Ini adalah projek Makmal Berita Kini

Sekiranya anda menyukai karya kami, pertimbangkan untuk memberi sumbangan kecil sebagai tanda penghargaan agar kami dapat melakukan lebih banyak projek seperti ini.

Laporan Khas

63 tahun merdeka,
anak-anak Malaysia belajar berkawan

Aidila Razak dan Kow Gah Chie, 22 April 2020

Pada satu malam Jumaat Disember lalu, di sebuah sekolah menengah agama di Bangi, Selangor, sekumpulan remaja Malaysia mengorak langkah memasuki alam yang tidak pernah mereka lawati.

Pelajar-pelajar ini daripada pelbagai latar belakang - ada anak ibu tunggal, ada juga daripada keluarga campur. Sesetengah mereka tinggal di Lembah Kelang dan dihantar oleh ibu bapa ke sini. Selainnya datang menaiki bas sewa, dari asrama atau negeri-negeri lain.

Kebanyakan mereka mempunyai satu persamaan - bersekolah di sekolah yang hanya mempunyai satu kaum atau agama. Dan bagi kebanyakan mereka, inilah kali pertama mereka berkawan dengan rakan sebaya dari kaum berbeza.

Selamat datang ke Kem Muhibah.

Graphic showing breakdown of the camp participants

Advertisement

Kesemua 77 hadirin Kem Muhibah berumur antara 14 ke 17 tahun, dan terbahagi kepada tiga kelompok besar. Mereka merupakan pelajar sekolah agama, sekolah menengah independen Cina atau sebuah institusi vokasional, yang hampir semua pelajarnya kaum India.

Kem ini dianjurkan di Sekolah Menengah Islam Abim. Di sini, pelajar-pelajar ini berpeluang untuk menikmati kepelbagaian Malaysia, walaupun hanya untuk sementara.

“Ini merupakan satu ruang istimewa yang hanya wujud sementara, iaitu selama dua hari. Tapi ia tidak berakhir dengan kem ini. Selepas ini, mereka mempunyai seluruh hidup mereka untuk mengenali maksud hidup di Malaysia.

“Ini sesuatu yang susah jika anda hidup dalam persekitaran yang hanya mempunyai satu kaum, bersekolah di sekolah yang hanya untuk satu agama atau tinggal di kejiranan di mana penduduk yang bercakap satu bahasa sahaja.

“Dalam keadaan itu, anda tidak berpeluang untuk keluar dari identiti sendiri untuk mengenali aspek lain dalam diri anda dan orang lain,” kata ketua fasilitator, Jason Wee, dari NGO Architects of Diversity.

Rakan Program

Partners of Kem Muhibah
  • Dong Zong (董总),
  • Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),
  • Architects of Diversity Malaysia,
  • Pusat Komas,
  • Projek Dialog,
  • Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias),
  • Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
  • Yayasan Takmir Pendidikan (YTP),
  • Youth Section of Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall(隆雪华青)

Kelangsungan Kem Muhibah ini merupakan satu pencapaian tersendiri. Ia menggabungan kumpulan-kumpulan komuniti yang sering dianggap bermusuhan dalam percaturan politik identiti di Malaysia.

Abim mewakili masyarakat Melayu Islam manakala Dong Zong mewakili pandangan masyarakat Cina yang berpendidikan vernakular. Dia kumpulan ini sering dianggap berada dalam posisi yang berantakan.

Semasa kem ini dianjurkan, keadaan negara tegang dengan perdebatan berkenaan pembelajaran Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Dalam perdebatan ini, Dong Zong keras melawan cadangan ini. Ini menyebabkan terdapat NGO Melayu yang menggambarkan Dong Zong sebagai anti-Islam dan anti-Melayu.

Namun, di Kem Muhibah, perdebatan ini tidak kedengaran. Di sini seluruh tumpuan diberikan kepada satu sasaran -- belajar hidup bersama.

“Kita mahu para remaja ini tahu bahawa perbezaan bukan menjadi halangan untuk kita bersama.

“Di kem ini, kami tidak memberikan mereka jawapan tapi hanya membantu mereka untuk berbincang dan berinteraksi.

“Dari sini, mereka boleh nampak bahawa penyelesaian (untuk masalah yang dihadapi akibat perbezaan dalam masyarakat) adalah melalui komunikasi dan persefahaman, dan melalui ini, kita boleh membina sebuah negara bersama,” kata wakil Dong Zong, Kong Wee Cheng.

Secara ideologi, mungkin Architects for Diversity (AOD) berada di antara Abim dan Dong Zong. Maka tidak hairanlah bahawa AOD diamanahkan dengan tugas yang paling mencabar - melaksanakan kurikulum kem tersebut.

Seperti AOD, kedudukan sekumpulan kecil pelajar-pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah persendirian berada antara pelajar-pelajar sekolah Cina, agama dan vokasional.

Pelajar SMK dan sekolah persendirian bersekolah dalam persekitaran yang majmuk. Mereka menjadi jambatan antara kelompok-kelompok lain. Melalui mereka, perbincangan ini bermula.

Bagaimanakah caranya untuk bermula berbincang tentang perbezaan dan persamaan yang mengikat kita semua?

Kedudukan fizikal para peserta semasa permulaan Kem Muhibah seakan metafora perpisahan dalam masyarakat.

Di sebelah kanan, duduknya pelajar perempuan, sebelah kiri, pelajar lelaki. Dan dalam kumpulan jantina tersebut, mereka duduk dalam kelompok kaum, bersama rakan-rakan sekolah mereka -- dalam dewan yang sama, tapi masih lagi terpisah.

Namun, mereka dipaksa untuk keluar dari zon selesa dan dikumpulkan dalam kumpulan-kumpulan kecil yang lebih berpelbagaian. Mereka jauhkan dari rakan-rakan sekolah mereka. Di sini, jalan ceritanya bermula.

Perkara pertama yang perlu mereka dilakukan ialah menggubal perjanjian untuk Kem Muhibah. Ia merupakan perjanjian yang menggariskan cara mereka berhubung sesama mereka dalam dua hari yang akan datang.

Mereka berbincang tentang perkara yang mereka inginkan dalam perjanjian ini, dalam kumpulan-kumpulan kecil mereka.

Dalam satu kumpulan, seorang gadis Melayu berkongsi bahawa beliau rasa tidak senang apabila seorang remaja Cina telah tersentuh tangannya sebentar tadi. Dalam Islam, haram untuk bukan muhrim bersentuhan, jelas pelajar Sekolah Menengah Agama Hulu Langat tersebut.

Tapi beliau cepat berkata beliau faham bahawa remaja lelaki Cina tersebut tidak tahu perkara ini, dan tidak sengaja. Kumpulan mereka berbincang tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan di kem ini. Di kertas mahjong mereka, mereka tulis peraturan: “Saling hormat dan menghormati agama semua orang.”

Di kumpulan lain pula, seorang pelajar lelaki Melayu berkata beliau risau rakan-rakan baru beliau yang bukan Muslim akan rasa tidak senang tidur di bilik yang digantung dengan ayat Quran. Pelajar ini menterjemahkan ayat yang digantung di bilik tidur mereka. Rakan-rakan barunya memberitahu beliau ini tidak menjadi masalah.

Agama merupakan titik perbezaan yang awal muncul, tapi sebenarnya, dalam aktiviti ini terdapat satu perbezaan yang lebih mencabar - pelajar-pelajar ini tidak mampu bercakap dengan bahasa yang sama.

Kelihatan para fasilitator terpaksa bekerja keras untuk menterjemah antara pelajar supaya semua dapat mengikuti perbincangan.

Ironinya, kebanyakan pelajar-pelajar tersebut belajar tiga bahasa di sekolah - Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina atau Arab bergantung pada sekolah. Kebanyakan pelajar vokasional yang hadir juga boleh bertutur dalam Bahasa Tamil, bahasa ibunda mereka.

Namun, tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia mereka berbeza-beza, maka komunikasi adalah sukar. Malah, pada malam pertama, ramai peserta ketinggalan dalam perbincangan atas faktor bahasa.

Akhirnya, sebuah kumpulan menetapkan peraturan: “Kita hanya boleh menggunakan bahasa yang semua orang akan faham.”

Peraturan ini tidak senang untuk dipatuhi - namun mereka sanggup mencuba.

Perbezaan dalam kefasihan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia merupakan cabaran tegar dalam kem ini. Semua arahan perlu diterjemah antara dua bahasa ini, dan jika perlu ke Mandarin dan Tamil. Kefasihan bahasa juga menjadi faktor untuk persahabatan.

Semasa rehat, pelajar-pelajar bebas untuk duduk dengan sesiapa sahaja. Ketika itu terlihat pelajar masih berkumpul dalam kumpulan kaum atau sekolah. Ini berlaku sehinggalah hari terakhir Kem Muhibah.

Hanya terdapat beberapa kes istimewa. Antaranya, sekumpulan kecil pelajar perempuan merangkumi pelbagai kaum. Kebanyakan mereka pelajar SMK, tapi ada juga dari sekolah menengah independen Cina dan Sekolah Menengah Agama.

Hanis

Antara mereka adalah Hanis Naqeebah Hasri, 15. Kongsinya, pada waktu malam, rakan-rakan sebilik beliau yang berbangsa Cina bertanyakan tentang Islam. Beliau ditanya mengapa beliau bangun pada waktu subuh untuk solat, mengapa beliau bertudung, berkenaan ibadah puasa pada bukan Ramadan dan sebagainya. Hanis merupakan rakan Muslim pertama mereka, dan begitu juga sebaliknya.

Namun, agama ini bukan topik utama perbincangan mereka, kata Hanis. Selalunya, mereka berbual tentang selebriti Korea dan belajar gerak langkah tarian K-Pop, katanya.

Selain K-Pop, mereka juga mempunyai satu persamaan - kesemua mereka fasih dalam Bahasa Inggeris.

‘Saya sedar kaum saya pada umur 5 tahun’

Terdapat tanggapan bahawa kanak-kanak selalunya tidak sedar akan kewujudan kaum dan agama. Namun, aktiviti yang dikendalikan di Kem Muhibah menunjukkan sebaliknya.

Arvin, salah seorang pelajar institut vokasional yang hadir, berkata beliau sedar akan kaumnya seawal umur lima tahun. Ketika itu, beliau mula hadir ke tadika dan tidak dapat berkomunikasi dengan guru atau rakan sekelas. Ini kerana beliau hanya boleh bertutur dalam Tamil. Pada masa itulah beliau sedar beliau seorang India, lain dari yang lain.

Diminta untuk menyenaraikan lima perkara tentang diri mereka, pelajar-pelajar tersebut kebanyakan menulis kaum, agama dan jantina - segelintir dari mereka menulis kewarganergaraan mereka, ada juga yang tulis tentang keluarga atau hobi.

“Saya seorang abang,” tulis seorang pelajar. Seorang lagi menulis: “Saya suka bermain bola sepak”.

Kertas yang dicatat itu dipegang di atas dada, dan digunakan seperti kad nama untuk memperkenalkan diri kepada pelajar lain. Peminat bola sepak senang berjumpa dengan peminat bola sepak yang lain. Faaris Geoffrey Chapman menulis bahawa beliau separuh Malaysia, separuh Amerika. Ia menarik perhatian ramai yang bertanya mengapa beliau menulis sedemikian.

Dewan kecil di mana aktiviti ini dianjurkan bingit dengan perbualan. Ada ketika, para fasilitator dipanggil untuk menterjemah, tapi ini hanya untuk seketika. Para peserta mula belajar merungkai cabaran komunikasi antara mereka dengan sendiri.

Yohan

Di sudut dewan, Yohan Sivakumar, seorang pelajar institusi vokasional, menghampiri sekumpulan pelajar lelaki Cina dan mula bertutur dalam Mandarin. Pelajar-pelajar Cina tersebut teruja kerana Yohan, seorang India, boleh bertutur dalam bahasa mereka.

Yohan memperkenalkan kawan sekolah beliau dan menterjemah antara pelajar Cina tersebut dan kawannya. Untuk pelajar-pelajar Cina tersebut, ini kali pertama mereka bertutur dengan seorang India yang sebaya dengan mereka.

Aden Tan, 17, merupakan pelajar sekolah menengah independen Cina. Beliau banyak membaca dan peka akan berita terkini. Tanpa ditanya, beliau mula bercakap tentang isu United Examination Certification (UEC), masalah Jawi dan perkara lain yang katanya penting untuknya.

Beliau mula membaca surat khabar sejak sekolah rendah lagi, dan menurutnya ia telah membentuk tanggapan beliau terhadap kaum lain di Malaysia.

Di kem ini beliau mula berkawan dengan seorang pelajar Melayu yang pintar. Pelajar ini baru berumur 15 tahun, tapi akan menduduki SPM pada tahun seterusnya - setahun lebih awal dari biasa. Ia mengubah persepsi Aden.

“Saya kira kita perlu hentikan stereotaip yang orang Cina lebih bagus dan orang Melayu malas,” katanya.

“Lepas saya bercakap dengan mereka (pelajar Melayu), saya rasa mereka sama dengan kami. Ada kalangan mereka yang bekerja keras dalam pelajaran mereka, dan ada juga yang berhadapan masalah bersefahaman seperti kami.”

Pendapat ini dikongsi pelajar-pelajar Cina lain. Seorang dari mereka berkongsi: “Kami diajar oleh orang tua kami bahawa orang Melayu miskin dan orang Cina mempunyai status yang lebih tinggi.”

Aden berkata pengalaman ini mengajar beliau untuk lebih berwaspada jika membaca berita yang cuba menggambarkan kaum lain secara negatif.

Cuba berkompromi

Sebenarnya, bukan pelajar-pelajar Cina sahaja mempunyai tanggapan negatif atas kaum lain.

Yaasin

Muhammad Yaasin al-Hakim Muhammad Suhaimi 14, adalah pelajar Sekolah Menengah Abim.

Ibu dan guru-guru Yaasin menggalakkan beliau hadir ke kem ini kerana keluarganya akan berpindah pada tahun akan datang dan Yaasin akan memasuki sekolah menengah kebangsaan.

“Sebelum ini, saya selalu fikir orang Cina ini nak ambil hak kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, dalam kejiranannya terdapat seorang Cina yang membuat aduan yang azan terlalu kuat. Pada tanggapan Yaasin, ini sangat tidak sensitif - azan adalah perkara yang penting dalam hidupnya sebagai seorang Muslim.

Namun, bila ditanya lagi, Yaasin mengaku dia kurang pasti sama ada aduan tersebut memang dibuat oleh jiran beliau yang berbangsa Cina. Malahan beliau kurang pasti jika ia berlaku di kejiranan beliau atau di kawasan lain. Insiden ini mungkin hanya khabar angin, tapi ia meninggalkan impak yang besar dalam minda Yaasin.

Perbualan Malaysiakini dengan Yaasin berlaku sejurus selepas peserta Kem Muhibah berjaya menamatkan aktiviti yang paling mencabar dalam kem tersebut - permainan gempa bumi (earthquake game).

Dalam permainan ini, pelajar-pelajar diberikan sebuah senario - dunia baru sahaja mengalami gempa bumi kuat dan hanya peserta Kem Muhibah yang selamat.

Tugas mereka adalah untuk membina semula dunia ini. Pertama sekali, mereka perlu menggubal perlembagaan.

Setiap kumpulan merupakan satu komuniti. Setiap komuniti mempunyai peraturan mereka sendiri. Untuk menang, setiap kumpulan perlu memasukkan seberapa banyak peraturan kumpulan mereka yang mungkin, dalam perlembagaan dunia.

Masalahnya, peraturan untuk setiap kumpulan bertentangan dengan peraturan kumpulan lain.

Permainan ini adalah sebuah simulasi masyarakat secara am - bagaimanakah kita boleh berkompromi, tanpa melanggar peraturan komuniti sendiri?

Yassin berkata pandangannya berkenaan khabar angin berkenaan azan tersebut berubah, setelah melalui permainan gempa bumi tersebut.

“Saya tak lagi fikir yang mereka (komuniti Cina) hanya nak mengambil hak kita. Lain kali (jika terdengar khabar angin seperti khabar angin azan tersebut), saya akan tanya kenapa mereka tak mahukan azan kuat, dan cuba faham pandangan mereka dulu,” katanya.

Percakapan Yassin masih menggambarkan perbezaan, iaitu “kita” dan “mereka”, “hak kita” dan lain-lain. Namun, menurut ketua fasilitator, Jason, ini bukan menjadi masalah. Malahan, apa yang dialami Yaasin adalah apa yang harus dicapai di kem ini.

“Saya tak gemar guna perkataan ‘perpaduan’. Saya lebih gemar perkataan ‘kepelbagaian’. Perpaduan menggambarkan yang kita semua sama. Tapi sebuah komuniti akan sentiasa ada perbezaan yang tidak boleh dileraikan.

“Apa yang perlu adalah kebolehan untuk bertanya kenapa dan menerima perbezaan ini. Untuk bertanya kenapa, kita mesti terima bahawa perbezaan ini wujud,” kata Jason.

Adakah Kem Muhibah berjaya?

Dari segi psikologi, apa yang dialami Yaasin dipanggil perspective-taking (melihat daripada perspektif lain). Yaasin berjaya mengenali perbezaan dan berjaya melihat dari perspektif yang berbeza.

Kebolehan pelajar-pelajar tersebut untuk berbuat demikian diukur dengan teliti.

Jason, seorang pelajar kajian dasar awam, bekerjasama dengan pakar psikologi Ananthi Al Ramiah untuk mengukur samada persepsi pelajar-pelajar tersebut ke atas kaum lain telah berubah selepas Kem Muhibah. Mereka juga diuji samada perubahan persepsi ini berkekalan apabila mereka pulang ke persekitaran masing-masing.

Setiap pelajar diminta mengisi sebuah survei. Survei itu berasaskan kajian yang dilakukan Ananthi dan pasukan penyelidik beliau pada tahun 2017. Dalam kajian, responden dewasa di Semenanjung Malaysia diminta mengukur persepsi mereka terhadap rakyat Malaysia yang lain. Mereka juga mengukur kadar interaksi mereka dengan kaum lain.

Berbeza dengan responden dalam kajian tersebut, peserta Kem Muhibah mengambil survei yang sama sebanyak tiga kali - sebelum kem, sejurus selepas kem tamat dan sebulan selepas kem tamat.

Made with Flourish

Jawapan-jawapan mereka masih lagi dianalisis, tetapi dapatan awal menunjukkan impak yang memberangsangkan. Kajian ini bertujuan untuk melihat sama ada aktiviti seperti Kem Muhibah membantu memperbaiki perhubungan antara kaum.

Daripada analisis awal, didapati peserta Cina dan Melayu kedua-duanya berkata mereka mempunyai tanggapan yang lebih positif terhadap kaum lain sejurus selepas kem.

Antara lain, mereka lebih berminat untuk berinteraksi dengan kaum lain dan lebih cenderung melihat kaum lain sebagai sebahagian dari kumpulan mereka.

Tetapi, selepas sebulan, peningkatan ini hanya berkekalan di kalangan peserta Melayu, dan tidak bagi peserta Cina.

“Ini mungkin kerana dalam persekitaran asal mereka, status mereka sebagai minoriti lebih jelas ditekankan,” kata para penyelidik.

Walaupun begitu, walaupun peningkatan itu tidak kekal, secara total, tanggapan peserta Cina terhadap kaum lain masih lagi lebih positif berbanding peserta Melayu.

Data daripada peserta India tidak dapat dianalisis secara saintifik kerana jumlah peserta India terlalu kecil. Ini menyukarkan berbandingan secara statistik.

Secara kasar, kesemua 12 peserta India mempunyai pandangan positif terhadap kaum lain dan berminat untuk berinteraksi.

‘Kawan Melayu pertama saya’

Sebenarnya, walaupun peserta-peserta India sekarang tinggal dan bersekolah dalam persekitaran yang tidak majmuk, kebanyakan mereka menghadiri SK atau SJKC di sekolah rendah. Ada juga yang belajar di SMK sebelum masuk ke institusi vokasional.

Dalam kata lain, Kem Muhibah bukanlah kali pertama mereka berinteraksi dengan rakan sebaya dari kaum lain.

N Karthikeyan, 16, memasuki institusi vokasional MySkills Foundation selepas gagal di SMK dua tahun sebelumnya. Kini, beliau lebih gembira belajar menjadi seorang juruelektrik.

Sebelum SMK, Karthikreyan menghadiri sekolah rendah kebangsaan Tamil. Beliau masih ingat siapa kawan bukan India beliau yang pertama - seorang pelajar Cina bernama Tan Chee Swan. Mereka mula berkawan pada umur 13 tahun, di Tingkatan Satu di SMK.

Beliau juga tahu siapa kawan Melayunya yang pertama - Azrul. Mereka mula berkawan apabila dimasukkan dalam kumpulan belajar (study group) yang sama. Kini, Karthikreyan berhubung dengan Chee Swan dan Azrul melalui media sosial.

He could also name his first Malay friend - Azrul - whom he became friends with when they joined a study group together. Social media helps them remain friends, he said.

“Di sekolah lama saya, SMK, banyak bergaduh. Geng India gaduh dengan geng Melayu, atau gaduh dengan geng Cina. Tapi saya berkawan dengan semua kaum.

“Mak ayah saya kata saya boleh berkawan dengan Cina dan India, tapi jangan buat benda salah macam bergaduh,” katanya.

Persahabatan baru

Pengetua Sekolah Menengah Abim Rogayah Sebli adalah antara penyokong tegar Kem Muhibah.

“Saya kasihankan anak murid saya, kerana mereka tak dapat rasa apa yang saya alami membesar di sekolah kebangsaan di Kuching.

“Saya sedar mereka akan rasa susah untuk menyesesuaikan diri lepas tamat belajar, dan ke universiti dan bila bekerja nanti,” katanya.

“Saya tak nak mereka jadi ‘syok sendiri’, dan rasa dunia atau negara ini hanya ada orang Melayu.”

Rogayah sedar perubahan minda mengambil masa yang lama, tapi menurutnya sebuah insiden baru-baru ini menunjukkan Kem Muhibah telahpun meninggalkan kesan positif.

Baru-baru ini, katanya, sebuah sekolah independen Cina di Klang menjemput pelajar-pelajar Sekolah Menengah Abim untuk menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di sekolah mereka. Antara pelajar yang paling awal berdaftar untuk mengikuti program tersebut adalah peserta Kem Muhibah.

“Saya teragak-agak untuk membuka pendaftaran untuk mereka kerana majlis tersebut dekat dengan peperiksaan. Tapi mereka datang ke saya dan berkata: “Cikgu, kami betul-betul ingin pergi”. Kerana mereka ingin melawat kawan-kawan baru dari Kem Muhibah,” katanya.

Lee Soo Wei, seorang ahli sayap belia Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menjadi fasilitator di Kem Muhibah. Soo Wei berharap persahabatan antara peserta-peserta tersebut akan berkekalan.

Beliau percaya kebolehan para peserta untuk berdepan perbezaan antara mereka akan membantu remaja tersebut untuk kekal berkawan, walaupun masyarakat terus berantakan atas nama kaum dan agama.

“Apabila mereka semakin dewasa, mereka akan mula sedar (apa yang berlaku dalam masyarakat) dan pada masa itu, saya harap mereka akan berinteraksi dengan kawan-kawan mereka tentang isu-isu tersebut.

“Saya harap mereka akan berasa selesa untuk berbincang sesama mereka secara terbuka,” katanya.

“Mereka masih lagi muda. Tetapi sekurang-kurangnya, mereka kini tahu konsep asas (dalam mengemudi perbezaan antara masyarakat dan mereka tidak lagi memegang pada stereotaip.

“Stereotaip akan bernanah di dalam seseorang jika kita sering mengelak untuk berbincang tentang perkara-perkara yang dianggap sensitif,” katanya.

Eksperimen sosial

Dalam eksperimen sosial ini, tikus makmal yang diuji dan diukur adalah peserta Kem Muhibah.

Namun, pada masa yang sama, dengan senyap dan tidak dijangka, sebuah perubahan lain juga berlaku.

Mohamad Khairuddin Zahari merupakan pemimpin Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias). Ahli Pepias giat menjadi fasilitator di Kem Muhibah, serta bersama menggubal kurikulum untuk kem tersebut.

Kata Khairuddin, setelah beberapa bulan bekerja bersama, beliau kini menganggap ahli-ahli sayap belia KLSCAH sebagai rakan rapat.

“Tadi kami baru main badminton bersama,” katanya.

“Pada mulanya, kami hanya mahu membantu para peserta untuk mengenali satu sama lain, tapi akhirnya, ahli jawatankuasa jadi kawan.”

Perkara ini tidak dijangka, namun ini antara impak yang ingin kajian penyelidik dalam kajian akan datang.

Mereka masih berpeluang melanjutkan kajian mereka kerana Kem Muhibah seterusnya di Negeri Sembilan sudah dalam perbincangan.

Dan begitulah caranya dari satu kem ke kem seterusnya.

Enam dekad selepas merdeka, rakyat Malaysia terus bertekad untuk belajar hidup bersama.

Adakah anda menyukai laporan ini?

Laporan seperti ini memakan banyak sumber untuk dihasilkan. Pertimbangkan untuk memberikan sumbangan kecil sebagai tanda penghargaan agar kami dapat terus membuat lebih banyak projek seperti ini.

Komen