backgroundImg

Sebagai mangsa, memerangi penipuan kini adalah jihad saya

Maimunah*, pesara penjawat awam

- Mangsa penipuan panggilan

Ketika Maimunah*, seorang pesara penjawat awam menerima panggilan dari seseorang yang mendakwa dari Telekom Malaysia, dia sudah pun curiga. Namun, dia tewas dengan manipulasi psikologi dan petang keesokannya, dia kehilangan RM75,000 wang simpanannya di tangan rangkaian penipuan.

Jika mangsa lain memencil diri kerana takut akan stigma dan ejekan, Maimunah memilih untuk melawan. Ini kisah Maimunah seperti yang diceritakan kepada DANIA KAMAL ARYF.

Pada Mac 2022, sekitar jam 4.30pm hari Jumaat, saya menerima panggilan dari seseorang yang mendakwa dirinya dari TM. Dia memohon maaf kerana terpaksa memotong talian telefon saya kerana kononnnya terbabit dengan jenayah.

Saya curiga. Saya katakan kepadanya yang saya tak mahu bercakap melalui telefon. Saya minta dia berikan nama pengurusnya dan lokasi pejabat mereka. Biar saya sendiri pergi ke sana.

Orang itu kedengaran bingung. Dia nyatakan nama, jawatan dan alamat pejabat. “Sekejap lagi, polis akan berhubung dengan puan,” katanya.

Kira-kira 10 minit selepas itu, saya menerima panggilan lain dari seseorang yang mendakwa dirinya seorang sarjan dari ibu pejabat polis daerah Kota Bharu. Saya tinggal di Kuala Lumpur. Saya tak ingat pula bila kali terakhir saya ke Kota Baru.

Saya tanya apa hal sebenarnya, tetapi dia kedengaran agak tertekan dan mula herdik saya, berkata yang dia ada banyak kerja yang perlu dibereskan dan tak perlukan tambahan kerja. Dia benar-benar kedengaran seperti seorang sarjan yang kepenatan.

Setelah mengherdik saya, dia berkata, “Saya akan sambungkan panggilan kepada bos saya” – seorang inspektor. Tidak seperti sarjan tadi, inspektor itu bercakap dengan sopan. Dia maklumkan kepada saya serba sedikit maklumat, yang saya terbabit dengan satu jenayah, sebelum menyambungkan panggilan kepada orang ketiga – seseorang dengan pangkat asisten komisioner polis (ACP).

Inspektor itu berkata: “Puan Maimunah cakap elok-elok dengan dia ya? Dia bos besar kami. Tolong panggil dia Tuan.” Inspektor itu akan menyebut nama saya setiap kali bercakap, dan itu meredakan rasa panik saya.

ACP itulah yang memberikan perincian yang saya minta. Katanya: “Puan Maimunah, anda didapati telah membuka satu akaun Hong Leong Bank di Kota Bharu, dan akaun itu telah digunakan oleh seorang penjenayah.”

Dia beritahu nama penjenayah tersebut yang telah ditangkap. Jadi kin, saya turut disyaki terlibat dalam skim pengubahan wang haram, dadah dan senjata api.

Saya katakan, “Hey! Saya tak pernah buka mana-mana akaun di Kota Bharu, saya pun dah lama benar tak ke sana!”

Dia bertegas bahawa akaun itu didaftarkan atas nama saya, dan jika saya tidak beri kerjasama, mereka akan mendakwa saya di bawah Akta Rahsia Rasmi. “Anda bukan sahaja mangsa, tetapi juga suspek,” katanya. “Kalau tidak percaya, saya boleh hubungi Bukit Aman sekarang,” katanya.

Jadi dia biarkan saya menunggu di talian, sebelum sambungkan satu panggilan lain kepada seseorang yang kononnya dari Bukit Aman. Individu itu mengesahkan terdapat siasatan dijalankan ke atas saya – Maimunah – berkenaan pengubahan wang haram dan akaun saya telah dibekukan.

Saya terkejut dan panik. ACP itu kemudiannya berkata: “Dengar tak, puan? Siasatan masih berjalan dan ini adalah sulit. Jangan beritahu siapa-siapa.”

Katanya, geng penjenayah itu kini memiliki alamat saya dan telah ada kes bunuh baru-baru ini membabitkan kes berkenaan. “Jadi jangan beritahu siapa-siapa, tutup pintu ketika bercakap dengan saya supaya tiada siapa boleh dengar perbualan ini,” katanya. Saya panik, lalu terus bangun untuk menutup pintu.

Panggilan tamat sekitar jam 6.30 petang. Katanya, dia akan hubungi saya lagi pada keesokan hari untuk berikan kemas kini. Dek rasa takut, saya tidak beritahu sesiapa tentang apa yang berlaku, termasuk anak-anak saya.

Panggilan disambungkan ke ‘Bank Negara’

Keesokannya, ACP itu menghubungi saya pada waktu yang sama seperti yang dijanjikan, iaitu sekitar 4.30 petang. Dia berkata: “Maimunah, anda harus bercakap dengan seseorang yang menguruskan kes Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram), iaitu bahagian pencegahan wang haram Bank Negara Malaysia.” Kemudian panggilan disambungkan kepada seseorang yang bernama ‘Miss Teoh’.

Miss Teoh sangat lembut orangnya. Dia beritahu, “Puan Maimunah, saya di sini untuk bantu puan. Kami telah bekukan akaun bank puan kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram, jadi puan kena bekerjasama dengan saya untuk selesaikan masalah ini, ya, Puan Maimunah?”

Dia bercakap dengan sangat tertib, dan selalu menyebut nama saya – Maimunah, Maimunah, Maimunah.

Sekarang saya tahu, itu merupakan satu teknik yang dipanggil pemprograman neurolinguistik  ⓘ  Pendekatan psikologi yang kadang kala digunakan dalam terapi sebagai kaedah untuk memandu tingkah laku. Menurut pakar, keberkesanannya belum dibuktikan. , yang serupa dengan “pemprograman minda”.

Sekarang saya tahu bahawa kajian menunjukkan pendekatan ini memang digunakan untuk memanipulasi mangsa penipuan. Pada masa itu, saya jadi terpinga-pinga dan hanya patuh pada arahannya.

Bolehkah anda terlepas dari scam dalam talian?
icon

Kata Miss Teoh, selalunya akaun yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram akan dibekukan untuk dua minggu, tetapi dia akan melakukan apa yang termampu agar akaun saya dibekukan seminggu sahaja.”Jangan takut, saya di sini mahu bantu puan,” dia selalu mengulang kata-kata itu dan ia benar-benar mempengaruhi saya.

Untuk mendapatkan semula akaun bank, saya perlu beri semua maklumat kepadanya – nombor akaun, nama pengguna, kata laluan, nombor kad debit, kad kredit dan kad ATM, nombor-nombor PIN … semua saya serahkan. Saya seolah-olah dipukau.

Kemudian dia beritahu saya, “Selepas ini, kamu akan terima tiga pesanan teks mengandungi nombor-nombor. Bacakan satu-persatu kepada saya, dan kemudian padam mesej itu.” Saya akur dengan arahannya – saya bacakan nombor-nombor tersebut, dan padam mesej. Saya buat semua seperti yang diminta.

Di hujung panggilan selama dua jam itu, dia beritahu saya, “Jangan risau, saya di sini mahu bantu. Jika puan rasa tertekan, cuba bersenam, makan dengan baik, tidur dan rehat elok-elok. Semuanya akan baik-baik sahaja.” Dia sangat baik, jadi saya mengucapkan terima kasih dan panggilan tamat sekitar jam 6.30 petang.

Macam terkena renjatan elektrik

Hanya apabila menjelang tengah malam, barulah saya sedar seperti ada yang tidak kena. Seperti terkena renjatan elektrik. Bulu roma di lengan saya habis meremang.

Saya sendirian di bilik dan saya belum beritahu sesiapa pun tentang apa yang berlaku. Jadi, saya cepat-cepat hubungi seorang kawan yang pernah bertugas dalam sebagai pegawai polis dalam siasatan jenayah komersial. Dia terus berkata: “Awak kena tipu! Buat laporan polis malam ini juga dan batalkan semua kad awak sekarang!” Sehingga jam tiga pagi, barulah semuanya selesai.

Saya tidak tahu banyak mana duit yang telah dicuri ketika saya membuat laporan polis. Hanya keesokan hari barulah saya terima panggilan daripada Tabung Haji. Mereka mengesahkan yang sejumlah RM75,000 telah dikeluarkan dari akaun saya, menerusi tiga transaksi dan dalam tempoh 15 saat sahaja. Tiga mesej yang saya bacakan kepada Miss Teoh itu adalah nombor TAC.

Ketika itu hujung minggu, jadi saya harus menunggu sehingga Isnin sebelum boleh berbuat apa-apa. Saya nak tahu apa yang berlaku dan bagaimana ia boleh berlaku. Saya sangat marah, tetapi kemarahan itulah yang memberikan saya keberanian untuk mencari jawapan.

Pertama, saya pergi ke bahagian jenayah komersial di Bukit Aman dan bertanyakan macam-macam soalan. Saya tidak berpuas hati dengan jawapan mereka. Kemudian saya ke Tabung Haji. Saya tanya kenapa mereka langsung tidak cuba untuk buat pengesahan dengan saya dulu sama ada pengeluaran duit itu benar-benar sah atau tidak.

Mereka memaklumkan bahawa dalam perbankan internet, TAC berfungsi sebagai pengesahan. Secara teknikalnya, penipu itu masuk ke akaun perbankan dalam talian saya dan melakukan semuanya di situ.

Tetapi saya tanya mereka, dalam kes transaksi besar sebegitu yang berlaku dalam tempoh 15 saat, sudah tentu kamu ada sistem amaran (red flag) untuk memintas transaksi itu, dan ada tempoh bertenang untuk membuat pengesahan dengan pemegang akaun sebelum melepaskan duit sebanyak itu? Tetapi bagi mereka, dalam perbankan internet, mereka tidak perlu melakukan langkah-langkah itu.

Kemudian saya pergi ke bank-bank lain dan turut membangkitkan beberapa isu. Mereka terpaksa mengeluarkan semula kad saya – debit, kredit dan ATM. Tetapi kata saya, “Bagi balik buku bank saya saja.”

Sebab semua ini tidak pernah pun terjadi kepada saya ketika saya menggunakan buku bank dahulu. Susah betul hendak mendapatkan semula buku bank saya.

Apa yang menariknya, penipu itu tidak pula bertanyakan maklumat Amanah Saham. Saya dapat tahu kemudiannya ini kerana bagi Amanah Saham, hanya jumlah tertentu yang boleh dipindahkan menerusi dalam talian, selebihnya harus dilakukan di kaunter.

Baca kisah mangsa penipuan yang lain

Bank saya memaklumkan, berdasarkan siasatan mereka, pengeluaran wang itu telah dilakukan dengan betul memandangkan ada verifikasi TAC, tetapi jika saya masih tidak puas hati, saya boleh ke Ombudsman Perkhidmatan Kewangan . Itulah yang saya lakukan.

Semasa proses mediasi, saya bertanya tentang ketiadaan sistem amaran. Saya bukannya orang kaya atau ahli perniagaan, dan saya sudah jadi pelanggan untuk tempoh yang begitu lama. Jadi mereka sepatutnya tahu bahawa adalah di luar kebiasaan apabila saya tiba-tiba mahu keluarkan wang sebanyak itu.

Ketua pasukan antipenipuan turut hadir dalam mediasi itu, dan saya bertanyakan kepadanya apakah sebenarnya peranan dia dalam insiden seumpama ini. Saya tidak mendapat jawapan yang memuaskan.

Lebih teruk lagi, di tengah saya ke sana sini mencari jawapan, saya dijangkiti Covid-19. Saya terpaksa duduk di rumah buat sementara waktu, di saat hati saya ini masih meluap-luap dengan rasa marah.

Beperang

Itulah ketikanya saya ambil keputusan untuk pergi berperang.

Saya berkhidmat selama berpuluh tahun dalam perkhidmatan awam, dan ramai orang dalam rangkaian kenalan saya yang agak berpengaruh. Jadi, saya hubungi seorang rakan dan kami bekerjasama dengan penyelidik yang telah banyak pengalaman dalam bidang ini. Kami hasilkan satu memorandum dengan 13 syor untuk melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan dalam talian.

Memorandum itu disokong oleh banyak individu dan pertubuhan yang berpengaruh, dan ia telah diserahkan kepada perdana menteri dan juga kabinet, pejabat ketua pembangkang dan kepada semua ahli parlimen.

Kami memberikan pelbagai syor, daripada program advokasi dan kesedaran sehinggalah kepada gesaan agar lebih banyak kajian dilakukan untuk memahami apakah wujud kelompongan dalam undang-undang, sehingga membolehkan jenayah sedemikian terlepas tanpa hukuman.

Kami menggesa ke arah mekanisme keselamatan yang lebih baik, agar amaran diberikan terhadap transaksi yang besar atau di luar kebiasaan, dan mencadangkan pendekatan untuk menginsuranskan simpanan di bank terhadap kerugian akibat penipuan, sepertimana insurans rumah terhadap kejadian bencana atau kebakaran.

Kenapa tidak? Sekarang ini, muka pun orang insuranskan, kenapa tidak simpanan hayat kita? Dan kita bukan berbicara tentang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang hanya menginsuranskan simpanan daripada kebankrapan institusi perbankan sahaja.

Kami turut mengesyorkan agar kajian terhadap pemprograman neurolinguistik dapat digunakan oleh badan penguatkuasa undang-undang untuk melatih petugas mereka serta mendidik orang awam. Buat masa ini, jika seseorang pergi ke balai polis dan mendakwa telah dipukau, mereka tak akan dipandang serius, tetapi ia merupakan teknik yang memang wujud dan digunakan untuk memanipulasi orang lain sehingga terpedaya dengan penipuan.

Pada masa itu, saya ada merakam suara saya bagi berkongsi pengalaman saya, dan rakaman itu tular.

Ada rakan-rakan di luar negara yang menerima rakaman suara saya daripada kenalan mereka. Mereka beritahu saya yang di negara mereka ada akaun bank warga emas. Akaun ini memiliki langkah perlindungan yang berbeza bagi menghalang penipuan dalam talian, kerana warga emas lebih mudah menjadi mangsa. Kenapa kita tidak lakukan hal yang sama di Malaysia?

Apa yang menyedihkan, meskipun menerima sokongan kuat daripada NGO dan kalangan berpengaruh, memorandum itu tidak diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan ketika itu. Tetapi saya tidak akan berputus asa.

Jihad peribadi

Saya tidak mahu tewas dan terperangkap dalam rasa gelisah. Saya memilih untuk bangkit dan melawan sistem yang membenarkan kejadian seumpama ini terus berlaku. Sudah tentu saya rasa marah, sedih dan malu, tetapi saya pilih untuk melawan.

Apabila ini berlaku, ramai kawan yang berkata, “Kenapa bodoh sangat? Kamu penjawat awam yang berpengalaman tetapi masih terjebak dalam penipuan ini?” Kalau diikutkan hati, saya sudah berhenti kerana malu, tetapi saya kuatkan hati. Saya berdoa tanpa henti agar terus diberi kekuatan.

Sebagai seorang Islam, saya menerima takdir saya dan pengalaman ini telah membantu saya menjadi pejuang, bukan mangsa semata-mata. Ketika ia mula-mula terjadi, saya selalu tertanya-tanya, “Kenapa saya? Saya bayar zakat, bersedekah dan buat amal kebajikan. Saya tak pernah ambil sesen pun duit kerajaan, saya tak ada ratusan ribu ringgit dalam bank macam ahli perniagaan. Saya cuma bergantung pada pencen. Kenapa saya?”

Tetapi sekarang saya percaya Allah memilih saya kerana saya boleh melakukan sesuatu tentangnya.

Ramai mangsa penipuan yang boleh berkongsi kisah mereka untuk meningkatkan kesedaran, tetapi mereka malu. Mereka digelar bodoh, jahil dan bermacam-macam lagi.

Saya tak kisah orang nak cakap apa. Apa yang saya mahu adalah untuk berkongsi maklumat dengan orang lain, terutamanya warga emas yang lebih mudah ditipu.

Saya terus memanfaatkan rangkaian kenalan yang saya bina ketika bertugas dalam perkhidmatan awam. Speaker Dewan Negara pada satu ketika dulu pernah menjadi bos saya, dan saya menghubunginya untuk bertanya apakah saya boleh bercakap kepada ahli-ahli Dewan Negara berhubung topik ini, dan untuk mencadangkan agar kerajaan mengguna pakai syor kami. Itulah yang saya lakukan tetapi tidak lama selepas itu, kerajaan pun bertukar.

Bolehkah anda lepas dari Penipuan Panggilan?
icon

Keadaan nampak lebih meyakinkan di bawah kerajaan baru.

Saya benar-benar percaya bahawa untuk melawan masalah penipuan ini, kita mesti bertindak dengan pendekatan yang merentasi pelbagai disiplin serta agensi. Sekarang sudah ada Gabungan Bertindak Anti-Scam yang disokong oleh kerajaan, yang turut merangkumi NGO-NGO besar dan bahkan syarikat telekomunikasi gergasi.

Tetapi saya masih berharap agar kita ada satu jawatankuasa pilihan di Parlimen, dengan ahli-ahli parlimen dari kedua-dua pihak dapat bekerjasama untuk membantu rakyat Malaysia. Berbilion ringgit telah disonglap oleh sindiket penipuan.

Sesetengah orang bertanya, kenapa saya tidak memaafkan sahaja penipu yang menipu saya.

Ya, bagi mana-mana agama pun, kemaafan adalah sesuatu yang mulia. Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW juga memaafkan mereka yang berbuat lebih teruk lagi kepada baginda…tetapi saya fikir, saya mahu berjumpa mereka yang menipu saya di akhirat terlebih dulu dan mahu lihat siapa diri mereka.

Dalam hidup ini, saya mahu terus melawan mereka. Bukan dengan cara memburu atau memukul mereka, tetapi dengan cara bersuara untuk meningkatkan kesedaran ramai.

Inilah jihad saya. Saya mungkin hilang puluhan ribu ringgit di dunia ini, tetapi dengan jihad ini, insya-Allah, saya akan mendapat ganjaran daripada Allah yang jauh lebih tinggi nilainya berbanding kerugian yang saya telah tanggung.

*Nota editor: Nama mangsa telah ditukar atas permintaan bagi menghormati privasi mereka, serta bagi mengelakkan stigma terhadap mereka.

Jika anda rasa telah menjadi mangsa penipuan, hubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 untuk mendapatkan bantuan.

Sejak 2022, pelbagai bank mengumumkan untuk memansuhkan pengesahan melalui TAC dan mengguna pakai pengesahan dalam bentuk lain seperti pemberitahuan automatik (push notification) dalam aplikasi perbankan atau pengesahan dua faktor (two-factor authentication) yang lain.

Pada Disember 2022, kerajaan mengumumkan penubuhan Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan, iaitu satu usaha bersama antara Pusat Pencegahan Anti-Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta industri perbankan dan juga telekomunikasi.

Ikuti kisah lain-lain mangsa penipuan

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 26 Februari 2024.

Penyelaras projek
Ooi Choon Nam & Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Aidila Razak & Dania Kamal Aryf
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam, Nor Natasya Syahirah, Aidila Razak & Syariman Badrulzaman
Penulis skrip
Dania Kamal Aryf, Ooi Choon Nam, Aidila Razak & Wong Kang Jia
Ilustrasi
Amin Landak
Penterjemah
Rusnizam Mahat & M Fakhrull Halim
Penyunting berita
Al Abror Mohd Yusof & Aedi Asri
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.