Kaedah lombong ketinggalan zaman mungkin meracun air, sumber makanan dan penduduk Temiar di Kampung Kelaik.
Laporan bersiri ini disokong Pulitzer Center.
Memeluk rapat beg anyaman mengkuang ke dadanya, raut wajah Alang Angah seakan diliputi apabila nama mendiang ayahnya, Angah Alang disebut.
“Dia pergi mandi di sungai dan terus tidak kembali,” katanya. Itu sahaja yang boleh disebut oleh Angah tentang kematian ayahnya secara tragis sembilan tahun yang lalu.
Angah, 76, lemas dalam air sungai yang pada kebiasaannya sedalam tiga kaki sahaja. Dia mandi, memancing dan berenang di sungai itu seumur hidupnya. Tragedi ini bukan sahaja memberi kesan kepada keluarganya.
Pemergian Angah membawa pergi tradisi dan ilmu masyarakat Temiar yang diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain dalam komuniti terpencil ini.
“Dia amat dihormati dan banyak tradisi dan cara hidup kami pergi bersamanya,” kata Ahak Uda, ketua Jawatankuasa Bertindak Kampung Kelaik.
Angah seorang perenang yang handal dan bijak mengendalikan dirinya dalam hutan. Jasadnya ditemui terperangkap di bawah kayu balak, batu dan sisa hutan yang turun bersama sungai dalam satu banjir kilat.
“Umurnya 76 tapi dia seorang yang kuat dan sihat. Dia mampu hidup jauh lebih lama lagi,” kata Ahak.
Para penduduk percaya banjir kilat itu disebabkan manusia. Mereka menuding jari kepada Bukit Tambun, tempat terletaknya dua lombong bijih besi yang berlesen.
Operasi perlombongan telah merosakkan kawasan buruan orang kampung, menghancurkan beberapa sumber asli mereka dan menghancurkan sebahagian dari kawasan yang dianggap orang kampung sebagai kawasan suci (sacred grounds).
Menurut cucu Angah, Alai Alang pada hari kejadian sebuah kolam sisa yang terletak di sebuah tebing di Bukit Tambun pecah dan ‘kepala air’ meluru turun ke tempat datuknya mandi.
Malaysiakini melawat lokasi kolam yang didakwa pecah itu dan kelihatan kawasan tebing dilitupi sisa perlombongan berwarna merah karat. Kolam itu telah dipindahkan dari tebing.
Syarikat lombong, Redstar Capital Sdn Bhd berkata kematian Angah tidak ada kena-mengena dengan kematian Angah.
Pengurus pentadbirannya, Julice Chu berkata syarikat itu juga telah bekerjasama dengan siasatan polis dan kes berkenaan sudah ditutup.
“Anda boleh merujuk kepada pihak berkuasa untuk dapatkan fakta sebenar, bukan menurut dakwaan yang palsu dan tidak tepat,” katanya pada satu kenyataan.
Sertai penduduk Kampung Kelaik dan pasukan Kini News Lab pada pameran tentang perjuangan mereka membantah kemusnahan hutan dan alam sekitar.
Tarikh: 14 Disember, 2024
Masa: 11 pagi ke 4 petang
Tempat: Forest Learning Centre, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur
Program: Pameran foto & video, perkongsian cerita dan masakan dari penduduk Temiar Kampung Kelaik.
Makan tengahari disediakan. Daftar di sini.
Dahulunya seperti syurga
Kampung Kelaik terletak sebelah Lebuhraya Gua Musang- Cameron Highlands.
Lombong Redstar Capital terletak 3km barat laut dari Kampung Kelaik.
Ada satu lagi lombong, dikendalikan Aqua Orion, lebih kurang 1km dari Redstar Capital.
Ada kalanya, sungai berubah warna menjadi merah karat bila bertemu dengan Sungai Cenderoh.
Orang Asli di Kampung Kelaik yang menggunakan sungai di bahagian hilir akan terkesan.
Lebuhraya Gua Musang-Cameron Highlands dibuka pada tahun 2004 membawa perubahan besar untuk masyarakat Temiar yang terpencil ini.
Tanpa persetujuan mereka, hutan hujan yang didiami mereka berubah menjadi ladang kelapa sawit, getah dan durian.
Pada 2009, lombong bijih besi pertama dibuka dan merubah landskap tanah adat Orang Asli. Lombong itu dikendalikan salah satu syarikat kepunyaan warga negara China, Sterling Goldhill Sdn Bhd.
Sebelum itu, mereka amat terpencil. Malah mereka hidup berasingan dari kampung Orang Asli lain di Gua Musang dan tidak ada pos (pusat petempatan yang diiktiraf dan dikelola Jabatan Kemajuan Orang Asli).
Sehingga ke hari ini, untuk masuk ke Kampung Kelaik perlu menelusuri jalan balak yang tidak berturap selama 30 minit selepas keluar dari lebuhraya.
Tanpa ada bekalan elektrik dan air paip, mereka dahulunya minum dari sungai yang jernih, memburu dan mengutip hasil hutan untuk keperluan harian. Mereka tidak perlu keluar dari kampung mereka. Pekan Gua Musang pun terlalu hiruk pikuk untuk mereka, kata Ahak.
Pun begitu, penduduk kampung seramai 200 orang ini tidak berani membantah kemusnahan yang disaksikan mereka sepanjang beberapa tahun ini. Mereka tidak tahu mereka berhak membantah.
“Dua puluh tahun lalu, bila pembalak mula masuk ke tanah adat kami, ada pemimpin dari kampung Orang Asli lain beri amaran pada kami yang melawan kerajaan itu satu hasutan,” katanya.
Ketika itu, wartawan Malaysiakini mendapati sungai di sana sudah pun berwarna merah karat, sehingga nasi yang dimasak dengan air sungai pun berwarna sama.
Tapi pada masa sama, permintaan bijih besi naik mendadak di seluruh dunia dan keluhan warga Temiar Kampung Kelaik tidak dipedulikan. Pada tahun 2015, satu lagi lombong bijih besi dibuka berdekatan mereka - lombong Aqua Orion.
Racun dalam darah
Malaysiakini kembali ke Kampung Kelaik lebih sedekad kemudian untuk meneruskan laporan atas isu ini. Pada tahun ini, pasukan Malaysiakini menguji sampel air dari beberapa tempat - dari tempat pelepasan efluen lombong ke bahagian hilir sungai tempat penduduk Kampung Kelaik mandi, berenang dan memancing.
Logam berat dalam sampel air dari tempat pelepasan efluen perlombongan, Ogos 2024
Logam Berat (mg/L) | Aqua Orion | Redstar Capital | Had JAS (Sungai Kelas III)* |
---|---|---|---|
Aluminium | 87.1 | 4.44 | 0.06 |
Arsenik | 0.002 | <0.001 | 0.4 |
Kromium** | 2.6 | 0.183 | 2.5 (Komium-3) & 1.4 (Kromium-6) |
Besi (Ferum) | 47.4 | 5.86 | 1 |
Mangan | 9.93 | 0.41 | 0.1 |
Nota:
* JAS Kelas III: Sungai yang boleh digunakan untuk ternakan dan perikanan, rawatan intensif diperlukan untuk digunakan untuk sumber air.
** Ujian untuk kromium penuh.
-Sampel Aqua Orion diambil pada 18 Ogos, Redstar Capital 19 Ogos.
-Redstar Capital berkata ia tidak melepas efluen ke sungai, tetapi sampel diambil di lokasi di mana air keluar dari kolam sisa Redstar Capital ke sungai.
Kromium-3 dan Kromium-6 dalam sampel air dari tempat pelepasan efluen perlombongan, Okt & Nov
Logam Berat (mg/L) | Aqua Orion | Redstar Capital** | Had JAS (Sungai Kelas III)* |
---|---|---|---|
Kromium-3 | 34.8 | - | 2.5 |
Kromium-6 | 19.4 | 0.06 | 1.4 |
Nota:
*JAS Kelas III: Sungai yang boleh digunakan untuk ternakan dan perikanan, rawatan intensif diperlukan untuk digunakan untuk sumber air.
**Sampel dari Redstar Capital tidak dapat diuji untuk kromium-3 kerana sampel telah rosak.
-Sampel diambil dari Redstar Capital pada 24 Okt dan Aqua Orion pada 8 November. Sampe diuji untuk dua varian kromium atas nasihat pakar kualiti air selepas menyemak keputusan ujian pada bukan Ogos.
-Redstar Capital berkata ia tidak melepas efluen ke sungai, tetapi sampel diambil di lokasi di mana air keluar dari kolam sisa Redstar Capital ke sungai.
Ujian Malaysiakini mendapati terdapat kadar kromium yang tinggi berdekatan tempat pelepasan efluen syarikat Aqua Orion, di hilir berdekatan Kampung Kelaik. Kromium merupakan karsinogen, bahan yang boleh menyebabkan kanser.
Lebih merisaukan, ujian darah seorang penduduk - Azlan Ahak, 19 - menunjukkan terdapat empat kali lebih banyak kromium berbanding kadar normal dalam darahnya. Ini dianggarkan meningkatkan risiko dia mendapat kanser 64,000 kali lebih tinggi daripada normal. Azlan anak kepada ketua jawatankuasa bertindak Kampung Kelaik, Ahak Uda.
Read more: Part 1
Bagaimana bijih besi dilombong?
Bijih besi satu mineral semula jadi yang menjadi bahan asas untuk pembuatan keluli. Ini digunakan untuk pembinaan bangunan, kenderaan dan pelbagai barangan konsumer.
Di Kampung Kelaik, bijih besi dilombong melalui lombong terbuka, menggunakan jentera untuk mengorek tanah.
Tanah yang ada bijih besi dicuci untuk membuang lumpur dan disalurkan ke satu deram bermagnet untuk mengasingkan partikel besi.
Setelah partikel besi diasingkan, sisa lain dibuang.
Bijih besi yang basah dijemur dan dipindahkan keluar dari hutan dengan lori.
Selepas itu bijih besi ditinggalkan di tepi lebuhraya untuk diambil oleh pembeli.
Kanak-kanak hampir hanyut
Sejak perlombongan bermula, ‘kepala air’ yang membawa kayu-kayan dan batu-batuan sering turun ke Sungai Kelaik, berdekatan kampung, tanpa amaran, kata Ahak.
“Pada musim hujan, hampir setiap hari,” he said.
Pada tahun 2013, dua tahun selepas Angah maut, sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di sungai yang sama hampir hanyut.
Sterling Goldhill, pengendali lombong ketika itu berkata ia tidak melepaskan efluen ke dalam sungai dan menggunakan semua air dari sisa perlombongan.
Sterling Goldhill telah menutup perniagaan mereka dan lombong itu kini dikendalikan Redstar Capital Sdn Bhd.
Bila dihubungi, pengurus pentadbiran Redstar Capital, Julice Chu menegaskan lombong itu tidak melepaskan air ke sungai dan mengitar semula air sisa. Chu juga pernah berkhidmat dengan Sterling Goldhill sebelum ini.
Tetapi bila Malaysiakini pergi ke tapak perlombongan Redstar Capital, didapati terdapat dua lokasi air dari kolam sisa Redstar Capital mengalir masuk ke sungai. Salah satunya melalui kunci air.
Syarikat operasi lombong kedua, Aqua Orion dan pemilik lesen perlombongan Syarikat Perlombongan Gua Musang, belum memberi maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen isu ini.
Apabila Malaysiakini mendaki 8km naik ke Bukit Tambun dari kawasan kampung, didapati kawasan yang sebelumnya hutan yang sihat telah menjadi seperti padang jarak, padang terkukur.
Pokok yang masih kecil dicabut dan dibuang merata-rata kei kawasan gaung yang dikorek oleh pekerja migran dengan menggunakan jentolak. Proses ini dipanggil orang tempatan sebagai ‘cuci mangkuk’, membersihkan tumbuh-tumbuhan dari tanah bekas hutan yang ditebang.
Operasi Redstar Capital, lombong yang lebih lama ternyata lebih canggih dan menggunakan jentera berat. Kolam sisa dan mendapan ditanda dengan jelas.
Tapi tidak di Aqua Orion, yang bermula operasi ada tahun 2015. Di sini, tanah yang dikorek diproses di bawah pondok biasa. Pekerja memancut air menggunakan paip secara manual.
Di Aqua Orion, kolam selalu dikorek semula untuk mendalamkannya. Sisa yang dikorek dibuang di tepi kolam.
Mengikut standard antarabangsa, sisa perlu diuruskan secara asing untuk memastikan tiada penyerapan. Di sini, sisa lombong melekat ke semua benda - batu, pokok, tebing sungai dan kayu kayan.
Peliknya, di satu kolam Aqua Orion terdapat satu papan tanda “Dilarang berenang”. Tapi warna air kolam yang merah karat sudah cukup menakutkan sesiapa untuk terjun ke dalamnya.
Malaysiakini menyaksikan air keluar dari kolam sisa kedua-dua operasi lombong dan mengalir ke gaung yang berlumpur, hingga batu dan kayu berubah warna. Seterusnya air itu mengalir ke sungai. Ini air keluar dari kolam Redstar Capital.
Penduduk kampung yang dahulunya memburu dan memancing di sana berkata sungai-sungai kecil ini akan seterusnya mengalir ke Sungai Kelaik dan Sungai Cenderoh, tempat kanak-kanak bermain dan orang kampung mandi-manda.
Memandangkan sungai di puncak Bukit Tambun agak kecil, aliran air di hilir mengering selepas pelombong membina empangan di bahagian hulu, kata Alai.
Menurut Akta Air 1920, pemegang lesen boleh membina infrastruktur seperti empangan dan paip, dengan kebenaran Pegawai Daerah. Tetapi mereka perlu memberi pampasan kepada pemilik tanah dan bertanggungjawab atas apa-apa kerosakan.
Akta ini mengawal apa-apa aktiviti mengubah aliran sungai dan pembinaan berdekatan sungai, demi melindungi sumber air, menguruskan risiko banjir dan sebagai panduan untuk perlesenan, liabiliti dan penalti.
Akibat empangan di hulu, pada musim panas sungai di hilir mengering dan menjadi seperti parit kecil, dakwa penduduk kampung.
Bila ditemui, Pegawai Daerah Nik Raisman Daud berkata dia akan mengarahkan pihak berwajib untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Malaysiakini juga telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Geosains dan Mineral serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk maklum balas.
Plaintif kes saman penduduk Temiar Kampung Kelaik atas pencerobohan tanah adat, (dari kiri) Aziz Angah, 30, Ahak Uda, 57, and Anjang Uda, 33.
Logam berat dalam ikan, paku pakis
“Kami orang hutan; kami hidup bergantung pada alam,” kata Ahak.Tapi hutan yang telah dirobek tidak dapat lagi berkongsi khazanahnya. Sungai yang tercemar tidak lagi dipenuhi ikan, sumber protein utama orang kampung sebelum ini.
Ikan yang ditangkap kini kecil sahaja dan katak yang ditangkap di tebing sungai pun diselaputi lumpur merah karat.
Ulam hutan yang dahulunya banyak kini susah dicari dan hidup kini semakin bahaya—mereka lebih sering bertembung dengan haiwan liar yang kehilangan habitat.
Satu ujian yang dijalankan atas ikan sia, sejenis ikan tempatan yang menjadi sumber protein penduduk. Didapati kadar beberapa logam berat tinggi berbanding had Akta Makanan 1983.
Kandungan besi (ferum) ialah 45.10mg/kg, iaitu 22 kali lebih tinggi dari had 2mg/kg dalam makanan, dalam Food Act 1983.
Ikan itu juga mempunyai kadar kromium dan mangan yang lebih tinggi, berbanding kebanyakan ikan air tawar.
Kadar logam besi juga didapati tinggi dalam paku pakis yang tumbuh di tebing sungai dan biasa dimakan oleh warga Temiar. Kadar besi ialah 21.80 mg/kg, lebih 20 kali had besi dalam makanan menurut Akta Makanan 1983.
Namun begitu, saintis Ahmad Abas Kutty dari Jabatan Sains Alam dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata dapatan ujian ini bukan bukti kukuh kesan pencemaran dari lombong bijih besi ke atas ikan dan tumbuhan.
Katanya walaupun kadar besi dalam ikan sia itu didapati tinggi daripada piawaian kesihatan makanan, ia dalam kadar normal untuk ikan air tawar. “Kadar besi dalam ikan air tawar dari 20mg/kg ke 100mg/kg,” katanya kepada Malaysiakini.
Saman menentang pencerobohan tanah adat
Hasil semua ujian yang dilakukan oleh Malaysiakini akan digunakan oleh penduduk Kampung Kelaik dalam kes mahkamah mereka.
Dari tahun 2022 ke 2023, mereka cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan aktiviti yang mengubah lanskap 8,000 hektar tanah adat mereka - iaitu aktiviti pembalakan, ladang kelapa sawit, ladang durian dan perlombongan. Mereka gagal.
Tapi mereka tidak berputus asa. Selepas itu, mereka memfailkan saman terhadap 10 syarikat, kerajaan negeri dan tiga agensi kerajaan atas pencerobohan tanah adat dan mengumpul derma untuk menampung kos guaman.
Menggunakan teknologi GPS, Ahak dan para penduduk kampung telah berusaha memetakan tanah adat Kampung Kelaik.
Semasa bertemu Malaysiakini, dia membuka sebuah peta lukisan tangan menandakan sempadan tanah adat mereka. Sebanyak 80 peratus dari 8,923.9 hektar itu diwarnakan merah. Kawasan tersebut telah diceroboh, katanya.
Inilah kawasan yang digunakan untuk aktiviti perlombongan bijih besi, perladangan kelapa sawit dan gerah serta ladang hutan, seperti ladang durian Musang King terbesar di Malaysia.
Lelaki dewasa dari komuniti Temiar berkumpul di depan unggun api ketika malam hari.
Cara hidup yang semakin menghilang
Antara tuntutan mereka dalam kes saman tersebut ialah kehilangan cara hidup akibat perlombongan, pembalakan dan perladangan.
Untuk orang luar, apabila pokok ditebang ia menjadi balak, tetapi buat penduduk Kampung Kelaik, pokok-pokok ini warisan keluarga dan penanda arah wilayah adat, kawasan rayau tradisi mereka.
Setiap penduduk Kampung Kelaik yang lahir akan ditanamkan sebatang pokok untuk mereka. Penduduk kampung ini boleh mengenal pokok mana kepunyaan siapa dan pokok mana telah diwarisi daripada generasi sebelumnya.
Sebatang pokok getah yang diwarisi berumur 80 tahun. Banirnya sangat besar, perlukan empat lelaki dewasa untuk memeluknya.
Tapi banyak pokok warisan ini telah ditebang, kata penduduk kampung. Aktiviti-aktiviti ini juga turut mengganggu kawasan tanah kubur, kata penduduk.
Berdiri di sebelah sebuah sungai yang telah diempang di atas Bukit Tambun, Alai menunjukkan ke arah sebuah gaung yang pernah mengalir anak-anak sungai. Pada satu masa dahulu, ini tempat dia berkhemah dan memburu bersama mendiang bapanya.
“Kadang-kala di sini selama sebulan untuk memburu dan tinggal di hutan yang tebal. Dulu tak ada jalan balak.
“Masa itu makanan banyak. Kami dapat tangkap ikan sebesar ‘balak’ ni,” katanya, sambil menunjukkan hutan yang pernah dijejakinya dengan berjalan kaki.
Tapi kini, setiap hari jengkaut mengorek Bukit Tambun untuk tanahnya yang kaya dengan bijih besi. Semakin lama, Bukit Tambun semakin menghilang.
Di satu lokasi menaik ke bukit yang terletak 7.7 kilometer dari kawasan perkampungan, kayu balak ditanam ke dalam tanah, untuk menampung dinding empangan dan mengelakkan tanah runtuh.
Hilang warisan dan masa depan
Di tepi lombong yang lebih besar pula ada sebatang pokok tunggal yang masih berdiri dikelilingi lanskap yang hancur.
Dahulu, kata Alai buah pokok itu digunakan untuk menjerat burung. Tapi kini, bunyi jentera berat telah menakutkan semua haiwan.
Ramai penduduk kini perlu bekerja di lombong untuk mendapatkan gaji kerana sudah tidak boleh bergantung pada sumber hutan untuk keperluan harian.
Aktiviti perlombongan ini bukan sahaja merompak warisan dan tradisi warga Temiar tetapi mungkin juga merampas masa depan mereka.
Bagi Azlan, remaja yang kadar kromium dalam darahnya empat kali melanggar had normal, risiko mendapat kanser pada masa hadapan ialah 64,000 lebih tinggi daripada biasa, menurut pakar kimia Vivien How.
Vivien juga menganggarkan sekitar enam peratus penduduk mungkin mempunyai nasib yang sama dengan Azlan.
Saman ini harapan terakhir mereka untuk menghentikan segala kemusnahan.