backgroundImg

Muslihat minda: Bagaimana penipu manipulasi fitrah manusia untuk perangkap mangsa

Aidila Razak dan Dania Kamal Aryf26 Februari 2024

Mengenali tanda-tanda manipulasi psikologi dapat membantu individu untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Alex* sedang bermesyuarat di pejabat, justeru dia tidak dapat menjawab panggilan bertalu-talu dari ibunya. Apabila dia menelefon semula, dia dapat merasakan yang ibunya sedang panik.

Ibunya memberitahu yang dia baru sahaja membayar wang tebusan sebanyak RM20,000 sebagai syarat untuk Alex dilepaskan daripada tahanan polis.

“Kebimbangan pada suara ibu ketika saya menelefonnya, masih saya ingat dengan jelas sampai hari ini,” kata Alex.

Kurang dari tiga jam sebelum Alex bercakap dengan ibunya, wanita itu menerima satu panggilan telefon dari individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis. Mereka memaklumkan yang Alex ditahan kerana memiliki dadah.

Untuk membolehkan dia bebas dari pertuduhan jenayah dan tidak diapa-apakan ketika dalam tahanan, mereka meminta rasuah sebanyak RM50,000.

Semasa panggilan itu, ibu Alex diperdengarkan dengan suara seorang yang berulang kali meminta tolong. Ia kedengaran seperti suara Alex.

Takut akan keselamatan anaknya, dia bersetuju untuk memindahkan semua wang yang ada.

Ibu Alex bergegas ke cawangan bank terdekat untuk membuat transaksi. Dia memaklumkan kepada pegawai bank bahawa wang itu untuk ubah suai rumahnya. Dia mengeluarkan RM20,000 - keseluruhan wang simpanannya.

Apabila Alex menelefonnya semula, barulah dia berasa lega setelah mendapati anak lelakinya selamat di pejabat. Namun rasa lega itu akhirnya bertukar perit, kerana dia telah menjadi mangsa penipuan.

“Bila dia telefon saya, dia sudah dapat rasa yang dia mungkin telah ditipu kerana ‘pegawai polis’ yang menelefonnya sebelum itu tidak lagi memberi respons sejurus selepas dia pindahkan wang,” kata Alex.

Ibunya yang masih terkesan menolak untuk bercakap berkenaan kejadian itu.

Berbilion ringgit lesap dalam scam

Pada tahun sama ibu Alex kehilangan wang simpanannya, lebih 26,000 individu di Malaysia turut ditimpa nasib yang sama.

Pada tahun tersebut, sejumlah RM700.2 juta lesap akibat sindiket penipuan, termasuk RM199.4 juta menerusi penipuan telefon seperti yang dialami ibu Alex. Trend ini tidak menunjukkan penurunan.

Pada 2023 sahaja, kira-kira 300,000 kes penipuan dalam talian berlaku melibatkan kehilangan sekurang-kurangnya RM1.3 bilion.

Sementara kelompongan dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan dan teknologi terus memberi kelebihan kepada penipu, kegiatan itu juga terus berleluasa antaranya kerana keupayaan penipu untuk memanipulasi fitrah manusia, kata pakar kriminologi Akbar Satar.

“Tiada siapa yang kebal dari penipuan dalam talian dan telefon.”

Pakar psikologi turut setuju dengan pendapat itu.

Misalnya contoh yang diberikan oleh pakar psikologi AS Daniel Simons dan Christopher Chabris, yang mengkaji tentang naluri manusia dan tabiat kognitif dan bagaimana ia menjadikan manusia mudah terdedah kepada penipuan.

“Mereka (penonton) hanya bergantung pada bukti yang masih ada dalam fikiran mereka, maka hampir pasti tidak akan memikirkan tentang kad-kad yang lain,” kata pakar psikologi itu dalam buku tulisan mereka, Nobody's Fool: Why We Get Taken In and What We Can Do About It.

Sekarang, fikirkan tentang ini.Untuk menjalani hidup secara normal, kita sememangnya cenderung untuk percaya yang semuanya benar dan selamat. Menurut Simons dan Chabris, fitrah kita adalah untuk mempercayai.

“Kencenderungan ini membuatkan kita percaya bahawa apa yang kita lihat sekurang-kurangnya adalah anggaran paling tepat tentang realiti, dan bahawa kita bukannya sedang diperdaya,” tulis mereka.

Ironinya, apabila digabungkan, kencenderungan ini dan perhatian selektif boleh digunakan untuk memperdayakan kita dengan berkesan. Ia antara muslihat yang digunakan penipu bagi memanipulasi individu yang lazimnya berfikiran rasional, untuk menyerahkan sejumlah besar wang mereka.

Bolehkah anda terlepas dari scam dalam talian?
icon

Reaksi lawan atau lari

Menurut pakar psikologi Alvin Tan, taktik yang paling banyak digunakan adalah untuk mencipta situasi tegang atau tertekan (distress) untuk mencetuskan tindak balas “lawan atau lari”.

“(Dalam laporan berita berkenaan insiden penipuan), anda boleh baca komen yang bertanya kenapa mangsa tidak buat begini atau begitu. Kerana langkah penyelesaian untuk mengelak dari ditipu lazimnya terang dan jelas.

“Tetapi apabila kita dalam keadaan panik, terkejut atau takut, kita tidak dapat buat keputusan dengan rasional,” kata Tan.

Tan berkata, kecenderungan ini adalah sangat normal sehinggakan ia selalu menjadi tumpuan pakar psikologi dalam sesi terapi bersama pesakit.

“Perkara pertama yang kami mahu bimbing pesakit kami adalah … bagaimana untuk menangani situasi tegang atau tertekan apabila ia berlaku.

“Kami menjalankan terapi dengan mereka untuk tangani apa yang kami sebut sebagai peristiwa pengaktifan (activating events). Begitu juga dengan situasi yang penuh ketegangan bersama penipu,” kata pengarah People Psychological Solutions, sebuah pusat psikologi di Kuala Lumpur.

“Penyelesaian paling cepat adalah untuk keluar dari peristiwa atau kejadian tersebut, kerana dengan itu, reaksi ‘lawan atau lari’ akan kurang aktif dan kita mula melaras semula emosi kita dan mampu berfikir secara lebih baik dan rasional.”

Memecahkan kebuntuan mental

Menurutnya, satu penyelesaian mudah untuk memecahkan kebuntuan mental itu adalah dengan berehat seketika.

“Rehat dalam lima atau 10 minit, tarik nafas dan telefon pihak berkuasa yang berkaitan. Jika orang itu menelefon dari bank, maka kita telefon bank untuk buat pengesahan. Lima ke 10 minit itu boleh mengubah nasib anda,” kata Tan.

pakar psikologi Alvin Tan
pakar psikologi Alvin Tan

Bagi dirinya, satu panggilan telefon dari rakan berjaya memecahkan kebuntuan mental yang dialami.

Ryan adalah seorang profesional muda dan antara ribuan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa “penipuan pekerjaan” (job scam).

Sejak 2021, sejumlah RM302 juta wang lesap ditipu penipuan pekerjaan yang banyak menyasarkan golongan yang terdesak untuk mencari kerja, dengan menawarkan “kerja sambilan”.

Ryan hilang kerja ketika kemuncak wabak Covid-19. Tiada jalan lain untuk meraih pendapatan, Ryan akhirnya membuat carian tentang “kerja sambilan” di Google, dan menemukan satu laman web yang menawarkan kerja sambilan yang menarik.

Dia dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp, di mana pencari kerja lain sepertinya dibayar dengan komisen yang cukup memikat setiap kali mereka menyiapkan tugasan.

“Komisennya memang memikat,” kata Ryan, meskipun tugasan sebenar yang harus dilakukan adalah tidak jelas.

Dia tidak berinteraksi di dalam kumpulan itu. Dia mengambil masa dua minggu untuk memutuskan yang kumpulan itu tampak cukup meyakinkan. Dia sudah termakan umpan.

Tugasannya memerlukan Ryan untuk membuat “bayaran” terhadap barang yang diiklankan di Shopee. Dia tidak membelinya secara terus dari platform itu, sebaliknya perlu memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan. Sebagai balasan, dia akan menerima komisen.

“Untuk tiga kali yang pertama, saya dapat semula wang saya. Saya jadi teruja. Saya fikir, ‘saya boleh buat kerja ini untuk tampung keperluan hidup’. Saya termakan umpan. Selepas itu, harga ‘barang’ (yang perlu dibayar) jadi semakin mahal,” katanya.

Bukan sahaja harga semakin mahal, bahkan tugasan juga menjadi lebih rumit dan masa yang diberikan untuk membuat tugasan juga semakin singkat, sehingga dia gagal untuk menyelesaikannya.

Setiap kali, Ryan mencuba tugasan seterusnya dalam usaha untuk menebus semula wang yang telah dibayar sebelumnya. Dalam masa tak sampai lima jam, dia rugi RM18,000.

Mujurlah Ryan menerima panggilan dari seorang rakannya. Dia menceritakan apa yang berlaku dan rakannya itu segera mengetahui yang Ryan sedang ditipu.

“Remuk hati saya. Saya rasakan dunia jadi gelap. ‘Apa yang telah saya lakukan?’,” kata Ryan.

Langkah demi langkah

Selain rasa takut dan panik, Ryan turut dimanipulasi menerusi satu lagi taktik yang sering digunakan penipu, menurut Relate Malaysia, sebuah pertubuhan yang bermatlamat meningkatkan kesedaran mental.

Seperti tindak balas ‘lawan atau lari’, pakar berpendapat taktik-taktik ini juga merupakan bentuk manipulasi terhadap kecenderungan manusia.

“Penipu sering memanipulasi emosi dan keinginan kita, seperti keinginan terhadap harta kekayaan, ketakutan terhadap akibat, atau keperluan untuk menjalin hubungan.

“(Penipu) menjanjikan keuntungan kewangan, memperalatkan perasaan ‘takut ketinggalan’ (fear of missing out) atau mencipta tekanan masa bagi menarik orang untuk akur pada permintaan mereka,” kata Relate Malaysia.

Kesedaran saja tidak cukup

Mengajar orang ramai tentang tanda-tanda penipuan serta bagaimana untuk keluar daripadanya boleh mengurangkan kekerapan kes penipuan, kata pakar kriminologi Akhbar Satar.

Namun setelah berpuluh tahun membuat kajian tentang penjenayah serta modus operandi mereka, Akhbar percaya yang, langkah meningkatkan kesedaran hanyalah sebahagian daripada jalan penyelesaian.

Banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menampung kelompongan yang selalu dimanfaatkan penipu.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, industri perbankan dan telekomunikasi, serta agensi penguatkuasaan undang-undang telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk memerangi penipuan.

Ini termasuklah menyiarkan nombor akaun bank yang disyaki digunakan penipu untuk penipuan yang dijalankan, menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan menjalankan program kesedaran di seluruh negara.

Banyak bank yang tidak lagi menggunakan sistem SMS TAC untuk pengesahan transaksi dalam talian dan menambah lebih “geseran” dalam transaksi bagi mencegah penipuan.

“Tetapi penipu-penipu ini sentiasa dua langkah di hadapan,” kata Akhbar. ‘

Pakar kriminologi Akhbar Satar
Pakar kriminologi Akhbar Satar

Sebagai contoh, Akbar berkata ketika kerajaan mengumumkan penubuhan NSRC, para penipu mula menyamar sebagai operator dari pusat itu bagi memperdayakan mangsa yang kononnya mereka telah ditipu.

Kebocoran data turut memberikan kelebihan kepada penipu. Dalam banyak kes hari ini, mereka menghubungi mangsa dan memberikan maklumat pengesahan seperti alamat, maklumat akaun bank serta nombor IC. Ia memberi gambaran bahawa mereka boleh dipercayai.

“Kita perlu melatih lebih ramai pakar dalam bidang ini dalam kalangan penguat kuasa undang-undang dan melantik lebih ramai penggodam beretika, yang dapat membantu agensi dalam menghalang, memintas, menjejak dan mengesan sindiket penipuan,” katanya.

Sukar mendapatkan sumber penting

Tambahan pula, sumber-sumber utama yang sepatutnya boleh membantu orang awam daripada ditipu, tidak sampai kepada khalayak.

Apabila Marissa* mula musykil terhadap syarikat perdagangan mata wang kripto yang disertainya untuk pelaburan digital, dia mula membuat carian di internet untuk memeriksa apakah syarikat itu sah atau tidak.

Namun, hanya selepas berhari-hari mencari, barulah dia menemukan maklumat tentang laman Semak Mule oleh polis. Di situ, dia mendapati akaun bank yang telah dia masukkan wang sebelum ini rupa-rupanya sudah tiga kali dilaporkan kepada pihak polis dan berkemungkinan adalah akaun keldai.

Dia menemukan maklumat tentang Semak Mule pun melalui artikel berita lama, berkenaan sidang media seorang ahli parlimen beberapa tahun lalu. Itupun Semak Mule hanya disebut di hujung artikel.

“Ia terbenam jauh dalam carian Google. Saya kena betul-betul cari, barulah jumpa,” katanya.

Hanya selepas itu, akhirnya dia - dengan bantuan beberapa rakan - mendapati laman web tempat dia membuat pelaburan itu diwujudkan hanya beberapa hari sebelum dia membuat transaksi pertama.

Lebih teruk, dia mendapati akaun bank yang menerima transaksinya dahulu masih lagi menerima transaksi seperti biasa, meskipun sudah ada tiga laporan polis dibuat.Setakat Januari, 11 laporan dibuat atas akaun bank tersebut. Pada masa yang sama laman web itu masih beroperasi. Tetapi pada waktu siaran, lebih kurang empat bulan setelah Marissa ditipu, kedua-dua laman web dan akaun bank tersebut telah digantung operasi.

Malaysiakini sudah menghubungi Maybank bagi mendapatkan maklum balas mereka.

Kejar-mengejar tak berkesudahan

Dalam satu sesi perbincangan tentang penipuan kewangan di Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu, agensi penguatkuasaan menyenaraikan pelbagai sebab mengapa penipuan seumpama itu sukar untuk dibawa ke mahkamah, dan mengapa penipu jarang ditahan.

Jawapannya terletak pada kerumitan dalam kebanyakan kaedah penipuan, menurut timbalan pendakwa raya yang juga timbalan pengarah Pusat Pencegahan Anti-Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Kamarul Baharin Omar.

“Apabila NSRC terima aduan dari mangsa, perkara pertama yang mereka lakukan adalah bekukan akaun bank yang terlibat dan sekat nombor telefon,” katanya.

Tetapi, katanya lagi, hatta dua tindakan itu pun tidak boleh dilakukan dengan segera.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang memiliki kuasa untuk menggantung akaun perkhidmatan telekomunikasi, terlebih dulu memerlukan bukti sesuatu nombor itu memang digunakan untuk menipu bagi mengelak menggantung akaun yang salah.

Untuk akaun bank pula, “lapisan” transaksi oleh penipu – dengan wang dipindahkan ke pelbagai bank untuk menutup jejak wang – turut menyukarkan institusi kewangan untuk bertindak pantas.

“Dan apabila wang hasil penipuan bercampur dengan wang-wang lain dalam satu akaun, bagaimana untuk membezakan kedua-duanya?”

Timbalan Pengarah SKMM Wahidatul 'Abdah Aminul Rashid menambah bahawa penipu turut menggunakan “akaun keldai” – akaun yang disewakan dari pihak ketiga – menjadikanya lebih sukar untuk mendakwa penjenayah.

Menurutnya, undang-undang juga haruslah berkembang selaras kemajuan teknologi.

Sesetengah penipu menggunakan spoofing technology, atau teknologi perdayaan, di mana nombor telefon disembunyikan menggunakan aplikasi yang mudah ditemukan di internet.

Menerusi teknologi ini, ID pemanggil menunjukkan dia seolah-olah seseorang yang dikenali oleh mangsa.

“Jadi saya boleh gunakan ini untuk hubungi seseorang dan minta duit daripadanya. Teknologi ini haram tetapi ia tidak terikat dengan undang-undang kita (kerana aplikasi itu dicipta di luar negara),” katanya lagi.

Kecewa dengan pelbagai cabaran dalam kitaran kejar-mengejar yang tidak berkesudahan dengan sindiket penipuan ini, pihak berkuasa meminta rakyat untuk mengambil lebih tanggungjawab.

Pada akhirnya, kata Wahidatul 'Abda, pertahanan yang terbaik terhadap penipuan telefon dan dalam talian adalah rakyat sendiri.

Tak ada gunanya kalau kita ada banyak peraturan dan penguatkuasaan, tetapi akhirnya orang yang klik (pada pautan) adalah pengguna sendiri. Orang yang muat turun perisian hasad (malware) adalah pengguna … jadi pengguna peru memainkan peranan mereka.
Wahidatul 'Abdah Aminul Rashid
Wahidatul 'Abdah Aminul Rashid
Timbalan Pengarah SKMM

‘Saya bawa dia ke balai polis, tetapi kini dia bebas’

Tetapi dalam sesetengah kes, keengganan pihak berkuasa untuk membuat pendakwaan membingungkan mangsa.

Setelah berbulan-bulan terjebak dalam penipuan cinta membabitkan seorang lelaki yang dikenalinya di alam maya, Sarah berjaya membongkar identiti sebenar lelaki itu, bahkan dia sendiri yang membawanya ke balai polis.

Melihat lelaki itu berlalu pergi dengan tangan bergari, usahawan berusia pertengahan tiga puluhan itu patah hati kerana telah terjebak menjadi mangsa penipuan. Pada masa sama dia lega kerana penipu itu – yang telah menipu ramai wanita lain menggunakan nama berbeza – akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun rasa leganya sebentar cuma. Tidak lama selepas itu, dia dapat tahu kes tersebut tidak akan diteruskan dengan pendakwaan dan lelaki itu akhirnya bebas begitu sahaja.

Bahkan semasa penyiasatan yang hanya berjalan selama beberapa hari itu, pegawai penyiasat telah membayangkan ‘tiada kes’, memandangkan Sarah sendiri memberikan wang kepada penipu itu secara “rela hati”.

Sejak itu, peguam Sarah telah memfailkan rayuan di Pejabat Peguam Negara (AGC), dan menyenaraikan sejumlah dakwaan yang boleh difailkan ke atas penipu itu, termasuklah untuk kesalahan menipu.

“(Pegawai penyiasat)eminta dokumen seperti akaun dan penyata bank, tetapi dalam hanya beberapa jam selepas terima dokumen berkenaan, dia hantar mesej kepada peguam saya dan maklumkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Saya dapat tahu kemudiannya yang pegawai itu dapat rakaman CCTV ketika saya di bank (bersama penipu itu), dan itu nampaknya menjadi bukti yang saya tidak dipaksa.

“Berang saya dibuatnya. Saya sendiri yang bawa dia ke balai polis, namun dia kini bebas.”

Tiada penyelesaian

Seperti Sarah, ibu Alex juga masih terganggu dek pengalaman pahitnya dengan sindiket Penipuan Macau, meskipun sudah bertahun-tahun ia berlalu.

Sebaik sahaja dapat tahu yang ibunya kehilangan wang simpanan gara-gara ditipu, pihak keluarga membuat laporan polis, lengkap dengan maklumat nombor telefon penipu, akaun bank, dan nama pemegang akaun.

Namun, pada saat mereka memaklumkan kepada bank tentang apa yang berlaku, sudah terlambat untuk menghentikan transaksi berkenaan. Wang berjaya dipindah dalam masa kurang lima minit.

Meskipun sudah beberapa tahun berlalu sejak insiden berkenaan, ada kala Alex dan keluarganya masih terfikir, apakah polis boleh melakukan lebih lagi untuk menjejak penjenayah-penjenayah ini dengan lebih berkesan agar mereka dapat dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.

“Saya buat laporan polis bagi pihak ibu hanya beberapa jam selepas ia terjadi, dan saya ada semua maklumat yang mereka perlukan.

“Jadi adakah benar memang ada kekangan dari pihak polis, atau insiden sedemikian sudah terlalu kerap berlaku sehingga mereka tidak mampu berbuat apa-apa mengenainya?” soalnya.

Ia memburukkan lagi kesengsaraan emosi yang ditanggung mereka.

“Kami tidak akan dapat menutup episod ini,” kata Alex.

“Ia bukan tentang duit, tetapi pengalaman penuh trauma yang ibu harus lalui. Ia tentang dirinya yang berasa lemah ketika itu, dan betapa bodohnya dia rasa selepas ia berlaku.

“Ia bukan hanya tentang RM20,000. Trauma selepas kejadian yang dideritai mangsa adalah jauh lebih besar berbanding kerugian wang ringgit. Kita tidak cukup memperkatakan tentang hal ini,” katanya lagi.

*Nota editor: Nama mangsa telah ditukar atas permintaan mereka bagi menghormati privasi.

Sumber

Periksa dahulu sebelum buat pelaburan:

- Daftar Suruhanjaya Sekuriti untuk syarikat pertukaran aset digital yang sah

- Senarai Bank Negara untuk syarikat pelaburan dan laman web yang tidak berdaftar

(Ini bukan senarai lengkap entiti yang tidak berdaftar)

- Senarai Bank Negara untuk platform dagangan yang berdaftar

- Senarai Bank Negara berkenaan peserta sektor kewangan yang berdaftar

Anda juga boleh periksa laman web berikut:

- Pangkalan data penipuan WebParanoid, untuk laman web yang berisiko berbahaya

- Periksa bila sesuatu laman web diwujudkan

(Selalunya, laman penipuan adalah laman web baru yang baru diwujudkan, tetapi tidak semua begitu)

Sebelum buat sebarang pindahan wang:

- Periksa nombor akaun penerima di laman web Semak Mule oleh PDRM

- Jika pemilik akaun adalah syarikat, cari maklumat perniagaan di pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

(Selalunya, syarikat yang ada kaitan dengan akaun penipuan adalah syarikat yang baru ditubuhkan, tetapi tidak semua begitu)

Sumber-sumber lain

- Jika anda dihubungi oleh individu yang mengaku dari bank, tamatkan panggilan dan hubungi sendiri bank anda menerusi talian hotline 24 jam untuk membuat pengesahan.

- Buat perkara sama untuk perkhidmatan dan agensi lain, misalnya apabila anda dihubungi individu yang mengaku dari syarikat penghantaran barang atau polis.

Dapatkan nombor telefon balai polis berdekatan anda di sini.

- Belajar di sini tentang bagaimana untuk menyekat dan melaporkan nombor telefon yang mencurigakan di WhatsApp.

- Laporkan di sini tentang penipuan menerusi Telegram, atau jika seseorang menyamar sebagai diri anda di Telegram.

- Jika anda rasa telah ditipu, hubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan di talian 997 (dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari)

- Belajar tentang pelbagai jenis penipuan lain di sini.

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 26 Februari 2024.

Penyelaras projek
Ooi Choon Nam & Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Aidila Razak & Dania Kamal Aryf
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam, Nor Natasya Syahirah, Aidila Razak & Syariman Badrulzaman
Penulis skrip
Dania Kamal Aryf, Ooi Choon Nam, Aidila Razak & Wong Kang Jia
Ilustrasi
Amin Landak
Penterjemah
Rusnizam Mahat & M Fakhrull Halim
Penyunting berita
Al Abror Mohd Yusof & Aedi Asri
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.