backgroundImg

‘Ketika cuba bangkit semula selepas cubaan bunuh diri, penipuan buatkan hidup saya haru-biru’

Marrisa*, penulis

- Mangsa penipuan pelaburan

Apabila ibu tunggal, Marissa* mencari pasangan dalam talian, dia sebenarnya sedang dalam proses membina semula kehidupannya selepas pergelutan sukar dengan masalah kesihatan mental. Sammy memenuhi apa yang Marissa cari dalam sebuah perhubungan tanpa ikatan, yang ketika itu amat dia perlukan untuk sesekali lari dari pergelutan dalam kehidupan hariannya.

Namun dalam tempoh beberapa minggu, Marissa menghabiskan semua wang simpanan di bank untuk skim pelaburan yang diperkenalkan Sammy, yang dijanjikan mampu membawanya keluar dari beban kewangan. Bagaimana ia berlaku? Ikuti kisah Marissa, seperti yang diceritakan kepada AIDILA RAZAK.

Saya sudah guna aplikasi janji temu untuk beberapa hari sebelum dipadankan dengan seorang lelaki, Sammy. Dia yang hantar teks menegur saya dahulu. Perbualan biasa sahaja, tentang mahu mengenali saya dengan lebih dekat.

Aplikasi janji temu itu hanya membenarkan padanan dengan individu dalam lingkungan jarak tertentu. Jarak yang saya tetapkan adalah dalam Malaysia, jadi saya ingat Sammy juga orang Malaysia, atau setidak-tidaknya tinggal di sini. Namun, dia beritahu yang dia dari Hong Kong, dan bercadang untuk melawat Malaysia tidak lama lagi.

Dalam masa beberapa hari, perbualan kami beralih ke Telegram.

Pada profil, saya menyatakan saya ibu tunggal yang sedang mencari teman. Saya bukan mahu mencari calon suami, hanya teman untuk berseronok dan hubungan yang tidak serius.

Ketika itu bulan November, dan dia beritahu yang dia mahu ke Malaysia pada 31 Disember. Dia minta saya cadangkan tempat-tempat untuk dikunjungi. Dia mahu melawat Melaka dan KL.

Katanya, dia seorang jurugambar dan dia berkongsi gambar-gambar pemandangan yang menurutnya diambil di Tsim Sha Tsui, Hong Kong. Semuanya tampak meyakinkan.

Kami banyak bercakap tentang rancangan kunjungannya nanti. Kemudian kami mula menghantar mesej-mesej seksual.

Selalunya ketika kami bersembang, dia akan cakap “Jangan kisahkan saya, ya. Saya sibuk sikit tengah pantau pasaran forex”. Dia cuba tanam idea bahawa dia seorang pelabur.

Dia tidak menjelaskan dengan lanjut tentang pelaburannya. Katanya: “Saya cuma cari wang tepi sementara menunggu pelanggan sampai.”

Kemudian, dia menghantar tangkap layar tentang berapa banyak wang yang dia dapat menerusi skim pelaburan yang disertainya. Tangkap layar itu dari satu laman web yang menunjukkan transaksinya – berapa yang dia laburkan dan berapa wang yang dia dapat.

Dia tahu saya ada hutang dan sedang bergelut dari segi kewangan sebagai seorang ibu tunggal. Dia menawarkan diri untuk mengajar saya tentang pelaburan, sebagai cara untuk membantu saya. Tetapi dia tidak mendesak. Bila saya tanya bagaimana pelaburan itu bergerak, dia cuma kongsikan pautan laman web tersebut. Nama laman itu Global Exabit.

Guru yang boleh diharap

Laman web itu nampak meyakinkan. Untuk mencipta akaun sebagai pelabur, saya bahkan dikehendaki melengkapkan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda) dengan mengambil gambar bersama kad pengenalan.

Untuk mula melabur di laman web itu, anda mesti bercakap dulu dengan pegawai tamu dalam talian dan memaklumkan tentang berapa wang yang mahu dilaburkan.

Saya tanya Sammy berapa yang harus saya laburkan sebagai permulaan, kerana saya tak ada banyak wang. Dia mencadangkan 150 USDT. ⓘ  Mata wang kripto yang ditambat kepada dolar AS

Pegawai tamu akan berkomunikasi dengan saya menerusi kotak sembang di laman web. Dia memaklumkan untuk melabur sebanyak USDT 150, saya harus masukkan wang ke satu akaun bank. Ia merupakan akaun bank Malaysia.

Nama syarikat pemilik akaun tersebut adalah Top Gear Global*. Saya membuat carian mengenainya sebelum pindahkan wang, tetapi tidak menemukan apa-apa maklumat.

Pegawai tamu itu mengarahkan saya untuk hanya meletakkan nama saya dalam rujukan transaksi dan tidak menyebut apa-apa tentang USDT atau Bitcoin. Memang mencurigakan, tetapi saya teruskan juga. Saya pindahkan jumlah berkenaan, dan memang betul sebanyak USDT 150 kemudian muncul di akaun saya di laman web berkenaan.

Sammy mengajar saya bagaimana untuk melabur di laman web itu. Saya dapat lihat garis aliran tukaran mata wang kripto yang turun-naik.

Menurutnya, berapa banyak yang akan saya perolehi bergantung kepada berapa saya menyimpan wang dalam akaun itu. Jika saya melabur untuk 60 saat, pulangannya adalah 10 peratus. Jika melabur untuk 120 saat, pulangannya 30 peratus dan begitulah seterusnya. Jika melabur untuk tiga hari, pulangannya 300 peratus!

Dengan kadar tukaran RM4.80 untuk USDT 1, saya harus memasukkan RM800 mengikut nasihat Sammy. Setelah mengikut arahannya, saya terus dapat menikmati hasil pulangan saya.

Dia bimbing saya – tentang apa yang harus saya buat, nak tekan di mana dan bila. Dia beritahu saya untuk pantau pelaburan saya dan sama ada transaksi yang dilakukan berjaya atau tidak.

Tetapi, saya tidak faham pun sebenarnya. Saya cuma dengar dan ikut sahaja apa yang Sammy suruh saya buat.

Daripada UST 150 yang saya masukkan, saya gunakan USDT 50 -  iaitu amaun yang perlu anda laburkan - untuk beli mata wang kripto dan tunggu 60 saat.

Kemudian, saya dapat pulangan USDT 5. Ia bertepatan dengan pulangan 10 peratus untuk 60 saat seperti yang dijelaskan kepada saya, jadi saya ingat begitulah caranya untuk meraih keuntungan daripada pelaburan Bitcoin.

Tetapi itu semua hanyalah angka di atas skrin. Tiada wang yang dimasukkan ke akaun bank saya.

Pinjaman yang tidak diminta

Saya cuba keluarkan wang untuk periksa apakah angka itu benar. Bila saya berbuat demikian, saya terima mesej ralat dari Hong Leong Bank, memaklumkan transaksi ditolak kerana bank tidak dapat mengesahkan sumber wang.

Saya bertanya kepada Sammy, “Kenapa bank kata begitu? Adakah laman web pelaburan ini sah?” Dia kata pasti akaun bank saya yang bermasalah.

Jadi, saya cuba pula dengan akaun bank yang lain, barulah wang berjaya dimasukkan. Tetapi ia bukan dari Top Gear Global, tetapi dari syarikat lain yang tiada sebarang maklumat di internet.

Meskipun begitu, memandangkan saya dapat semula wang, saya jadi lebih yakin yang skim itu sah.

Bolehkah anda terlepas dari penipuan pelaburan (investment scam)?
icon

Keesokannya, Sammy minta saya masukkan lebih banyak wang dan saya masukkan USDT 800 (RM3,840). Itu merupakan keseluruhan gaji saya pada bulan itu, dan itu sajalah wang yang saya ada. Bagaimanapun, Sammy mendesak supaya saya masukkan lebih banyak wang.

Kaedah pelaburan itu adalah semakin lama anda menyimpan wang, semakin tinggi pulangannya. Dan setiap peringkat mempunyai amaun minimum yang harus anda masukkan.

Sammy mahu saya simpan wang selama 36 jam, berbanding hanya 60 saat seperti sebelumnya. Jika simpan wang selama beberapa jam, saya akan dapat pulangan 120 peratus. Tetapi pelaburan minimum untuk peringkat itu adalah USDT 5000. Manalah cukup USDT 800 yang saya masukkan itu.

Sammy beritahu yang dia akan pinjamkan saya UDT 2000. Wang itu muncul dalam akaun pelaburan saya di laman web itu. Jadi kini saya ada USDT 2800, masih jauh dari jumlah minimum, USDT 5000. Jadi Sammy cadangkan, dan kemudian mula mendesak saya, untuk meminjam dari kawan-kawan agar saya boleh capai amaun minimum tersebut.

Itulah titik akhir bagi saya. Nak pinjam duit? Saya beritahu Sammy yang saya sudah pun banyak hutang, siapalah yang sanggup pinjamkan wang kepada saya lagi? Dia pun tahu yang saya ada sertai program pengurusan hutang. Ia tanda amaran yang sangat jelas.

Segalanya mula terungkai

Ketika semua ini terjadi, saya mula menggali dan banyak membaca tentang pelaburan kripto untuk mengenal pasti apakah semua ini satu penipuan. Akhirnya, saya temukan satu artikel yang menasihati mereka yang berminat untuk melabur untuk periksa nombor akaun di portal Semak Mule oleh polis. Sebelum ini, saya tak pernah tahu pun kewujudan portal ini.

Saya semak akaun bank Top Gear Global dan portal Semak Mule merujuknya sebagai akaun keldai (mule account). Ia turut memaparkan terdapat tiga laporan polis ke atas akaun keldai tersebut, tetapi ia tetap masih beroperasi.

Ketika itulah saya panik. USDT 800 yang saya masukkan itu merupakan hasil titik peluh saya, keseluruhan gaji saya. Dengan wang itulah saya bergantung untuk melunaskan keperluan hidup.

Setelah saya tetap berkeras enggan meminjam wang daripada kawan atau keluarga, Sammy mula naik marah. Dia desak saya untuk pulangkan USDT 2000 yang dia pinjamkan kepada saya. Saya mahu pindahkan semula wang itu ke akaun pelaburannya, tetapi transaksi gagal.

Dia beritahu yang pindahan antara dua akaun USDT tidak dibenarkan. Satu-satunya cara untuk pindahkan wang semula kepadanya adalah untuk keluarkan dulu wang tersebut dan pindahkannya dari akaun bank saya.

Baca kisah mangsa penipuan yang lain

Saya cuba keluarkan keseluruhan USDT 2800, tetapi transaksi gagal. Pegawai tamu beritahu saya harus buat pelaburan terlebih dahulu sebelum boleh keluarkan wang.

Saya katakan kepada Sammy, “Kalau kamu nak sangat wang itu, mari laburkan keseluruhan USDT 2800 dalam skim yang lebih rendah amaun minimumnya, dengan pulangan yang lebih rendah.” Dengan cara itu, saya dapat keluarkan keseluruhan wang dan juga pulangkan semula wang Sammy. Tetapi dia enggan. Katanya, dia tak mahu ambil risiko.

Atas rasa curiga, saya minta dia tunjukkan bukti bahawa dia benar-benar telah melakukan transaksi yang sama dengan jumlah yang dimasukkan ke akaun saya. Dia berikan saya tangkap layar transaksi e-dompet, yang pada saya tidak masuk akal.

Ugut bunuh

Ketika itu, Sammy sudah pun ada nombor telefon dan alamat saya, bahkan turut menyimpan gambar intim saya. Laman web itu turut mempunyai salinan IC saya daripada proses eKYC.

Jadi bila saya enggan pindahkan wang kepadanya, Sammy mengugut untuk mencari dan membunuh ahli keluarga saya.

Pada saat itu, saya sudah pun ceritakan situasi yang saya hadapi kepada beberapa teman rapat dan berkongsi mengenai maklumat laman web itu. Kawan-kawan beritahu saya yang laman web itu baru diwujudkan 10 hari sebelum saya menyertai skim tersebut.

Bila saya tanya Sammy sudah berapa lama dia melabur di situ, dia beritahu sudah tiga tahun. Semuanya mula terungkai.

Saya benar-benar takut. Saya ada anak kecil. Sammy pula berulang kali mengugut yang dia boleh hantar orang untuk bunuh kami. Jadi saya cuba rahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ahli keluarga lain agar ia tidak mendatangkan akibat kepada mereka.

Tetapi pada akhirnya, mereka dapat tahu juga.

Saya bergelut dengan masalah kesihatan mental sebelum ini dan sedang cuba bina semula kehidupan saya. Pada ketika itulah saya berkenalan dengan Sammy. Jadi apabila semua ini berlaku, saya hilang kawalan. Di rumah, saya berteriak dan bertindak ganas sehingga pecahkan tingkap kerana marah.

Hanya beberapa minggu sebelum mengenali Sammy, saya cuba membunuh diri. Saya terselamat. Tetapi setelah semua ini terjadi, saya rasa memang saya patut mati sahaja. Itulah yang saya beritahu kepada emak saya – jika saya mati ketika itu, semua ini tidak akan berlaku kepada saya. Ia membuatkan saya trauma.

Sebenarnya, saya melihat keluarga saya agak tenang menghadapi apa yang berlaku. Pada mulanya, mereka risau juga dengan ugutan bunuh, tetapi akhirnya menyimpulkan ia bukan satu ugutan yang serius. Mereka juga berikan saya wang untuk teruskan hidup.

Dapatkan semula kepercayaan keluarga

Pada mulanya, saya mahu rahsiakan kejadian itu kerana enggan dilihat sebagai seorang yang lemah atau gagal kerana menjadi mangsa penipuan. Saya tak mahu keluarga lihat saya sebagai orang yang tidak boleh dipercayai untuk pegang wang sendiri. Saya sudah pun jadi beban buat ahli keluarga dengan masalah mental saya.

Tetapi sejak itu, saya rasa saya perlu ceritakan semuanya kepada mereka untuk dapatkan semula kepercayaan mereka. Mereka memang tak minta saya buat demikian, tetapi saya faham sendiri. Sejak itu juga adik perempuan saya minta saya pindahkan semua gaji saya kepadanya agar dapat disimpan dengan selamat. Ia melemahkan semangat saya.

Tetapi pada akhirnya, saya bangga dengan diri sendiri kerana berani buat laporan polis tentang apa yang terjadi dan bersemuka dengan keluarga saya mengenainya.

Bolehkan anda lepas dari scam dalam talian?
icon

Sejak penipuan itu berlaku, saya selalu singgah ke laman web itu. Ia masih lagi beroperasi*. Orang masih boleh buka akaun dan log masuk, tetapi kelayakan saya sebagai ahli sudah hilang.

Polis sudah tidak lagi hubungi saya, dan saya tidak lagi berharap untuk dapat semula wang saya. Orang lain hilang ratusan ribu ringgit, saya hanya hilang beberapa ribu ringgit. Mujurlah saya keluar awal, tetapi ia tetap seluruh wang gaji bulanan daripada hasil titik peluh saya.

Saya juga ada kala terfikir tentang gambar dan video intim saya di tangan penipu itu. Saya fikir, mereka mungkin menggunakannya untuk menipu orang lain, sepertimana saya diberikan gambar dan video “Sammy” sebelum ini.

Polis beritahu saya, “Kalau tersebar di internet, cakap sahaja ia hasil janaan AI.” Saya sudah berdamai dengannya. Apa yang saya marah sekarang adalah saya terjebak jadi mangsa penipuan dan wang saya lesap.

Sejak itu, saya berhenti guna aplikasi untuk mencari teman. Saya tak akan menggunakannya lagi sehinggalah hidup saya menjadi lebih stabil.

Saya ada terfikir, mungkin saya jadi sasaran kerana apa yang saya tulis pada profil saya – ibu tunggal – dan apa yang saya ceritakan tentang hutang-hutang saya hanya memburukkan lagi keadaan.

Mengimbau kembali kejadian itu, apa yang saya lakukan, apa yang berlaku, semuanya tidak masuk akal pada saya. Seolah-olah separuh diri saya ini tahu semua itu adalah penipuan, tetapi separuh lagi tetap terjun ke dalamnya. Saya masih tertanya-tanya, “Kenapa aku buat semua itu?”

Saya masih belum putus asa dalam mencari cinta dan pasangan hidup, tetapi kini semuanya harus secara bersemuka. Tiada lagi usaha mencari pasangan dalam talian.

Kalau ditanyakan kepada saya, apa nasihat saya kepada mereka yang turut lalui apa yang saya lalui, pesan saya adalah jangan putus harapan. Anda akan dapat keluar dari semuanya, anda pasti akan dapat meneruskan kehidupan.

*Nota editor: Nama mangsa telah ditukar atas permintaan bagi menghormati privasi mereka, serta bagi mengelakkan stigma buruk terhadap mereka.

Jika anda rasa tertekan, murung dan terfikir untuk membunuh diri, dapatkan bantuan daripada pakar kesihatan atau hubungi hotline Befrienders untuk sokongan emosi, di talian 603-76272929.

Jika anda rasa telah menjadi mangsa penipuan, hubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 untuk mendapatkan bantuan.

Semakan Malaysiakini mendapati sejak Marissa menjadi mangsa, ada sekurang-kurangnya lapan lagi laporan polis dibuat ke atas akaun bank yang didaftarkan kepada Top Gear Global.

Top Gear Global ialah syarikat milikan tunggal yang mula beroperasi beberapa hari sebelum Marissa membuat transaksi pertama. Lebih kurang tiga bulan selepas Marissa membuat laporan polis, akaun bank dan laman web itu masih beroperasi. Kedua-duanya digantung pada bulan Februari, empat bulan selepas Marissa ditipu.

Ikuti kisah lain-lain mangsa penipuan

Kongsikan artikel ini

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 26 Februari 2024.

Penyelaras projek
Ooi Choon Nam & Aidila Razak
Penyelidik & Penulis
Aidila Razak & Dania Kamal Aryf
Pembangunan web & Reka bentuk
Ooi Choon Nam, Nor Natasya Syahirah, Aidila Razak & Syariman Badrulzaman
Penulis skrip
Dania Kamal Aryf, Ooi Choon Nam, Aidila Razak & Wong Kang Jia
Ilustrasi
Amin Landak
Penterjemah
Rusnizam Mahat & M Fakhrull Halim
Penyunting berita
Al Abror Mohd Yusof & Aedi Asri
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.