Kerosakan dikurang, kekerapan ditambah: Menyorot sistem rel Lembah Klang

15 Januari 2025

Penambahbaikan mengambil usaha yang menyeluruh.  Inilah langkah-langkah yang membawa perubahan.

Jika anda sering menggunakan dua laluan tren paling sibuk di Lembah Klang, iaitu LRT Kelana Jaya dan MRT Kajang, anda mungkin berpendapat bahawa laluan-laluan ini kerap mengalami gangguan.

Anggapan anda tidak jauh tersasar.

Laluan Kelana Jaya

Nota: Servis dianggap tergendala jika terjadinya gangguan selama sekurang-kurangnya lima minit.

Pada 2023, laluan LRT Kelana Jaya mengalami gangguan sehingga lima kali sebulan.

Secara keseluruhan, laluan ini tergendala sebanyak 36 kali pada tahun itu.

Pada 2024, Kementerian Pengangkutan memberi sasaran untuk jumlah ini diturunkan menjadi tidak lebih dari 28 kali setahun.

Rapid Rail berjaya mencapai sasaran ini. Pada tahun lalu, laluan Kelana Jaya tergendala 26 kali, iaitu 28 peratus lebih baik dari tahun sebelumnya.

Sementara itu, laluan Kajang pula tergendala 38 kali pada 2023, dan disasarkan bertambah baik dengan tidak lebih 21 kali tahun seterusnya.

Pada 2024, laluan Kajang tergendala 20 kali, turun 47 peratus berbanding 2023.

Penambahbaikan ini hasil usaha para jurutera dan pasukan operasi Rapid Rail yang bekerja keras di sebalik tabir untuk menurunkan nombor-nombor ini.

Selain jumlah kejadian tren tergendala dikurangkan, masa menunggu dipendekkan dan ini mengurangkan kesesakan penumpang dalam gerabak tren.

Masa menunggu tren

2023
2024
Laluan Kelana Jaya
4.1 minit2.9 minit
Laluan Kajang
6 minit4 minit

Bagaimana pengurangan masa menunggu pada waktu puncak sebanyak satu minit sahaja dapat mengurangkan kesesakan dengan ketara?  Infografik animasi ini menjelaskannya:

Pada 2023, laluan Kelana Jaya beroperasi pada kadar 115 peratus kepadatan. Maksudnya, penumpang bersesak seperti dalam tin sardin!

Tahun lalu, kepadatan berkurang daripada 115 peratus kepada 98 peratus.

Cetusan perubahan

Apa yang berlaku di sebalik penambahbaikan ketara perkhidmatan di laluan Kelana Jaya dan Kajang?

Salah satu pemangkin utama ialah keputusan untuk menggunakan penanda aras yang diiktiraf industri antarabangsa iaitu Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF), menurut pasukan Prasarana.

MKBF

lrt icon

MKBF mengukur jarak purata yang dilalui sebelum berlaku gangguan.

Bayangkan hari ini laluan tersebut berfungsi seperti biasa sejauh ini, sebelum ia tergendala.

Kemudian ia berfungsi semula, dan ia berjalan untuk jarak yang lebih jauh sebelum tergendala lagi.

Selepas itu, ia berfungsi dan berjalan semula.

Purata jarak antara insiden tergendala inilah MKBF. Lagi jauh jarak sebelum tergendala, semakin tinggi MKBF!

Sejak 2023, MKBF laluan Kelana Jaya meningkat sebanyak 53 peratus manakala MKBF laluan Kajang naik 51 peratus.

“MKBF ialah satu piawaian prestasi yang penting untuk memastikan kelancaran perkhidmatan tren dan kecekapan operasi. Bagi Prasarana, MKBF yang tinggi bermaksud tren kurang tergendala dan penumpang lebih berpuas hati,” kata Rapid Rail.

Sasaran Kementerian Pengangkutan ialah untuk Rapid Rail mencapai satu juta km MKBF, iaitu tidak lebih dari empat insiden tergendala setahun.

Teliti kegagalan untuk berjaya

Leman Zakaria ketua jurutera untuk laluan LRT Kelana Jaya. Tugasnya memastikan tren terus berjalan lancar. Dia melakukan ini dengan menjadi teliti terhadap kegagalan.

Sejak tahun 2023, terdapat satu pasukan khas dengan tugas utama menganalisa kegagalan yang dialami laluan Kelana Jaya pada setiap hari. Ini dilakukan menggunakan satu perisian kejuruteraan khusus.

Analisa harian ini membantu pasukan penyelenggaran bertindak sebelum masalah terjadi, kata Leman.

Contohnya, apabila sesuatu kegagalan kecil terjadi lebih dari sekali, pasukan khas ini akan menyiasat dengan serta-merta dan menyarankan tindakan penyelenggaraan.

Ini termasuk menukar apa-apa komponen tren walaupun jangka hayatnya menurut manual pembekal masih belum tamat.

Pusat kawalan Rapid Rail bukan sahaja menerima maklum balas masa nyata daripada tren tanpa pemandu mengenai keadaan, kelajuan, dan lokasi mereka, tetapi juga memantau kesesakan di platform.

Data ini digunakan untuk menjangkakan bila tren kosong perlu dihantar untuk mengurangkan kesesakan pada waktu puncak, kata Ketua Operasi Laluan LRT Kelana Jaya Noordin Abu Bakar.

Biasanya ini berlaku di stesen pertukaran seperti Pasar Seni pada masa puncak, jadi tren kosong sering dihantar ke sana pada masa tersebut.

Kata Noordin, pengembangan jajaran rel di Lembah Klang telah menambah jumlah penumpang yang menaiki laluan LRT Kelana Jaya dan ini menjadi satu cabaran.

“Cabaran kami sekarang ialah bagaimana untuk memenuhi permintaan penumpang. Kekerapan tren (waktu puncak) kini meningkat ke tiga minit sekali, tapi penumpang kini mahukan lebih kerap lagi. Inilah cabaran utama kami,” katanya.

“Selain itu, pengembangan jajaran rel di Lembah Klang serta pembangunan di sekitar jajaran menambah jumlah penumpang yang menggunakan sistem rel dan ini satu cabaran bagi kami dari segi pengurusan orang ramai,” katanya.

Bertemu bos setiap minggu

Perjumpaan setiap minggu dengan bos mereka, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjadi faktor penting yang menjadi pemangkin buat pasukan Prasarana.

Bermula sejak Januari 2023, perjumpaan mingguan ini berlangsung selepas mesyuarat pasca kabinet.

Dalam perjumpaan ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah memberi taklimat beberapa piawaian penting seperti jumlah penumpang, kesesakan dalam tren, kekerapan, insiden tergendala dan penjualan pas MY50.

Taklimat ini sangat terperinci. Situasi tandas rosak dan atap stesen bocor pun perlu dibentang oleh ketua eksekutif.

Tangkap layar jadual yang digunakan Prasarana untuk melaporkan keadaan kemudahan stesen.
Tangkap layar jadual yang digunakan Prasarana untuk melaporkan keadaan kemudahan stesen.

Azharuddin juga memberi taklimat berkenaan kritikan awam terhadap pengangkutan awam, termasuk jika ada isu yang tular di media sosial.

Malaysiakini diberi akses hadir satu mesyuarat taklimat mingguan bersama menteri pada tahun lalu. Ketika itu, isu kesesakan di stesen LRT Pasar Seni tular di media sosial.

Lihat bagaimana ia dijelaskan.

Kata Azharuddin, sesi taklimat mingguan banyak membantu Prasarana memacu prestasi, terutamanya di dua laluan yang paling sibuk, Kelana Jaya dan Kajang.

Pasukan operasi perlu menangani apa-apa isu dengan serta-merta kerana laporan perlu dikemaskini pada minggu seterusnya. Oleh itu, apa-apa keperluan akan diperuntukkan dengan cepat, katanya.

Sejak Jun 2023, Prasarana juga telah menyiarkan piawaian prestasinya di laman rasminya, untuk dipantau oleh orang ramai.

Ia membantu kami meningkatkan prestasi kerana kami lebih jelas apa yang perlu dicapai dari segi jumlah penumpang, kelancaran servis dan ketersediaan kami.

Selain itu, jika kami perlukan bantuan atau apa-apa sokongan daripada kementerian atau menteri, kami boleh perolehinya dengan serta-merta.
Mohd Azharuddin Mat Sah
Mohd Azharuddin Mat Sah
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana

Adakah pengguna setuju prestasi khidmat rel makin baik?

‘Reka bentuk pengangkutan awam kurang baik’

Namun begitu, laluan rel Kelana Jaya dan Kajang hanya sebahagian kecil dalam sistem pengangkutan awam di Lembah Klang, kata NGO Transit Malaysia yang berkempen untuk penambahbaikan sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Malahan, tidak seperti bandar serupa yang lain, penduduk Lembah Klang lebih ramai gunakan sistem rel dari bas, kata pengasas NGO itu, Muhammad Zulkarnain Hamzah.

Tanpa perkhidmatan bas cekap dan akses untuk pejalan kaki, jajaran rel Lembah Klang akan terus dibelenggu masalah “batuan pertama dan akhir” (first and last mile), dengan pengguna sukar untuk sampai ke stesen tren, katanya.

"Batuan pertama dan akhir” merujuk bahagian awal dan akhir perjalanan seseorang pengguna ke destinasi mereka.

Istilah ini menggambarkan cabaran menyambungkan pengguna dari tempat asal mereka ke sistem pengangkutan utama dan dari sistem pengangkutan tersebut ke destinasi akhir mereka.

Selain itu, penduduk Lembah Klang semakin bergantung kepada kenderaan sendiri, kata Urbanist KL, satu kumpulan yang berkempen untuk perancangan bandar yang lebih baik di Kuala Lumpur.

Kata Urbanist KL, ini terjadi apabila lebih banyak lebuh raya dibina, memisahkan kawasan perumahan dan memburukkan lagi situasi infrastruktur untuk pejalan kaki dan penunggang basikal di Kuala Lumpur.

Selain mengurangkan jumlah lebuh raya, penggubal dasar boleh mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dengan mengenakan caj kesesakan, kata mereka.

Kos parkir di kawasan bandar juga boleh dinaikkan demi menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam.

Hasil pungutan caj kesesakan dan parkir tersebut boleh digunakan untuk memperbaiki pengangkutan awam serta infrastruktur pejalan kaki dan pengguna basikal, kata NGO itu.

Lebih bas diperlukan… sebahagiannya hampir tiba

Kini, lebih kurang 1,000 bas berkhidmat di Lembah Klang setiap hari, tetapi menurut Urbanist KL, bandar yang luas seperti Greater Kuala Lumpur perlukan lebih banyak daripada jumlah itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengakui bandar ini memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 bas dan kerajaan telah memulakan proses perolehan untuk membeli sebahagian daripada jumlah itu.

Setakat ini, Prasarana dalam proses memperoleh 310 bas diesel, 250 bas elektrik dan 300 van.

Selain itu, kewujudan lorong bas seperti di Jalan Ampang di tengah bandar Kuala Lumpur telah berjaya meningkatkan jumlah penumpang.

Ini kerana untuk laluan bas tersebut, kekerapan bas pada waktu puncak ialah serendah lima minit sekali, kata Pemangku Ketua Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria.

Laluan bas yang sibuk seperti di Jalan Klang Lama dan Genting Klang juga mempunyai kekerapan yang sama pada waktu puncak, katanya.

Rapid Bus juga sedang membuat kajian permintaan dan berharap data dari kajian itu boleh membantu agensi ini memberi khidmat bas yang sama cekap di laluan lain di seluruh bandar, katanya.

Kejayaan Rapid Bus untuk meningkatkan prestasi perkhidmatannya boleh secara tidak langsung menjamin kejayaan perkhidmatan rel di Lembah Klang, kata Zulkarnain daripada Transit Malaysia.

“Mana-mana sistem perkhidmatan rel takkan mencapai potensi penuh jika perkhidmatan sokongan (seperti bas) tidak berfungsi,” katanya.