Ada banyak kes di mana bayi yang dimasukkan ke wad NICU selepas dilahirkan oleh wanita tiada kerakyatan diambil dari ibu mereka tanpa kebenaran.


Kisah tragik wanita tiada kerayatan kehilangan bayinya bukanlah kes terpencil.

Malaysiakini telah merekodkan tiga lagi kes yang serupa.

Dua ibu dapat semula hak penjagaan ke atas anak mereka, manakala seorang lagi yang diancam hilang hak penjagaan membunuh diri bersama bayinya di hospital.

Iklan

Dituduh abai anak

Kisah Aimah bermula pada September 2021, semasa dia dikejarkan ke hospital bersama bayinya yang lahir pramatang di rumah.

Ketika itu, ibu dan anak bertarung nyawa dan ditempatkan di wad serta-merta. Aimah dimasukkan darah dan pulih selepas beberapa hari, dan diminta pulang sementara anaknya dirawat di NICU.

“Saya terpaksa pulang untuk menjaga anak-anak lain di rumah. Ada antara mereka masih menyusu badan,” katanya kepada Malaysiakini, menerusi seorang penterjemah.

Blok ibu bersalin di Hospital Lahad Datu
Blok ibu bersalin di Hospital Lahad Datu

Tetapi seorang pegawai perlindungan kanak-kanak yang mewakili JKM menuduh Aimah mengabaikan bayinya kerana bayi tersebut berada di NICU selama dua bulan.

Menurut Aimah, dia segera ke hospital apabila mendapat tahu anaknya akan diberi kepada keluarga angkat. Ketika itu, anaknya masih belum dibenarkan keluar dari NICU.

Pun begitu, dalam jangka masa seminggu, pegawai dari JKM itu telah memproses permohonan anak angkat tersebut dan Mahkamah Majistret memberi hak penjagaan anak Aimah kepada pasangan lain.

Risiko kehilangan hak penjagaan bayi di Hospital Lahad Datu telah menyebabkan lebih ramai ibu yang tiada kerakyatan memilih untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan di hospital, sama ada untuk diri sendiri mahupun dan anak-anak kecil mereka.

Menurut bidan tempatan, Fatimah Rafily Darao, seorang daripada empat wanita Bajau Laut di perkampungan-perkampungan sekitar memilih untuk bersalin di rumah.

Tambahan pula, sebagai bukan warganegara, mereka perlu membayar caj pendaftaran dan kos rawatan dan ujian yang tinggi, sebelum dimasukkan ke wad. Jika tidak mampu, mereka akan berdepan desakan oleh Unit Hasil hospital.

Sama seperti warga asing, golongan tiada kerakyatan perlu bayar caj pendaftaran sebanyak RM100 untuk diwadkan dan RM120 untuk rawatan pesakit luar. Ia bertentangan dengan syor oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Enggan berdepan desakan hospital untuk melunaskan bayaran, ramai orang yang tiada kerakyatan akan menunggu sehingga keadaan mereka sangat parah sebelum mendapatkan rawatan.

Ini kerana mereka berharap jika keadaan sudah sangat parah, mereka akan menerima rawatan segera di zon merah Jabatan Kecemasan.

Di zon merah, mereka tidak perlu membayar caj pendaftaran sebelum mendapat rawatan.

Namun ada kala mereka menunggu terlalu lama dan akhirnya kesihatan mereka tidak dapat dipulihkan lagi atau lebih buruk, meninggal dunia.

Laporan berita tentang kematian Arung dan anaknya di Hospital Lahad Datu.
Laporan berita tentang kematian Arung dan anaknya di Hospital Lahad Datu.

Iklan

Proses anak angkat dihentikan jika anak ‘dituntut’

Ketua Kampung Panji, Fandry Alsao berkata selain Aimah dan Arung, dua lagi ibu di kampungnya hampir kehilangan bayi mereka atas sebab yang serupa.

Tetapi ia dapat dihalang selepas tindakan pantas Fandry. Katanya, dalam dua kes ini pegawai kebajikan mengalah apabila dia mengancam untuk “menuntut” balik hak penjagaan dua bayi tersebut.

“Bila saya kata begitu, pegawai itu takut,” katanya.

Semua kes, kecuali kes Arung, melibatkan pegawai kebajikan yang sama.

Dalam semua kes yang ditemui Malaysiakini, ibu-ibu berkenaan berkata mereka tidak dapat ke hospital setiap hari kerana terpaksa menjaga anak-anak lain di rumah.

Dan dalam hanya beberapa minggu bayi mereka dirawat di NICU, seorang yang mungkin menjadi ibu angkat akan diperkenalkan sebagai penjaga untuk bayi mereka.

Ibu tiada kerakyatan dianggap tak mampu jaga anak

Selain Sarlina, semua ibu berkenaan dituduh mengabaikan atau tidak mampu menjaga anak mereka dengan baik.Malaysiakini turut menemu bual pegawai kebajikan tersebut. Dia mula bertugas di Lahad Datu sekitar awal 2020, selepas kematian Arung.

Dia berkata semua ibu bawah umur secara automatik dianggap tidak mampu menjaga anak dengan baik kerana belum matang dan tidak berkahwin.

“Seorang gadis berumur 16 tahun belum cukup matang untuk menjadi ibu. Tapi kalau dia ada status nikah yang sah, ini tak menjadi isu,” katanya kepada Malaysiakini.

Warganegara atau tidak?

flag

Bukan semua bayi yang lahir di Malaysia adalah warganegara. Tahukah anda siapa berstatus warganegara dan siapa bukan?

Soalan: 1 / 8

Markah: 0

Pasangan sudah berkahwin mendapat anak. Hanya seorang dari pasangan ini adalah warganegara Malaysia. Adakah anak mereka warganegara Malaysia?

Ya
Tidak
Hanya jika bapa bayi ini rakyat Malaysia.

Pegawai tersebut tidak mahu dinamakan kerana sebagai penjawat awam, dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Di Sabah, katanya, gadis Muslim bawah umur boleh berkahwin dengan kebenaran Mahkamah Syariah. Dia akan dibenarkan berkahwin jika mahkamah mendapati sudah dia cukup matang.

Oleh itu, jika seorang gadis bawah umur ada status nikah yang sah, ia dianggap sebagai bukti dia cukup matang untuk menjadi seorang ibu.

Pegawai ini terlibat dalam semua kes kecuali kes Arung. Pada pendapatnya, secara umum semua ibu bapa dari golongan yang tiada kerakyatan tidak mampu menjaga anak dengan baik. Dia berkata mereka hidup dalam keadaan miskin dan kotor dan persekitaran itu tidak sesuai untuk kanak-kanak membesar.

Seorang wanita membancuh susu untuk anak kecilnya di tepi jalan.
Seorang wanita membancuh susu untuk anak kecilnya di tepi jalan.

Dia mendakwa walaupun ada lelaki dewasa dari komuniti Bajau Laut yang menyara kehidupan mereka dengan membuat pekerjaan tidak formal, wanita etnik itu pula suka membawa anak mereka meminta sedekah.

“Saya pernah ke banyak tempat di Sabah dan peminta sedekah bukanlah isu besar di Kunak dan Semporna.

“Meminta sedekah bukan satu-satunya cara untuk golongan tiada kerakyatan menyara hidup, terutama di Kunak di mana semua (golongan tiada kerakyatan) ada bekerja,” katanya.

Proses permohonan anak angkat yang cepat

Tiada bukti jelas yang menunjukkan bayi milik wanita Bajau Laut yang tiada kerakyatan menjadi sasaran untuk dijadikan anak angkat. Namun prosesnya yang amat pantas mencetuskan persoalan.

Biasanya, proses mengambil anak angkat di Malaysia mengambil masa bertahun lamanya. Malah, pada Mac tahun ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri mengumumkan proses pengambilan anak angkat yang lebih ketat serta sejumlah syarat baru untuk ibu bapa angkat.

Antaranya, ibu bapa angkat perlu melalui ujian psikologi untuk menyemak kesesuaian mereka. Seluruh proses ini dijalankan oleh JKM setiap negeri.

Proses ini bertujuan memastikan anak-anak angkat dilindungi, namun  ia tidak dapat meredakan keresahan ibu-ibu Bajau Laut yang kini takut anak-anak mereka akan diambil jika ditempatkan di wad Hospital Lahad Datu.

Siapa bayar bil hospital?

Tiga orang ibu yang bercakap dengan Malaysiakini berkata mereka tidak diminta membayar bil hospital untuk bayi-bayi mereka yang dirawat di NICU. Ini agak aneh kerana Unit Hasil Hospital Lahad Datu dikenali sebagai jabatan yang agak agresif mengutip bayaran dari bukan warga.

Sarlina hanya membayar RM50 untuk rawatan bayinya. Tapi menurut beberapa pakar perubatan yang bercakap dengan Malaysiakini, bil rawatan anaknya di NICU dianggarkan mencecah lebih RM10,000.

Seorang pegawai di hospital tersebut, yang tidak mahu dinamakan, menganggarkan bil perubatan anak Felindaya mencecah RM50,000, tetapi dia dibenarkan pulang bersama bayinya tanpa didesak untuk membuat bayaran.

“Aimah pun tidak diminta untuk membayar bilnya, tapi mungkin ini kerana dia telah hilang hak penjagaan anaknya,” kata pegawai tersebut.

Pegawai tersebut tidak pasti jika ibu bapa angkat bayi Aimah yang telah melunaskan hutang itu.

Seorang wanita Bajau Laut membawa air bersih ke rumahnya.

Tiada rekod

Pegawai perubatan dari daerah-daerah lain di Sabah memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak perlu menyimpan rekod berkenaan orang tiada kerakyatan yang dinafikan rawatan oleh pihak hospital.

“Jadi kalau mereka nak mangadu keluarga mereka maut kerana tidak diberi rawatan, mereka tak boleh buat demikian kerana tiada dalam rekod kami,” kata seorang doktor di Kota Kinabalu.

Tetapi pihak hospital akan menyimpan rekod rawatan bagi setiap pesakit, termasuk yang tiada kerakyatan, dan rekod ini boleh diakses dengan kebenaran Unit Hasil hospital.

Antara kes yang tidak dapat dilupakan ialah yang dikongsikan seorang doktor, tentang bagaimana selepas 12 jam menunggu, seorang kanak-kanak yang kritikal tidak dapat dibedah kerana bapanya tidak dapat mengumpul wang yang cukup.

Seorang kanak-kanak Bajau Laut memanjat naik rumahnya.

Berbeza dengan kes-kes melibatkan orang tiada kerakyatan lain, kematian Arung adalah kes berprofil tinggi dan disiasat pihak hospital dan polis.

Namun pelbagai persoalan timbul apabila jururawat Hospital Lahad Datu yang mengendalikan siasatan dalaman telah dipindahkan ke Tuaran, kurang sebulan selepas insiden itu. Dia telah bertugas di Lahad Datu selama 10 tahun.

Di hari tragedi, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Nasri Mansor memberi jaminan pada pihak media yang dia akan mencari punca sebenar insiden itu.  Namun dia juga telah dipindah ke Bukit Aman.

Unit siasatan jenayah polis Lahad Datu enggan memberi komen berkenaan perkara ini.

Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Kementerian Kesihatan dan masih menunggu maklumbalas mereka.

Jabatan Kesihatan Sabah dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas laporan ini disiarkan, menafikan berlaku sebarang kes 'merampas bayi’ di hospital di negeri itu.

Jabatan Kesihatan Sabah juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Kad hospital untuk bayi Felindaya.
Kad hospital untuk bayi Felindaya.

‘Adakah ini hukuman buat saya?’

Ramai orang Bajau Laut tidak fasih berbahasa Melayu. Ini kerana mereka tidak boleh bersekolah dan kurang berinteraksi dengan warga tempatan yang berbahasa Melayu.

Walaupun dalam keadaan itu, Aimah telah berjaya membantu hampir 100 penduduk kampungnya mendapatkan rawatan kecemasan di zon merah Jabatan Kecemasan, Hospital Lahad Datu.

Penduduk kampung sering meminta bantuannya kerana selepas 100 kali ke hospital, dia sudah arif dengan proses pendaftaran hospital dan cara mendapatkan rawatan kecemasan, tanpa perlu membayar caj pendaftaran terlebih dulu.

Golongan tiada kerakyatan tidur di jalanan di pekan Lahad Datu.
Golongan tiada kerakyatan tidur di jalanan di pekan Lahad Datu.

“Saya sentiasa takut bila saya ke hospital. Saya takut mereka panggil polis.”

Dia tahu Unit Hasil telah mengenalinya dan dia percaya jabatan tersebut tidak senang dengannya kerana sering membawa pesakit yang tidak mampu membayar bil rawatan.

Maka dia sering tertanya-tanya jika perampasan anaknya daripadanya ini adalah satu bentuk hukuman ke atas dirinya.

Setelah kejadian itu, Aimah tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke hospital walaupun untuk membawa orang kampung yang memerlukan bantuannya.

Iklan

Tiada cara buktikan bayi itu anaknya

Sudah hampir setahun anaknya diambil tetapi Aimah masih berharap dia boleh menuntut semula hak penjagaan. Tetapi dia tidak tahu bagaimana.

Dia tiada apa-apa bukti kelahiran anaknya dan dia takut untuk membuat laporan polis kerana dia sendiri tiada dokumen pengenalan diri.

“Kalau saya ditangkap, apa akan jadi pada anak-anak saya yang lain?”

Menurut pegawai kebajikan tersebut, proses pemindahan hak jagaan bayi Aimah telah selesai. Katanya lagi, di tengah proses itu, polis telah cuba mencari Aimah selama seminggu.

Bidan Fatimah Rafily Darao berkata mutakhir ini, bayi kepada wanita yang tiada kerakyatan tidak boleh mendapat sijil kelahiran. Jika lahir di rumah, kad-kad ini sahaja yang menjadi rekod kelahiran mereka.
Bidan Fatimah Rafily Darao berkata mutakhir ini, bayi kepada wanita yang tiada kerakyatan tidak boleh mendapat sijil kelahiran. Jika lahir di rumah, kad-kad ini sahaja yang menjadi rekod kelahiran mereka.

Katanya, polis gagal menjumpai Aimah dan perkara itu dilaporkan kepada Mahkamah Majistret yang mengendalikan proses pengambilan anak angkat, menunjukkan dia telah mengabaikan anaknya.

“Sekarang dia kena buktikan anak itu anak dia. Tapi apa bukti yang dia ada?” soal pegawai itu.

Dia berkata Aimah hanya muncul di mahkamah setelah hak penjagaan anak diserahkan kepada ibu bapa angkat.

“Kami dapat permohonan untuk mengambil anak ini sebagai anak angkat, jadi kami bawa permohonan ini ke mahkamah.

“Mengapa tidak berikan anak ini kepada ibu bapa yang berstatus sah?”

Nota pengarang: Rencana ini telah diperbetulkan untuk menyatakan anak Aimah lahir pada September 2021 dan bukan 2022. Kesilapan adalah dikesali.

Bahagian 2:Lewat dapat rawatan HIV, kanak-kanak tanpa kerakyataan maut

Bahagian 3:Tak mampu bayar bil hospital, ibu bunuh diri bersama bayi di Sabah

Bahagian 4:Anak kecil maut dibaham buaya, kisah tragis golongan tanpa kerakyatan

Bahagian 5:Golongan tanpa kerakyatan bakal diusir dari tapak sampah

Bahagian 6:Suhakam: Hospital Lahad Datu tertekan tangani pesakit tanpa kerakyatan