‘Kalau saya tak lari, saya akan pegang senjata, berkawad ke medan perang’

— James Bawi

Juga terdapat di

Ketika usia James Bawi baru enam tahun, dia sudah berpisah dengan ibunya. Merupakan balu yang hidup melarat, ibunya percaya, satu-satunya jalan dia dapat membantu hidup tiga orang anak lelakinya adalah dengan memberikan mereka pendidikan. Dan satu-satunya jalan untuk dia mencapai hasrat itu adalah dengan menyerahkan mereka ke rumah anak yatim. Keputusan perit ibunya itu mengubah jalan hidup mereka selama-lamanya.

Beberapa tahun selepas itu, negeri Chin di Myanmar- negeri tempat tinggal mereka - menjadi semakin tidak stabil dan berdepan dengan konflik.

Komuniti Chin kebanyakannya beragama Kristian, sedangkan rakyat Myanmar majoriti beragama Budha. Berdekad lamanya, komuniti Chin berdepan asimilasi paksa yang menyebabkan konflik bersenjata.

Dalam konflik berkenaan, kanak-kanak lelaki seawal usia 11 tahun dibawa keluar dari kampung dan dipaksa menjadi askar kanak-kanak.

Mereka yang tinggal di rumah anak yatim terselamat. Tetapi pada usianya mencecah 15 tahun ketika itu, James semakin tua, tak lama lagi dia harus keluar meninggalkan rumah tersebut. Dia takut untuk pulang, takut dipaksa memegang senjata pula.

Satu hari, ketika sedang bermain bola sepak, dia menerima satu panggilan telefon yang tidak dijangkakan. Panggilan itu akan membawanya merempuh perjalanan merentasi tiga negeri, sendirian.

Ini kisah James, seperti yang diceritakan kepada Aidila Razak:

Saya dilahirkan di Paletwa, sebuah bandar dalam negeri Chin di Myanmar, bersempadan dengan Bangladesh. Semasa saya berumur lima bulan, ayah saya meninggal dunia. Emak saya bersendirian menjaga tiga anak lelakinya.

Dia tak berpendidikan, dia tak boleh mengeja nama sendiri pun. Tetapi dia mahu kami dapat pendidikan dan satu-satunya cara untuk mendapatkan pendidikan percuma untuk kami, adalah dengan menyerahkan kami kepada pihak lain.

Dia ambil keputusan untuk hantar kami ke rumah anak-anak yatim - kami tiga beradik terpisah. Saya dihantar ke Yangon, lebih 600km jauhnya daripada kampung kami, Khuahrang.

Saya masa itu enam tahun. Saya ingat lagi. Saya marah kerana dia hantar saya ke sana. Saya masih ingat, kami bertiga akan selalu berdoa. Impian kami adalah untuk hidup sebagai satu keluarga di bawah satu bumbung.

Saya tinggal di rumah anak yatim sehingga berumur 15 tahun. Semasa saya membesar, tak ada telefon bimbit atau internet di Mynamar, jadi kami tak berhubung.

Dalam sembilan tahun saya di sana, marah saya surut terhadap emak, kerana saya sedar dia hantar saya ke sana supaya saya boleh belajar. Saya suka belajar. Saya mahu jadi paderi.

Pada 2010, saya di tahun akhir sekolah menengah. Saya harap saya dapat menyambung pelajaran saya, tetapi di rumah anak yatim, selepas tamat sekolah, kamu kena keluar. Maknanya saya kena pulang ke kampung saya di Chin.

Banyak konflik di Chin, dan kami berada di baris paling depan menghadapi konflik-konflik berkenaan. Budak lelaki muda - kawan-kawan saya - dibawa keluar dan dipaksa jadi askar kanak-kanak. Kalau saya balik ke sana, itulah yang boleh terjadi kepada saya.

Satu hari, semasa bermain bola dengan kawan-kawan, saya diminta pergi ke pejabat rumah anak yatim. Mereka kata saya dapat panggilan telefon dari luar negara. Memang tak dijangka. Saya tak kenal pun sesiapa yang tinggal di luar negara. Siapalah yang nak telefon saya?

Bayangkan, betapa terkejutnya saya bila dengar emak saya di talian. Saya tak bercakap dengan dia sejak saya berumur enam tahun. Dia beritahu dia ada di Malaysia, dan dia sedang uruskan seseorang untuk bawa saya kepadanya.

Saya betul-betul terkejut. Tak boleh nak bercakap. Yang saya ingat, saya terus masuk ke bilik saya selepas itu.

Saya tak tahu apa-apa tentang Malaysia pada masa itu. Dalam fikiran saya, Malaysia ini macam Eropah. Keutamaan saya pada masa itu adalah untuk belajar. Jadi saya fikir, kalau saya ke Malaysia, saya boleh ke kolej dan belajar. Hal itu mustahil dapat saya lakukan di Chin, kerana di situ, saya nanti akan terpaksa menggalas senjata.

Saya curi-curi keluar dari rumah anak yatim pada tengah-tengah malam - mungkin jam dua ke tiga pagi - untuk ke satu lokasi yang emak saya beritahu, akan ada seorang lelaki menunggu saya. Saya tak pernah pergi ke tempat itu.

Saya ingatkan dia akan bawa saya ke lapangan terbang, naik kapal terbang ke Malaysia, tempat di mana ibu sedang menunggu. Jadi di dalam beg saya adalah beberapa helai seluar dan baju, minyak rambut, dan krim muka sikit. Saya ingatkan ia akan jadi satu perjalanan yang menggembirakan.

Bila saya lari dari rumah anak yatim pada masa itu, tak ada sesiapa di jalanan. Hanya ada sejenis trak yang kami guna sebagai pengangkutan awam, saya minta pemandu itu untuk bawa saya ke tempat yang saya maksudkan tadi.

Bila fikir-fikir balik, agak gila dan berbahaya. Dia (pemandu trak) boleh saja bawa saya ke mana-mana, culik saya, atau jual saya. Tapi pada masa itu, saya hanya tidur dan minta dia beritahu kalau dah sampai.

Apabila kami tiba, saya berjumpa lelaki yang sepatutnya bawa saya ke Malaysia. Saya tak kenal dia, tapi dia kenal saya. Entahlah bagaimana. Mungkin dia ada gambar?

Dia beli sarapan untuk saya dan pesan, apa-apa pun yang terjadi, saya patut ikut saja apa yang diberitahu. “Kalau aku tak minta kamu keluar, kamu duduk saja diam-diam,” katanya. Kemudian kami bertolak.

Pada ketika itu, saya boleh tahu kami takkan naik kapal terbang. Tapi saya ingatkan, mungkin naik bas yang ada kerusi selesa. Kemudian saya nampak trak. Dia beritahu, “Masuk.”

Rupanya trak pembawa barangan. Saya agak terkejut, nak berjalan jauh-jauh (tapi) naik trak begitu. Mereka letak saya dalam trak, di bawah barang-barang. Dah ada orang lain pun yang meringkuk di ruang itu.

Disebabkan saya muda lagi, agen itu sentiasa duduk dekat saya. Begitu, saya rasa lebih selamat berbanding yang lain-lain di dalam trak itu. Tak ada budak-budak lain. Semua orang diam, tak ada yang bertanya soalan. Kami tak dibenarkan bercakap.

Dua hari kami begitu di dalam trak. Kemudian, saya dapat tahu, ada sesetengah orang mati dalam perjalanan sebegitu kerana kurang oksigen, tertimbun bawah barangan.

Tapi susah untuk saya ingat balik secara terperinci apa yang terjadi dalam perjalanan itu. Ada kalanya, rasa seperti mimpi, macam tak betul-betul berlaku. Saya tak ingat kalau kami ada berhenti atau turun di mana-mana.

Ada kalanya, bila sendiri-sendiri, saya tengok peta dan fikir macam mana saya boleh sampai ke sini. Macam mustahil, tapi saya sudah ada di sini.

Saya tak tahu pun bila kami rentas sempadan keluar dari Myanmar, tapi saya tahu ada satu masa tu, kami diberitahu kami akan rentas sempadan ke Thailand, ikut jalan air.

Saya ingat kami naik bot dayung, macam sampan. Ada masa-masanya, agen itu cakap, saya ini anak dia. Yang saya tahu, ia mengambil masa tiga hari, ikut jalan darat dan air, untuk kami masuk ke Thailand.

Di Thailand, saya ingat diletakkan dalam sebuah bilik, sebelum teruskan lagi perjalanan. Lelaki yang bawa saya dari Myanmar ke Thailand dah tak ada, saya diberikan kepada orang lain. Saya tak tanya tentang itu, atau tanya kita nak ke mana, atau tanya berapa jauh lagi nak sampai. Saya hanya percaya saja. Saya panggil agen itu “pak cik”.

Di Thailand, ada masanya kami akan berjalan, kemudian naik kereta, kemudian naik bot lagi. Sampai hari ini, saya masih tak dapat nak fikir macam mana kami rentas sempadan untuk masuk Malaysia, tapi yang saya ingat, di hujung perjalanan, kami naik kereta.

Saya ingat ini kerana kereta itu yang turunkan saya di tepi jalan, di hadapan Berjaya Times Square dan stesen monorel. Saya ditinggalkan di situ, dengan tak tahu apa-apa. Perjalanan dengan kereta itu ambil masa kira-kira 12 jam.

Masa itu mungkin dalam pukul tiga ke empat pagi. Lima daripada kami diturunkan di situ. Ada seorang wanita yang bawa bayi bersama. Seorang demi seorang, mereka pergi meninggalkan tempat itu, ada orang ambil. Saya pula hanya tunggu. Tak ada orang yang bertanya saya kalau saya perlukan pertolongan.

Akhirnya, ada seorang lelaki datang. Katanya dia dari kampung saya juga, dia datang untuk bawa saya berjumpa emak di Jalan Alor.

Berjumpa semula dengan emak buat kali pertama selepas sembilan tahun, saya rasa sangat-sangat gembira. Itu detik paling gembira bagi saya. Saya menangis memeluk dia, saya beritahu dia betapa rindunya saya pada dia, betapa saya hendak berjumpa dia semula (setelah lama berpisah).

Selain mak saya, abang saya turut ada di Malaysia, dia dah berkahwin. Saya ada kakak ipar. Tiba-tiba, saya ada keluarga semula.

Hidup tak mudah di sini. Kami tinggal di sebuah bilik kecil, kami semua lima orang, termasuk anak saudara lelaki saya. Bilik itu sangat kecil, sampai kalau saya baring, tangan dan kaki saya boleh sentuh dinding yang bertentangan.

Bila saya dapat tahu tak ada jalan untuk saya bersekolah di Malaysia, saya jadi sangat-sangat kecewa, malah saya marah mak. Saya tanya dia, “Jadi kenapa dia bawa saya ke sini?”

Tapi hakikatnya, kalau saya tinggal di Myanmar, saya akan mengusung senjata untuk berperang.

Selepas saya dapat mengatasi kekecewaan saya yang tak dapat bersekolah, saya dapat kerja di dapur sebuah restoran Arab. Saya minta emak jangan kerja lagi, kami akan jaga dia.

Tahun-tahun kemudian, saya dapatlah menyimpan untuk sewa pangsapuri besar sedikit untuk keluarga saya, sambil belajar secara sambilan, dan cari kerja sebagai penterjemah di Institute of Migration, dan sekarang saya mengetuai Persatuan Pelarian Chin.

Dalam kerja saya, saya berjumpa ramai pelarian muda, mereka yang sama usia atau lebih muda dari saya masa saya mula-mula sampai di Malaysia. Sebahagian daripada mereka ini sebatang kara.

Bila dikenang semula, saya ini bertuah. Saya tak dijual, tak diculik, dan sebagai budak lelaki, pengalaman saya sangat berbeza jika dibandingkan dengan budak perempuan atau wanita yang merempuh perjalanan sama dengan saya.

Saya tahu ada kejadian wanita atau budak perempuan dirogol atau dicabul oleh agen semasa transit, tapi ini subjek tabu, sesuatu yang disembunyikan dalam komuniti ini. Mangsa malu untuk bercakap tentang ini. Saya tak menyibuk kalau mereka tak mahu berkongsi.

Saya tinggal di Malaysia sudah 10 tahun. Hari ini, keluarga saya tinggal di Amerika Syarikat. Mereka berjaya dapat penempatan semula pada 2018. Penempatan semula saya masih dalam proses, tapi kalau boleh, saya mahu pulang ke Myanmar.

Beberapa tahun lalu, saya nampak emak saya ditahan oleh polis Malaysia. Ia pengalaman yang sangat teruk. Itulah masanya saya ambil keputusan, saya tak mahu lagi jadi paderi.

Saya terfikir, “Kalaulah negara saya dalam keadaan yang baik, orang-orang saya, mak saya, takkan perlu bergelut di negara lain seperti sekarang. Meskipun dia itu tak berpendidikan, ibu tunggal, dia akan dapat meneruskan hidupnya jika negara kami kami dalam keadaan lebih baik.”

Sebab itulah, harapan saya, satu hari nanti saya mahu pulang ke Myanmar, masuk politik - untuk emak saya dan orang-orang senasib dengannya. Saya mahu hentikan hidup sebagai pelarian di Malaysia. Satu-satunya cara untuk melakukan ini adalah dengan mengubah negara kami, supaya tak ada orang perlu lari dari negara mereka seperti saya.

Dalam keluarga kami, kami jarang bercakap tentang jalan hidup kami yang sukar. Sebelum ini, kalau saya bercakap tentang masa lampau, saya akan menangis, jadi emak saya cakap, kami tak patut lagi bercakap tentang itu.

Satu hari nanti, kami akan dapat pulang ke kampung halaman kami dengan selamat. Sementara menunggu masa itu, saya akan timba pengalaman, bina rangkaian kenalan dan pengetahuan, kerana kami betul-betul perlukan perubahan di negara kami.

Menjadi pelarian bukanlah satu pilihan. Kami ini hanya tetamu sementara. Kami akan pergi jika keadaan mengizinkan. Kami hanya perlu tunggu. Tapi saya pohon, sementara itu, didiklah kami, bantulah kami untuk membina diri, supaya nanti bila kami pulang ke negara kami, kami dapat bina semula negara kami.

Sharifah

Kini berusia 25 tahun, James Bawi Thang Bik dilantik sebagai presiden Alliance of Chin Refugees selepas berjaya dalam kempennya agar UNHCR mengekalkan status pelarian buat komuniti Chin pada 2019. UNCHR sebelum itu menghentikan perlindungan pelarian terhadap komuniti Chin berdasarkan kaji selidik bahawa kawasan itu kini selamat untuk kembali, tetapi membalikkan keputusan tersebut selepas laporan berita menunjukkan hal sebaliknya. ACR menyediakan perkhidmatan pendidikan perubatan dan lain-lain perkhidmatan kepada komuniti Chin di Malaysia.