagi produk elektronik.
Nama lantanida berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud ‘bersembunyi’ memandangkan ia tersembunyi dalam mineral lain. Ia dipisahkan menggunakan pertukaran ion dan pengekstrakan pelarut.
Bagaimanapun, dua proses utama perlombongannya melepaskan bahan kimia toksik ke alam sekitar. Kedua-dua kaedah ini melibatkan penggunaan kolam larut lesap, yang penuh dengan bahan kimia yang berisiko meresap dalam air bawah tanah dan saluran air.
Pada Disember, menteri NRECC, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementeriannya mencadangkan untuk membangunkan projek perintis larut resap in-situ untuk perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif di hutan simpan kekal.
Dia mengaitkan ini dengan kejayaan besar projek perintis di Mukim Kenering, Hulu Perak dan permintaan kerajaan negeri Perak untuk mengkaji semula dasar sedia ada yang tidak menyokong atau membenarkan aktiviti perlombongan di kawasan sensitif.
Kaedah larut resap in situ melibatkan penggunaan larutan ammonium sulfat berkonsentrasi rendah yang disuntik ke dalam tanah yang mengandungi unsur nadir bumi.
Namun menurut panduan kebangsaan mengenai perlombongan nadir bumi yang dikeluarkan oleh NRECC, aktiviti seumpama itu tidak dibenarkan di kawasan pemuliharaan dan kawasan sensitif alam sekitar.
“NRECC tidak akan menyokong atau meluluskan sebarang aktiviti perlombongan yang melibatkan sumber nadir bumi di kawasan pemuliharaan seperti hutan simpan kekal, kawasan dilindungi serta kawasan yang digazetkan secara khusus termasuk tadahan air atau kawasan sensitif alam sekitar.
“Ini bagi mengelakkan gangguan ekosistem dan implikasi terhadap risiko bencana, khazanah warisan, nilai sejarah kawasan tersebut dan konflik manusia-haiwan.
Ini kerana Malaysia turut serta dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi.
Kesan terhadap manusia dan hidupan liar
Hutan Simpan Ulu Jerai juga adalah sebahagian daripada ‘Central Forest Spine’, rangkaian hutan yang menjadi koridor hidupan liar dan habitat bagi spesis terancam termasuk gajah Asia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pos Lanai mengalami konflik manusia-haiwan. Pembersihan hutan yang lebih banyak di sekitar kawasan itu akan memperburukkan lagi keadaan.
Kajian-kajian lain menunjukkan perlombongan nadir bumi berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan penduduk yang tinggal di sekitarnya.
Pada tahun 2014, Eurare, sebuah projek yang dibiayai Suruhanjaya EU mengenai eksploitasi nadir bumi, mendapati setiap tan nadir bumi yang melalui proses perlombongan menghasilkan 13kg habuk, 9.600 sehingga 12,000 meter padu sisa gas, 75 meter padu sisa air kumbahan dan satu tan sisa radioaktif.
“Pengeluaran unsur nadir bumi yang tinggi di China, ditambah dengan peraturan alam sekitar yang terbatas, telah menyebabkan kerosakan alam sekitar yang ketara di kawasan sekitar operasi perlombongan dan pemprosesan,” kata laporan itu.
“Dengan sedikit peraturan alam sekitar, kisah pencemaran alam sekitar dan penyakit manusia masih sering berlaku di kawasan berhampiran kemudahan pengeluaran unsur nadir bumi di China,” tambahnya.
Inilah yang ditakuti penduduk Pos Lanai.
Mereka takut ditipu
Pada masa ini, mereka sedang berusaha untuk mendapatkan kawasan seluas sekurang-kurangnya 14,418 hektar, atau hampir menyamai 27,000 padang bola sepak, di Hutan Simpan Ulu Jelai untuk diklasifikasikan sebagai tanah mereka.
Dokumen mahkamah mengatakan bahawa hak adat mereka terhadap tanah itu dilindungi oleh undang-undang am, Perlembagaan Persekutuan, Akta Orang Asli 1954 dan duluan kehakiman.
Mereka tidak mahu hidup seperti penduduk Jinthir, yang bersetuju dengan permintaan kerajaan untuk berpindah ke Pos Pantos.
Ketika makan tengah hari, penduduk kampung bercerita tentang penduduk Jinthir yang berpindah selepas mereka ditawarkan tempat tinggal baru yang dilengkapi dengan kemudahan asas di Pos Pantos.
Tetapi dengan pendapatan yang terhad, mereka sekarang tidak mampu membayar kemudahan tersebut.
“Sekarang mereka tidak mampu membayar air dan elektrik mereka,” kata seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan.
Sebaliknya, penduduk Pos Lanai bergantung kepada air bukit yang telah digunakan sejak sekian lamal oleh Orang Asli.
Mat Nor ketawa apabila dia melihat seorang pembantu Sivarajan cuba menjimatkan air dengan mengunci kepala paip semasa mencuci pinggan selepas makan tengah hari.
“Tak perlu begitu.
“Air ini percuma,” katanya sambil tersenyum.