‘Harung laut dan hutan, malaikat bimbing saya‘

— Sharifah

Juga terdapat di

Ketika Sharifah Shakirah berusia lima tahun, dia disumbat dan berhimpit di dalam bot bersama orang-orang yang tak dia kenali.

Terpisah daripada bapanya yang lari daripada keganasan di negara asal, dan ibunya pula ditangkap ketika cuba mengikut suaminya, Sharifah dihantar untuk mencari ayahnya, seorang diri.

Dia diserahkan kepada penyeludup oleh saudaranya, menempuh perjalanan mengharung laut dan darat, serta berjalan kaki merentas hutan, kemudian menaiki kereta untuk sampai kepada ayahnya di Malaysia - ayah yang dia langsung tidak ingat.

Ini kisahnya seperti yang diceritakan kepada Aidila Razak.

Saya ada sangat sedikit ingatan tentang Mynamar. Semasa saya dua tahun, ayah tinggalkan kami. Pada hari dia tinggalkan kami, dia nampak anggota tentera Burma melakukan keganasan terhadap penduduk. Bimbang dengan keselamatan nyawanya, dia cabut lari. Dia tidak pun ucap selamat tinggal.

Kami orang Islam Rohingya, tinggal di negeri Arakan. Untuk komuniti Rohingya, lelaki ialah pencari rezeki. Jadi bila ayah hilang, emak sajalah yang tinggal terkontang-kanting menjaga kami - dua anak perempuan, dua tahun dan setahun. Tanpa dia sedari, ketika itu, dia turut mengandung adik lelaki saya.

Tak banyak yang boleh dilakukan perempuan Rohingya untuk mencari pendapatan pada ketika itu. Mak mula bekerja di rumah orang lain. Tak lama selepas itu, dia dapat khabar dari ayah yang berada di Malaysia.

Kampung kami itu dikelilingi oleh kampung-kampung penganut Buddha yang bermusuh dengan kami. Keganasaan menjadi semakin teruk setiap hari, sehinggalah beberapa sami Buddha mula menghasut pengikut mereka untuk membakar rumah dan kedai Rohingya.

Mak saya rasa, sudah tak selamat tinggal di situ - kami boleh dibunuh bila-bila masa saja - jadi dia ambil keputusan untuk lari dan bawa kami pergi untuk bersama ayah.

Sebagai orang Rohignya, kami tak boleh lari macam itu saja. Kami ini tak ada pasport. Kami tak boleh naik saja kapal terbang dan lari dari negara ini. Kami tak dibenarkan meninggalkan negeri Arakan tanpa kebenaran. Pergerakan kami sangat terbatas, seperti hidup dalam satu penjara yang besar.

Jadi mak saya susun rencana untuk kami lari menggunakan bot - dari Arakan (negeri Rakhine) ke Rangoon (Yangon), dan dari situ naik satu lagi bot ke Thailand, kemudian ke Malaysia.

Masa itu subuh, kami berangkat naik bot nelayan di Arakan. Saya sudah tiga tahun masa itu, adik saya dua tahun dan adik lelaki saya setahun, masih menyusu badan.

Bila tiba di Rangoon, kami ditempatkan di dalam satu bangunan, semacam kedai dengan bidainya diturunkan. Cuma kami saja kanak-kanak di situ. Di situ, penyeludup minta bayaran.

Kalau ikut rancangan mak, duit dari ayah akan sampai apabila kami tiba di Rangoon, tapi duit tak sempat sampai. Jadi mak saya buat rundingan - lepaskan anak-anaknya dulu kepada saudara mara, dan dia akan tunggu di situ sampailah duit masuk.

Tapi saya tak dapat jumpa mak sehinggalah dua tahun kemudian. Entah macam mana, pihak berkuasa serbu tempat itu dan semuanya ditangkap. Mak dimasukkan ke penjara untuk dua tahun kerana buat perjalanan tanpa dokumen.

Saudara mara yang ambil kami, pisah-pisahkan kami adik-beradik sesama mereka. Saya tinggal dengan satu keluarga saudara di Mandalay, adik-adik saya di Rangoon. Saya tak pernah jumpa mereka sebelum ini. Saya tinggal dengan mereka untuk dua tahun.

Mereka keluarga bahagia bersama anak-anak mereka sendiri, tapi mereka dera saya. Mereka pukul saya sampai patah gigi saya. Saya jadi emosi bila terkenangkan masa-masa itu, dan saya masih cuba atasi trauma tersebut hingga hari ini. Tapi syukurlah bukan penderaan seksual, seperti yang dialami oleh banyak pelarian budak perempuan yang saya temui sejak itu. Malah, keluarga itu pakaikan saya dengan pakaian budak lelaki, botakkan kepala saya. Saya masih tak tahu kenapa mereka buat begitu.

Ada kalanya, di rumah mereka, akan ada orang datang cari saya - polis atau yang sepertinya. Mereka (keluarga itu) akan kata, mereka tahu mak saya ada tiga anak dan mereka pun (kononnya) tengah mencari anak-anak mak. Saya kena menyorok di dalam rumah.

Itu ialah masa-masa paling sukar dalam hidup saya. Saya tak faham apa yang sedang terjadi. Saya teringatkan emak dan akan menangis setiap malam. Saya menangis rindukan pelukannya, kasih-sayangnya, dan mahu dia ada bersama. Dia ada beritahu saya kemudiannya, dia bertahan hidup di penjara dengan memikirkan kami setiap malam.

Ketika kami terpisah itu, saya diberitahu yang saya hanya perlu menunggu sehingga mak dibebaskan, kemudian kami akan bersatu semula dan memulakan balik perjalanan kami untuk bertemu ayah. Tapi akhirnya, itu tak menjadi kenyataan. Mereka tak lepaskan dia di Ranggon, tetapi dia diusir balik ke Arakan. Ketika itulah ayah saya ambil keputusan untuk susun perjalanan kami adik-beradik, sendiri-sendiri.

Adik lelaki saya, ketika itu tiga tahun, yang pergi dulu. Kemudian adik perempuan saya yang berusia empat tahun. Akhirnya, baru saya. Saudara saya itu bawa saya ke sebuah rumah dan tinggalkan saya di situ tanpa ucapan selamat tinggal pun. Mereka beritahu, saya akan berjumpa dengan ayah saya. Saya tak ada sebarang memori tentang dia, jadi saya teringatkan sekeping gambar dia yang pernah saya lihat sekali. Saya ingatkan saya akan akan dapat jumpa adik-beradik saya, jadi saya bawa bersama satu tikus mainan warna kuning untuk adik lelaki saya.

Saya sangat takut apabila sekali lagi diserahkan kepada orang asing. Penyeludup itu, seorang perempuan Burma, dia ikut serta dalam perjalanan itu. Kami tak dibenarkan membawa apa-apa pun, jadi beg dan tikus mainan saya dibuang. Kami berjongkok di satu ruang tertutup pada bot itu, dengan tubuh dan kepala kami bertindihan antara satu sama lain. Orang jadi mabuk laut, lalu muntah ke tubuh sesama sendiri.

Begitulah bermulanya perjalanan saya yang memakan masa dua minggu - dari Myanmar ke Thailand, dan dari Thailand ke Malaysia. Susah nak ingat perinciannya - macam apa yang kami makan- tapi saya ingat perasaan ketakutan itu. Bila kami berjalan ke dalam hutan di malam hari, dan tinggal di satu pondok di tengah-tengah hutan, penyeludup itu akan kata, “Jangan pergi ke sana, atau kau akan terbunuh.” Sepertinya, semua benda pun boleh menyebabkan saya terbunuh.

Perjalanan itu berbahaya - kita boleh dipergunakan, ditahan, diseksa, atau ditangkap - dan saya tak ada sesiapa pun yang menjaga saya. Kecuali, mungkin malaikat yang membimbing kami. Itu sajalah penjelasan yang boleh saya fikir tentang bagaimana saya boleh terselamat dalam perjalanan sebegitu sebagai budak kecil, sedangkan orang-orang dewasa di sekeliling saya tak dapat bertahan dan mati.

Kami merentas masuk Malaysia menaiki bas. Saya diberitahu apakah warna pakaian seragam polis Malaysia, dan disuruh berlagak macam biasa saja dan jangan takut jika didekati (polis). Tahu-tahu, selepas itu, mereka beritahu, “Inilah Malaysia, kamu sudah sampai”.

Ayah saya menunggu saya di seberang jalan ketika saya turun dari bas. Dah tentulah saya tak kenal dia, tapi ada seorang lelaki beritahu, “Itulah ayah kamu.” Saya ingat lagi, saya rasa sangat gembira sampai saya lari dan peluk dia. Dia pun terkejut. Dia jangkakan ketibaan anak perempuan, tapi yang datang budak lelaki yang berseluar pendek dan berambut botak, datang memeluknya.

Mak sampai dua bulan kemudian, dan akhirnya keluarga kami bersatu. Saya dah tak ingat, tapi mak beritahu, kami dah lupakan dia dan tak ingat dia siapa. Saya rasa, mungkin itu hanya kerana kami tak dapat nak hadam apa yang kami rasa.

Perkara ini - tak mampu menghadam perasaan sendiri - sekali lagi saya rasakan apabila saya mendapat penempatan semula di Amerika Syarikat tahun lalu, dan bersatu semula dengan ibu bapa saya yang sudah ditempatkan semula di situ sebelum saya.

Mereka datang ambil saya di lapangan terbang dan saya sangat gembira, cuma pada masa itu, saya tak dapat nak menzahirkan apa yang saya rasa. Saya jadi diam untuk sekurang-kurangnya dua hari, dan selepas itu pun, ada kalanya saya akan menangis tanpa sebab. Saya tak faham apa yang sedang terjadi pada saya.

Susah untuk saya kenang semula apa yang telah terjadi, tetapi saya juga fikir kesukaran yang saya hadapi itu menjadikan siapa diri saya sekarang ini. Apabila keadaan menjadi sukar, saya akan ingat perjalanan hidup saya pada masa lalu dan beritahu diri sendiri, “Kau dah lalui yang lebih teruk dari ini lagi”.

Itu jugalah sebabnya saya asaskan pertubuhan Rohingya Women Development Network. Saya turut percaya Allah letak saya untuk mengharungi semua kesukaran dan cabaran ini, kerana dia mahu saya sampaikan kepada orang lain. Dia jadikan saya kuat supaya saya dapat bantu orang lain, inilah matlamat saya dalam hidup. Saya dilahirkan untuk membantu orang-orang saya. Ia merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar, tapi saya cuba sehabis baik untuk membina semula komuniti saya.

Saya ditempatkan semula pada usia 24 tahun. Saya menghabiskan sebahagian besar kehidupan saya di Malaysia, jadi Malaysia sudah ibarat rumah saya. Saya ada adik-beradik yang lahir di Malaysia, dan kami semua bercakap dalam bahasa Melayu sesama kami. Adik lelaki saya tak boleh cakap Rohignya sangat pun, dia lebih suka cakap bahasa Melayu.

Tapi itu tidaklah bermakna semuanya indah di Malaysia. Sedar akan kepentingan pendidikan, ayah saya kerja keras untuk hantar saya ke sebuah sekolah rendah Islam swasta. Di sana, saya dibuli, kadang-kadang balik rumah dengan baju yang lencun kerana budak-budak lain lempar air kepada saya hanya kerana suka-suka.

Kadang-kadang, bila keadaan menjadi sangat teruk, saya beritahu mak yang saya nak balik ke Myanmar, dan dia akan pandang dengan pandangan yang bingung sekali.

Kebanyakan pelarian Rohingya yang lahir di Malaysia atau lari ke sana pada usia muda, dapat bergaul dengan mudah dengan masyarakat Malaysia. Kami bercakap bahasa sana, berpakaian macam orang sana, kami macam budak-budak Malaysia juga.

Tapi meskipun saya berpakaian dan bercakap bahasa Melayu, ada sesuatu dalam diri saya yang terasa begitu terasing, dan bahawa Malaysia ini hanyalah rumah sementara - meskipun saya habiskan hampir 20 tahun usia saya di sana.

Secara fizikalnya, saya di Malaysia, tetapi mental saya di Myanmar, dan di sepanjang masa saya cuba sehabis baik untuk menjadi versi diri yang terbaik, agar diterima orang tempatan di Malaysia. Kerana saya pernah ditolak, ditolak, dan ditolak di sepanjang kehidupan saya, dan saya tak mahu ditolak sekali lagi.

Di sini, di AS, adik-beradik dan saya pergi ke kolej atau sekolah. Kami ada akaun bank. Suami saya ada lesen memandu. Mak ayah saya sekarang sudah jadi warga AS, dan memiliki rumah.

Kalau kamu datang melawat komuniti Rohingya di sini, kamu akan dapati mereka bercakap bahasa Melayu sesama mereka, masak nasi lemak atau laksa - itu cara kami menunjukkan penghargaan kami buat Malaysia, orang-orangnya, bahasanya dan budayanya.

Kami inilah bukti bahawa pelarian Rohignya hanya mencari perlindungan sementara di Malaysia. Sementara kami di sana, izinkanlah kami belajar, bekerja, dan menyumbang kepada negara.

Satu hari nanti, saya harap saya dapat pulang ke Malaysia dan menunjukkan kepada anak-anak saya di mana tempat kami membesar. Kali ini, kami akan masuk secara sah dan mempunyai status yang sah.

Anak perempuan sulung saya lahir tahun ini. Saya tunggu sehingga saya mendapat penempatan semula sebelum mendirikan rumah tangga kerana saya tak mahu anak saya jadi pelarian, dan melalui apa yang saya lalui.

Dialah yang pertama dalam keluarga kami yang lahir sebagai seorang warganegara. Dia ada negara, dan dia mempunyai hak sebagai seorang manusia. Dia dilindungi undang-undang. Dia bebas membuat pilihan. Itulah perkara terbaik yang dapat saya berikan kepada anak saya.

Sharifah

Kini berusia 25 tahun, Sharifah tinggal di Texas, Amerika Syarikat bersama ibu bapanya, adik-beradiknya, suaminya dan anak perempuannya, Amira. Dia kini sedang belajar mempersiapkan diri untuk mengambil ujian Perkembangan Pendidikan Am, supaya dia dapat masuk ke kolej. Dia pengasas Rohingya Women’s Development Network. Tahun lalu, dia dicalonkan untuk anugerah International Women of Courage dari Jabatan Negara Amerika Syarikat.