“Kami tak bagi banyak sangat pun, hanya sedikit daripada hati kami ini.”

— Zarif & Zurina

Juga terdapat di

Ketika Zarif memberitahunya tentang pelarian muda yang tiada tempat tinggal, tertekan dan terfikir untuk membunuh diri, hati Zurina tersentuh. Sebagai ibu kepada anak remaja, dia tak dapat bayangkan jika anaknya sendiri terkontang-kanting di negara asing, tidur di kawasan taman, tiada sesiapa.

“Saya beritahu Zarif, ‘bawa dia ke sini’,” katanya.

Lewat malam itu, Zarif menerima panggilan telefon tentang remaja itu - Ali* - yang meninggalkan Afghanistan seorang diri beberapa bulan sebelum itu. Hampir-hampir dia hidup bergelandangan di jalanan.

Dan hampir-hampir dia mahu membunuh diri, gara-gara tidak dapat lagi bertahan hidup sukar sebegitu. Memikirkan tentang kemungkinan itu pun, Zurina tak sanggup.

Ketika berumur 19 tahun, Ali hanya beberapa tahun lebih tua daripada anak Zurina dan Zarif, tetapi ketika Ali tiba di rumah mereka, saiz tubuhnya dua kali ganda lebih kecil daripada anak lelaki mereka.

“Dia nampak macam 14 tahun. Dan dia senyum. Hati saya terus terbuka,” kata Zurina.

“Saya kata pada dia, kamu boleh panggil saya mama.” Dia pun memutuskan Ali sebagai anaknya.

Ali antara banyak lagi pelarian muda yang menempuh perjalanan berbahaya ke tempat asing, untuk melarikan diri daripada bahaya di tempat asal mereka. Sepertinya, ramai yang akhirnya sampai ke Malaysia.

Menurut UNHCR, terdapat kira-kira 800 pelarian bawah umur 18 tahun yang tidak mempunyai penjaga di Malaysia. Ada yang betul-betul bersendirian, ada yang mempunyai keluarga yang menunggu mereka di sini, dan ada pula yang terpisah daripada ibu bapa ketika dalam perjalanan ke sini.

Ini adalah sebahagian kecil daripada 177,920 pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Kuala Lumpur pada Julai. Bagaimanapun, apabila melibatkan pelarian kanak-kanak tanpa pengiring, “seorang pun sudah dianggap terlalu banyak”, kata Michelle Fong, daripada unit perlindingan kanak-kanak dan keganasan berasaskan gender UNHCR kepada Malaysiakini.

Ini tidak termasuk ramai lagi yang tidak berdaftar dengan UNHCR, atau pelarian muda lain seperti Ali, yang bukan lagi bawah umur, tetapi masih memerlukan sokongan seperti anak 17 tahun.

Sesetengah pelarian dihantar oleh ibu bapa yang berharap saudara jauh dan jiran di luar negara dapat membantu anak-anak mereka dan memastikan mereka selamat. Selainnya, seperti Ali, sampai ke sini kerana Malaysia antara negara yang memberikan visa kepada warganegara daripada negaranya.

Ramai daripada mereka tidak pernah pun mendengar nama Malaysia sebelum ini.

Rancangan bunuh

Kisah Ali bermula di sebuah kampung di Afghanistan. Seperti lazimnya kanak-kanak lain, dia agak memberontak dan tak suka dikawal. Di masa kecilnya dia panjat pokok dan bergusti dengan kambing. Itu masa yang indah buatnya.

Sebagai sebahagian daripada anggota puak yang besar, hidup Ali selesa. Kadangkala dia beritahu Zurina dan Zarif, ada bom “ tetapi tidak selalu, mungkin hanya sekali seminggu”. Suatu hari nanti, katanya, Zurina dan Zarif kena melawat kampungnya.

Tetapi bagi Ali sendiri, dia tidak boleh pulang.

Semakin Ali membesar, ada sesuatu tentang dirinya yang tidak dapat diterima keluarganya sendiri - sesuatu yang sangat sensitif sehingga komuniti pelarian Afghan di Malaysia pun menolaknya, membuatkan dia keseorangan, sehinggalah pada malam Zarif menemuinya.

Keluarga angkat Ali tidak membenarkan perkara ini disiarkan atas alasan ia boleh membahayakan nyawanya.

Suatu hari, ketika dia sepatutnya sudah tidur, dia terdengar pak ciknya memberitahu isterinya bahawa mereka patut racun makanannya, sedikit demi sedikit, supaya Ali mati perlahan-lahan. Dia beritahu hal itu kepada ibunya dan si ibu putuskan, Ali patut keluar dari situ.

Mereka terpaksa berbohong tiga kali untuk itu. Mereka beri alasan ke masjid untuk berdoa bagi menyembuhkan “penyakit” Ali yang bagi ahli keluarga lain, satu hal yang tercela/menjijikkan. Tetapi, kali pertama, mereka sebenarnya pergi ke kedai pajak gadai untuk pajakkan barang kemas ibunya. Kali kedua, untuk mendapatkan pasport, visa dan tiket pesawat. Kali ketiga mereka ke lapangan terbang - di situlah kali terakhir Ali melihat wajah ibunya.

Mengenang kembali perjalanannya, Ali berkata dia menonton Youtube untuk mengetahui apa yang perlu dibuat sebelum pergi ke lapangan terbang. Bagaimana untuk mendaftar masuk, menaiki pesawat, hendak pergi ke mana ketika transit - dia transit di India - dan di mana hendak mengambil bagasi setelah mendarat.

Di Kuala Lumpur, dia melalui imigresen dengan bersahaja kerana ibunya telah mendapatkannya visa pelajar dengan kos RM12,000. Agen telah sedia menunggunya di pintu ketibaan.

“Agen itu bawa dia ke satu kawasan taman di Shah Alam dan tinggalkan dia di situ. Ali beritahu kami, dia sampai di situ kira-kira jam 6 pagi. Dia cuma duduk saja di situ, tak tahu hendak buat apa,” cerita Zarif.

“Dia hanya duduk di situ menunggu seseorang.”

Matahari pun terbenam. Azan Maghrib berkumandang dan kegelapan menyelubungi. Dia menunggu dengan ketakutan.

Pada jam 8 malam, seseorang datang.

Agen tadi ada memberitahu Ali yang dia hanya dibayar untuk mengambil Ali di lapangan terbang. Itu saja. Dia bagaimanapun memberitahu kawan-kawannya tentang apa yang berlaku. Salah seorang daripada mereka datang mencari Ali.

Dialah - seorang pelajar pascasiswazah - yang menumpangkan Ali. Mereka jadi kawan baik dan teman sebilik di pangsapuri studionya. Ali kemudian dapat kerja sebagai pembantu kedai makan dan turut membayar perbelanjaan rumah. Kawannya itu membawa Ali kepada UNHCR, membantunya untuk sesi wawancara supaya boleh didaftarkan sebagai pelarian, mengajarkan tentang selok-belok berkaitan.

Bagaimanapun ketika Covid-19 melanda, kawannya itu tamat belajar dan akan pulang ke Afghanistan. Ali mungkin hilang kerja di restoran. Dia berkeseorangan - tertekan, terfikir membunuh diri, dan kemudian daripada itulah, Ali bertemu Zarif dan Zurina.

Puncak ketakutan

Hari ini, beberapa bulan selepas malam itu, mereka tidak boleh bayangkan hidup tanpa Ali dalam keluarga mereka.

“Dia buka hati kami,” kata Zarif. “Cara dia lihat sesuatu - dia beritahu saya bahawa Malaysia sangat indah dan hijau sampai dia mahu peluk Malaysia - ia beri kami sudut pandang berbeza.”

Walaupun Zurina dan Zarif menganggap Ali sebagai anak angkat, mereka tahu ia tidak terikat daripada aspek undang-undang. Sudah tiada lagi cara untuk ambil Ali sebagai anak angkat kerana dia bukan lagi kanak-kanak.

Walaupun membenarkan UNHCR beroperasi dalam negara ini, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai sistem suaka berkaitan status dan hak pelarian. Ali dianggap pendatang haram.

Ini bermaksud dia boleh ditangkap pihak imigresen pada bila-bila masa sahaja dan berdepan masa depan yang tidak pasti. Zurina dan Zarif juga boleh disabitkan bersalah menyimpan pendatang haram. Inilah sebabnya mereka enggan menggunakan nama sebenar ketika diwawancara Malaysiakini. Begitu juga dengan nama Ali.

Pasangan itu berkata, mereka lebih takut sekarang ini kerana peningkatan sentimen xenophobia selepas kerajaan mengambil langkah lebih tegas terhadap pendatang haram susulan pandemik Covid-19.

“Dengan keadaan ini, tidak selamat keluar rumah,” kata Zarif yang melarang Ali keluar mencari kerja dan membantu kewangan isi rumah.

Terperuk di rumah, suatu hari Ali memutuskan untuk memasak makanan Afghan, dengan panduan kakaknya. Itu kali pertama dia buat mantu, sejenis ladu daging lembu. Bagi keluarga angkatnya, itulah ladu yang terbaik pernah mereka makan.

Dia makin rajin memasak di rumah. Zurina dan Zarif mendapat ilham membuat perniagaan katering di rumah supaya dia boleh dapat sedikit duit poket.

Pelanggan Ali kebanyakannya sanak keluarga dan sahabat handai Zurina dan Zarif. Ali masak dan Zarif buat penghantaran. Kemudian mereka jadi tak cukup tangan.

“Ali kata, dia harap kakaknya turut ada bersama membantunya, kerana di rumahnya dulu, Ali tak perlu memasak atau mencuci pakaian,” kata Zurina.

Akhirnya, hajat Ali menjadi kenyataan.

Selepas sempadan negeri dibuka kembali, keluarga itu balik ke kampung Zarif di Pulau Pinang untuk mempekenalkan anak baru mereka kepada ibunya.

Di tengah-tengah perjalanan, telefon Zarif berdering - dari Aliza Haryati Khalid. Aliza ialah kawannya yang ketika itu mengetuai Malaysian Social Research Institute (MSRI), organisasi yang membantu pelarian di Kuala Lumpur.

Katanya: “Saya minta maaf, saya kena minta tolong dengan awak kerana saya dah buntu. Boleh saya tumpangkan dia di rumah awak?”

Kali ini juga, pasangan itu menjawab ya.

Bila mereka tiba dari Pulau Pinang, Aliza dan Alia* sudah menunggu mereka di pangsapuri mereka. Ketika mereka duduk di ruang tamu, Alia, gadis Afghan 16 tahun, berambut panjang dan berpipi tembam, duduk memeluk lutut di satu penjuru, tak mampu memandang sesiapa.

“Dia bertubuh sangat kecil, dan sangat takut,” kata Zurina. “Kamu terfikir, apalah yang dah terjadi pada gadis ini.”

Sebelum tiba di rumah Zurina dan Zarif, Alia telah merentas tiga negara berbeza, dan berpindah dari banyak tempat berteduh.

Di kampung halamannya, kira-kira jam 4 pagi, ibunya mengejutnya dari tidur, memintanya untuk diam dan mengemas sedikit baju ke dalam beg. Tanpa penjelasan, ibu Alia membekalkannya dengan jus, biskut, dan sedikit wang dan memberi Alia telefon bimbit.

Mereka menyelinap keluar rumah, dan bertemu dengan seorang agen sebelum fajar.

“Kamu ikut agen ini, simpan telefon ini sebagai bukti,” pesan ibunya. Itulah kali terakhir dia bercakap dengan ibunya.

Di dalam telefon itu, tersimpan gambar-gambar Alia lebam dipukul ayah sendiri yang suka mendera. Bagi ibunya, tak ada pilihan lain selain menghantar Alia sejauh yang mungkin. Dengan telefon ibunya diserahkan kepadanya, tiada jalan untuk mereka berhubung. Dia bahkan tidak tahu apakah ibunya itu masih hidup atau tidak.

Di Kuala Lumpur, agen itu menghantarnya di sebuah kawasan pelarian Afghan, dan seorang ketua komuniti membawanya kepada MSRI. NGO itu membantu mencari dana bagi membantu komuniti itu memberinya tempat berteduh. Tetapi tidak lama kemudian, dana itu susut, wabak melanda, dan keluarga angkatnya tidak mampu lagi menampung makan minumnya.

Terdesak untuk mencari tempat berteduh buat gadis itu, Aliza pun menghubungi kawan lamanya, Zarif.

“Saya beritahu dia, tak boleh, sebab kami pun dah ada Ali, dan rumah kami pun sangat kecil, tapi dia kata seminggu saja, jadi kami kata OK.”

Sebulan, dua bulan, dan tiga bulan pun berlalu, dan sehingga kini, Zarif dan Zurina masih belum lagi menelefon Aliza untuk bertanya berapa lama lagi Alia akan menumpang di rumah mereka. Alia kini menjadi anak perempuan mereka, adik kepada anak-anak lelaki mereka. Tak sanggup rasanya buat mereka untuk mengucapkan selamat tinggal.

Keperitan yang tak terungkap

Dalam banyak segi, bagi Zarif, ini merupakan suratan takdir.

Ali rindukan kakaknya, dan menerusi pintu rumah mereka, datang seorang gadis yang bukan sahaja bertutur bahasanya, tetapi juga dialeknya.

Mereka jumpa tempat bercerita, seseorang untuk mereka berkongsi perasaan masing-masing, yang sulit diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris atau Melayu. Tetapi mereka kini sedang belajar menguasai bahasa ini dengan pantas.

Ada kalanya, di malam hari atau pagi selepas solat subuh bersama Zurina, Alia akan menangis tanpa kata-kata, tak dapat mencari perkataan bagi meluahkan keperitan dialaminya. Dia hanya menuding jari ke arah dadanya, dan berkata “sakit”.

Di masa-masa lain, dia seorang gadis remaja yang suka ketawa, ketika berjalan-jalan dengan ibu angkatnya di Sephora, atau ketika belari-lari teruja berjumpa buaian di taman awam, mengibarkan rambutnya yang panjang itu.

Di rumah, dalam momen-momen duka, ada juga momen bergaduh dan ketawa, ketika dia dan Ali bertekak di dapur. Alia kini merupakan sebahagian penting dalam perniagaan katering mereka.

Sikap keanak-anakannya membuatkan ibu bapa angkatnya itu percaya yang dia baru berusia 16 tahun - seperti yang dia dakwa - bukanlah 21 tahun seperti yang tertera di pasportnya. Telah mereka, mungkin agennya meletakkan usia yang lebih tua bagi memudahkan perjalanannya.

Mereka tak mempersoalkan tentang hal itu - ia hanya menggalaukan emosi Alia, apabila dia seolah-olah tak dipercayai pula untuk perkara semustahak itu.

Tak lama lagi, temu duga penilaian UNHCR akan diadakan, dan faktor umur ini mungkin akan mengubah banyak hal dalam perjalanan hidup Alia.

Jika dia benar-benar 16 tahun - masih di bawah umur - dia akan dianggap lebih rentan berbanding individu dewasa, dan mungkin melayakkannya menerima perkhidmatan-perkhidmatan lain.

Dia boleh diletakkan di bawah program yang menghantar pelarian bawah umur tanpa pengiring ke rumah-rumah angkat, dapat dihantar ke sekolah dan memastikan kebajikan mereka dijaga.

Sebagai gadis bawah umur tanpa pengiring, dia akan dianggap lebih rentan, dan ini akan meningkatkan lagi peluangnya ditempatkan semula ke negara ketiga.

Tetapi Zurina dan Zarif berharap agar cerita Alia nanti akan selaras dengan perincian pasportnya ketika ditemu bual UNHCR nanti. Mereka bimbang ketidakselarian cerita mungkin memudaratkan permohonan suakanya serta peluang mendapatkan penempatan semula.

Di akhirnya, Malaysia hanyalah tempat tinggal sementara.

Selama mana Ali dan Alia bersama mereka, Zarif dan Zurina berharap mereka dapat menyokong cita-cita anak-anak mereka itu.

Kemungkinan terbaik yang boleh diharapkan, adalah apabila mereka ditempatkan semula di negara ketiga dalam beberapa tahun lagi, di mana mereka berpeluang mendapat hak-hak mereka, boleh bertapak bagi mengejar cita-cita.

“Mereka bercita-cita tinggi. Mereka hendak sekolah, mulakan perniagaan, jadi bos besar. Mereka bukan semata-mata fikir untuk teruskan hidup semata-mata, mereka juga ada cita-cita,” kata Zurina.

Bersama Alia, perniagaan katering kecil mereka semakin maju, dan kedua-dua remaja itu bekerja keras bagi memenuhi tempahan memandangkan makanan mereka terus mendapat maklum balas memberangsangkan.

Tempahan meningkat, sampai ke tahap Zarif tidak mampu lagi menjadi tukang hantar dan mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan penghantar makanan.

“Mereka sangat kerja keras, dan mereka semakin berkembang,” kata Zurina. Tetapi, kedua-dua remaja itu juga berkongsi bagaimana mereka berharap yang mereka tidak perlu meninggalkan negara mereka, ibu mereka, dan kakak-kakak mereka.

Bersama-sama, keluarga itu mengembara ke Afghanistan menerusi Youtube, dan remaja berdua itu bercerita tentang tempat mereka membesar. Satu hari nanti, mereka berharap keluarga baru mereka itu dapat bertemu dengan ibu-ibu kandung mereka.

“Perjalanan ini merendahkan hati kami. Kami bukanlah orang kaya, kami pun ada keperluan yang perlu dipenuhi. Tapi kami masih mampu memberikan sesuatu yang mereka perlukan - tempat yang selamat”.

“Malah, kami tak bagi banyak sangat pun, hanya sedikit daripada hati kami ini, sedikit ruang di rumah kami ini, dan sedikit kasih sayang. Itu saja”.


*Nama telah ditukar agar identiti mereka tidak didedahkan.