Seperti kebanyakan pasangan lain, Jonathan Raj dan Melissa Tan mula bercinta ketika zaman pelajar kolej.
Namun, mereka mengambil masa selama satu dekad sebelum bersedia untuk berkahwin pada umur 29. Mereka menggunakan usia dua puluhan untuk membina kerjaya masing-masing.
Selepas beberapa tahun mengalami masalah kesuburan, pada usia 35 tahun, mereka menyambut kelahiran anak lelaki mereka, Jared dan memutuskan dia akan menjadi satu-satunya cahaya mata mereka.
“Katakanlah jika kami lebih muda, mungkin kami akan mencuba mendapatkan anak kedua tetapi faktor usia benar-benar membuat kami teragak-agak untuk mempunyai seorang lagi anak,” kata Raj, yang berusia 40, sama dengan isterinya.
Sebab utama risiko komplikasi kesihatan yang lebih tinggi bagi ibu dan anak apabila wanita melahirkan zuriat pada usia 35 tahun ke atas, kata pasangan tersebut.
“Malah semasa hamil dengan anak kami, ketika saya berusia 35 tahun, kami sangat bimbang dan menjalani beberapa ujian untuk memastikan semuanya okey. Kami tidak mahu melalui situasi itu lagi untuk anak kedua,” kata Tan.
Pasangan dari Petaling Jaya ini antara ramai pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak atau berhenti melahirkan anak selepas memiliki hanya seorang zuriat. Jumlah pasangan sebegini semakin meningkat.
Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) Malaysia telah menurun secara berterusan sejak ia jatuh di bawah kadar penggantian 2.1 kelahiran setiap wanita - iaitu kadar populasi dapat mengekalkan bilangan penduduknya.
Pada tahun 2013, kadar kesuburan keseluruhan Malaysia menurun di bawah kadar penggantian buat kali pertama, pada kadar 2.0.
Kadar penggantian merujuk jumlah kelahiran yang diperlukan untuk menggantikan ibu bapa dalam populasi supaya memastikan penduduk negara kekal stabil.
Hari ini kadarnya pada 1.94 kelahiran bagi setiap wanita, satu penurunan jelas dalam hanya satu generasi. Pada tahun 1990, secara purata, setiap wanita melahirkan tiga anak.
Walaupun usia dan kesihatan menjadi faktor utama dalam keputusan mereka, pasangan Tan dan Raj berkata kos tinggi untuk membesarkan anak juga menjadi pertimbangan. Antaranya kos pendidikan, termasuk pengajian tinggi.
“Kami perlu berfikir dan menabung untuk masa depannya serta membayar untuk pelbagai keperluan sekarang. Kos sara hidup semakin meningkat. Segala-galanya tidak murah sekarang.
“Jadi, adakah itu juga faktor yang mendorong kami untuk tidak meneruskan dan mendapatkan anak kedua? Ya, memang,” kata Raj.
Bekerjasama dengan firma penyelidikan pasaran Vase.ai, kiraan kasar Malaysiakini menjangkakan untuk isi rumah berpendapatan median dengan dua anak, ibu bapa perlu membelanjakan RM254,304 dalam tempoh enam tahun pertama.
Selain itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menganggarkan apabila seseorang anak menamatkan pengajian universiti, kosnya boleh meningkat sehingga RM1.37 juta setiap anak - cukup untuk mendorong ramai orang memilih tidak mempunyai zuriat.
Adakah subsidi untuk keluarga akan menggalakkan penduduk ramai zuriat?
Pakar demografi Universiti Malaya Tey Nai Peng yang telah menyelidik topik ini selama beberapa dekad, berkata kekangan kewangan salah satu punca utama kadar kesuburan rendah.
Tetapi wang sahaja tidak akan menyelesaikan masalah penurunan kadar kesuburan, katanya.
Dia berkata kadar kesuburan bukan sahaja dipengaruhi ekonomi, tetapi juga demografi (iaitu bilangan wanita dalam masyarakat yang mampu melahirkan anak) dan norma budaya atau masyarakat.
Memahami norma dalam perkahwinan dan kelahiran anak di Malaysia membantu menjelaskan penurunan kadar kesuburan, katanya.
Sebagai contoh, di Malaysia masyarakat masih tidak boleh menerima kelahiran anak di luar perkahwinan.
Dalam erti kata lain, jika lebih ramai orang melambatkan perkahwinan, seperti Raj dan Tan atau memilih untuk langsung tidak berumah tangga maka lebih sedikit orang mempunyai anak.
Faktor penting menyumbang kepada kurangnya perkahwinan ialah peningkatan wanita yang berpendidikan tinggi dan pertambahan penyertaan tenaga buruh wanita, kata Tey.
Hari ini, 60 peratus pelajar pengajian tinggi merupakan wanita. Maka lebih ramai wanita cenderung mengejar kerjaya dan melambatkan perkahwinan berbanding dahulu.
Tan seorang wanita berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Semasa dia melahirkan anaknya pada umur 35, dia sudah beberapa tahun lebih berusia dari kebanyakan ibu lain dalam komuniti etnik Cina di Malaysia. Pada 2022, secara purata umur ibu etnik Cina melahirkan anak pertama ialah 30.6, meningkat daripada 29.1 sedekad sebelumnya.
Di peringkat nasional, secara purata umur ibu yang melahirkan anak pertama ialah 27.9, meningkat dari 27.5 sedekad lalu.
Pada masa sama, Tey berkata ramai wanita berpendidikan tinggi sukar untuk mencari pasangan yang "sesuai". Ini kerana norma masyarakat mendorong wanita berkahwin dengan lelaki yang mempunyai taraf pendidikan dan kerjaya setara atau lebih tinggi.
“Data banci menunjukkan seawal 2010, hanya kira-kira 15 peratus wanita berkahwin dengan lelaki yang kurang taraf pendidikan daripada diri mereka,” katanya.
"Sudah tentu, norma ini perlahan-lahan berubah dan mungkin terdapat kurang tekanan untuk wanita mencari pasangan yang mempunyai taraf pendidikan sama."
Tambahan pula, sikap masyarakat terhadap wanita yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak telah berubah, katanya.
“Berbanding dengan satu generasi lalu, terdapat kurang stigma terhadap wanita yang memilih tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, membolehkan ramai wanita untuk fokus pada matlamat hidup lain,” katanya.
Antara matlamat hidup lain termasuklah matlamat kerjaya. Tetapi ini juga membawa kepada tekanan dan persaingan kerja yang tinggi, membawa impak negatif terhadap kesihatan mental golongan muda, katanya. Ini juga faktor mengapa semakin ramai memilih untuk tidak mempunyai zuriat atau melengahkan perkahwinan.
Lambat berkahwin juga mengundang pelbagai masalah, katanya. Kebarangkalian untuk wanita hamil menurun seiring dengan usia. Selain itu, usia ibu yang lanjut meningkatkan risiko komplikasi kesihatan dan keguguran, katanya.
Kadar perceraian yang meningkat juga menyumbang kepada penurunan bilangan anak dalam setiap keluarga, kata Tey. Penyelidikannya menunjukkan banyak perceraian berlaku dalam tempoh tiga tahun perkahwinan.
“Jika anda tidak kekal dalam perkahwinan, maka anda tidak dapat menambah anak.”
Jadi, apa yang boleh dibuat untuk galakkan lebih ramai orang lahirkan zuriat… dan benarkah keadaan merisaukan?
Kerajaan di seluruh dunia telah bereksperimen dengan dasar untuk meningkatkan kadar kesuburan keseluruhan.
Dari penganjuran majlis mencari jodoh percuma, pemberian bonus jika mendapat bayi, memanjangkan cuti bersalin dan paterniti, menetapkan bayaran di pusat jagaan kanak-kanak, waktu kerja fleksibel serta menyokong rawatan kesuburan yang mahal seperti persenyawaan in-vitro.
Tetapi dari 75 negara yang kadar kesuburannya jatuh di bawah kadar penggantian 2.1 hanya satu negara - Kazakhstan - yang berjaya mengubah keadaan ini. Sebabnya nampaknya tiada kena mengena dengan apa-apa dasar untuk meningkatkan kadar kesuburan, menurut ahli sosiologi Universiti Maryland di AS, Philip N Cohen.
Memetik kajian berasingan terbitan European Journal of Population tahun lalu, Cohen berkata kadar kesuburan Kazakhstan lebih berkait rapat dengan pemulihan ekonomi.
Ini kerana kadar kesuburan di sana merosot pada tahun 1990an disebabkan krisis ekonomi yang teruk selepas kejatuhan Kesatuan Soviet. Apabila keadaan bertambah baik sepanjang tiga dekad lalu maka kadar kesuburan juga begitu.
Jadi patutkah kita putus asa?
Sebenarnya, kadar kesuburan keseluruhan di Malaysia belum sampai ke tahap kritikal, sehingga kita termasuk dalam “perangkap kesuburan (fertility trap)”, kata Tay.
Perangkap kesuburan merujuk situasi kadar kesuburan di sesebuah negara berada pada tahap rendah untuk tempoh yang lama, menyebabkan kekurangan wanita melahirkan anak. Maka kadar kesuburan akan terus menjunam.
Malaysia jauh daripada keadaan ini maka tidak patut berputus asa, katanya.
Ini kerana kadar TFR berbeza mengikut etnik. TFR sangat rendah di kalangan masyarakat Cina dan India di Malaysia, masing-masing pada kadar 0.8 dan 1 anak setiap wanita, tetapi masih sihat pada kadar 2.1 di kalangan bumiputera, iaitu golongan majoriti.
Namun, kadar dalam kalangan bumiputera juga menurun secara berterusan, daripada 2.8 pada 2011 kepada 2.1 pada 2022.
Pereka grafik Amin Ideris berasal dari Kelantan, di mana kadar kesuburan keseluruhan kedua tertinggi dengan 2.7 kelahiran bagi setiap wanita. Terengganu paling tinggi dengan 2.9.
Kini tinggal di Kuala Lumpur, Amin, 36, dan isterinya Arumi Kiswantoh, 33, mempunyai seorang anak, Melur, 6 tahun.
Kedua-duanya berasal dari keluarga besar yang rapat – Arumi ada lima adik-beradik manakala Amin ada enam – dan mereka pada mulanya inginkan keluarga besar juga.
Namun, membesarkan Melur telah mengubah perspektif mereka. Kedua-duanya bekerja sepenuh masa dan menghadapi cabaran mengimbangi tuntutan kerja, perniagaan sampingan dan hobi, dengan memberikan perhatian yang diperlukan anak mereka.
“Ia berkenaan kualiti hidup. Banyak benda yang kena pertimbangkan. Kewangan yang paling atas, tetapi kami juga perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk memberikan yang terbaik kepada anak,” kata Arumi yang bekerja dalam industri insurans.
Berbeza dengan zaman kanak-kanaknya, kata Arumi, Melur membesar dalam dunia yang lebih kompetitif dan terdapat lebih banyak tekanan ke atas ibu bapa untuk menyediakan peluang bagi membantu anak-anak mereka berjaya.
“Saya belajar membaca pada usia enam tahun di tadika, tetapi untuk Melur, umur 4 tahun dah perlu reti membaca,” katanya.
Arumi dan Amin tidak terlalu menekankan kebolehan akademik untuk anak mereka. Mereka lebih suka dia menjalani zaman kanak-kanak yang bahagia dan mengembangkan kemahiran emosi dan sosial di prasekolah.
Pun begitu, Melur menghadiri kelas tuisyen tambahan sebagai persediaan untuk menghadapi Tahun 1 di sebuah sekolah rendah berprestasi tinggi tahun depan dan ditambah kelas taekwondo, ia menambah kepada bil bulanan mereka.
Amin berkata walaupun dia tidak merasa kekurangan semasa kecil, sebagai seorang bapa hari ini, dia sedar ada yang tidak dapat diberikan mereka selaku ibu bapa kerana perlu menyara keluarga yang besar.
“Duit hanya cukup-cukup, jadi banyak benda tak dapat, seperti melancong atau kelas taekwondo. Saya tidak mahu ini menjadi pengalaman Melur. Jika boleh, saya mahu memberikan yang terbaik kepadanya,” katanya.
Bukan membalikkan tapi kekalkan kadar semasa
Untuk mengekalkan kadar semasa, pakar demografi UM Tey berkata kerajaan perlu membuat polisi mengurangkan kos membesarkan kanak-kanak. Tapi bukan dengan memberi bonus kewangan untuk setiap bayi yang lahir.
“Bonus itu mungkin membantu untuk sementara waktu, tetapi bagaimana ibu bapa mengatasi kos tinggi membesarkan anak selepas itu,” soalnya.
Sebaliknya, Tey menyokong pengecualian atau rebat cukai yang berterusan demi mengurangkan kos membesarkan anak.
Ahli akademik itu menyarankan tempat kerja yang mesra keluarga.
Contohnya, sebuah taman perindustrian boleh mempunyai beberapa pusat jagaan kanak-kanak yang digunakan pekerja di syarikat atau kilang yang beroperasi di situ. Ini boleh meningkatkan produktiviti dan membantu majikan menarik bakat sambil menyokong ibu bapa yang bekerja.
Tey berpendapat ada baiknya jika warga emas terlibat dalam menjaga cucu mereka. Ini dapat membantu golongan ibu bapa yang bekerja, serta membawa kesejahteraan mental kepada warga emas sendiri, katanya yang juga datuk kepada seorang cucu itu.
Untuk memudahkan penjagaan oleh warga emas, Tey mencadangkan tawaran insentif wang tunai kepada warga emas yang menjaga cucu mereka dan menubuhkan pusat komuniti sukarelawan untuk memberi sokongan serta waktu rehat kepada datuk dan nenek yang memerlukan.
Memandangkan lebih ramai berkahwin lambat dan mengalami masalah kesuburan, dia juga berharap lebih banyak sokongan kerajaan untuk rawatan kesuburan yang mahal seperti persenyawaan in-vitro (IVF).
“Adalah penting untuk menjadikan rawatan kesuburan lebih mudah diakses dan mampu milik,” katanya.
Adakah semua ini cukup nak ubah fikiran pasangan muda?
Tey mengakui keberkesanan jangka panjang inisiatif sedemikian belum terbukti walaupun ia telah dipraktikkan di banyak negara.
Anak pasangan Tan dan Raj, yang kini berusia lima tahun, dijaga oleh neneknya selepas tadika. Tetapi ini tidak mengubah keputusan ibu bapanya untuk “tutup kedai.”
“Meskipun dengan insentif (kerajaan), ia tidak akan mengubah keputusan kami kerana bagi kami, masanya (timing) sudah tidak sesuai. Jadi tiada gunanya bagi kami. Kapal pun sudah belayar,” kata Raj.
Sementara itu, Amin dan Arumi berpendapat wujudnya pendidikan berkualiti yang murah serta perubahan dalam sistem pendidikan supaya tidak membebankan kanak-kanak akan mengurangkan tekanan kepada keluarga. Ini mungkin dapat mendorong mereka mempunyai lebih ramai anak.
Walaupun wujud pilihan murah seperti Tadika Kemas, yang yurannya RM5 sebulan, cara pengajaran mungkin tidak memenuhi kehendak ibu bapa atau keperluan masyarakat yang semakin kompetitif, kata Amin.
Tetapi adakah mereka sendiri akan memutuskan untuk menambah bilangan anak, jika wujudnya prasekolah murah yang memenuhi keperluan mereka?
“Kami terbuka, tetapi yang utama ialah kami perlu bersedia dari segi kewangan, fizikal dan mental. Tetapi dalam ekonomi, ini agak sukar,” kata Arumi.
Masa depan tanpa anak ramai
Penemuan kajian mencerminkan pandangan pasangan tersebut.
Satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet pada bulan Mac, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Yayasan Gates (IHME) meramalkan kadar kesuburan menjelang tahun 2100, menggunakan data kesuburan daripada 204 negara dari tahun 1950 hingga 2021.
Menurut, IHME “kadar kesuburan masa hadapan akan terus menurun di seluruh dunia dan akan kekal rendah walaupun dengan pelaksanaan dasar prokelahiran” seperti yang dicadangkan oleh Tey.
Sehubungan itu, pakar seperti Cohen percaya daripada cuba mengekang kejatuhan kadar kesuburan, lebih baik mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan realiti ini.
Sebenarnya, kejatuhan kadar kesuburan menjadi kerisauan kerana ia bermakna tenaga buruh akan semakin kecil. Maka satu cara mengatasinya dengan menjadikan tenaga buruh lebih produktif untuk jangka masa yang lebih lama.
Penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan memperbaiki kesihatan serta kualiti kehidupan serta masa depan tanpa ramai kanak-kanak mungkin tidak seburuk seperti yang digambarkan.