Pilihan raya umum Malaysia 2022

FAQ tentang mengudi

Siapa yang harus anda undi? Bagaimana untuk mengundi? Apa yang boleh dan tak boleh anda lakukan?
Ada yang melihat mengundi sebagai satu tanggungjawab. Ada pula yang melihatnya sebagai satu hal yang sia-sia. Dalam bahagian ini, mari pelajari tentang bagaimana mengundi memberi kesan kepada anda, apa yang harus anda pertimbangkan semasa mengundi dan bagaimana untuk membuang undi.
Iklan

Sebelum Pilihan Raya

Bersiap sedia untuk mengundi

Di mana saya akan mengundi?

search-location
Periksa maklumat pengundian anda di sini. Pusat mengundi anda disenaraikan di bawah “daerah mengundi”.

Jika anda tidak pasti di mana tempat anda mengundi, anda boleh bertanya di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di tempat anda, balai polis atau pihak berkuasa tempatan.

Bersiap sedia untuk mengundi

Bolehkah saya mengundi secara dalam talian?

Tidak. Hanya ada tiga cara sahaja untuk anda mengundi ahli parlimen ataupun Adun.

Pertama, datang mengundi pada hari mengundi yang telah ditetapkan.

Kedua, jika anda penjawat awam atau anggota badan beruniform yang bertugas semasa hari mengundi, anda mungkin layak untuk mengundi awal – iaitu beberapa hari lebih awal sebelum tarikh mengundi yang sebenar. Ini turut memerlukan anda datang sendiri untuk mengundi.

Ketiga, sekiranya anda petugas Suruhanjaya Pilihan Raya atau petugas media yang bekerja semasa hari mengundi; atau seorang anggota tentera atau polis yang tidak dapat menjadi pengundi awal, anda boleh memohon untuk mengundi secara pos.

Akhir sekali, sekiranya anda tinggal di luar negara, anda juga boleh memohon untuk mengundi secara pos.

Bagaimanapun, anda harus peka dengan tarikh tutup permohonan undi pos.

Bersiap sedia untuk mengundi

Kenapa saya tersenarai sebagai seorang pemilih sedangkan saya tidak pernah mendaftar pun?

Bermula 15 Disember 2021, semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.

Bersiap sedia untuk mengundi

Saya berusia atas 18 tahun tetapi nama saya tiada dalam senarai pemilih. Apa yang harus saya lakukan?

Jika anda baru saja mencecah umur 18 tahun, anda mungkin terlepas tarikh akhir yang ditetapkan. Sebaliknya jika memang nama anda tiada seperti sepatutnya, anda harus membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Bersiap sedia untuk mengundi

Bagaimana kawasan pilihan raya saya ditetapkan?

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu mestilah merupakan penduduk di sesuatu kawasan bagi melayakkannya menjadi seorang pemilih. Secara praktisnya pula, kebanyakan kawasan pemilih ditentukan menerusi alamat pada kad pengenalan mereka.

Bersiap sedia untuk mengundi

Apa itu “daerah mengundi”?

Pemilih dalam kawasan yang sama dibahagikan kepada daerah-daerah mengundi.

Selalunya, hanya terdapat satu pusat mengundi dalam satu-satu daerah mengundi.

Meskipun maklumat daerah mengundi boleh diketahui menerusi laman web Suruhanjaya Pilihan Raya, ia tidaklah seberapa penting berbanding mengambil tahu tentang di manakah terletaknya pusat mengundi anda.

Bersiap sedia untuk mengundi

Apa itu “saluran”?

Saluran melambangkan peti undi yang akan anda gunakan semasa membuang undi.

Di pusat mengundi luar bandar, hanya ada satu sahaja saluran. Manakala di pusat mengundi lebih besar pula, terdapat lebih banyak saluran.

Di pusat mengundi yang mempunyai lebih dari satu saluran, pemilih selalunya disusun mengikut umur – mereka di “saluran 1” selalunya terdiri daripada golongan lebih berusia berbanding “saluran 2”.

Sebagai contoh, daerah mengundi Taman Seremban Jaya di kawasan parlimen Rasah mempunyai 17 saluran. “Saluran 1” adalah untuk pemilih paling berusia manakala pemilih paling muda pula mengundi di “saluran 17”.

Anda boleh memeriksa saluran anda pada maklumat pengundian di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya.

mymp
Baca laporan ini untuk mengetahui beza trend pengundian dalam kalangan pemilih paling tua dan pemilih paling muda semasa PRU14. Laporan ini berdasarkan analisis data terhadap saluran-saluran mengundi.

Bersiap sedia untuk mengundi

Negeri saya tidak mengadakan pilihan raya DUN, apa patut saya buat?

Semasa “pilihan raya umum”, kebanyakan negeri akan turut mengadakan pilihan raya DUN secara serentak dengan pilihan raya Parlimen.

Oleh itu, jika negeri anda tidak mengadakan pilihan raya DUN sekalipun, anda masih boleh mengundi untuk memilih ahli parlimen.

Untuk mengundi Adun, anda harus menunggu sehinggalah pilihan raya DUN diadakan.

Bersiap sedia untuk mengundi

Bolehkah saya menukar tempat mengundi?

Ya. Tetapi untuk PRU15 kali ini, anda tidak akan sempat lagi menukar kawasan mengundi anda memandangkan senarai pemilih dimuktamadkan secara bulanan.

Anda boleh mengemas kini alamat pada senarai pemilih di pejabat pos atau di cawangan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Anda perlu menyediakan bukti bermastautin dan turut mengemas kini alamat pada MyKad anda.

Bersiap sedia untuk mengundi

Saya kini berada di luar negara dan saya mahu turut mengundi. Apa yang harus saya lakukan?

Semak laman web Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendapatkan maklumat bagaimana cara mendaftar untuk mengundi secara pos. Anda harus peka dengan tarikh tutup permohonan.

Bersiap sedia untuk mengundi

Apa yang harus saya pertimbangkan sebelum mengundi?

Anda boleh mengambil kira tentang pendirian dasar yang dipegang oleh calon atau parti yang mahu meraih undi anda.

Anda juga mungkin harus mempertimbangkan apakah calon tersebut menjalani gaya hidup yang melangkaui kemampuannya.

mymp
Jika ahli parlimen di kawasan anda mahu bertanding semula, anda boleh menggunakan projek MyMP untuk memeriksa rekod kehadiran dan soalan-soalan yang dikemukakan mereka di Dewan Rakyat.
Iklan

Hari Membuang Undi & Selepas Pilihan Raya

Pengundian

Bagaimana proses mengundi?

Step 1
Kenal pasti pusat mengundi – selalunya di sekolah atau dewan komuniti terdekat dengan anda.
Step 2
Bawa kad pengenalan dan jangan memakai apa-apa barangan yang memaparkan logo parti politik.
Step 3
Anda akan diminta beratur untuk ke peti undi.
Step 4
Petugas pilihan raya akan memotong nama anda daripada senarai pemilih, memberikan anda kertas undi dan menandakan jari anda dengan dakwat kekal.
Step 5
Di petak mengundi, tandakan pangkah di ruang yang bersebelahan dengan nama calon pilihan anda.
Step 6
Masukkan kertas undi ke dalam peti undi.

Pengundian

Adakah undi saya rahsia?

Setiap kertas undi hadir dengan nombor siri unik yang tiada hubung kait dengan identiti pemilih. Oleh itu, undi anda adalah rahsia.

Pengundian

Kenapa saya diberikan dua kertas undi?

Semua pemilih berpeluang untuk memilih ahli parlimen masing-masing. Pun begitu, sesetengah pemilih juga berpeluang memilih wakil untuk DUN mereka sekiranya pilihan raya DUN turut diadakan serentak.

Pengundian

Apa tujuan dakwa kekal pada jari saya?

Dakwat kekal digunakan untuk menanda pemilih yang telah menerima kertas undi mereka di pusat-pusat mengundi dan bagi menghalang mereka daripada mengundi lebih dari sekali.

Pun begitu, pemilih yang layak mengundi secara pos tidak ditandakan. Golongan ini adalah minoriti.

Pengundian

Bolehkah saya mengundi jika saya mewarna kuku?

Ya. Suruhanjaya Pilihan Raya akan menanda dakwat kekal di bahagian lain jari anda. Jika anda tidak mempunyai jari, anda boleh ditanda dakwat di bahagian tangan yang lain.

Pengundian

Bolehkah saya bawa telefon pintar saya ke petak undi?

Tidak boleh. Sebelum memangkah undi di petak undi, anda harus menyerahkan telefon pintar anda kepada petugas.

Anda boleh mengambil telefon anda semula selepas membuang undi.

Pengundian

Petugas memaklumkan yang saya telah mengundi. Apa harus saya lakukan?

Jika atas sebab-sebab tertentu, anda percaya bahawa ada orang lain yang telah mengundi bagi pihak anda, anda boleh membuat laporan polis.

Pengundian

Ketika berada di pusat mengundi, adakah saya harus berjaga-jaga terhadap apa-apa perkara?

Diam, jangan buat bising. Tiada sesiapa pun yang dibenarkan merayu undi dalam lingkungan 50m dari pusat mengundi. Ini termasuklah mengenakan barangan parti seperti baju-T atau topi. Menangkap gambar, merakam video atau membuat penstriman langsung tanpa kebenaran juga adalah dilarang.

Pengundian

Bolehkah saya menulis nama saya pada kertas undi?

Tidak. Kertas undi anda berisiko dianggap “rosak” atau tidak sah.

Mencacatkan kertas undi juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(1)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundian

Bolehkah saya bawa pulang kertas undi saya?

Tidak. Membawa keluar kertas undi dari pusat mengundi adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(1)(h) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundian

Boleh saya jual kertas undi saya?

Tidak. Menjual kertas undi adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(1)(e) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundian

Bolehkah saya cetak kertas undi saya sendiri?

Tidak. Mencetak kertas undi untuk digunakan dalam pilihan raya tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(1)(j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundian

Bolehkah saya mengundi lebih daripada satu kerusi?

Tidak. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan kawasan pilihan raya seseorang pemilih berdasarkan alamat yang tertera pada MyKad pengundi baru.

Pemilih boleh mengemas kini alamat mereka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya jika MyKad mereka sudah memaparkan alamat yang baru.

Mengundi dalam mana-mana pilihan raya sedangkan pengundi berkenaan sebenarnya tidak berhak untuk mengundi dalam pilihan raya tersebut adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 3(1)(l) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundian

Saya penyokong Parti X. Kenapa mereka tiada pada kertas undi saya?

Tidak semua parti akan meletakkan calon di kawasan anda. Ada kalanya, parti bertanding dalam pilihan raya sebagai satu gabungan dan menggunakan logo berbeza.

Pengundian

Bolehkah saya mengambil gambar kertas undi saya dan berkongsi gambar itu di media sosial?

Tidak boleh. Itu adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 5(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengiraan undi

Apa berlaku selepas pembuangan undi?

Pengundian berlaku antara jam 8am hingga 6pm di Semenanjung Malaysia dan antara 7.30am hingga 5.30pm di Sabah dan Sarawak.

Apabila pengundian tamat, undi akan dikira di hadapan pengawas yang terdiri daripada wakil-wakil kepada calon. Apabila undian selesai, ketua tempat mengundi dan para pengawas akan menandatangani Borang 14 untuk memuktamadkan keputusan.

Pegawai pilihan raya akan mengumpulkan Borang 14 untuk mengira keputusan.

Pengiraan undi

Bolehkah pemilih terus menunggu di pusat mengundi untuk meninjau-ninjau sekiranya berlaku apa-apa kesalahan pilihan raya?

Tidak. Pengundi mesti meninggalkan pusat mengundi selepas membuang undi. Tidak boleh merayau-rayau di situ.

Pengiraan undi

Di mana saya boleh mengikuti kemas kini pengiraan undi?

Anda boleh mengikuti kiraan undi secara langsung di Malaysiakini. Malaysiakini merupakan organisasi berita pertama yang mengumumkan pemenang dalam pilihan raya umum 2018 dahulu. Malaysiakini juga akan menyediakan analisis pakar secara langsung buat anda.

Pengiraan undi

Bagaimana pemenang pilihan raya ditentukan?

Malaysia mengguna pakai sistem pemenang undi terbanyak (first-past-the-post). Calon yang menerima undi terbanyak akan dipilih, tanpa mengira sama ada calon itu memperoleh majoriti ataupun tidak.

Sebagai contoh, terdapat enam calon yang merebut kerusi Maharani dalam pilihan raya negeri Johor 2022. Pemenang hanya meraih sokongan daripada 36 peratus pengundi sahaja.

Sistem ini boleh menyebabkan kerajaan yang terbentuk mempunyai kawalan yang sangat besar ke atas badan perundangan, meskipun dengan sokongan kurang 50 peratus daripada pengundi, seperti yang dapat dilihat semasa pilihan raya negeri Johor 2022.

Pengiraan undi

Bagaimana jika tiada satu pun parti atau gabungan politik yang berjaya memperoleh majoriti?

Penggubal undang-undang yang dipilih daripada parti atau gabungan yang berbeza harus memutuskan siapa yang akan menjadi perdana menteri dalam kalangan mereka. Hal ini sudah pernah terjadi sebelum ini di Sabah, Perak dan Kedah semasa pilihan raya 2018.

Pengiraan undi

Jika sesuatu parti atau gabungan politik itu memenangi pilihan raya, maka apa berlaku selepas itu?

Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang ahli parlimen yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri. Pemerintah negeri atau Yang di-Pertua Negeri akan melakukan fungsi serupa di peringkat negeri dengan memilih seorang menteri besar, ketua menteri ataupun premier.

Pengiraan undi

Saya tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, apa yang boleh saya buat?

Sesiapa yang memiliki bukti berlakunya pelanggaran proses pilihan raya boleh memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya. Kebanyakan petisyen tidak berjaya. Kes petisyen berjaya yang terkini berlaku pada 2018. Ia menyebabkan pilihan raya diadakan semula di Kimanis.

Iklan

Pilihan raya 101

Undi

Untuk apa saya mengundi?

Anda mengundi untuk memilih seorang ahli parlimen dan seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) – sekiranya negeri anda turut mengadakan pilihan raya DUN secara serentak.

Undi

Bagaimana harus saya mendaftar untuk mengundi?

Anda tidak perlu mendaftar apa-apa. Sejak Disember 2021, semua warganegara berumur 18 tahun ke atas akan dimasukkan ke dalam senarai pemilih secara automatik. Senarai-senarai baru akan dimuktamadkan setiap bulan.

Undi

Kenapa saya perlu mengundi?

Setiap orang membayar cukai kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, baik secara langsung ataupun tidak.

Kerajaan-kerajaan ini membelanjakan kutipan cukai mengikut arahan badan perundangan – Parlimen, DUN dan majlis perbandaran.

Badan perundangan turut menggubal, memansuhkan mahupun meminda undang-undang.

Semasa pilihan raya, rakyat Malaysia memilih calon yang akan mewakili mereka dalam badan perundangan ini.

Undi

Bolehkah jika saya tidak mahu mengundi?

Sudah tentu. Memilih untuk tidak mengundi merupakan satu hak demokrasi.

Ahli-ahli Parlimen

Apa itu Parlimen?

Parlimen ialah badan yang menggubal undang-undang. Ia menggubal, meminda dan memansuhkan undang-undang.

Dewan Undangan Negeri turut mempunyai fungsi serupa.

Ahli-ahli Parlimen

Apakah tugas ahli parlimen?

Pada dasarnya, seorang ahli parlimen mewakili kawasan masing-masing di Parlimen, untuk mendebatkan dan mengundi cadangan undang-undang (rang undang-undang) dan mencadangkan tindakan yang akan diambil oleh Parlimen (usul).

Seorang ahli parlimen juga boleh memegang peranan lain seperti menjadi perdana menteri, menjadi ahli kabinet (sebagai pembantu kepada perdana menteri) dan ahli jawatankuasa pilihan (kumpulan-kumpuan rasmi dengan fungsi khas terdiri daripada ahli parlimen)

Ahli parlimen individu turut boleh mencadangkan topik untuk dibahaskan Parlimen dan mencadangkan undang-undang (rang undang-undang persendirian).

infographic
Untuk melihat perbandingan antara peranan berbeza yang dimainkan oleh ahli parlimen, Adun dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan, sila periksa infografik oleh Projek Sinar ini.

Ahli-ahli Parlimen

Haruskah saya mempertimbangkan rekod ‘perkhidmatan’ ahli parlimen?

Sesetengah ahli parlimen menyediakan pelbagai jenis “khidmat” di kawasan mereka bagi meraih populariti meskipun tiada undang-undang memerlukan mereka berbuat demikian.

Contohnya, sesetengah ahli parlimen akan bertemu dengan para pengundi seminggu sekali bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pihak berkuasa tempatan, permohonan biasiswa, sumbangan dan hal-hal yang tiada kaitan dengan isu perundangan.

Bukan semua ahli parlimen menyediakan “khidmat” seumpama itu. Demikian juga, bukan semua ahli parlimen yang terlibat aktif dalam proses penggubalan undang-undang.

Ahli-ahli Parlimen

Ada calon menjanjikan ‘pembangunan’. Adakah itu tugas seorang ahli parlimen?

Tidak. Bagaimanapun, memandangkan ahli parlimen mempunyai akses kepada menteri kabinet yang mengawal belanjawan, dia boleh melobi untuk infrastruktur awam, geran dan pembiayaan lain yang boleh memanfaatkan kawasannya.

Ini boleh membawa kepada salah guna kuasa.

game-controller
Cuba game ini untuk lebih memahami bagaimana ahli parlimen membelanjakan wang dan masa di kawasan-kawasan mereka.

Ahli-ahli Parlimen

Apa terjadi jika ahli parlimen saya melompat parti selepas dia dilantik?

Di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang baru digubal, seseorang ahli parlimen harus mengosongkan kerusi mereka jika: 1) Ahli parlimen itu keluar daripada parti politik yang dianggotainya semasa dia dilantik; atau, 2) Ahli parlimen itu menyertai parti politik yang lain selepas dia dilantik.

Adun tidak tertakluk di bawah undang-undang sama, kecuali di Pulau Pinang dan Perlis.

Parti dan gabungan politik

Apa itu parti atau gabungan politik?

Parti politik ialah sekumpulan ahli politik yang berkongsi idea serupa tentang bagaimana sebuah kerajaan itu seharusnya ditadbir.

Dalam konteks Malaysia, parti-parti politik selalunya membentuk gabungan sebelum pilihan raya diadakan bagi menyatupadukan penyokong masing-masing di bawah satu pasukan.

Eksekutif

Apakah pula eksekutif?

Eksekutif berfungsi melaksanakan undang-undang.

Kabinet bersidang secara mingguan untuk membuat keputusan eksekutif.

Anggota kabinet turut menyelia agensi penguatkuasaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

pantaukuasa
Pelajari lagi topik ini di laman web Pantau Kuasa oleh Ideas.

Eksekutif

Apa itu perdana menteri?

Perdana menteri merupakan anggota Dewan Rakyat (dewan rendah bagi Parlimen) yang paling berkuasa dan mempunyai kedudukan nombor satu dalam kalangan anggota-anggota yang lain.

Mesyuarat kabinet mingguan selalunya dipengerusikan perdana menteri.

Perdana menteri memiliki kuasa menentukan agenda Parlimen dan mancalonkan anggota kabinet yang akan menjalankan kuasa yang termaktub di bawah Akta (undang-undang).

Perdana menteri turut menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan banyak fungsi penting, seperti lantikan hakim, anggota Dewan Negara (dewan tertinggi Parlimen), ketua polis negara dan peguam negara.

Eksekutif

Bolehkah saya memilih perdana menteri?

Tidak secara langsung. Rakyat Malaysia boleh memilih ahli parlimen yang akan mewakili mereka di Dewan Rakyat. Ahli parlimenlah yang akan memilih siapa yang akan menjadi perdana meteri dalam kalangan mereka.

Apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa seseorang ahli parlimen itu mendapat sokongan majoriti daripada rakan ahli parlimen yang lain, maka ahli parlimen berkenaan akan dilantik sebagai perdana menteri.

Eksekutif

Apakah itu menteri besar, ketua menteri dan premier?

Jawatan yang setara dengan perdana menteri di peringkat kerajaan negeri disebut sama ada menteri besar atau ketua menteri. Khusus di Sarawak pula, ia disebut premier.

Eksekutif

Apa itu kabinet?

Kabinet dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan nasihat tentang tugas-tugas baginda.

Mula-mula, Agong melantik seorang perdana menteri. Kemudian, atas nasihat perdana menteri, baginda melantik ahli-ahli kabinet yang lain.

Ahli kabinet mestilah merupakan seorang ahli parlimen (anggota Dewan Rakyat) atau seorang senator (anggota Dewan Negara).

Kawasan pilihan raya

Bagaimanakah sempadan kawasan ditentukan?

Demografi di satu-satu lokaliti boleh berubah mengikut peredaran waktu. Oleh yang demikian, Suruhanjaya Pilihan Raya harus menjalankan penyempadanan setiap lapan tahun bagi menentukan sempadan pilihan raya yang baru.

Pelaksanaan penyempadanan yang harus dilakukan selepas ini adalah di Sarawak (2023) diikuti Sabah (2025) dan Semenanjung Malaysia (2026).

Mereka yang ditugaskan untuk melakukan penyempadanan semula harus mengikut garis panduan yang rumit bagi meminimumkan perbezaan saiz antara kawasan.

Kawasan pilihan raya

Kerusi manakah yang paling kecil / besar?

Setakat April 2022, kawasan Parlimen terbesar ialah Bangi di Selangor, yang mempunyai 300,943 pemilih.

Kawasan Parlimen terkecil pula ialah Igan di Sarawak dengan 28,228 pemilih. Ini bermakna bilangan pengundi di kawasan Bangi adalah 10.67 lebih ramai berbanding di Igan.

Situasi ini dikenali sebagai salah pembahagian (malapportionment).

malapportionment
Bagaimana salah pembahagian memberi kesan kepada anda?
Iklan

Sedang memuat turun...

Kongsikan

Kredit

Diterbitkan oleh Kini News Lab pada 20 Okt 2022.

Penyelaras projek
Andrew Ong & Lee Long Hui
Penyelidik & Penulis
Andrew Ong & Lee Long Hui
Reka bentuk & Pengaturcara
Yan Jing Tian, Ooi Choon Nam & Lee Long Hui
Ilustrasi
Yan Jing Tian & Syariman Badrulzaman
Penterjemah
M Fakhrull Halim
Kini News Lab logo background
introKini News Lab
Kini News Lab ialah pasukan khas di Malaysiakini yang dikhususkan untuk penceritaan visual dan kewartawanan data.

Loading...

logo
Kini News Lab
Kini News Lab merupakan pasukan khas yang mengkhususkan bidang kewartawanan data dan penceritaan visual.
Suka hasil kerja kami?
Sumbanglah untuk projek yang akan datang.
Sokong kami
Sokongi media bebas. Langganilah Malaysiakini dengan RM60 selama tiga bulan atau RM200 setahun.
Langgan sekarang