backgroundImg

Cinta, penipuan dan pembunuhan: Kisah penipu Twitter

Sarah*, usahawan

- Mangsa penipuan cinta

Sarah tidak mencari cinta di dunia maya. Namun, apabila dia mengenali David di Twitter, lelaki itu memenuhi apa yang Sarah inginkan dalam diri seorang pasangan. Mereka kemudian tinggal bersama. Semuanya indah, tetapi tidak lama kemudian, hubungan penuh romantik itu bertukar rupa.

Dalam plot licik konspirasi politik, komplot istana, pengganas dan pembunuhan, David membuatkan Sarah hidup dalam keresahan yang memuncak buat berbulan-bulan lamanya. Sehinggalah satu hari, situasi bertukar.

Ini adalah kisah penipuan cinta, dan bagaimana penipu akhirnya menjadi mangsa penipuan, seperti yang diceritakan kepada AIDILA RAZAK.

Kami berkenalan di Twitter (kini dikenali sebagai X). Saya sudah lama bermain Twitter, dan dia salah seorang pengikut saya di situ. Seperti orang lain, dia kadang kala membalas ciapan saya.

Saya bukan berasal dari Semenanjung Malaysia. Di kampung saya, kami ada satu juadah yang disediakan daripada sayur yang sukar untuk ditemukan di Lembah Klang, tempat saya menetap. Satu hari, saya membuat ciapan mengenainya.

Dia membalas dan berkata yang dia tahu di mana hendak cari sayur itu di KL, dan menawarkan untuk membelikannya untuk saya. Dia cuba hubungi saya menerusi pesanan peribadi (DM), tetapi memandangkan saya tidak mengikutnya di Twitter, saya tidak terima mesejnya.

Saya ada perniagaan kecil. Saya berkongsi laman web syarikat di profil saya supaya pelanggan boleh hubungi saya. Menerusi laman itulah David menghantar emel mengenai sayur itu kepada saya, dan kami kemudiannya berhubung menerusi WhatsApp.

Selepas itu, kami mula berbual tentang lebih banyak perkara. Dia dari bandar yang sama. Dahulu dia belajar di sekolah menengah yang terletak bertentangan dengan sekolah saya. Dia enam tahun lebih tua dari saya.

Oleh itu, kami tak ada rakan sekolah yang sama, tetapi dia ada sebut beberapa orang yang saya kenal yang turut bersekolah di sekolahnya. Nampaknya, kami berkongsi asal usul yang sama.

Saya dapat tahu dia membesar dalam keadaan kekurangan. Kedua-dua ibu bapanya berkhidmat sebagai polis. Dia tinggal di kuarters polis berdekatan sekolah kami. Selepas SPM, dia mendapat biasiswa untuk belajar di luar negara dan ia mengubah kehidupannya.

Dia beritahu yang dia bekerja sebagai pengurusan kanan di syarikat minyak dan gas multinasional yang terkenal. Saya membuat carian mengenai David di laman web syarikat tetapi ia hanya menyenaraikan tiga pegawai pengurusan tertinggi sahaja. sh: Tinggal bersama

Pertemuan pertama kami kasual sahaja, tetapi agak tergesa-gesa. Dia kata perlu balik kampung selepas itu untuk melawat ibu bapanya. Kemudian, dia muat naik ciapan gambar sebuah pusat penjaja di sana, jadi ia padan dengan apa yang diceritakannya sebelum itu.

Bukanlah hal asing untuk saya berjumpa dengan orang yang saya mula kenal di alam maya. Saya pernah bermain satu permainan dalam talian yang memerlukan pemain untuk berjumpa orang bagi menyelesaikan tugasan. Jadi pertemuan kasual bukanlah asing bagi saya.

Selepas itu, kami berjumpa beberapa kali lagi dan agak jelas yang dia menaruh minat terhadap saya. Cuma saya saja yang tidak pasti. Hanya selepas sebulan, barulah kami bercinta.

Mungkin bagi sesetengah orang ia berlaku agak pantas. Tetapi umur saya sudah mencecah pertengahan 30-an dan dia pula awal 40-an. Saya sudah berada di fasa hidup di mana saya tahu apa yang saya inginkan dalam diri pasangan saya, dan dia orang yang tepat.

Malah, beberapa hari sebelum kami rasmi menjadi pasangan, dia sudah mula tinggal bersama saya. Ia tidak dirancang.

Katanya, dia keluar sementara dari kondonya kerana kediaman jiranya diserang pepijat yang merebak sehingga ke kediamannya. Dia juga tidak boleh tinggal bersama keluarga di KL kerana mereka sedang menjalani kuarantin Covid-19. Jadi dia menempah penginapan yang seadanya buat sementara waktu.

Saya melawat tempat penginapan itu yang berdekatan dengan kondonya, tetapi bagi saya, ia nampak agak teruk. Dia kata dia tidak kisah asalkan memudahkannya. Padanlah dengan perwatakannya yang sentiasa sederhana dan tidak biasa bermewah-mewah, ekoran latar belakangnya yang susah.

“Sekadar tempat untuk tidur,” katanya. Tetapi penginapannya teruk sangat, jadi saya cadangkan agar dia tinggal saja di rumah saya sehingga semuanya selesai.

Penipuan kewangan

Secara kebetulan, David akan cuti selama dua minggu. Dia ada sebut sebelum ini yang dia akan “bercuti audit” tahunan, semasa syarikat membuat audit kewangan rutin, dan dia tidak akan mempunyai akses kepada sebarang dokumen.

Ia masuk akal pada ketika itu, tetapi keadaan mula bertukar kacau dalam seminggu selepas dia berpindah masuk.

Bolehkah anda lepas dari scam dalam talian?
icon

Meskipun dia sepatutnya bercuti, dia masih terima panggilan telefon dari pejabat. Daripada panggilan itu, saya dapat mengagak yang pejabatnya sedang mencari sesuatu dan David tahu di mana lokasinya. Dia menerima panggilan demi panggilan dan perbualan menjadi semakin panas.

Akhirnya dia beritahu saya bahawa audit mendapati sejumlah RM8 juta telah hilang dari akaun dan ia dijejak ke salah seorang dalam pasukannya.

Dalam beberapa hari kemudian, dia pergi ke pelbagai pejabat agensi penguatkuasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ibu pejabat polis dan pejabat bahagian siasatan jenayah komersil. Saya tahu semua ini kerana dia dengan teliti memaklumkan perkembangan kepada saya.

Dia hantar pin lokasi di WhatsApp untuk menunjukkan di mana dia berada dan dia juga akan hantar mesej sebaik saja beredar dari sana, seolah-olah mahu memastikan yang dia selamat. Seolah-olah dia risau sesuatu mungkin terjadi ke atasnya semasa penyiasatan.

Kerana penyiasatan itu, dia beritahu bahawa kondonya telah disita dan akaun bank juga dibekukan. Tetapi dia kata dia dapat akses wang yang disimpan di akaun luar pesisir, menerusi Singapura, jadi keadaannya baik saja. Tidak lama selepas itu, semua wang itu turut dibekukan. Namun, dia tidak pernah wang dari saya untuk menangung dirinya.

Berminggu-minggu sebelumnya, dia beritahu yang dia menanggung kehidupan satu keluarga pelarian. Dia bayarkan duit sewa mereka dan sekali-sekala belanja anak-anak mereka makan. Setelah akaunnya dibekukan, keluarga tersebut hidup kesempitan.

Duit belanja bulanan yang dia beri kepada mereka tidaklah banyak sangat – beberapa ratus ringgit. Saya juga mahu membantu keluarga itu dan tanpa diminta David, saya tawarkan untuk beri wang belanja mereka bagi bulan tersebut.

Perbualan telefonnya dalam beberapa hari kemudian sangat tegang. Katanya, ada pihak yang menganiayanya. Dalam panggilan telefon itu dia mengancam untuk mendedahkan perbuatan mereka.

Dia beritahu saya yang mereka mahu dia dipecat daripada syarikat MNC itu kerana dia dapat tahu tentang perjanjian antara kerajaan dan syarikat itu yang melanggar undang-undang dan turut membabitkan sogokan kepada keluarga seorang ahli politik yang sangat berpengaruh.

Itu bukanlah kali pertama dia mendakwa mempunyai hubungan dengan golongan kaya dan berkuasa.

Operasi antilanun dan tunku mahkota

Walaupun dia orang korporat, dia mendakwa pernah berkhidmat dalam pasukan khas untuk memerangi lanun di Teluk Aden, Somalia. Pasukan itu dipanggil Combined Task Force 151 (CTF-151).

Walaupun tidak diumumkan secara rasmi, menurutnya, syarikat-syarikat minyak dan gas serta perkapalan multinasional menyumbang dari segi kakitangan dan kewangan kepada pasukan khas tersebut memandangkan kegiatan lanun menjejaskan perniagaan mereka.

Katanya lagi, syarikat menawarkan jumlah pampasan yang besar kepada sesiapa yang secara sukarela bersedia untuk dipinjamkan ke CTF-151. Pada masa itu, adiknya terjerat dalam masalah hutang. Dia pula pernah menerima latihan menembak ketika di sekolah dan tahu sedikit-sebanyak tentang senjata api. Jadi dia menawarkan diri.

Dia ceritakan dengan terperinci tentang tugasnya dalam pasukan berkenaan, tentang apa yang mereka lakukan. Dia bercerita yang dia terpaksa membunuh orang serta situasi hidup dan mati yang terpaksa dihadapinyai. Secara keseluruhan, dia cuba menggambarkan dirinya sebagai seorang yang telah mengorbankan diri demi syarikat dan juga negara.

Dia juga kata kerajaan tahu tentang peranannya dalam pasukan tersebut dan sejak dia kembali ke Malaysia, dia diminta untuk memberikan latihan kepada anggota keselamatan negara.

Ada satu ketika, selepas latihan seharian di Kuala Lumpur, dia yang sedang dalam perjalanan pulang ke biliknya di Hotel Marriott di Bukit Bintang terserempak dengan rombongan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pergaduhan tercetus antara mereka. Namun hasil latihan yang diterimanya, dia dapat melucutkan senjata api pengawal keselamatan rombongan itu.

Ia membuatkan TMJ kagum dengan kebolehannya dan mereka menjalinkan semacam hubungan persabahatan. Menurut ceritanya, TMJ ada menghadiahkannya jam tangan serta beberapa kali mengundangnya ke istana. Hubungan mereka kedengaran rapat, tetapi David tidak pernah merujuk putera berkenaan sebagai kawannya.

Bolehkah anda lepas dari penipuan cinta (love scam)
icon

Panik

David tidak pernah berikan semua maklumat secara serentak pada satu masa. Hanya cerita-cerita pendek, panggilan telefon yang terdengar secara tidak sengaja. Dari semasa ke semasa, ia kemudian membentuk satu gambaran watak yang meyakinkan dalam fikiran saya.

Kebanyakan cerita berdasarkan peristiwa sebenar, seperti pasukan khas di Teluk Aden, yang benar-benar wujud. Sebuah kapal Malaysia, Bunga Laurel, pernah diserang lanun di Teluk Aden pada 2011.

Dia turut merujuk individu-individu yang benar-benar wujud serta hubungan yang sebenar. Sebagai contoh, dia kata peguamnya merupakan saudara kepada seorang kenalan saya di gereja. Saya kenal orang itu, tetapi mereka sudah berpindah ke Amerika Syarikat dan kami tidak lagi berhubungan rapat. Jadi, dia tahu yang saya tidak akan hubungi kenalan itu untuk bertanya atau mengesahkan apa-apa.

Pada awalnya, semuanya kedengaran benar. Tetapi apabila situasi ‘penipuan kewangan’ itu berterusan, ia berkembang menjadi semakin gila. Dari politik syarikat, kini ia turut membabitkan plot pembunuhan seorang ahli politik dari Sarawak. Pada saat itu, dia menyebabkan saya berada dalam situasi panik dan cemas. Saya percaya semua ceritanya.

Sebelum dia tinggal bersama dengan saya, dia beritahu yang dia ada beli tiket untuk kami menonton persembahan muzikal – Funny Girl yang dibintangi Lea Michele – di New York. Saya memang obses dengan persembahan muzikal dan Funny Girl adalah kegemaran saya. Macam mimpi jadi kenyataan. Tetapi kini dia dikenakan sekatan perjalanan sehingga siasatan selesai.

Produksi Funny Girl akan melabuhkan tirai pada 3 September, manakala tiket yang dibelinya adalah untuk salah satu persembahan akhir. Sudah masuk bulan Ogos, jadi apabila kes penipuan kewangan itu berlaku, kami jadi kesuntukan masa untuk pengalaman sekali seumur hidup itu.

Dia kerap ke Jabatan Imigresen – dan dia hantar pin lokasi untuk membuktikannya – kononnya untuk mencari jalan bagi membatalkan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atasnya. Saya pula panik kerana semua perbelanjaan perjalanan telah dibayar.

Kemudian, dia mencadangkan satu jalan penyelesaian. Dia kata peguamnya akan menghadiri satu majlis makan malam dan kononnya mereka ada hubungan yang rapat dengan perdana menteri. Jadi peguamnya akan cuba bertanya jika Anwar Ibrahim dapat membantu mereka.

Langsung tidak terlintas di fikiran saya untuk memeriksa status imigresen David di laman Jabatan Imigresen. Dia mencipta situasi panik itu dan kemudian menawarkan penyelesaian, dan saya hanya menurut sahaja saranannya.

Plot pembunuhan membabitkan PMX

Dari sinilah kisah rancangan pembunuhan bermula.

Beberapa hari selepas majlis makan malam itu, saya perasan yang David kelihatan begitu kacau, matanya bergenang air mata. Saya tanya apa yang tidak kena. Perkara pertama yang keluar dari mulutnya adalah ungkapan maaf, kerana rancangan hari tua kami untuk berpindah pulang ke tempat asal kami dan membina keluarga tidak akan menjadi kenyataan ekoran satu keputusan yang baru diambilnya.

Menurut David, dia bertemu Anwar dan perdana menteri kononnya berkata dia boleh selesaikan masalahnya tetapi David perlu melakukan satu tugasan sebagai balasan – membunuh Premier Sarawak, Abang Johari Openg. Kononnya terdapat perbalahan mengenai royalti minyak Sarawak, justeru Anwar mahu menyingkirkan Abang Jo.

David kata dia menolaknya. Memang dia mengaku pernah membunuh sebelum ini, tetapi itu adalah untuk menyelamatkan tebusan, bukannya demi kepentingan politik seseorang. Dia sangat kecewa dan kemarahannya meluap-luap.

Semua ini kedengaran begitu luar biasa, tetapi pada masa sama, saya teringatkan kisah pembunuhan pengasas Ambank dan bagaimana mayat Kevin Morais ditemukan dalam tong dram berisi konkrit.

Siapa sangka mereka akan dibunuh sebegitu kejam? Jadi, ya, memang kedengaran mengarut, tetapi ia juga tidaklah begitu sukar untuk dipercayai.

Selepas dia menolak tawaran Anwar, keadaan jadi semakin tegang. Tiba-tiba, dia dapat tahu yang peguamnya ditangkap atas tuduhan palsu. Isteri peguam itu cuba mengumpul dana bagi ikat jamin suaminya, tetapi mereka kekurangan beberapa ribu ringgit. Rakan kongsi peguam itu – yang mewakilinya di mahkamah – tidak boleh membayar ikat jamin anak guamnya itu atas faktor etika.

Akaun David masih dibeku, jadi dia mahu pinjam wang dari pemberi pinjaman kredit komuniti. Dia rasa bersalah kerana peguam itu terkena tempias daripada keputusan yang dibuatnya. Memikirkan kadar faedah tinggi daripada pinjaman itu nanti, saya pun dahulukan wang saya. Selepas itu, dia maklumkan yang dua lagi peguam ditahan.

Hidup dalam keresahan

Dua bulan sudah berlalu sejak hari pertama David pindah ke rumah saya. Saya hidup dalam keresahan yang berpanjangan, dan saban hari ia menjadi semakin teruk. Sebulan terasa seperti 10 tahun.

Sebelum semua drama ini terjadi, saya bercadang untuk rehat seketika daripada bekerja. Sebagai peniaga kecil, tempoh PKP beri kesan yang teruk terhadap perniagaan saya, jadi selepas ekonomi kembali dibuka, saya kerja keras untuk kembali menyimpan wang. Kemudian ayah saya meninggal dunia. Ketika saya bertemu David, saya masih lagi cuba untuk berdepan dengan kedukaan itu.

Ketika dia mahu bawa saya ke New York menonton persembahan itu, saya buat keputusan, mungkin sudah tiba masanya saya berehat. Dia tawarkan untuk tanggung saya buat sementara waktu, jadi saya boleh berehat dan membina semula kehidupan.

Ogos sepatutnya menjadi bulan saya mengumpul duit sebanyak mungkin sebelum berehat, tetapi saya tak dapat fokus kepada perniagaan kerana rasa cemas yang saya alami.

Semuanya berlaku begitu pantas, dan pada satu ketika, kami tinggal di bilik hotel setelah dia kata kononnya hidup kami dalam bahaya. Ketika itu, trip ke New York nampaknya tidak akan terjadi lagi.

Pada satu tahap, sedang kami merangka strategi untuk keluar daripada kemelut, saya teringat cerita tentang hubungannya dengan TMJ dan saya cadangkan agar dia hubungi TMJ untuk dapatkan bantuan.

Bila difikir-fikir semula sekarang ini, saya rasa semua cerita itu direka untuk memperdaya saya. Tetapi pada masa itu, ia seolah-olah seperti idea saya sendiri. Walaupun pada mulanya David, dia akhirnya setuju untuk meminta bantuan TMJ. Lega hati saya apabila diberitahu yang TMJ setuju untuk bantu kami.

Bantuan dari istana itu datang dalam bentuk anugerah. Kononnya, sebagai tanda bahawa dia berada di bawah perlindungan istana, satu anugerah akan dikurniakan kepadanya atas khidmat baktinya di Teluk Aden. Dia tunjukkan kepada saya surat penganugerahan tersebut.

Sementara itu, rakan-rakan dan peguam-peguam David terus ditahan dan kami pula mencari dana untuk membayar ikat jamin. Bagaimanapun dengan perlindungan istana, setidak-tidaknya kami tidak perlu berpindah-randah seperti pelarian. Saya rasa lebih tenang.

Percutian keluarga di Cherating

Dari satu segi, ketenangan itu memberi ruang untuk saya berfikir dengan lebih jelas. Saya mula rasa curiga terhadap ceria-ceritanya. Saya bahkan periksa senarai daftar peguam untuk lihat apakah nama-nama peguam yang disebutnya benar-benar wujud, dan ternyata nama-nama itu memang ada.

September sepatutnya menjadi bulan rehat dan pemulihan. Saya telah merancang trip untuk saudara-mara saya, sepatutnya selepas kami pulang dari New York. Destinasinya adalah Cherating. Kami sepatutnya menginap di Club Med dengan perbelanjaannya ditanggung oleh David.

Memang menjadi impian saya untuk bawa keluarga ke resort dengan pakej penginapan penuh, jadi apabila David tawarkan untuk tanggung penginapan kami, saya teruja.

Rancangannya adalah ibu, adik perempuan bersama suami dan mentuanya, serta seorang ibu saudara saya akan terbang ke KL. Dari situ, kami akan ambil van ulang-alik dari Club Med untuk ke Cherating. Ayah mentua adik saya sakit buah pinggang, jadi dia juga sudah merancang tempat untuk dialisis ayah mentuanya nanti.

David sepatutnya beli tiket kapal terbang, tetapi dia tidak membelinya. Sebaliknya, dia kata istana Johor tawarkan untuk bawa keluarga saya menaiki pesawat peribadi.

Tetapi menjelang tarikh perjalanan, masih tiada kata putus. Jadi keluarga saya buat keputusan untuk beli sendiri tiket ke KL.

Apabila ini terjadi, David sangat tertekan. Dia kemudian menempah bilik untuk mereka di sebuah hotel berhampiran KLCC, dan beritahu yang van dari Club Med akan datang ambil mereka pada keesokan harinya - lambat sehari dari tarikh yang dijanjikannya. Menurutnya, ada berlaku salah faham.

Pada pagi keesokannya, di saat semua orang menunggu van sampai, David mula terima panggilan demi panggilan. Akhirnya, dia beritahu yang kami tidak dapat ke Cherating. Van terlibat dalam kemalangan.

Nama Agong pula dipetik

Pada masa ini, saya dan adik saya sudah berasa curiga. “Tak apalah, kami akan sewa van.” Lagipun, kami ada orang tua bersama kami.

Adik saya turut hubungi Club Med. Mereka maklumkan yang tiada pun van yang dihantar ke KL pada hari itu.

Apabila kami memaklumkannya kepada David, dia tampak terganggu. Dia mula buat panggilan telefon dan beritahu ada salah faham antara Club Med Cherating dengan pejabat di KL.

Ketika kami sudah hampir sampai di Club Med, adik saya sekali lagi mahu hubungi pihak hotel untuk minta nombor tempahan dan sahkan tempahan kami. David mula berikan alasan yang tempahan kami sebenarnya untuk keesokan hari dan kami perlu menginap di hotel lain dulu pada hari tersebut.

Katanya, ekoran salah faham berkenaan van sebelum ini, pihak hotel telah aturkan sebuah van lain untuk esok hari tanpa berbincang dengannya terlebih dulu, dan turut menukar tarikh penginapan kami. Ia memang tak masuk dek akal.

Bolehkah anda terlepas dari scam dalam talian?
icon

Kami tempah bilik di hotel berdekatan dengan Club Med, jadi ahli keluarga yang lebih berusia dapatlah berehat dulu. David terima banyak panggilan telefon. Dia kemudian beritahu kami bahawa tempahan kami di Club Med telah dibatalkan oleh istana Pahang – menerusi Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, dan melalui PMX.

Saya tidak termakan. Takkanlah PMX mahupun istana Pahang jengkel dan pendendam sangat sampai nak batalkan tempahan hotel untuk percutian keluarga?

David turut cuba meyakinkan adik saya yang Club Med tidak menerima tetamu tanpa tempahan awal, jadi kami tidak akan dapat bilik sekalipun kami pergi ke sana. Tetapi adik saya tetap telefon pihak hotel. Mereka masih ada bilik kosong untuk beberapa hari yang akan datang.

Untuk mendaftar masuk ke Club Med, setiap orang perlu beri kad pengenalan (IC) tetapi David tidak dapat beri IC miliknya. Dia kata dia tak jumpa dompetnya, mungkin tercicir di hotel sebelum itu. Kami pergi semula ke hotel itu untuk mencarinya tetapi tidak berjaya. Dia kata akan buat laporan polis nanti.

Dompet dalam kasut

Seperti tiada apa-apa berlaku, kami teruskan dengan percutian kami. Tetapi saya dapat rasakan yang David semakin terdesak untuk menutup penipuannya.

Di Club Med, dia banyak bercakap telefon. Kami dengar perbualan tentang polis dan kerajaan, dan tiba-tiba dia beritahu saya yang dia diarahkan untuk membunuh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Taib Mahmud. Saya fikir: ‘Jangan mengarut!’

Keluarga saya risau akan keselamatan mereka. Mereka bercakap dengan pengurus Club Med dan bertanya jika ada sesiapa bernama David atau pemilik nombor IC yang dia berikan ketika kami daftar masuk, pernah tinggal di situ. Ini kerana David mendakwa dia pernah menginap di situ pada 2018. Jawapan daripada hotel adalah tiada.

Saya beritahu keluarga saya yang mereka boleh pergi, tetapi saya mahu terus tinggal di situ untuk membongkar penipuannya. Akhirnya, keluarga memilih untuk bersama saya.

Malam itu, kami tak dapat tidur. David menghubungi seseorang – ahli keluarganya? – dan minta orang itu untuk pindahkan wang supaya dia boleh beli tiket kapal terbang untuk keluarga saya pulang. Liputan agak teruk di dalam bilik, jadi dia pergi ke lobi.

Itulah peluang saya untuk mencari ICnya. Saya cari dalam beg laptop, bagasi dan pakaian kotornya. Akhirnya, dompetnya terjatuh dari dalam kasutnya. Ini bukan satu kebetulan. Dia memang sengaja sembunyikannya di situ.

IC dan lesen menunjukkan wajahnya, tetapi nama yang tertera bukanlah David. Nama berbeza, tarikh lahir berbeza, alamat berbeza, Semuanya berbeza. Berdarau darah saya, terasa seolah-olah nyawa ini direntap dari tubuh.

Tangan saya menggigil ketika saya mengambil gambar IC dan lesennya dengan telefon. Saya kemudian letakkan semuanya kembali ke tempat asal dan hantar gambar itu kepada adik perempuan saya.

Pengurus keselamatan di Club Med membantu adik saya menghubungi polis dan adik ipar saya curi-curi keluar untuk membuat laporan polis.

Pada masa itu, saya buat carian nama sebenar David. Antara yang paling awal muncul adalah satu hantaran panjang di forum Low Yat tentangnya, tentang semua wanita yang pernah dia tipu. Saya bahkan pernah membaca hantaran itu sebelum ini!

Polis memeriksa nombor ICnya dan mendapati ada beberapa penyiasatan yang sedang berjalan ke atasnya. Mereka minta kami membawanya ke balai polis. Untuk melakukannya, kami harus membuat rancangan rapi.

Rancangan rahsia

Situasi telah berubah. Kalau sebelum ini hanya dia sahaja yang bercakap dan memberitahu itu dan ini, kali ini biar saya pula memainkan peranan itu.

Tempahan di Club Med dibuat atas nama adik saya, jadi dia yang menguruskan kenderaan untuk balik ke KL.

Kami memberitahunya masa bertolak, dan sementara itu kami sudah buat aturan dengan Club Med untuk berhenti di balai polis. Kami juga maklumkan kepada polis jam berapa kami akan tiba.

Dia terkejut ketika kami sampai di balai. Emak beritahu yang kami berhenti di situ supaya dia boleh buat laporan berhubung ICnya yang hilang. Tetapi, saya rasa, dia sendiri sedar ketika itu yang masanya sudah sampai.

Dia keluar dari van dan seorang anggota polis bertanya kepadanya: “Eric Lee*?” Dia mengangguk dan mengesahkannya. Dia tidak melawan ketika mereka menahannya. Mereka bertanya namanya sekali lagi, dia menjawab: “Eric Lee*” dan nyatakan nombor ICnya yang sebenar kepada polis.

Saya keluarkan begnya dari van dan letak di depannya. Saya mula menangis. “Sampai hati buat begini kepada saya? Awak pun tahu betapa kuat saya bekerja.” Dia sekadar meminta maaf.

Polis menggari tangannya dan membawanya masuk ke balai. Sebelum dia pergi, dia berpaling kepada saya dan berkata: “Jaga kucing-kucing dengan baik, dan beritahu emak dan adik awak yang saya minta maaf.” Mereka meletakkannya di bawah tahanan reman.

Harapan yang berkecai

Seorang pegawai penyiasat di KL ditugaskan untuk kes saya. Hanya setelah beberapa hari kemudian, barulah dia hubungi saya. Dia seperti tidak yakin yang saya telah ditipu. “Tetapi kamu sendiri yang rela hati beri dia duit, kan?” soalnya kepada saya.

Dia turut meminta dokumen seperti akaun dan penyata bank, tetapi dalam hanya beberapa jam selepas menerima dokumen berkenaan, dia menghantar mesej kepada peguam saya memaklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Kemudiannya saya dapat tahu bahawa pegawai itu memperoleh rakaman CCTV ketika saya bersama David/Eric di bank, dan itu nampaknya menjadi bukti yang saya tidak dipaksa.

Secara rasminya, tiada alasan diberikan kenapa kes itu diklasifikasi sebagai NFA. Peguam saya membuat rayuan di Pejabat Peguam Negara dan semakan masih berjalan. Berang saya dibuatnya. Saya sendiri yang menghantarnya ke balai polis, namun dia kini bebas.

Beberapa minggu selepas trip Cherating itu, saya menerima satu mesej memaklumkan pesanan saya dari Shopee sudah sampai. Saya tiada memesan apa-apa. Pesanan itu adalah kotak berisi barangan makanan yang saya suka. David/Eric* tahu saya suka makanan itu.

Tidak dinyatakan pesanan itu adalah dari dia, tetapi saya yakin memang dia yang menghantarnya. Mungkin itu caranya menyatakan permohonan maaf, bahawa di sebalik segala penipuannya, mungkin dia memang ambil berat terhadap saya, bahawa ada bahagian dalam hubungan kami yang benar sifatnya, bukan semata-mata pura-pura.

Pada akhirnya, bagi saya ia bukan tentang wang.

Ia tentang bagaimana saya telah menaruh kepercayaan terhadapnya, dan harapan yang saya lihat dalam dirinya. Kami telah merancang untuk pulang ke tempat kami membesar, membina keluarga di sana. Harapan masa depan yang saya simpan bersamanya, punah. Itu yang paling sukar untuk saya harungi.

Adakah hidup saya kini lebih sesak? Ya. Tetapi adakah saya papa kedana? Tidak.

Duit boleh dicari semula.

Hal-hal yang lain itulah yang sebenarnya lebih sukar untuk dihadapi.

*Nota editor: Nama mangsa telah ditukar atas permintaan bagi menghormati privasi mereka, serta bagi mengelakkan stigma terhadap mereka. Nama David/Eric juga ditukar sementara menunggu pendakwaan dibuat ke atasnya.

Jika anda rasa telah menjadi mangsa penipuan, hubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 untuk mendapatkan bantuan.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 26 Februari 2024.

Penyelaras projek
Ooi Choon Nam & Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Aidila Razak & Dania Kamal Aryf
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam, Nor Natasya Syahirah, Aidila Razak & Syariman Badrulzaman
Penulis skrip
Dania Kamal Aryf, Ooi Choon Nam, Aidila Razak & Wong Kang Jia
Ilustrasi
Amin Landak
Penterjemah
Rusnizam Mahat & M Fakhrull Halim
Penyunting berita
Al Abror Mohd Yusof & Aedi Asri
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.