Bersendirian dan terdesak tanpa kerja ketika PKP, saya jadi sasaran mudah penipu
Ryan, profesional muda
- Mangsa penipuan kerja
Menganggur di tengah penularan wabak, Ryan terdesak untuk menampung keperluan hidup.
Dia ditawarkan kerja sambilan yang tampak meyakinkani. Selepas dua minggu memerhati, dia buat keputusan untuk mencuba. Namun, dalam masa lima jam sahaja, dia kehilangan RM18,000 dek ‘majikannya’. Ini kisah Ryan seperti yang diceritakan kepada AIDILA RAZAK.
Waktu itu kemuncak wabak Covid-19. Saya bekerja sebagai ejen insurans.
Sebenarnya, saya hanya mula menjadi ejen insurans ketika wabak. Sebelum itu saya perunding perniagaan di sebuah syarikat yang memberi khidmat perundingan kepada rangkaian kedai runcit.
Semasa wabak melanda, syarikat itu mula menghentikan pekerja, manakala pekerja yang kekal diminta bekerja lebih lama.
Saya menjaga pelanggan di seluruh Malaysia. Sebelum Covid-19, selalunya kami akan pergi ke lokasi pelanggan.
Namun ekoran sekatan perjalanan, kami terpaksa membuat segalanya dari jauh secara dalam talian. Rundingan memakan lebih banyak masa. Ia merupakan situasi yang penuh tekanan. Meskipun sedar akan akibatnya, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Mencari kerja baru bukan mudah. Jadi saya mula menjual insurans. Saya terdesak. Keperluan harian masih tetap perlu dilunaskan. Di Kuala Lumpur semuanya mahal. Saya pula bersendirian, jauh dari keluarga. Jadi saya buatlah apa saja untuk teruskan hidup.
Tetapi menjadi ejen insurans bukan mudah kerana ia bergantung kepada komisen. Tambahan pula, saya tak boleh keluar berjumpa orang untuk berkenalan mahupun membina hubungan. Jadi saya terperangkap, dan keadaan semakin memburuk.
Pada masa itu, semua rakan saya bercakap mengenai pelaburan dan pendapatan pasif. Ia bermain di fikiran saya, sehingga saya membuat carian Google berkenaan “kerja sambilan”.
Komisen yang menggiurkan
Saya klik pada satu laman web yang muncul dalam tiga carian teratas. Nampak macam boleh dipercayai. Dari situ, ada satu pautan untuk menghubungi seorang individu menerusi WhatsApp. Individu berkenaan masukkan saya ke dalam satu kumpulan WhatsApp, yang kononnya digunakan untuk pekerja sambilan membuat kerja berkenaan.
Ada sejumlah orang dalam kumpulan tersebut, dari pelbagai latar belakang dan etnik. Mereka akan menghantar tangkap layar dan memaklumkan yang mereka telah menyelesaikan ‘tugas’ yang diberikan. Saya tidak terus berinteraksi, cuma duduk diam-diam menjadi pemerhati untuk beberapa minggu. Sepanjang tempoh itu, saya tidak dipanggil atau disebut oleh mana-mana orang pun dalam kumpulan itu.
Saya tidak berapa jelas sangat tentang kerja berkenaan, tetapi setiap kali penyelia membalas laporan yang dihantar dan memberikan “komisen”, mereka akan menghantar resit wang yang masuk ke akaun. Jumlah “komisen” itu agak menggiurkan.
Saya cuba buat carian lanjut di internet mengenai syarikat tersebut, tetapi saya hanya jumpa profil ringkas di laman mencari kerja dan satu alamat syarikat yang bertempat di Bangsar. Tiada maklumat tentang perniagaan yang dijalankan atau tentang kerja sambilan berkenaan.
Jadi, selepas beberapa minggu menjadi pemerhati diam di dalam kumpulan Whatsapp itu, saya pun menghantar pesanan kepada “penyelia”.
Saya diberitahu yang saya hanya perlu memindahkan sejumlah wang ke satu akaun bank dan dalam tempoh kurang 10 minit, wang itu akan dikembalikan kepada saya bersama komisennya sekali.
Dia berikan saya satu pautan, iaitu pautan Shopee bagi sebuah lampu meja berharga RM20. Pengurus itu memberitahu yang saya perlu memasukkan wang sebanyak itu ke dalam satu akaun bank, dan dalam 10 minit sahaja, saya menerima semula wang tersebut dengan 10 peratus komisen.
Untuk tiga kali yang pertama, saya mendapat semula wang saya. Saya jadi teruja. Saya fikir, ‘saya boleh buat kerja ini untuk tampung keperluan hidup.’ Saya termakan umpan. Selepas itu, harga ‘barang’ yang diberikan menjadi semakin mahal.
Tugas tersembunyi
Untuk tugasan seterusnya, pautan untuk tugasan sangat panjang berbanding sebelumnya. Arahannya juga panjang. Memandangkan saya dah pernah melakukan tugas itu beberapa kali, saya tidak membaca pun keseluruhan arahan. Saya terus pergi ke pautan itu dan buat seperti sebelumnya.
Kali ini saya harus pindahkan wang RM88, tetapi selepas itu, komisen tidak diterima. Penyelia ghantar mesej memberitahu yang saya tidak menyelesaikan tugasan. Saya terkejut. “Kenapa begitu? Saya buat sama macam sebelum ini.”
Penyelia suruh saya membaca semula mesej terdahulu. Rupa-rupanya kali ini saya harus buat pindahan ke dua akaun berbeza, atau dalam kata lain, buat transaksi RM88 sebanyak dua kali.
Tak ada masalah. Saya cuma perlu lakukan transaksi kedua. Tetapi setelah saya pindahkan wang dan hantar resit, komisen masih tidak diterima.
Rupa-rupanya, saya terlepas pandang bahagian yang menyatakan keseluruhan tugasan mesti diselesaikan dalam tempoh 10 minit dan “tetingkap telah ditutup”. Jadi mereka tak boleh pulangkan wang atau komisen kepada saya. Saya mula cemas.
Penyelia cuba tenangkan saya. Katanya, “jangan risau, saya boleh bagi tugasan lain serta-merta supaya kamu boleh dapat duit kamu semula.” Untuk mendapatkan semula wang yang sudah lesap, komisennya harus lebih tinggi, jadi jumlah wang yang saya harus bayar juga lebih besar.
Dia hantar satu lagi mesej dengan arahan yang panjang dan saya cuba sehabis baik untuk menyelesaikan tugasan – kali ini perlu buat pindahan wang sebanyak RM200. Jadi saya buat perkara sama, dan hantar RM200, masing-masing kepada dua akaun berbeza. Tetapi apabila saya berikan resit, saya diberitahu yang saya masih tidak selesaikan tugasan.
Kenapa begitu? Saya sudah buat betul-betul seperti yang diperlukan. Tetapi, tidak sama sekali. Rupa-rupanya, kali ini saya harus masukkan duit ke tiga bank akaun berbeza.
“Kenapa tak baca arahan betul-betul?”
Bila diimbas kembali, saya boleh katakan yang saya telah diperdaya. Mereka berulang kali kata ‘kenapa tak baca arahan betul-betul? Semua dah ada dalam arahan’ untuk menampakkan yang semuanya seperti salah saya.
Arahannya tidak jelas. Mereka gunakan ayat-ayat rumit, istilah-istilah jargon dan perkataan yang kita tidak gunakan dalam perbualan seharian.
Bahasa Inggeris bukan bahasa pertama saya. Walaupun fasih bertutur bahasa itu, saya masih perlu cari beberapa perkataan yang digunakan untuk betul-betul faham arahan yang diberikan. Ditambah dengan had masa untuk selesaikan tugasan, semakin tertekanlah jadinya.
Saya tidak mahu buat satu lagi kesilapan, jadi saya baca arahan seterusnya betul-betul. Namun ia memakan masa dan saya tidak dapat selesaikan tugasan dalam tempoh masa yang diberi. Penyelia kemudian akan kata, “Tak apa, kami akan pulangkan wang anda, tetapi anda kenalah buat dulu tugasan seterusnya.”
Bolehkah anda terlepas dari penipuan pekerjaan (job scam)?
Saya sedar sekarang yang mereka cuba untuk buat saya rasa semakin terdesak. Mereka mahu permainkan perasaan dan pertimbangan saya supaya saya tidak boleh lagi berfikir dengan waras. Saya rasa semakin terdesak untuk dapatkan semula wang yang telah saya pindahkan secepat mungkin.
Tugasan seterusnya berjumlah RM600 – pautan Shopee untuk sejenis perabot. Perkara sama terjadi lagi. Simpanan saya makin susut. Saya cemas dan jadi teragak-agak untuk klik pada pautan tugasan, dan itu semakin melambatkan saya.
Ada ketikanya, saya tak boleh klik pun pautan. Alasan yang diberikan pengurus,”oh, sistem IT tergendala. Kami dah cuba hantar (tugasan) dan sepatutnya boleh dibuka menerusi tetingkap yang keluar, tapi ada masalah. Kami sedang cuba bantu anda, kami akan hantar tugasan lain untuk disiapkan.”
Dia sentiasa menampakkan yang dia seolah-olah mahu tolong anda, yang anda tak perlu risau apa-apa. Dia cuba yakinkan anda yang dia bukan nak menipu, bahkan sedang membantu anda supaya anda dapat semula wang berserta komisen.
Pinjam duit keluarga dan kawan
Dia tak pernah ancam saya. Dia cuma pujuk saya dengan lembut, setiap kali. Dia nampak seperti penyelia yang mengambil berat dan sedang bantu anda menyiapkan kerja.
Setakat itu, saya sudah dapat kembali wang saya sebanyak tiga kali, tetapi saya juga tidak dapat selesaikan tugasan tiga kali. Saya juga gagal untuk dua tugasan yang seterusnya. Saya begitu terdesak, sehingga akhirnya saya pinjam RM4,000 dari seorang kawan dan RM5,000 lagi dari ayah saya.
Saya cuma fikir nak buat betul-betul kali ini supaya dapat semula wang saya. Saya betul-betul yakin saya mampu lakukannya. Ternyata, saya silap.
Ketika ini, ada seorang hubungi saya dan dakwa dari bahagian sumber manusia syarikat berkenaan, dan kata mereka faham masalah yang sedang saya hadapi dan akan bantu saya selesaikan sebarang isu. Kedengarannya sangat meyakinkan.
“Kami sedang cuba bantu anda, jadi boleh tak anda siapkan tugasan ini secepat mungkin supaya kami dapat selesaikan masalah ini secepat mungkin?” Begitulah katanya.
Tempoh masa untuk menyelesaikan tugasan menjadi semakin pendek.
Ia membuatkan saya sangat terdesak sehingga tak dapat berfikir. Apa yang bermain di fikiran cuma: “Aku harus buat sekarang atau aku takkan dapat wang aku balik”.
RM18,000 dalam masa empat jam
Sebenarnya, sebelum saya mula buat kerja sambilan itu, saya telah cuba hubungi seorang kenalan. Dia lebih tua dari saya, lebih berpengalaman dalam dunia perniagaan. Saya boleh katakan dia sudah banyak makan garam dan boleh berikan nasihat yang bagus.
Saya mahu tanya pandangan dia terlebih dulu berkenaan kerja sambilan ini, tetapi dia tidak angkat telefon. Rupa-rupanya dia sedang tidur pada waktu itu. Secara kebetulan, semasa saya semakin terdesak, dia balas panggilan saya.
Saya beritahu dia apa yang berlaku. Dia terus kata: “Berhenti sekarang! Kamu sedang kena scam!”
Remuk hati saya. Saya rasakan dunia menjadi gelap. “Apa yang aku dah buat ni?”
Dia terus datang ke rumah dan gunakan telefon saya untuk berkomunikasi dengan semua orang dalam kumpulan WhatsApp tersebut, sekadar bertanya tentang kerja sambilan berkenaan. Tetapi tidak dijawab.
Jika ada yang menjawab pun, hanya dengan jawapan sama seperti sebelum ini.
Saya mula terfikir yang mungkin semua orang di dalam kumpulan itu terlibat dengan penipuan ini. Mungkin semua karakter di situ sebenarnya cuma seorang yang sama yang menggunakan banyak nombor. Saya mula sedar betapa teruknya situasi saya.
Apa yang gilanya, semua ini terjadi hanya dalam tempoh lima jam – dari jam satu tengah hari hingga lima petang. Dalam masa sesingkat itu saya semua wang simpanan saya yang tak seberapa ‘hangus’. Bukan itu sahaja, saya bahkan meminjam pula dengan rakan-rakan dan ibu bapa. Secara keseluruhan, saya rugi RM18,000.
Kesan emosi
Keesokan paginya, saya buat laporan polis.
Dalam perjalanan ke balai, penyelia hubungi saya dan tanya apakah saya masih mahu buat kerja itu. Saya balas: “Bagi balik duit saya.” Dia terus tawarkan saya tugasan lain tetapi saya tolak dan kemudian dia tidak lagi membalas mesej.
Yang menyeramkan saya, apabila tiba di balai polis, semua orang mula keluar dari kumpulan WhatsApp. Saya pun ditendang keluar juga. Seolah-olah mereka menjejak telefon saya sehingga tahu ke mana saya pergi dan apa yang saya hendak lakukan.
Selepas semua ini terjadi kepada saya, rakan-rakan dah keluarga mula hantar video tentang kesedaran penipuan dalam talian kepada saya. Sebelum itu, saya memang tidak tahu menahu mengenainya. Pada masa itu, ada laporan berita mengenai orang yang ditipu ketika mencari kerja dan diseludup ke Kemboja. Saya lega, sekurang-kurangnya kes saya tidak seteruk itu.
Saya juga bersyukur kepada Tuhan kerana menerima sokongan moral dan kewangan daripada ibu bapa. Saya beruntung kerana datang daripada keluarga kelas pertengahan, jadi ibu bapa dapat bantu saya kerana mereka ada wang simpanan. Duit itu sebenarnya untuk hari persaraan mereka, tetapi mereka tetap bantu saya untuk mengharungi tempoh sukar ini.
Teruk juga mereka marah saya. Tetapi ibu bapa saya mahu saya melihat kejadian ini sebagai pengajaran. “Kalau kamu selalu sangat rasa selesa, kamu tak akan berkembang,” pesan ibu. Tetapi itu bukanlah bermaksud yang semua orang perlu melalui penipuan sebegini seperti yang saya lalui. Sesiapa pun tidak patut ditipu.
Insiden ini memberi kesan mendalam kepada saya. Sebelum ini saya memang susah untuk percaya orang, dan kejadian ini hanya memburukkan keadaan. Sekarang, susah untuk saya berkawan dengan orang baru, terutama jika mereka terlibat dalam perniagaan.
Tetapi saya bertuah, beberapa lama selepas ditipu saya mendapat kerja baru dan itu memberikan saya matlamat hidup dan saya dapat membina semula keyakinan diri.
Ambil masa untuk fikir, nilai tahap emosi
Walaupun kerugian, saya bersyukur kerana berjaya keluar dari komplot penipuan ini dengan pengajaran yang terpahat kemas dalam ingatan.
Mengimbau balik pengalaman ini, saya terdesak dan tinggal sendirian semasa tempoh PKP, dan itu menjadikan saya sasaran utama penipu.
Sejak episod ditipu itu, saya dapat tahu ada seorang kawan saya yang turut menjadi mangsa komplot penipuan yang sama. Memang malang sebb saya sudah pun menceritakan apa yang berlaku kepada saya.
Dalam kes saya, saya mudah tertipu memandangkan saya terdesak untuk mencari wang pendapatan. Bagi kes kawan saya pula, dia nak dapat keuntungan pantas untuk pergi bercuti.
Jadi, selain modus operandi, satu lagi yang ingin saya kongsikan adalah penipu mempergunakan rasa terdesak dan cemas kita. Jadi dalam apa situasi sekalipun, cuba nilai tahap emosi kita.
Apabila anda dalam keadaan tegang, dan merasakan seseorang sedang memberi tekanan kepada anda untuk membuat keputusan, ketika itulah anda perlu mengambil masa untuk berfikir lebih lama.
Masa sentiasa ada untuk anda berfikir secara rasional dan semasak-masaknya. Dan mintalah sebanyak mungkin pandangan dan nasihat sebelum membuat keputusan.
*Nota editor: Nama mangsa telah ditukar atas permintaan bagi menghormati privasi mereka, serta bagi mengelakkan stigma terhadap mereka.
Jika anda rasa telah menjadi mangsa penipuan, hubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 untuk mendapatkan bantuan.