16 Januari 2025
Perkhidmatan aplikasi berasaskan permintaan yang menghubungkan stesen rel ke destinasi akhir mungkin memangkin perubahan perkhidmatan awam di KL.
Dengan pembangunan jajaran rel, lebih ramai penduduk Lembah Klang mempunyai akses perkhidmatan pengangkutan tren.
Perkhidmatan tren Rapid KL telah berkembang pesat sejak 1996.
Tetapi hanya sekitar 10 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan perkhidmatan tren RapidKL setiap hari, sama ada LRT, MRT atau Monorel.
Faktor utama: Kesulitan untuk tiba ke destinasi akhir dari stesen tren dan sebaliknya (first-and-last mile connectivity).
Banyak stesen tren di Lembah Klang sukar untuk diakses oleh pengguna dengan berjalan kaki.
Contohnya, stesen LRT Sri Rampai yang terletak di kawasan pembangunan campuran dan dikelilingi pusat membeli belah, kawasan perumahan, kondominium dan bangunan komersil.
Tapi dari kawasan perumahan terdekat Taman Sri Rampai, penumpang perlu berjalan 2.5km atau lebih kurang 30 minit. Ini walaupun jarak terus dari taman perumahan ini ke stesen LRT berkenaan hanya 400 meter, menurut satu kajian oleh University Nottingham, Malaysia dan Universiti Malaya yang disiarkan pada 2020.
Melihat kepada tiga stesen - Sri Rampai, Asia Jaya, dan Miharja - kajian mendapati kebolehcapaian pejalan kaki ke stesen jauh berbanding kawasan metropolitan lain seperti Singapura dengan jarak berjalan kaki purata 631m atau kawasan di Korea Selatan di bawah 800m.
Keadaan sama terjadi di stesen jajaran MRT yang lebih baru, seperti Bandar Utama yang terletak hanya 150m ke arah timur dari Jalan Burhanuddin Helmi 2, di kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail.
Tetapi untuk berjalan dari situ ke stesen, penumpang perlu mengambil masa lebih 30 minit.
Secara am, stesen pengangkutan awam perlu diakses pejalan kaki dengan hanya 10 ke 20 minit, kata pakar pengangkutan awam Muhammad Zulkarnain Hamzah.
Bagaimana untuk menyelesaikan isu ini?
Di kawasan kota yang luas seperti KL, bas merupakan satu penyelesaian menghubungkan penumpang ke sistem perkhidmatan tren, kata Zulkarnain, yang juga pengasas NGO Transit Malaysia.
Tapi bas selalu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur yang semakin memburuk. Ini menyebabkan bas kurang kerap dan mengambil masa yang lama. Untuk bergerak lima kilometer sahaja boleh mengambil masa sejam menggunakan bas.
Di sinilah Demand-Responsive Transport (DRT), satu eksperimen pengangkutan awam boleh memainkan peranan.
Ini cara DRT berfungsi:
DRT menyelesaikan dua masalah.
Pertama, penumpang tidak lagi perlu menunggu lama kerana van boleh dipesan bila perlu.
Selain itu, van hanya berjalan di kawasan yang kecil, jadi kurang kebarangkalian tersangkut lama dalam kesesakan jalan raya dan tidak perlu berpusing jauh untuk tiba ke destinasi.
Perkhidmatan DRT ini dalam fasa percubaan dan merangkumi banyak kawasan di Lembah Klang melalui tiga operator - Kummute, Trek Rides and Mobi.
Kawasan DRT
Zoom untuk lihat hentian DRT
Bagaimana khidmat DRT setakat ini?
Rapid Bus, pengoperasi perkhidmatan bas di Lembah Klang berkata ia memulakan khidmat DRT dari sembilan stesen LRT dengan hanya 20 van.
Permintaan sangat memberangsangkan sehingga mendorong ia memesan 300 van lagi untuk meluaskan perkhidmatan.
Bermula dengan 20 van sejak Mei 2024, seramai 222,595 penumpang naik Rapid DRT dalam enam bulan pertama perkhidmatan. Kebanyakan penumpang hanya perlu tunggu sembilan minit untuk van tiba dan naik van selama 11 minit secara purata.
Di Stesen Alam Megah di Shah Alam, bas perantara Rapid hanya dinaiki 40 penumpang sahaja setiap hari. Selepas khidmat ini diganti dengan DRT, jumlah penumpang naik tiga kali ganda.
Bila ditemui, para penumpang DRT berkata khidmat ini mendorong mereka untuk terus menggunakan pengangkutan awam untuk perjalanan harian.
Lebih penting lagi, mereka boleh pesan van bila perlu. Jadi mereka tidak perlu bergegas ke hentian bas atau tunggu lama, kata mereka.
Untuk penduduk bandar yang kian sibuk, ini bermakna mereka dapat lebih masa untuk rehat atau bersarapan, menjadikan kehidupan lebih selesa.
Tak sentiasa sempurna
Tapi seperti semua perkhidmatan baru, ada lagi yang perlu diperbaiki. Kesesakan lalu lintas yang memerangkap bas di waktu puncak juga boleh memberi kesan terhadap DRT, kata penumpang.
Tapi kadang kala masa menunggu tak betul di masa puncak. Di aplikasi mula-mula tunjuk empat minit dan tiba-tiba tukar ke enam minit.”
Bukan penyelesaian akhir
Urbanist KL kumpulan yang berkempen untuk perancangan bandar yang lebih baik di Kuala Lumpur.
Kata mereka, khidmat DRT ini penambahbaikan kepada pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
Namun begitu, kata mereka, DRT tidak harus dilihat sebagai penyelesaian akhir kerana ia hanya perkhidmatan sokongan.
“DRT ada peranan di lanskap pergerakan di Lembah Klang tapi ia patut menyokong dan bukan mengambil alih penyelesaian asas seperti perancangan bandar yang mengambil kira sistem bas, mendorong pejalan kaki dan penggunaan basikal dan perkhidmatan bas yang cekap dan kerap.
“Lagipun, DRT masih kenderaan bermotor yang menyumbang kepada kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan pelepasan karbon. Ia masih dalam perangkaan yang mengutamakan kereta, seperti pembinaan jalan raya, lebuhraya bertingkat. Ini sebenarnya yang menyebabkan masalah susah nak sampai ke stesen rel,” katanya.
“Masalah ini perlu ditangani dari punca, iaitu dengan membuat perancangan bandar yang mengutamakan penyelesaian jangka panjang dan bukan hanya bergantung kepada penyelesaian cepat menggunakan teknologi yang bersubsidi,” katanya lagi.
Zulkarnain dari Transit Malaysia setuju.
Dia berkata DRT boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik untuk kawasan perumahan berbanding bas biasa, tetapi penyelesaian utama melalui perancangan bandar yang lebih baik.
Ini termasuk menyatukan semua aset pengangkutan awam bandar di bawah pemantauan Kementerian Kewangan dan merangka sebuah badan berasingan yang merancang dan mengurus semua pengangkutan di bandar.
Dengan cara ini, katanya, RapidKL boleh bekerjasama dengan lebih baik bersama pemegang taruh seperti majlis perbandaran, agensi perancangan bandar dan Kementerian Kerja Raya dan bukan hanya dikawal oleh Kementerian Pengangkutan.
“Singapura ada Land Transport Authority, London ada Transport for London dan Vancouver ada Translink jadi Greater KL perlu ada agensi pengangkutan sendiri yang bertanggungjawab untuk semua isu pengangkutan di kawasan bandar Kuala Lumpur.”