backgroundImg

Kiniguide

Berapa gaji permulaan saya ikut dasar gaji progresif?

Aidila Razak and Ooi Choon Nam | 13 Ogos 2024

Guna carta interaktif kami untuk semak gaji permulaan bagi 382 pekerjaan menurut panduan gaji yang diterbitkan kerajaan minggu lalu.

Dilancarkan pada Mei oleh Kementerian Ekonomi, dasar gaji progresif bertujuan meningkatkan gaji pekerja Malaysia.

Ini termasuk menerbitkan sebuah panduan gaji, iaitu senarai terperinci tentang gaji permulaan bagi sekitar 382 pekerjaan peringkat awal atau entry-level.

Panduankini ini menerangkan dasar tersebut dan bagaimana ia dirancang untuk meningkatkan kadar gaji kebangsaan. Anda juga boleh menyemak gaji permulaan untuk pekerjaan anda melalui jadual interaktif di bawah.

Apa itu dasar gaji progresif?

Dasar ini adalah program sukarela bagi majikan untuk meningkatkan gaji pekerja Malaysia melalui insentif berkaitan produktiviti.

Menyasarkan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana, 1,000 syarikat pertama yang layak yang mendaftar akan mendapat sokongan kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja mereka.

Pendaftaran dibuka sehingga 31 Ogos 2024.

Jenis sokongan apa yang akan diberikan?

Secara asasnya, kerajaan menawarkan untuk menanggung kos meningkatkan gaji untuk memenuhi garis panduan dasar gaji progresif kerajaan.

Sebagai contoh, sebuah syarikat membayar jurutera awam RM3,100 sebulan tetapi garis panduan dasar gaji progresif menetapkan bahawa gaji permulaan untuk pekerjaan ini sepatutnya RM3,300 sebulan.

Jika majikan ini meningkatkan gaji jurutera awam tersebut kepada RM3,300, kerajaan akan memberikan RM200 sebulan kepada syarikat itu sebagai subsidi atau insentif untuk menaikkan gaji.

Adakah jumlah subsidi yang diberi terhad?

Ya, untuk pekerja peringkat awal atau entry level (iaitu mereka yang bekerja dalam jawatan itu kurang setahun), subsidi maksimum adalah RM200 seorang.

Bagi pekerja bukan peringkat awal, subsidi maksimum adalah RM300 seorang.

Jumlah yang diterima oleh syarikat bergantung kepada jumlah kenaikan gaji.

Sebagai contoh, seorang mekanik mendapat RM1,900 sebulan, tetapi sepatutnya dia mendapat RM2,000.Jika majikannya menaikkan gajinya ke RM2,000 sebulan, subsidi yang diterima ialah RM100, tetapi jika gajinya dinaikkan ke RM2,200, subsidi adalah RM200.

Bagi pekerja bukan peringkat awal (non entry level), mereka layak untuk insentif jika kenaikan gaji mereka pada tahun 2024 sama atau lebih daripada enam peratus.

Jadi, berapakah gaji permulaan mengikut panduan dasar gaji progresif?

Berikut adalah jadual interaktif yang menunjukkan gaji permulaan asas untuk 382 pekerjaan, seperti yang dinyatakan oleh panduan dasar gaji progresif yang dilancarkan minggu lalu.

Syarikat yang menyertai program ini harus memastikan pekerja dibayar sekurang-kurangnya jumlah gaji bulanan asas yang dinyatakan untuk jawatan masing-masing sebelum mereka boleh menuntut subsidi.

Panduan ini sangat terperinci, dan termasuk juga pekerjaan yang luar biasa seperti ahli nujum. Gaji permulaan ahli nujum ialah RM2,205.

Jadual gaji permulaan menurut panduan dasar gaji progresif

Anda boleh mencari mengikut tajuk pekerjaan, nama pekerjaan atau mengikut jumlah gaji.

1 Penterjemah, Jurubahasa, Dan Ahli Linguistik Lain Profesional 4,675
2 Profesional Penyelidikan Dan Pembangunan Profesional 4,180
3 Profesional Kerja Sosial Dan Kaunseling Profesional 4,100
4 Profesional Rangkaian Komputer Profesional 3,975
5 Guru Pendidikan Menengah Profesional 3,855
6 Juruanalisis Sistem Komputer Profesional 3,850
7 Penasihat Kewangan Dan Pelaburan Profesional 3,830
8 Pengawal Kereta Api/ Lokomotif Profesional 3,800
9 Pengamal Perubatan Umum Profesional 3,785
10 Pembangun Perisian Profesional 3,780
Ke muka surat: of 39

Apa beza panduan ini berbanding gaji sebenar di industri?

Sukar untuk membuat perbandingan untuk semua pekerjaan dalam panduan dasar gaji progresif ini.

Tetapi kita boleh membuat perbandingan untuk beberapa jenis pekerjaan yang juga disenaraikan dalam panduan industri. Contohnya, Panduan Gaji Malaysia oleh agensi pekerjaan Kelly Services.

Namun, perbandingan langsung sukar dilakukan kerana Panduan Gaji Malaysia itu memberi julat gaji menurut pengalaman pekerja, manakala panduan dasar gaji progresif memberi gaji permulaan sahaja.

Sebagai contoh, gaji permulaan seorang jurutera elektrik adalah RM3,355 sebulan mengikut panduan dasar gaji progresif.

Tetapi dalam Panduan Gaji Malaysia 2023/24 oleh Kelly Services, gaji seorang jurutera elektrik adalah antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.

Selain itu, panduan gaji terkini oleh Kelly Services itu tidak menyatakan pengalaman pekerja.

Tetapi mengikut panduan tahun sebelumnya, seorang jurutera elektrik perlu mempunyai lima hingga lapan tahun pengalaman bekerja untuk mendapatkan RM6,000 hingga RM8,000.

Ia tidak menyatakan gaji permulaan untuk kerja tersebut.

Apakah syarat untuk mendapat subsidi melalui dasar gaji progresif?

Dasar ini dikaitkan dengan produktiviti. Pekerja yang berdaftar harus menyelesaikan 21 jam latihan yang diluluskan untuk meningkatkan produktiviti mereka, sebelum insentif dibayar.

Insentif ini juga hanya diberikan selama satu tahun. Selepas itu, syarikat dijangka mampu menanggung kos kenaikan gaji melalui peningkatan dalam produktiviti.

Walau bagaimanapun, minggu lepas Rafizi mengatakan insentif ini mungkin dilanjutkan sehingga 24 bulan.

Adakah ia meliputi semua sektor?

Tidak, dasar ini hanya meliputi lima sektor:

- Pembuatan

- Pembinaan

- Perdagangan borong dan runcit (termasuk membaiki kenderaan bermotor)

- Maklumat dan komunikasi

- Aktiviti profesional, sains, dan teknikal

Ia juga hanya meliputi pekerja Malaysia yang bergaji asas sebanyak RM1,500 hingga RM4,999 sebulan.

Syarikat pembuatan boleh mendaftar seramai 200 pekerja untuk skim ini manakala syarikat lain boleh mendaftar sehingga 100 pekerja.

Syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak layak.

Adakah dasar ini dipraktikkan di negara lain?

Ya, dasar gaji progresif Malaysia dilaporkan digubal mengikut dasar Singapura yang diperkenalkan pada tahun 2014 dengan sektor pembersihan, dan telah dikembangkan ke tujuh sektor setakat ini.

Perbezaan antara dasar dua negara ini adalah Singapura mewajibkan penglibatan semua syarikat dalam tujuh sektor tersebut, manakala di Malaysia penyertaan adalah sukarela.

Adakah pihak berkepentingan bersetuju dengan dasar ini?

Ada pihak tidak setuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak mewajibkan penyertaan semua syarikat.

"Hanya apabila kerajaan mewajibkan sistem gaji progresif wajib bagi setiap sektor, barulah medan persaingan itu diperluas dan semua perniagaan dapat bersaing secara adil berdasarkan kos buruh yang serupa," kata setiausaha Persatuan Solidariti Buruh dan Sumber Pembelajaran (LLRC), Gopal Kishnam Nadesan tahun lalu.

Terdapat juga beberapa kebimbangan tentang bagaimana produktiviti diukur. Ini kerana kenaikan gaji ini dikatakan disokong oleh peningkatan produktiviti.

“Dasar ini perlu digandingkan dengan dasar-dasar permintaan. Contohnya, dasar pekerjaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dan menyokong majikan dalam penerimaan teknologi akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih tinggi," kata RAM Holdings dalam satu analisis.

Secara umumnya, penganalisis, kesatuan sekerja, dan pihak berkepentingan lain menyokong dasar gaji progresif sebagai langkah ke hadapan.

"Dengan adanya dasar ini, kenaikan gaji lebih terjamin dan seimbang dengan peningkatan kos hidup, manakala pekerja tidak lagi terperangkap dalam gaji minimum selepas bertahun-tahun bekerja,” kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani kepada Berita Harian Mei lalu.